
Ya bukan senang kita nak jadi mak ayah ni. Ada proses yang kena lalui sebelum bergelar ibu bapa. Jadi, tak ada istilah nak cuba-cuba jadi mak atau ayah.
Hari ni nak jadi, esok tak nak. Memang tak ada, ye. Kalau dah bergelar ibu bapa nak tak nak memang kena hadap semua karenah anak. Mungkin sebelum ni kita boleh tidur lena tanpa gangguan, ada masa dating berdua dihujung minggu tapi lepas ada anak rutin yang biasa dilakukan sebelum ini kena dikorbankan.

Tak semestinya kita kena lupakan terus, tapi tengok pada keperluan dan masa lapang yang ada.
1) Luangkan masa dengan anak
Part ni memang penting. Sebab dalam dunia ni tak ada satu orang manusia pun suka hidup sendirian melainkan dia memang lahir-lahir jer sebatang kara. Anda sendiri bila dah tua tak mahu tinggal sorang-sorang kan? Begitu juga kanak-kanak.
Meluangakan masa dengan anak boleh memupuk hubungan baik antara si anak dan ibubapanya. Ibu dan bapa berpeluang untuk memahami lebih rapat anak tersebut. Dalam masa yang sama, ia boleh mendidik dan beri pengajaran yang baik kepada anak
2) Beri anak pujian
Budak-budak ni, mereka suka kena puji. Macam kita juga lah. Puji-pujian ni kan amalan yang baik. Kalau anak tersebut mempunyai tingkah laku yang baik, dapat mewarna dengan cantik, berilah sekurang-kurangnya pujian.
Perkara macam ni akan menambah kuatkan jati diri dan keyakinan anak-anak.
Jangan la buat dono sahaja. Sifat negatif begini akan rosakkan hubungan dan persepsi anak terhadap anda.
3) Tetapkan peraturan
Setiap keluarga perlu ada peraturan. Apa yang boleh buat, dan yang tak boleh buat. Anak-anak perlu diterangkan apa yang diharapkan dari mereka berlandaskan peraturan.
Penting sangat bagi setiap ibu bapa menjelaskan kedudukan dan peraturan kepada anak supaya tingkahlaku dapat di didik dengan baik.

4) Tidak melayan kelakuan buruk
Kelakuan yang berunsurkan sifat buruk ni memang tak best. Contoh yang mudah bagi budak-budak ialah bila diorang dah start berguling-guling ditengah-tengah pasar malam sebab tak dapat mainan atau si ayah lupa belikan satey.
Ada masanya, ibu bapa kena tegas. Beritahu dengan cara sebijak mungkin yang kelakuannya tidak baik dan memalukan. Gunakan bahasa yang tidak menengking sebaliknya nada suara rendah tetapi tegas.
Jika kita tidak beri perhatian dan abaikan kelakuan yang tidak baik macam ni, secara tak langsung seolah-olah menggalakkan anak tersebut berkata TIDAK apabila ditegur.
5) Sesekali beri anak buat keputusan
Antara aspek terpenting dalam kemahiran keibubapaan adalah mengajar anak berfikir tentang diri mereka sendiri.
So, nak capai tujuan ni, ibu bapa perlu bimbing anak-anak mereka melalui proses membuat keputusan sendiri berbanding memberi jawapan yang betul setiap kali.
kredit: infogerobokanim
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau Anak Suka Cakap Kasar & Jerit-Jerit, Mungkin Itu Caranya Kita Bercakap Dengan Dia

Biarpun anak-anak masih kecil, tetapi mereka juga mempunyai perasaan. Jika dimarahi dengan herdikan atau jeritan, ia akan membawa kesan terhadap emosi dan tumbesaran mereka. Secara automatiknya, mereka akan membesar menjadi individu yang kasar juga.
Sekiranya ibu ayah menggunakan pendekatan secara berhemah dan lemah lembut, anak-anak akan lebih mendengar kata. Dalam penulisannya, Irthihaly Awwal menceritakan bagaimana cara ibu ayah mendidik anak-anak membentuk siapa diri mereka.
Ikuti perkongsian penuh manfaat ini.

Delicate Ears to the Heart
Saya berpesan kepada diri sendiri dan sesiapa yang mahu ambil pengajaran (kesan jangka panjang perjalanan hidup saya),
Tolong ubah cara didikan anak-anak.
Tak perlu terjerit-jerit jerkah budak.
Wallahi TAK PERLU.
Biasakan dari kecil mereka dengan teguran yang lemah-lembut, soft tones, insha Allah budak boleh dengar & respond.
Mulakan dengan kelembutan + jangan sesekali pun cetuskan/initiate jerkah. Jangan!
Yang jadi mereka biasa behave sebab jerkah tengking ni, sebab KITA – PARENTS yang bentuk kebiasaan mereka.
Tak perlu guna alasan sedapkan hati sendiri “this is Asian way to educate kids”.
Anda nak ke, nanti bila anda dah tua, hati di fasa delicate yang amat tu, anak-anak berjiwa gagah zaman gemilang bertenaga dia, dia jerkah anda?
Artikel Lain: [Biasanya Perangai Anak Ikut Ayah, Otak Cerdik Ikut Ibu. Kira Adillah!]
Anda mahu ke, anda menjadi punca jiwa anak-anak anda rapuh, tak mampu masuk ke dunia pekerjaan, hilang keyakinan diri, anxiety depression, masuk wad gila, sepanjang hidup meracau gangguan jiwa, akhirnya hidup rosak, apa pun dia tak yakin untuk buat apatah lagi untuk survive? Anda nak tinggalkan generasi depan yang tak mampu uruskan hidup sendiri (no self confidence) bila anda dah tiada?
Pernah waktu belajar (soifi) di Jordan tu saya perhatikan sepasang suami isteri Malaysian ni, saya suka kepada kedua-duanya kerana sifat mereka lemah-lembut, sekufu sesama mereka. Saya fikir anak mereka beruntung (sekarang dah besar pun), ada ibubapa yang baik, soft spoken.

Saya juga pernah lihat (bermuamalah dengan) keluarga yang anak-anaknya memang elok je dengar cakap mak ayah yang tegur mereka baik-baik. Tak perlu tengking terpekik-pekik.
Saya sendiri dibesarkan oleh ibubapa yang kurang bab membebel, hampir tiada jerkah tengking. Sebab ibubapa saya jenis ambil tindakan (rotan atau jeling) terus. Jangan buang air liur dan sakitkan tekak.
Mungkin atas sebab itu juga jiwa saya biasa dengan ketenangan, tak suka high pitching, dan sangat benci orang tinggikan suara.
Family sendiri tidak mengamalkan jerkah-method. Saya dapat luka emosi bermula bila saya pulang ke kampung. Tak perlu tahu siapa yang jerkah saya, dia sudah mati, dan saya lega atas kematian dia. Waktu dia hidup saya benci balik kampung, ia menjadi satu keresahan “apa aku nak buat ni..”, nak tak nak kena ikut, sebab kita kecil lagi, kalau tak ikut balik kampung nanti seorang diri di rumah (Taiping waktu tu).
Jerkah ni biasanya disertakan dengan pakej public shaming. It hurts sampai ke dalam-dalam dasar hati.
Selain bertubi-tubi di usia kecil, siri jerkah & public shaming ni terjadi masa sekolah menengah. Saya demam, tak mampu nak kayuh basikal balik rumah, terpaksa tidur di kelas, sudah lah jasad tak sihat, ada guru kononnya menunjukkan concern panggil saya dan jerkah (nasihat tapi memalukan) berjam-jam sampai satu sekolah dengar. Sampai sekarang ia membekas benci dalam hati.
Artikel Lain: [Anak Mengamuk Nak Jajan Di Kaunter Kedai, Ini Cara Ibu Ayah Jadi ‘Kebal’ Tak Payah Belikan]
Luka siri jerkahan ini berparut segar.
Setiap kali terdengar orang lain jerkah anak, it struck my heart. Luka berdarah balik, walaupun ibubapa tu bukan marah saya pun, saya dah berada di posisi anaknya. It’s killing me.
Saya syak, siri heart pain bertubi-tubi beberapa minggu lalu itu ada kaitan dengan (entah la kenapa insiden ni boleh jadi serentak) satu weekend tu saya dengar setiap rumah sekeliling – depan kiri kanan – saya semuanya tengking anak-anak. Bersahut-sahutan, tak putus. Kucings saya pun terkejut dengan fenomena baru tetiba banyak jerkahan.
(My observation, anak-anak dari rumah-rumah ini selalu nak suarakan pandangan & minta perhatian je, mereka rajin keloi -panggil- ayahnya. Sebab ayah-ayah tak jerkah, ayah-ayah layan elok je anak-anak bercakap).
Dulu masa kecil abah pernah selalu kata,
“Cina (refer kepada bos dia) suka tengking orang, tinggi suara”, sampai la satu CNY tu saya dengar in-law aunty jerkah tetamu yang cari tempat duduk tapi terpaksa duduk di tangga (dia sangka tetamu tu nak naik ke bahagian atas rumah dia), dan ada la beberapa kes tengking dari keluarga Cina, sampai saya terpaksa iyakan apa yang abah pernah kata. Saya fikir, selepas trauma balik kampung zaman kecil dulu dah berakhir, rupanya ia bersambungan bila kahwin – there’s another new kampung. Cara saya, stay away from these people.
Ia bukan kerana bangsa.
Tapi ia menjadi kebiasaan sesuatu bangsa.
Melayu – biasa didik anak je kena pakai jerkah. Nak nampak ‘indah’ mereka namakan ia “adat”. Adat Melayu mendidik anak – perlukan jerkah.
Tiada fitrah manusia/budak yang sukakan jerkah (tengking). Fitrah manusia sukakan ketenangan.
Terutamanya awal pagi, saya suka ketenangan bunyi kicauan burung dan ayam, binatang bertasbih. Tiba-tiba ada suara halilintar menyertai – menguruskan anak-anak ke sekolah awal pagi perlukan jerkahan.
I feel like crying
Cara my parents kejutkan bangun subuh;
Abah – dia tekap tangan sejuk lepas mandi ke muka, kita sedar. Tapi degil juga tak bangun, dia sebut “subhanallah” (I read it as abah marah). Degil tahap 2 tak bangun juga, dia bawa secedok air, renjis muka. Degil tahap 3, dia bawa hanger baju, rotan! Degil tahap 4, dia simbah air sebaldi habis lencun tilam kesian ummi tambah kerja kena jemur.
Umi – samada dia masak sedap, terus hidung terhidu & terjaga, atau dia buka bacaan al-Quran di radio (I prefer lower tone instead of buka full volume bar), sedikit demi sedikit bacaan al-Quran tu masuk dalam mimpi yang tengah bermain dalam tidur, ayat-ayat tu yang akan jemput minda sedar, sebab otak saya ikut baca sekali. I have sensitive ears, nose, brain.

Jin – ini tak tahu lah malaikat ke jin ke, pernah beberapa kali, ada satu ‘entiti’ main ibu jari kaki banyak kali sampai 100% sedar terjaga dari tidur. Degil tak bangun, ia main lagi ibu jari kaki. Bukan halusinasi, memang rasa sungguh ada benda pegang ibu jari kaki. Ia bukan kerja roommates, sebab semua roommates pun belum bangun lagi.
Sentuhan (speaking or touching) lembut dengan kekerapan tinggi sudah cukup untuk bentuk jiwa orang, sama seperti cara nak kejutkan ruh supaya kembali ke jasad (bangun dari tidur untuk subuh).
::lekuk batu di titik air selalu::
::batu yang keras air pelekuknya::
Pernah tengok satu video ni bapa kejutkan anak bangun pagi dengan buat beberapa pergerakan anggota badan anak perempuannya. Suka je tengok.
Tolong lah parents
Matlamat anda nak anak-anak bangun subuh, matlamat anda nak anak-anak ke sekolah, matlamat anda (kononnya) nak mendidik anak-anak dari kecil itu, TIDAK SAMA SEKALI MENGHALALKAN cara dengan JERKAH.
Dalam diam anda sedang memusnahkan masa depan anak-anak sendiri.
Dalam diam anda sedang membentuk masa depan usia tua anda sendiri.
Jangan sentap, bila anak-anak dah mula mampu naik suara dengan anda. Itu dosa anda zaman muda bertenaga dulu – buli jiwa delicate budak kecil. Akan datang tiba masanya zaman anak-anak muda bertenaga pula – buli jiwa delicate diusia tuamu.
Ada ke Nabi Muhammad s.a.w ajar “starter pack” cara nak didik budak perlukan jerkah tengking?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahaya Bayi Perempuan Pakai ‘Headband,’ Ini Tip Mak Ayah Perlu Tahu Kalau Nak Pakaikan Juga

Bahaya bayi perempuan pakai ‘headband,’ ini tip mak ayah perlu tahu kalau nak pakaikan juga. Memakaikan bayi perempuan dengan aksesori kepala memang menarik. Nampak comel.
Tapi tahukah anda yang bayi boleh berisiko mengalami keadaan leher terjerut dan lemas!
Headband sebagai aksesori kepala membuatkan si kecil nampak comel. Tapi kalau tidak dipantau boleh jadi bahaya pula, silap-silap boleh menyebabkan kes kematian pula!
Bahaya Bayi Perempuan Pakai ‘Headband’
Trend ibu-ibu sekarang amat suka menggayakan bayi perempuan dengan pelbagi aksesori hiasan kepala. Pelik sangat kalau siapa yang ada bayi perempuan tapi tak menghias kepalanya.
Sebelum anda berasa pelik dengan sesetengah ibu yang jarang menghias kepala bayi perempuan mereka dengan ‘headband’ berbunga besar sekuntum atau reben merah menyala berlabuci berkelipan, sebaiknya anda pertimbangkan beberapa aspek dalam pemilihan aksesori kepala yang boleh mengundang risiko bahaya kepada perkembangan tumbesaran bayi dan keselamatannya.

Menurut Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun seperti dipetik dalam utusan online, pemakaian aksesori kepala tidak salah jika ibu bapa bijak memilih kesesuaian aksesori untuk bayi mereka.
Ini Tip Mak Ayah Perlu Tahu Kalau Nak Pakaikan Juga
Beberapa faktor berikut perlu dipertimbangkan sebelum memakaikan bayi anda aksesori kepala.
1. Jenis fabrik aksesori
Tulang bayi ketika usia selepas lahir sehingga 18 bulan amat sensitif, lembut dan masih dalam proses pertumbuhan menyebabkan tulang mereka mudah tercedera.
Jadi, risiko perkembangan tulang bayi terganggu boleh berlaku bergantung kepada jenis aksesori yang dipakaikan sama ada selamat atau tidak.
2. Tahap fleksibiliti regangan aksesori
TULANG DAN OTAK BAYI AKAN MEMBESAR SETIAP HARI DAN JIKA DIPAKAIKAN AKSESORI SEPANJANG MASA, DIBIMBANGKAN AKAN MEMBANTUTKAN PERKEMBANGAN TULANG BAYI SECARA TIDAK LANGSUNG WALAUPUN IA BUKAN PUNCA UTAMA.

3. Saiz aksesori
Headband bayi mesti ditukar setiap bulan kerana otak dan tulang bayi akan membesar dan ukur lilit kepala mereka juga berbeza setiap bulan.
Kalau anda masih memakaikan bayi aksesori kepala yang sama ketika dia baru lahir semasa bayi sudah berusia setahun, kemungkinan tumbesaran tulang kepalanya akan mempunyai masalah.

4. Tempoh masa pemakaian
Pemakaian aksesori terlalu lama atau kerap boleh mengganggu tumbesaran fizikal bayi dan dibimbangkan turut memberi kesan kepada bahagian dalaman.
Sebaiknya aksesori kepala hanya boleh dipakai selama satu hingga dua jam dan sebaiknya dimulakan selepas bayi berusia 18 bulan.
Comel memang comel tapi jangan sampai menyiksa si kecil
5. Kesan kepada kulit bayi
Penggunaan fabrik yang tidak sesuai untuk kulit bayi yang sensitif seperti bulu, renda berbiku dan tajam, mungkin boleh melukakan kulit bayi serta menyebabkan masalah alahan seperti ruam dan kegatalan.
Bahkan penggunaan manik dan labuci juga berisiko menyebabkan bayi yang sudah besar memasukkan ia ke dalam mulut atau hidung.

6. Risiko terbelit
Ibu bapa hendaklah mengawasi bayi semasa memakai aksesori kepala kerana bimbang boleh menutup hidung hingga menyebabkan sukar bernafas atau terjatuh sehingga ke leher lalu menyebabkan leher bayi terbelit dan tak boleh bernafas.
Maka terpulanglah kepada ibu bapa sama ada hendak meneruskan minat untuk memakaikan bayi mereka aksesori kepala atau tidak.
Jangan terlalu teruja dengan pujian rakan-rakan tentang kecomelan anak anda apabila memakai aksesori kepala.
Sebenarnya apa yang lebih penting adalah keselamatan nyawa dan keselesaan si manja berbanding penampilannya apabila dipakaikan aksesori kepala.
Baca juga artikel lain: Suka Dandan Bayi, Pakaikan Barang Kemas Headband, Tapi Bila Doktor Periksa Rupa-Rupanya
Pertimbangkan 6 Risiko Ini Jika Anda Suka Pakaikan Headband Pada Bayi Perempuan
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buli ‘Membunuh’ Jiwa Anak Kecil. Ibu Ayah Kena Didik Anak Jangan Jadi Pembuli Kawan-Kawan!

Perbuatan buli boleh ‘membunuh’ jiwa anak kecil yang menjadi mangsanya. Mereka menyimpan perasaan sedih, rendah diri dan takut di dalam hati bertahun-tahun lamanya.
Tanpa sedar rupanya ramai kanak-kanak menderita emosi akibat dibuli oleh kawan-kawan atau ahli keluarga sendiri.
Kita mungkin beranggapan ia sekadar gurauan lucu mengusik seseorang tetapi yang menjadi mangsa menganggap ejekan tersebut sebagai satu perkara yang menghiris jiwa dan emosi mereka.
Perkongsian bermakna daripada Akhi Fairuz sebagai Penceramah di sekolah yang melalui sendiri pengalaman mendengar luahan hati anak mangsa buli patut dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa agar dapat mendidik anak masing-masing supaya tak jadi seorang pembuli!
Pengakuan Mangsa Buli Yang Memeranjatkan
“Kawan-kawan selalu ejek saya. Dia orang panggil saya ‘keling’.” Adik perempuan yang berkulit hitam manis berkenaan menangis. Tak mampu lagi beliau menahan air mata.
Seorang demi seorang tampil ke depan untuk confess pengalaman menjadi mangsa buli kawan-kawan. Semua jenis buli, baik buli fizikal seperti tolak, tumbuk, sepak, terajang, mahupun buli berbentuk mental dan emosi.
Makin ramai yang meluahkan, hati aku makin panas. Kurang ajar budak-budak yang suka mengejek ni. Baru 10 dan 11 tahun, tapi perangai melampau sangat. Siap kau orang nanti aku kerjakan!
Kemudian, seorang pelajar perempuan yang lain pula ke depan. Belum bercakap lagi, air mata dan mengalir.
“Saya sedih sangat. Kawan-kawan selalu ejek ayah saya yang tak ada sebelah kaki.”
Aku tak tahan dah. Terus aku cakap pada semua pelajar, “kurang ajar betul! Kau yang buli dia ni rasa puas hati ke sekarang? Seronok tengok kawan menangis sebab kau?”
Tak apa. Bebel panjang last nanti. Sekarang aku bagi mangsa buli luahkan dahulu.
“Kawan-kawan ejek pekerjaan ayah saya. Ayah saya miskin, dia nelayan.” Budak lelaki yang berkongsi mengalirkan air mata juga.
Niat nak bebel di akhir confession dibatalkan.
“Maaf cakap, yang ejek bapak dia ni nelayan, kau ikut perangai iblis dan syaitan ke? Kau tak ingat ke apa yang aku cakap awal tadi? Sah-sah iblis tu kena halau dari syurga sebab sombong, rasa diri lebih mulia dari Nabi Adam! Celaka betul perangai!
Sekarang kau nak tiru perangai iblis ya?”
Aku hentam cukup-cukup. Aku nak budak-budak yang suka membuli ni insaf. Mereka ingat mengata kawan ni benda biasa, namun tidak bagi si mangsa. Mereka simpan benda ni bertahun-tahun.

Betapa Ramainya Mangsa Buli
Cikgu yang bersama dalam program ni pun terkejut dek banyaknya pelajar datang ke depan meluahkan pernah menjadi mangsa buli kawan-kawan. Tambah-tambah, yang confess ni terlihat pendiam di dalam kelas.
Bukan sekadar pelajar Melayu, semua kaum mengadu pernah dibuli kawan. Baik cina, india, bahkan pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak pun dibuli juga.
Yang paling ramai mengadu adalah, nama ayah diejek. Aku faham, hal ejek nama bapak ni dah lama. Namun, aku kira, selagi ia menyebabkan mangsa menangis dan trauma, aku perlu berbuat sesuatu.
30 minit aku peruntukkan untuk adik-adik ni datang ke depan. Hampir 20 orang yang confess. Semuanya menangis.
Amaran Untuk Si Pembuli
Habis je semua, aku terus warning budak-budak yang membuli,
“Kau dengar sini kaki-kaki buli. Selama ni ada kau peduli hati kawan yang dihina, diejek, dimaki hamun semua ni? Kau mana rasa, sebab kau tak pernah tanya.
Mak bapak mereka ni hantar anak-anak untuk belajar di sekolah. Tapi bila sampai di sini, kau hina anak mereka. Kau tahu ke ada pelajar yang sampai bunuh diri sebab kena kutuk dengan kawan?
Nak jadi seorang pembunuh?
Bro ucap terima kasih banyak-banyak pada adik-adik yang berkongsi hari ini. Terbukti kalian anak-anak yang hebat. Bukan senang nak luahkan sesuatu yang dah tersimpan lama dalam diri.”
Makin lama, makin aku tinggikan suara. Tak boleh biarkan budaya sebegini wujud lagi. Aku hentam sungguh-sungguh.
Akhirnya, si pembuli tewas. Terus sahaja mereka menangis. Teresak-esak.
Aku tahu sangat siapa budaknya. Maklumlah, masa budak-budak ni menangis kat depan, dia siap cakap, “dah besar-besar pun menangis.”
Grrrrrr.
“Saya nak semua yang pernah sakitkan hati kawan, hina nama bapaknya, hina namanya juga, hina pekerjaan ayah, pergi datang pada individu tersebut, minta maaf. SEKARANG!”
Mereka bangun perlahan-lahan.
Terus menghampiri pelajar yang dibulinya.
Aku dengar juga suara-suara mereka. Walau tak pandai menggunakan intonasi penyesalan, tapi tetap menyebut ucapan, “aku minta maaf.”
Rakan-rakan yang dibuli pantas menjawab, “ok ok. Tak apa.”
Ingatan Mesra Untuk Ibu Bapa!
Tuan puan yang saya kasihi.
Maaf, post ini agak beremosi. Dan itulah emosi saya saat mendengar pengakuan anak-anak di sekolah rendah. Mereka memendam hal ini bertahun-tahun. Yang dibuli dari tadika pun ada. Tak ada siapa yang faham dan cuba memahami mereka.
Alhamdulillah, dalam program ini mereka meluahkan segalanya. Selepas habis program, seorang pelajar mesej saya di instagram,
“Thank you. I really all ways got bullied my whole life but when you came, you helped me and many other people get courage. I even kicked by a boy give times on the leg and he called me a bad name but all my other friends who were girls helped me.”
Mashaallah, syukur kepada Allah.
Puan, Tuan tolonglah berbuat sesuatu kepada anak-anak. Tolonglah pesan pada mereka jangan hina pekerjaan bapak kawan, kutuk namanya, ejek nama bapaknya, rasis, mencarut dan buli berbentuk fizikal kepada kawan di sekolah.
Kalaulah tuan puan berada di tempat saya ketika saat anak-anak ini meluahkan, pasti kau orang akan menangis. Tak sangka, anak kecil seusia 10 dan 11 tahun dalam proses ‘membunuh’ jiwa kawan-kawan seusianya.
Lagi satu, tolong jaga tutur kata di hadapan anak-anak, jangan kau orang pun 2 kali 5. Anak tu dok tiru je apa yang kau cakap dan buat.
Jika anak-anak tuan puan bukan yang dibuli, tolong sangat-sangat bertanya khabar. Ada tak kawan-kawan ejek, ambil barang persekolahan, tarik kerusi masa nak duduk, hina fizikal dan lain-lain. Jika ada, tuan puan harus bertindak. Saya takut hal ini menjadi serius.
Buat guru-guru, jika ada anak didik kalian mengadu diejek kawan, tolonglah bantu. Janganlah cakap, alah, dia bergurau je, atau biasalah kawan-kawan atau apa sahaja jawapan yang ‘membunuh’ terus jiwa ini. Percayalah, selepas ni kalau berlaku lagi pembulian, kanak-kanak ini akan mendiamkan diri. Bayangkan, memori ini mereka simpan sampai ke besar.
Tolong sebarkan mesej ini kepada semua ibubapa di Malaysia.
Anak orang lain, anak kita juga.
Akhi Fairuz Al-Jengkawi
#TukangCeramahBudakSekolah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


