
Dua beradik beri enam ekor ikan sempena hari guru. Dua orang adik-beradik telah mencuri perhatian ramai apabila mereka menyambut Hari Guru dengan cara unik — menghadiahkan enam ekor ikan segar kepada para guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, Pulau Tioman, Pahang, pada Jumaat lalu.
Dua Beradik Bagi Enam Ekor Ikan Sempena Hari Guru
Peristiwa tersebut dirakam dan dikongsi menerusi satu video di akaun TikTok @scubanaut16, yang memaparkan dua pelajar sekolah membawa ikan-ikan tersebut untuk diserahkan kepada guru-guru mereka.
Menurut bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Jamaludin Musa, 41, hadiah berupa ikan gomblang dan kerapu itu adalah hasil pemberian dan belian daripada kenalan rapatnya.
“Ikan gomblang itu diperoleh daripada seorang rakan yang memancing dan menghadiahkannya kepada saya. Ikan itu dianggarkan seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.
“Bagi ikan kerapu pula, saya membelinya daripada seorang kawan. Biasanya lima ekor ikan boleh mencecah harga sekitar RM90 hingga RM100 bagi setiap kilogram, bergantung pada lokasi,” jelas beliau lagi.
@scubanaut16 Terima kasih cikgu-cikgu sekolah kebangsaan Tekek Pulau Tioman. Mengajar dan mendidik anak-anak. Selamat Hari Guru 👩🏫👨🏫 #fyp #viraltiktok #sktekekpulautioman #selamathariguru #16may ♬ original sound – Jamaludin 🤿
Jamaludin menyatakan bahawa idea menghadiahkan ikan ini sebenarnya sudah lama dirancang sejak tahun 2019, sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah membimbing anak-anaknya, Armin Jamaludin, 11, dan adiknya Aida Izabella Jamaludin, 8.
Beliau menambah, pemberian tersebut sangat sesuai memandangkan latar belakang keluarganya yang berkait rapat dengan laut dan hasil perikanan.
“Saya menetap di Kampung Salang, Pulau Tioman sejak 2002, manakala ayah saya pula merupakan seorang nelayan. Jadi sebagai anak jati pulau dan anak kepada seorang nelayan, saya rasa pemberian ikan adalah simbolik dan sangat bermakna,” katanya.
Jelasnya lagi, ikan-ikan itu kemudian dimasak oleh guru-guru dan dinikmati bersama dalam satu majlis makan malam sebagai satu bentuk sambutan Hari Guru yang istimewa.
Sebagai seorang juruselam, Jamaludin turut mengakui bahawa jarak dan keadaan ikan adalah cabaran utama untuk memastikan hadiah itu sampai dalam keadaan baik.
“Rumah saya di Kampung Salang agak jauh dari sekolah. Biasanya saya guna bot dan perjalanan ambil masa kira-kira 10 minit. Untuk sambutan kali ini, saya sudah buat perancangan rapi — ikan gomblang saya bekukan dahulu di rumah sebelum dihantar ke rumah rakan berhampiran sekolah untuk disimpan sementara,” jelasnya.
Tambahnya, lagi lima ekor ikan pula dibeli sebab risau tidak cukup untuk guru lain.
Sumber: Sinar Harian dan TikTok scubanaut16
Baca artikel lain juga: Anak Tak Nak Pergi Sekolah Sebab Tak Mampu Beli Hadiah Hari Guru Cikgu Mohd Fadli Salleh
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI