Wanita kerdil dari Kampung Pengkalan Ajal di sini yang sebelum ini tular kerana kisah perkahwinannya, selamat melahirkan bayi sulung seberat 2.35 kilogram, Jumaat lalu.
Syakila Norazma Amira Zuharsema, 28, berkata, cahaya mata lelakinya, Muhammad Ayden Adrian Muhammad Azri dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada pukul 1.47 petang.
Jangkaan bersalin sepatutnya 25 Februari
Katanya, proses kelahiran itu terpaksa dibuat sebulan lebih awal atas nasihat doktor demi keselamatan ibu dan anak.
Ads
“Tarikh jangkaan bersalin adalah pada 25 Februari ini, tetapi disebabkan keadaan fizikal saya yang cuma berketinggian 118 sentimeter, maka boleh memberi risiko kepada bayi dalam kandungan.
“Walaupun bersalin lebih awal, tetapi, saya bersyukur kerana anak saya tiada apa-apa masalah kecuali penyakit kuning,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Syakila Norazma Amira, kelahiran Muhammad Ayden Adrian menguatkan lagi kasih sayangnya dan suami, Muhammad Azri Zaidi, 20, sekali gus berharap bayi mereka dapat membesar dengan sihat.
Ads
“Semasa kisah perkahwinan saya tular, macam-macam komen diberikan warganet termasuk soal mengandung dan bersalin hanya disebabkan saya kerdil.
“Bagi saya, tiada apa yang mustahil dengan izin Allah SWT, malah, kami berdua cukup bahagia dengan kehadiran cahaya mata ini,” katanya.
Ads
Syakila Norazma Amira dan suami berkahwin pada 18 Mac 2021 selepas berkenalan menerusi permainan dalam talian sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang ibu hanya mampu melihat tujuh anaknya rebah seorang demi seorang dalam keadaan mulut berbuih dan berdarah kurang sejam selepas menikmati sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun dalam kejadian pada Isnin minggu lalu di kediamannya mereka di Kampung Nyiur, Dungun, Terengganu.
Menurut laporan Sinar Harian, ibu kepada lapan anak, Nurul Musfirah Ghazali, 32, itu berkata, dia langsung tidak tahu cendawan yang tumbuh di kebun di sekitar rumahnya adalah spesies cendawan beracun.
Dia memetik cendawan tersebut sebelum digoreng bersama sayur kangkung dan kacang sebagai salah satu menu makanan tengah hari mereka sekeluarga.
“Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena, terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut, rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah, suami, Muhammad Nurhadi, 36.
”Dalam keadaan tidak bermaya, kami mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek, ada yang mulut berbuih dan keluar darah. ALLAH saja yang tahu perasaan saya pada masa itu,” katanya.
Menurutnya, semua yang ada di dalam rumahnya menjamah menu tersebut kecuali anak yang paling bongsu, berusia setahun sebulan.
Menurut Nurul Musfirah, sebelum ini dia memang pernah ternampak spesies cendawan berkenaan yang tumbuh di kebun sayurnya, namun tidak pernah terlintas untuk memetiknya.
Bagaimanapun, pada hari kejadian, dia langsung tidak rasa ragu-ragu, lalu memetik dan memasaknya.
Beritahunya lagi, dalam keadaan lemah dan muntah-muntah, suaminya tetap menggagahkan diri memandu van membawa mereka sekeluarga ke klinik Kesihatan Paka, di sini untuk mendapat rawatan.
Sementara itu, menurut kakak kepada Nurul Musfirah, Nurul Annisa Ghazali, 41, tujuan asalnya dia berkongsi kejadian yang menimpa keluarga adiknya itu di laman sosial sebagai peringatan untuk orang ramai.
Dia hanya mengetahui kejadian menimpa keluarga adik perempuannya selepas dimaklumkan oleh bapa mereka.
Nurul Musfirah turut menghantar sekeping gambar cendawan tersebut kepada keluarga mereka.
“Sejurus ayah melihat gambar cendawan itu, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan cendawan itu beracun, memang tak boleh makan.
“Saya pun agak pelik dengan adik kerana sebelum ini dia memang akan tanya kami sebelum nak makan sayur yang dia tak biasa makan, tetapi kali ini tidak,” ujarnya.
Kesemua anak-anak mereka yang berusia antara 13 hingga empat tahun sudah dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih perlu mendapatkan rawatan susulan.
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cinta sehidup semati! Siapa sangka janji temu untuk pemeriksaan kandungan isteri merupakan hari terakhir buat pasangan suami isteri ini dan bayi dalam kandungan apabila meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Menurut laporan Berita Harian, arwah Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, dan isteri, Nur Ain Kamarulzaman, 25, dilanggar oleh sebuah kereta Perodua MyVi yang dipercayai hilang kawalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi (14 Mei) itu di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah, motosikal yang ditunggang suami tiba-tiba dilanggar sehingga kedua-duanya tercampak.
Lebih menyedihkan, Nur Ain dimaklumkan sedang hamil tujuh bulan dan sebenarnya dalam perjalanan dari Taman Rakyat Kuala Ina, Tampin ke Hospital Melaka untuk menghadiri janji temu dengan pakar perubatan di hospital berkenaan.
Kereta hilang kawalan masuk laluan bertentangan
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata, kenderaan pemandu MyVi, dimiliki seorang lelaki berusia 34 tahun, dipercayai hilang kawalan.
Disebabkan itu, kenderaannya berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri tersebut.
Suami meninggal tempat kejadian, isteri meninggal di hospital
Akibatnya, suami isteri tersebut tercampak beberapa meter dari motosikal dan Mohd Hairawi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Nur Ain yang ketika itu masih hidup segera dikejarkan ke Hospital Tampin. Namun, dia dan kandungannya disahkan meninggal ketika dirawat di hospital kira-kira jam 12 tengah hari.
Mengandung anak pertama
Difahamkan, bayi yang dikandung Nur Ain merupakan zuriat mereka yang pertama dan arwah masih belum mengetahui jantina bayi.
Siasatan mendapati cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Anak pembawa rezeki dalam keluarga. Zaman mak ayah kita dulu-dulu jika anak ramai orang tak akan bercakap tetapi sebaliknya akan rasa meriah dalam rumah. Namun hari ini, bila suami isteri mempunyai anak ramai, mulalah ada yang cakap di belakang.
Walau apa pun pendapat, hanya pasangan suami isteri itu saja yang tahu. Hormati setiap pendapat orang lain. Apa yang penting amanah yang diberikan ini perlulah dijaga dan dibesarkan sebaik mungkin agar semua anak-anak menjadi soleh dan solehah. Bagaimana kita nak mencorakkan anak-anak semuanya dari acuan ibu bapa sendiri.
Melalui perkongsian Puan Wan Nurul Melissa, 35, yang mempunyai 10 orang anak dan masih berpantang anak yang ke 10 selepas dilahirkan 22 Julai lalu, kehadiran anak-anak ini dianggap rezeki buatnya dan suami.
“Sebenarnya ramai tak sangka saya ibu kepada 10 orang anak (7 lelaki dan 3 perempuan). Di usia yang masih muda dan dengan keadaan sekarang ini, pergi mana-mana pun bila orang lihat saya bawa anak-anak yang masih kecil ada yang tanya anak sendiri atau anak buah.
“Bila jawab anak sendiri mereka tak percaya tapi bila terangkan baru mereka faham,” katanya.
Kahwin usia 20 tahun
Wan Nurul Melissa berkongsi, dia berkahwin ketika usia 20 tahun manakala suami 21 tahun. Dapat anak setahun kemudiannya.
“Asalnya kami tak plan nak berapa anak kerana suami seorang saja yang bekerja dan saya pula suri rumah saja.
“Namun betullah orang kata, bila kita melahirkan anak ni setiap dari mereka pembawa rezeki yang tak disangka. Dari saya tak bekerja lepas kehadiran anak-anak saya dapat buat bisnes online dan kini sepenuh masa buat bersama suami.
“Sekarang usia anak-anak 14, 11, 9, 8, 6, kembar (4 tahun), 2 tahun lebih, 1 tahun lebih dan yang ke-10 dalam pantang.
“Sebenarnya saya juga pernah keguguran sebanyak 3 kali. Kalau semua ada sekarang dah 13 orang anak,” katanya.
Seronok anak ramai
Wan Melisa menyatakan memandangkan dia pun mempunyai 9 beradik dan dari keluarga besar, bila anak ramai lagi seronok. Manakala suami pula ada 4 beradik dan mempunyai kembar.
“Masa mula-mula nak jaga anak ramai memang rasa susah, tapi alhamdulillah Allah sangat mempermudahkan urusan saya dan suami. Anak-anak seolah faham dan mereka jarang nak buat perangai.
“Saya bersyukur dengan membuat bisnes online ni dalam masa sama dapat tengok dan pantau anak-anak. Kami suami isteri bergilir jaga dan pembantu pun akan datang pagi, petang balik,” katanya.
Sentiasa ada jadual harian
Tak dinafikan anak ramai dan masih kecil memang penat. Jadi sebagai ibu saya memang dah tahu nak urus masa. Mula dari bangun pagi hingga nak tidur malam semua dah ada jadual.
“Kadang-kadang suara terkuat tu biasa. Tapi anak akan faham sendiri sebelum saya marah. Bagi saya juga ada anak ramai ni mak akan jadi awet muda. Sebabnya sentiasa melayan karenah anak-anak dari pagi sampai malam.
“Buat masa ini, kami akan fokus dan besarkan dulu 10 orang anak. Jika ada rezeki lagi Allah nak bagi kami tak menolaknya,” katanya.
Fasa mengandung mudah, bersalin normal
Wan Melissa menambah, dia bersyukur sepanjang mengandung tiada alahan teruk. Cuma dalam trimester pertama saja alahan. Selepas itu dia kembali cergas dan boleh urus anak macam biasa.
Begitu juga melahirkan anak, semua 10 anak saya lahirkan secara normal dan mudah. Macam anak yang ke-10 ini saya lahirkan ketika usia kandungan 38 minggu dan hanya mengalami kontraksi ringan sahaja.
Syukur anak-anak sentiasa menyenangkan
Tambah Wan Nurul Melissa lagi, anak-anak yang dah besar seolah faham dan akan sama-sama melakukan kerja rumah dan menjaga adik-adik.
“Saya juga sangat bersyukur mempunyai anak yang senang dan dengar cakap. Masing-masing dah faham apa perlu buat. Contoh lepas main, makan semua kena kemas. Anak-anak ni bila dah terbiasa dengan disiplin automatik mereka akan faham dan ingat sampai bila-bila.
“Lagi satu, ikatan kekeluargaan antara kami sangat kuat kerana suami sentiasa ingatkan walau apa pun berlaku, masing-masing kena sayang dan sentiasa bertolak ansur satu sama lain.
“Percayalah bila kita yakin dengan perancangan Allah, rajin mencari rezeki dengan niat untuk membahagiakan keluarga, semua itu dipermudahkan,” kongsinya.
Kredit: Wan Nurul Melissa
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!