Penjagaan gigi anak sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa. Perkongsian doktor ini boleh dijadikan panduan.
Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian di Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia berkongsi tentang cara penjagaan gigi yang dilakukan kepada anaknya, Imtiyaz. Melalui penerangan beliau, jelaslah peranan ibu bapa sangat mustahak untuk menjadikan ia rutin dan seterusnya dapat mengurangkan masalah kerosakan gigi.
Rutin membersihkan gigi anak perlu diteruskan sehingga kanak-kanak berusia 6 tahun! Berikut ialah perkongsian Dr Iqbal;
Imtiyaz mula tumbuh gigi agak lewat juga. Umur 10 bulan baru tumbuh gigi pertama. Biasanya gigi pertama tumbuh sekitar umur 6 bulan. Tak apa, dah 4 bulan tak perlu fikir gigi rosak, betul tak?
10 BULAN
Masa ini cuma bersihkan gigi dia gunakan kain lampin lembap. Bukan susah pun. Sapu sikit je. Yang penting, mesti buat. Kalau mak ayah tak biasakan diri, masukkan dalam jadual seharian untuk ambil masa tak sampai 1 minit untuk bersihkan beberapa batang gigi anak, nanti mesti jadi ralat. So, bukan anak sahaja kena biasakan, mak ayah pun kena biasakan juga untuk bersihkan gigi anak.
Bila gigi sudah ada beberapa, saya gunakan finger toothbrush. Ada dijual di mana-mana kedai. Benda ini lembut dan selesa untuk gigi dan gusi bayi. Tak nak beli finger toothbrush pun tak apa. Gunakan kain lembap lagi. Yang penting, mesti buat.
1 TAHUN 3 BULAN
Bila gigi sudah makin banyak, kami mula gunakan berus gigi kanak-kanak. Kepala berus gigi sangat kecil, bulunya lembut, sesuai untuk keselesaan mulut baby kita. Saya letak kepala Imtiyaz di riba saya, peluk badan dia, satu tangan pegang berus gigi dan satu tangan lagi tolak bibir supaya mudah gosok gigi.
Masa ini anak memang menangis. Tak biasa. Kita kena gagahkan juga. Ibarat macam perang. Nak senang, saya mandi sekali dengan anak. Pujuk dia. Bagitahu ini berus gigi. Tunjuk kat dia. Nak berus gigi adik bagi cantik. Dia tak faham pun. Tapi lama-lama dia akan tahu dan faham sendiri. Bila kita ambil berus gigi, dia dah siap-siap nganga mulut. Tunggu kita baringkan je. Anak lambat nak faham, tak apa. Yang penting, mesti buat.
1 TAHUN 6 BULAN
Bila semua gigi 20 batang hampir keluar, saya tak tunggu lama. Saya terus kenalkan ubat gigi. Masa ini, sudah tidak leceh. Sebab anak dah tahu kena baring dan buka mulut untuk gosok gigi. Nampak tak? Kita biasakan dari awal.
Ya, saya gunakan ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi flourida. Sebab saya yakin. Saya yang akan tolong beruskan gigi anak saya. Saya gunakan sikit sahaja kuantitinya. Sangat-sangat sikit. So, tak ada isu tertelan atau tak pandai meludah. Tak mahu gunakan ubat gigi dulu tak ada masalah. Yang penting, mesti mak ayah yang tolong gosokkan. Mesti tolong gosokkan sampai umur 6 tahun.
1 TAHUN 8 BULAN
Sudah 12 batang gigi susu tumbuh penuh. Lagi 8 dah hampir siap tumbuh. Alhamdulillah semua elok.
Belum besar lagi anak saya nak banding dengan anak orang lain. Belum pandai makan coklat dan jajan. Tapi setakat ini memang saya jaga dan bersihkan. Malulah kan asyik sembang gigi anak orang, gigi anak sendiri tak cantik.
Sumber: Iqbal Rosali
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI