Hasrat seorang pemuda untuk menambah simpanan musnah apabila duitnya berjumlah RM113,086.40 lesap akibat terpedaya dengan tawaran kerja.
Siapa sangka tujuan untuk menambah simpanan, pemuda berusia 27 tahun itu berputih mata apabila peluang kerja sambilan yang diberitahu kepadanya tidak wujud.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pemuda berkenaan yang merupakan seorag pegawai perubatan telah berkenalan dengan seorang individu melalui satu aplikasi dan ditawarkan kerja sambilan.
Ads
Menurutnya, mangsa diminta untuk membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga dan akan mendapat pulangan komisen sebanyak 20 peratus setelah selesai membuat tinjauan melalui pautan yang diberikan.
Ads
“Tertarik dengan pulangan komisen lumayan serta tawaran kerja sambilan tersebut, mangsa telah mendaftar sebagai ejen dalam sebuah web. Bagi mendapatkan pautan tinjauan yang ditawarkan, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.40.
Melalui paparan laman web yang dimuat turun, mangsa telah mendapat keuntungan sebanyak RM130,000. Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan tersebut, mangsa diminta membuat bayaran tambahan,” katanya.
Ads
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga denda.
Dua hari lalu, kita dikejutkan dengan berita sebuah kemalangan yang melibatkan pasangan suami isteri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Bertambah sedih apabila pasangan ini turut meninggalkan dua anak perempuan mereka yang masih kecil iaitu Hana Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2.
“Mama sejuklah Ayah Chik tapi dah ada selimutkan, lagipun mama dengan baba nak pergi jumpa ‘grandpa’ dekat syurga kan.”
Itu kata-kata daripada Hana Safiyyah Muhammad Hamadi, 6, sebaik mengucup pipi ibunya, Allahyarham Nur Syuhadah Zaini, 31, yang maut dalam kemalangan bersama Muhammad Hamadi Zakaria, 31, di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dekat sini semalam.
Adik Allahyarham Nur Syuhadah, Aizat Ahmad Zaini, 29, berkata, dia tersentuh mendengar kata-kata anak saudaranya itu yang disifatkan sebagai sangat kuat dalam berdepan situasi tidak diduga itu. Menurutnya, ketika tiba di hospital kelmarin untuk proses pengecaman, Hana Safiyyah dan adiknya, Hani Safina, 2, turut serta bersama mereka.
“Hana menangis sebaik sahaja menatap muka arwah mama dan babanya tetapi adiknya masih terlalu kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku.
“Selepas selesai mandikan jenazah, Hana cium pipi mamanya dan kata mama dia sejuk. Saya beritahu dia, tak apa kita selimutkan (kafankan) mama, nanti mama tak sejuk dah,” katanya kepada Sinar Harian.
Aizat Ahmad berkata, ketika itu Hana Safiyyah tidak menangis lagi dan seolah-olah memahami ibu bapanya telah tiada.
“Tahun lalu Hana pernah kehilangan seorang datuk saudara yang dipanggil ‘grandpa’ dan ketika itu arwah kakak katakan kepadanya bahawa ‘grandpa’ telah meninggal dunia dan akan ke syurga.
“Jadi, saya percaya apabila keadaan sama menimpa mama dan babanya, Hana seperti sudah faham kerana dia sendiri cakap mama dan baba nak pergi syurga jumpa ‘grandpa’.
“Saya dan keluarga juga berkali-kali katakan kepada Hana supaya tidak risau kerana ‘mama pergi, baba teman dan baba pergi, mama pun ada’. Kami bersyukur kerana dalam usia terlalu muda, Hana dapat menghadapi situasi ini dengan berani,” katanya.
Ketika ditanya mengenai hak penjagaan dua beradik itu, Aizat Ahmad berkata, buat masa ini Hana Safiyyah dan adiknya akan dijaga oleh keluarga mereka.
Lebih menyedihkan Aizad kerana anak saudaranya itu ada bertanya di mana mama kerana sudah menjadi kemestian arwah kakaknya menyediakan sarapan untuk anak-anaknya sebelum ke tempat kerja.
Sebelum terjadinya kemalangan yang menyayat hati ini, arwah Muhamammad Hamadi juga sudah membayar yuran tadika anaknya selama setahun.
Pa&Ma doakan agar dua anak kecil ini terus kuat untuk melalui ujian ini. Semoga kehidupan dua beradik ini akan terus dilimpahi dengan kasih sayang orang-orang yang ada di sekeliling mereka. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah.
Ahli kumpulan nasyid UNIC, Dr Haris Fitri, kini melalui detik yang cukup mencabar apabila anak kesayangannya terpaksa menerima rawatan di hospital.
Menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, penyanyi berkenaan berkongsi keadaan anaknya, Adwa Qalbi, yang ketika itu ditempatkan di Zon Pemantauan Rapi (merah) susulan paras oksigen yang membimbangkan.
“Pohon doakan buat anakanda kami Adwa Qalbi supaya cepat sembuh. Kini berada di zon kritikal (merah) pemantauan rapi kadar oksigen. Andai dapat abi dan mama ambil semua kesakitanmu, anakku…” tulisnya penuh sebak.
Luahan tersebut jelas menggambarkan perasaan seorang ayah yang tidak sanggup melihat anaknya menanggung kesakitan, apatah lagi dalam keadaan kritikal di hospital.
Bagaimanapun, dalam hantaran berasingan, Dr Haris Fitri (UNIC) memaklumkan perkembangan yang lebih positif apabila Adwa Qalbi telah dipindahkan dari wad kritikal ke wad pemantauan, sekali gus memberi sedikit kelegaan buat keluarga mereka.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan anaknya.
Menurut perkongsian terbaharu, Adwa kini menunjukkan perkembangan baik selepas menerima rawatan intensif.
“Alhamdulillah anakanda Adwa Qalbi dah dipindahkan dari zon kritikal (merah) ke wad untuk pemantauan. Doktor sahkan Adwa diuji pneumonia. Terima kasih yang tak putus-putus mendoakan,” tulisnya.
Perkongsian tersebut jelas menggambarkan kelegaan seorang ayah selepas melalui saat getir melihat anak berada dalam keadaan kritikal, lebih-lebih lagi apabila melibatkan masalah pernafasan dan paras oksigen.
Dalam kapsyen yang disertakan, Dr Haris Fitri turut meluahkan isi hati mewakili semua ibu bapa yang sedang diuji dengan kesakitan anak:
“Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya sakit, sama ada sakitnya fizikal atau emosi. Terima kasih ibu dan ayah.”
Dalam pada itu, di hantaran yang sama Dr Haris Fitri turut berkongsi maklumat mengenai tanda-tanda pneumonia yang dihidapi oleh anaknya.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan doa dan kata-kata semangat, mendoakan agar Adwa Qalbi terus diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Ramai yang turut berkongsi rasa simpati serta kagum dengan ketabahan Dr Haris Fitri dan keluarganya dalam menghadapi ujian ini.
Sesungguhnya, ujian melibatkan anak adalah ujian paling berat buat ibu dan ayah. Setiap hembusan doa menjadi kekuatan untuk terus kuat. Semoga Adwa Qalbi terus kuat, kembali sihat sepenuhnya, dan dapat tersenyum riang seperti sedia kala.
Hakikatnya, tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak menanggung kesakitan — sama ada secara fizikal mahupun emosi. Doa, sokongan dan kasih sayang daripada orang sekeliling menjadi kekuatan terbesar buat setiap ibu dan ayah yang sedang diuji.
Suami isteri yang berkahwin pasti mempunyai impian untuk memiliki zuriat sendiri. Tidak kisahlah jantina anak, asalkan bayi sihat sudah membuatkan kehidupan ibu ayahnya bahagia. Kebanyakan pasangan mengharapkan untuk mempunyai anak sulung lelaki.
Kemudian, untuk anak seterusnya masih juga lelaki. Setiap kelahiran selepas itu, masih dapat anak lelaki. Bayangkan betapa meriahnya sesebuah rumah itu dengan karenah anak lelaki yang pelbagai!
Anak lelaki atau perempuan, sama sahaja. Kedua-duanya bijak dan aktif tetapi kebanyakan iu ayah yang mempunyai lebih ramai anak lelaki mengakui akan hilang sabar juga bila berdepan dengan perangai anak-anak bujang ini. Sebelum anda naik darah, berikut beberapa tip yang ingin Pa&Ma kongsikan agar anda kekal waras ketika membesarkan mereka.
Sebelum mempunyai anak, kita pastinya mengidamkan anak-anak yang mudah dijaga. Bergelar ibu bapa, kita dengan pantas akan menyedari anak lelaki biasanya bertenaga, agresif dan lebih banyak akalnya berbanding anak perempuan.
PANTAU TAHAP AGRESIF ANAK
Ia perkara normal apabila anak lelaki suka bermain dengan senjata (pistol, pedang dan sebagainya), dan kemudian beraksi seolah-olah mereka membunuh orang jahat. Jika anak lelaki anda pernah bermain begini, ia menunjukkan impian mereka untuk menjadi penyelamat dan menegakkan keadilan. Melakonkan watak sebagai polis dan penjahat atau bermain ala-ala situasi berdepan zombi dapat menggalakkan anak anda untuk bertindak mengikut logik (yang mana betul dan salah). Setiap kali mereka bermain begini, anda memainkan peranan penting untuk memantau dan menegur jika ia keterlaluan.
Banyak menonton rancangan di televisyen juga boleh menjadi faktor mereka bermain dengan kasar. Oleh itu, anda harus sentiasa peka dengan cara mereka bermain dan pastikan mereka tahu sejauh mana mereka boleh bermain secara kasar dan agresif.
Tidak perlu marah, cukup sekadar menerangkan perkara yang harus mereka tahu supaya mereka faham dan bukannya mengelak daripada melakukannya kerana takut dimarahi anda.
TUNJUKKAN CONTOH YANG BAIK
Anak lelaki biasanya lebih banyak menyimpan memori dan sentiasa ingat apa yang berlaku di persekitaran mereka. Untuk membentuk sahsiah diri yang baik dalam diri mereka, anda harus menjadi contoh terbaik. Bapa terutamanya digalakkan untuk melayan isteri, ibu dan adik-beradik perempuan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang agar anak-anak dapat menjadikan anda contoh. Salah satu cara yang baik untuk mengajar anak lelaki cara untuk melayan orang lain dengan baik adalah dengan sentiasa bercerita kepada mereka akan kepentingan serta ganjaran menjadi manusia yang sentiasa baik dengan orang lain.
Satu lagi contoh terbaik untuk ajarkan pada anak adalah momen untuk sentiasa reda dan ingat pada Tuhan. Selain mengajar anak untuk solat, didik mereka untuk cintakan Al-Quran. Sedari kecil, biasakan mereka mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran serta latih anak untuk menyayangi kitab suci itu.
Untuk mengembangkan sisi sensitif anak lelaki anda, jelaskan kepada mereka kepentingan berkongsi alat mainan dengan rakan atau berbuat baik kepada haiwan. Anda juga boleh membacakan cerita tentang lelaki dalam sejarah yang memperjuangkan keamanan dan kebaikan. Cari peluang untuk mewujudkan peranan sebagai lelaki yang positif dengan menghabiskan masa berkualiti dengan mereka atau menggalakkan mereka untuk menyertai kerja-kerja amal.
Meraikan anak lelaki dengan kasih sayang dan penghargaan juga boleh menjadikan mereka lebih mudah mendengar kata.
GALAKKAN EKSPRESI EMOSI
Sentiasa galakkan anak-anak anda untuk meluahkan perasaan mereka. Biasanya anak lelaki lebih suka memendam perasaan mereka, tetapi sebagai ibu bapa anda harus peka dan bijak untuk menggalakkan mereka bercerita. Anda boleh bercerita dan minta pendapat mereka tentang sesuatu hal. Ini memberi mereka satu perasaan dihargai dan menjadikan mereka lebih bersikap terbuka untuk berkongsi sebarang masalah. Jangan menghakimi tetapi galakkan mereka untuk bercerita dengan memberi pendapat yang neutral dan tidak menyalahkan mereka.
Anak lelaki suka bermain secara bebas. Mereka tidak selesa dikawal dan dikongkong. Beri ruang kepada mereka untuk bermain dengan menyediakan satu kawasan khas untuk mereka bermain. Di situ, biarkan mereka untuk menjadi diri sendiri tanpa dihalang untuk berbuat apa saja. Sesekali sertai mereka dan sediakan aktiviti yang boleh dibuat bersama.
Jika bermain dengan ayah, banyakkan permainan survival. Ibu pula boleh banyakkan bermain dengan aktiviti skil harian.
Jika diberi peluang dan ditunjukkan cara sebenar untuk membesar menjadi anak yang menyenangkan, ibu bapa harus mengambil inisiatif untuk melatih anak-anak sedari kecil. Elakkan terlalu banyak memarahi mereka kerana ia akan memberi impak kepada emosi serta tumbesaran mereka.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!