
Cara kira fidyah puasa sering dipandang ringan, sehinggalah seorang ibu ini terkejut apabila jumlah fidyah yang perlu dibayar mencecah lebih RM500 selepas tiga tahun tidak mengganti puasa lepas bersalin.
Tak sampai dua minggu lagi kita akan memasuki bulan Ramadan. Bulan ibadah yang penuh keampunan dan peluang untuk kita betulkan semula apa yang tertinggal. Namun satu perkongsian seorang ibu ini benar-benar buat ramai tersentak dan mula berfikir tentang tanggungjawab ibadah yang sering tertangguh.
Perkongsian oleh ibu @nainrahman ini menjadi tular selepas beliau berkongsi tangkap layar pengiraan fidyah melalui laman rasmi Lembaga Zakat Selangor. Niat asalnya hanya mahu menyemak fidyah bagi puasa yang tidak sempat diganti. Tetapi apabila jumlah keseluruhan dipaparkan, beliau sendiri terkejut.
Jumlah fidyah yang perlu dibayar mencecah RM522.90. Angka yang bukan kecil dan cukup untuk buat ramai tersentap, terutamanya golongan ibu yang pernah meninggalkan puasa selepas bersalin.
Jangan Ambil Mudah Bab Tak Ganti Puasa
Ramai antara kita pernah berada dalam situasi terpaksa meninggalkan puasa. Sama ada kerana mengandung, menyusukan anak, sakit, keletihan melampau atau kekangan kerja. Islam memang memberi kelonggaran, namun kelonggaran itu datang bersama tanggungjawab.
Puasa yang ditinggalkan wajib diganti. Jika tidak diganti sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya tanpa uzur yang dibenarkan, fidyah akan dikenakan selain qada puasa. Apa yang ramai tidak sedar, fidyah ini akan bertambah mengikut tahun jika terus ditangguhkan.
Di sinilah pentingnya setiap individu memahami cara kira fidyah puasa supaya tidak mengambil mudah perkara yang wajib diselesaikan.
Puasa Tertinggal Dikira Mengikut Tahun
Dalam perkongsian ini, ibu tersebut menyenaraikan puasa yang tertinggal mengikut tahun:
- Tahun 2023 sebanyak 9 hari
- Tahun 2024 sebanyak 14 hari
- Tahun 2025 sebanyak 28 hari
Setiap tahun dikira secara berasingan. Inilah sebab utama kenapa jumlah akhir boleh jadi besar walaupun bilangan hari nampak tidak terlalu banyak.
Apabila puasa tidak diganti dalam tempoh yang lama, fidyah akan berganda mengikut tahun. Tanpa memahami kaedah pengiraan, ramai yang hanya menyedarinya apabila jumlah akhir sudah menjadi ratusan ringgit.

Cara Kira Fidyah Puasa Yang Ramai Tak Tahu

Ibu ini turut berkongsi cara kira fidyah puasa melalui laman rasmi zakat. Prosesnya ringkas, jelas dan sesuai untuk sesiapa yang mahu menyemak sendiri tanpa rasa ragu.
Langkah-Langkah Kiraan Fidyah
Pilih jenis beras
Kadar fidyah bergantung kepada jenis beras yang dipilih seperti beras biasa, beras wangi atau beras basmathi.
Pilih tahun tinggal puasa
Tahun puasa ditinggalkan perlu dimasukkan kerana sistem akan mengira gandaan fidyah berdasarkan tempoh kelewatan.
Masukkan bilangan hari tinggal puasa
Isikan jumlah hari yang tidak sempat diganti dengan tepat.
Sistem ini membolehkan pengguna menambah kiraan untuk beberapa tahun berbeza, sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai tunggakan puasa lebih daripada setahun dan ingin memahami cara kira fidyah puasa dengan lebih telus.

Realiti Ramai Ibu Hadapi
Bagi golongan ibu, niat untuk mengganti puasa selalunya ada. Namun sering tertangguh. Anak kecil belum tidur, badan terlalu letih, kerja rumah tak pernah habis, urusan kerja dan keluarga yang bertindan.
Semua itu realiti yang ramai ibu lalui. Tetapi apabila ditangguhkan terlalu lama, beban itu tidak hilang. Sebaliknya ia semakin bertambah, bukan sekadar dari segi kewangan tetapi juga tanggungjawab ibadah.
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan atau menghukum. Ia lebih kepada satu peringatan lembut supaya kita tidak terus menangguh perkara yang wajib.
Ramadan Hampir Tiba, Ini Masa Kita Semak
Dengan Ramadan yang semakin hampir, inilah masa terbaik untuk kita duduk sejenak dan muhasabah diri. Semak berapa hari puasa yang pernah ditinggalkan, rancang bila boleh diganti dan tunaikan fidyah jika perlu.
Sedikit demi sedikit lebih baik daripada langsung tidak bermula. Jangan tunggu sehingga jumlah fidyah menjadi satu kejutan besar.
Semakan dan kiraan fidyah boleh dibuat melalui laman rasmi:
👉 https://www.zakatselangor.com.my/kira-zakat/
Semoga perkongsian ini menjadi asbab kesedaran untuk kita semua agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menunaikan kewajipan ibadah.
Sumber: nainrahman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





