Perkembangan fizikal motor kasar dan halus anak 3 tahun amat pesat. Pada usia ini, si kecil mengalami peralihan daripada anak kecil kepada kanak-kanak yang semakin suka berdikari.
Daripada suka bermain sendirian, kini mereka lebih tertarik untuk berkawan dengan orang sekeliling. Berikut adalah perkembangan yang biasanya dicapai oleh si manja tiga tahun yang boleh dijadikan panduan kepada mama dan papa.
MOTOR KASAR
Seiring dengan pertumbuhan tubuhnya, anak berusia tiga tahun juga semakin menguasai pergerakan dan motor halus seperti di bawah;
Ads
Boleh mengayuh mainan beroda seperti basikal roda tiga (atau basikal dengan tara penyokong) dengan perlahan di atas permukaan lantai yang rata.
Boleh menyeimbangkan badan dengan baik. Hal ini meningkatkan keyakinan dirinya untuk berjalan pantas dan berlari.
Boleh mendaki cenuram atau batas kecil.
Boleh melompat daripada anak tangga kedua ke bawah dengan kedua-dua kaki.
Boleh berdiri dan berjalan dengan hujung kaki untuk beberapa saat tanpa memijak menggunakan tapak kaki.
Boleh menari apabila dipasang lagu rancak dengan cara meliukkan tubuh dan menggoyangkan kaki dan tangan.
Naik ke kerusi makan sendiri dan mampu mengubah kedudukan untuk mendapatkan posisi yang selesa.
Giat meneroka permainan di taman permainan.
Suka melompat di atas trampolin atau tilam spring.
Boleh naik dan turun tangga seperti orang dewasa dengan berpegang kepada rel.
Berupaya menyepak dan menangkap bola.
Cuba melakukan pergerakan fizikal yang melibatkan dua perkara dalam satu masa seperti membawa buku sambil menaiki tangga dengan memegang.
Boleh melompat walaupun tidak tinggi dengan sebelah kaki sebanyak dua atau tiga kali dengan memberikan tumpuan pada setiap lompatan.
Ads
MOTOR HALUS
Kemahiran motor halus si kecil termasuk kemahiran koordinasi tangan-matanya. Berikut ialah antara perkara yang boleh dilakukan oleh si manja tiga tahun yang
Ads
Memegang objek tanpa goyang dan mengalihkannya dengan cara menggenggam tanpa jatuh.
Berupaya membina menara kecil menggunakan kiub pembinaan (kira-kira lapan hingga sembilan kiub)
Menggunting kertas bersaiz besar.
Boleh menyalin dengan tepat atau melakar garisan yang membentuk huruf-huruf secara samar-samar.
Boleh memegang sudu dan garpu serta cawan sendiri.
Boleh mengadun menggunakan senduk, menggelek doh biskut dan menerap biskutmenggunakan acuan.
Mula menyukai aktiviti yang melibatkan objek lebih kecil seperti jigsaw puzzle, bermain manik dan sebagainya.
Tangannya berupaya menggunakan kayu pencanai untuk mencanai doh tanah liat.
Boleh membuka butang bersaiz besar.
Boleh memegang berus giginya ke arah mulut ketika memberus gigi (apabila anda menunjukkan cara yang betul kepadanya).
Sekiranya dia masih tidak menunjukkan perkembangan yang sepatutnya, mama dan papa boleh lah melakukan aktiviti rangsangan dan sensori yang bersesuaian menerusi alat permainan atau bermain di taman permainan. Rujuk kepada doktor sekiranya anda merasakan si kecil tidak menunjukkan kemajuan fizikal yang tidak selari dengan usianya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tip ajar anak umur 2 tahun bebas pakai lampin, boleh cuba cara ahli terapi cara kerja ini kongsi. Bukan mudah sebenarnya mengajar dan melatih anak-anak untuk bebas memakai lampin. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya melakukannya dengan baik.
Tidak dapat dinafikan memang agak mencabar melatih anak-anak ‘melupakan’ lampin tidak kiralah lampin kain atau pun lampin pakai buang. Tidak semua anak-anak boleh melalui fasa latihan ini dengan cepat.
Ada banyak kebaikan kepada anak-anak yang sudah tidak lagi memakai lampin. Satu fasa penting dalam proses perkembangan anak-anak adalah latihan ke tandas. Perkembangan emosi dan sosial mereka akan menjadi lebih baik.
Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Journal of Pediatric Urology pada tahun 2002, kebanyakan anak yang lewat bebas lampin akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing. Untuk kesan jangka panjang pula mereka berisiko mengalami masalah usus.
Selalunya ibu bapa sudah boleh mula mengajar anak bebas lampin pada umur 2 hingga 3 tahun. Ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas lampin seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau hancing seluruh rumah, lebih baik ibu bapa tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas lampin:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.
6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai lampin dan mahu membuka sendiri lampin selepas ‘membuang.’
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk ‘membuang’ seperti selepas bangun tidur atau selepas makan.
Tanda-tanda di atas juga boleh digunapakai untuk anak berkeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza. Jika anak mempunyai tanda di atas, sudah tiba masanya ibu bapa mengajar anak-anak bebas daripada memakai lampin.
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas lampin. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang buka sahaja baju anak. Jika hendak ‘membuang’ wajib beri tahu jika tidak, mereka akan didenda. Hasilnya dalam sehari dua, anak-anak tidak perlu lagi memakai lampin.
Berikut teknik yang selalu digunakan oleh ahli terapi cara kerja untuk anak berkeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal.
1. Pilih sama ada hendak melatih anak menggunakan tandas terus ataupun guna ‘potty’.
Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Jika ibu bapa rajin gunalah ‘potty’ mungkin agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas hendak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang dilengkapi tangga.
2. Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu perkataan paling sesuai dan sebut setiap kali menukar lampin. Tunjukkan najis pada anak setiap kali anak ‘membuang’ dalam lampin.
3. Cerita sosial (Social Story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Ibu bapa boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,
“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang nak jadi macam Didi tak?” Ibu bapa boleh bercerita mengikut kretiviti masing-masing sambil membuat ekspresi muka bagi menarik perhatian anak.
4. Perhatikan tingkahlaku anak sebelum ‘membuang’ contohnya resah gelisah, ke hulu k ehilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.
5. Catat masa setiap kali anak ‘membuang’ selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.
6. Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi. Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.
7. Pakaikan lampin jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka.
Semua tip ini boleh mula dilakukan ketika umur anak setahun ke atas sebagai persediaan bebas lampin.
Ibu bapa boleh melatih anak bebas memakai lampin apabila sudah ada jadual masa, potty dan seluar dalam anak. Berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan.
Tahap pertama (masih memakai lampin)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus selepas bangun tidur, selepas makan dan sebelum tidur. Boleh juga bawa setiap 2 jam. Lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya ‘membuang’ di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas ‘membuang’ di dalam lampin, tunjukkan lampin basah kepada anak sambil menegaskan tidak boleh ‘membuang’ dalam lampin
5. Disarankan ibu bapa untuk fokus dan melatih anak-anak secara berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (pakai waktu tidur sahaja)
1. Ibu bapa boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan lampin.
2. Pakaikan lampin waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak lampin basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur. Jadikan rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas lampin)
1. Boleh mula kurangkan memakai lampin pada waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau hancing.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah. Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana hendak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar sudah pandai.
Ada yang seminggu sudah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Latihan ini perlu berterusan barulah cepat nampak kesannya. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Ketika melatih anak bebas lampin, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi ibu baoa perlu bukakan seluar dan jirus setiap kali anak hendak membuang,
Adakah anda jenis yang memakaikan anak kasut mengikut saiz betul atau ‘main sarung sahaja’ asalkan muat? Tahukah anda, terdapat bahaya jika si kecil tidak dipakaikan ukuran saiz kasut budak yang betul?
Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk penjelasan lebih lanjut.
Kepentingan ukuran saiz kasut budak yang betul
Kaki kanak-kanak, terutamanya bayi dan anak kecil sangat halus dan amat penting untuk menjaganya daripada awal.
Pemilihan kasut sesuai untuk anak adalah keputusan penting yang tidak boleh dipandang remeh.
Mempertimbangkan untuk membeli kasut dengan saiz yang betul berbanding fesyen adalah penting kerana ia memberi kesan kepada perkembangan kaki anak.
Kasut yang dapat dipakai dengan muat membolehkan perkembangan tanpa halangan serta membenarkan jumlah ruang dan sokongan sesuai untuk membantu kaki berkembang secara semula jadi.
Ramai kanak-kanak mengalami masalah kaki di kemudian hari kesan memakai kasut yang tidak betul saiznya! Kita semua hanya memilih sepasang kaki, jadi amat penting untuk menjaganya dengan baik.
Kasut yang tidak sesuai boleh menyebabkan hallux valgus – kecacatan kaki yang berlaku apabila ibu jari kaki mula condong ke dalam. Keadaan itu boleh menyebabkan ketulan bengkak betul-betul di bawah ibu jari kaki.
Oleh sebab itu, mendapatkan anak saiz kasut yang betul adalah penting ya wahai ibu bapa sekalian.
Cara membeli mengikut ukuran saiz kasut budak yang tepat
Berikut adalah tip membeli kasut yang boleh anda praktikkan:
#Beli kasut mengikut kaki yang lebih panjang
Kaki kanan dan kiri biasa mempunyai kepanjangan yang berbeza. Perbezaan sehingga ½ inci itu adalah perkara biasa.
#Jangan bergantung kepada label saiz pada kasut
Untuk pengetahuan anda, menjadi perkara biasa untuk pengeluar melabelkan kasut dengan saiz standard yang kita semua ketahui. Tetapi sebenarnya tiada standard wajib saiz kasut, maka setiap jenama akan berbeza-beza. Jadi pastikan anak mencuba setiap kasut untuk mendapatkan saiz yang bersesuaian.
#Ada ruang untuk kaki
Kebanyakan ibu bapa sedar kaki memerlukan ruang, tetapi kurang mengetahui jumlah sebenar yang diperlukan. Ruang tambahan optimum yang disarankan adalah lebih kurang ½ inci.
#Beli kasut pada penghujung hari
Kaki anak biasanya akan berada pada tahap paling besar (baca: membengkak) pada penghujung hari atau selepas acara sukan – waktu paling sesuai untuk mencuba dan membeli kasut.
#Pakai stoking sesuai
Semasa anak mencuba kasut, pastikan mereka memakai stoking yang sesuai. Sebagai contoh, jika ingin membelikan anak kasut bola sepak, pastikan mereka memakai stoking bola sepak.
#Ukuran saiz kasut budak secara berkala
Deria sentuhan bagi kanak-kanak biasanya belum berkembang sepenuhnya, jadi mereka mempunyai kecenderungan untuk ‘memaksa’ kaki masuk ke dalam kasut yang ketat. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk mengukur kaki anak setiap 2 bulan sekali.
Perkara perlu dielakkan semasa mendapatkan ukuran saiz kasut budak
Malangnya, terdapat juga ibu bapa yang masih menggunakan trick berikut untuk menilai kesesuaian kasut untuk anak:
Pegang kasut ke kaki
Caranya dengan menekap tapak kasut ke kaki untuk menganggarkan saiz kaki anak. Tetapi panjang di bahagian dalam kasut tidak boleh dianggarkan dari luar dan selalunya adalah lebih pendek daripada yang dijangkakan.
Ujian ibu jari
Biasanya ibu jari akan menekan hujung kasut untuk melihat berapa banyak ruang yang ada. Masalahnya anak secara refleks akan menarik jari kaki – seperti tergulung di bawah.
Kesannya anda akan menyangkakan terdapat ruang yang mencukupi walaupun hakikatnya kasut itu terlalu kecil.
Menggunakan ujian tumit untuk menilai ruang kosong pada bahagian belakang juga adalah serupa seperti ujian ibu jari. Ini kerana ramai kanak-kanak akan menolak kaki mereka ke depan.
Bertanyakan anak
Biasanya apabila anak mencuba kasut, sebagai ibu bapa pastinya anda akan bertanyakan, “Okay tak kasut ini?”. Walaupun pertanyaan itu menunjukkan anda prihatin dengan anak, namun malangnya jawapan yang diberikan mungkin salah.
Keadaan ini kerana biasanya saraf di kaki anak belum berkembang sepenuhnya dan kesedaran mereka tentang kesakitan tidak begitu jelas seperti individu dewasa. Jadi anak mungkin tidak pasti sama ada kasut itu sesuai atau tidak.
Ketepatan dalam mendapatkan ukuran yang betul adalah penting untuk mendapatkan saiz kasut budak yang bersesuaian bagi anak.
Pemilihan kasut budak
Kasut yang bersesuaian adalah penting untuk anak, bukan sahaja untuk kesihatan kaki tetapi juga perkembangan mereka secara keseluruhan.
Jika si manja sedang belajar berjalan dan bergerak, mereka sedang mengembangkan otot dan kekuatan di belakang badan dan kaki, sekali gus amat penting untuk melindungi kaki mereka.
Pastikan juga stoking dipakai anak juga adalah saiz yang sesuai mengikut kakinya. Ini kerana stoking yang terlalu ketat boleh menyebabkan masalah pada jari kaki mereka.
Kaki si kecil akan membesar dengan cepat pada tahun pertama kehidupan mereka. Jadi pastikan anda sentiasa memeriksa kasut mereka agar selesa untuk dipakai.
Justeru, adalah amat penting untuk mendapatkan bukan sahaja ukuran saiz kasut budak tepat tetapi juga sepasang kasut yang selesa untuk mereka pakai.
Kurang tidur boleh menejaskan perkembangan anak. Perkara ini penting dan tidak boleh dianggap remeh! Bayi dan kanak-kanak tidur lebih lama dan memerlukan tidur siang hari. Sama seperti keperluan nutrien dan aktiviti fizikal, tidur amat mustahak kepada perkembangan si manja. Jangan pandang ringan kepada keperluan ini kerana kekurangannya boleh mempengaruhi perkembangan otaknya.
Janin dalam kandungan tidur selama 16 hingga 20 jam sehari manakala bayi yang baru lahir akan tidur 16 hingga 17 jam sehari. Kebanyakan mereka tidak akan berada dalam keadaan jaga hanya dua hingga empat jam sehari pada minggu-minggu pertama kehidupan mereka. Rapid Eye Movement (REM) yang berlaku pada 60% hingga 80% dalam tempoh fasa tidur aktif menyaksikan aktiviti otak. Peratusan REM akan menurun seiring peningkatan usia. Ini menjawab kenapa bayi dan kanak-kanak tidur lama dan apakah kepentingannya kepada perkembangannya.
5 SEBAB TIDUR PENTING UNTUK MEREKA
1.Doktor percaya REM ini akan memberikan peluang kepada otak untuk ‘aktif’ menerima stimulasi dan selain daripada rangsangan melalui aktiviti sensori fizikal.
2.Tidur bagi kanak-kanak amat penting untuk perkembangan neural kerana ketika tidur, bahagian otaknya dirangsang.
3.Pada masa bukan fasa REM, tidur akan memberikan si manja rehat dan salah satu proses menyegarkan kembali tubuh.
4.Kajian yang dilakukan mendapati kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup boleh mengalami kurang mahir skil kognitif , hiperaktif, ADHD dan pembangunan neurologi terjejas.
5.Kanak-kanak yang mendapat tidur yang cukup akan menjadi lebih peka, cukup rehat, ceria dan bersedia untuk menerokai ilmu baru.
BERAPA LAMA ANAK PERLU TIDUR SIANG?
Selain tidur malam, tidur siang juga amat diperkukan oleh si manja. Apabila mula dilahirkan, bayi hanya menyusu dan tidur, itu sahaja rutin harian mereka. Bagi bayi yang berusia satu hingga enam bulan, mereka akan tidur siang sebanyak tiga kali dengan tempoh satu hingga dua jam setiap kali tidur.
Bagi si kecil yang sudah mencecah usia setahun, kekerapan tidur berkurangan kepada sekali sehari sahaja. Setelah mencecah usia lima tahun, mereka sudah jarang perlukan tidur siang kecuali kepenatan atau tidak mendapat tidur malam yang cukup.
7 TIP SUPAYA ANAK TIDUR LEBIH BAIK
Ada 7 cara boleh anda cuba supaya si manja boleh tidur dengan cara lebih baik.
1.Biarkan si manja tertidur sendiri.
2.Pastikan anda konsisten meletakkan bayi ke dalam katilnya pada masa yang sama setiap hari.
3.Tidur lebih awal daripada waktu si kecil selalunya mengantuk. Apabila dia sudah terlalu penat dan mengantuk, dia sukar untuk tidur dan lebih suka menahan matanya daripada tertidur. Apabila tidur, mereka juga lebh mudah terjaga.
4.Cipta rutin tidur untuk mereka dan ikutinya 100%. Lebih awal anak dilatih, lebih baik.
5.Jangan lupa tidur siang kerana ia akan memberikan kesan kepada 24jam berikutnya. Tapi pastikan tidur siang tidak terlalu dekat dengan waktu tidur utama.
6.Kalau boleh, elakkan susukan bayi dan kanak-kanak sehingga dia tertidur. Sediakan ruang yang selesa, bilik yang gelap dan senyap untuk membantunya tertidur sendiri. 7.Ada sesetengah ibu membedung bayi mereka kerana mendapati dengan membedungnya, bayi lebih mudah tertidur sendiri.
AKIBAT KURANG TIDUR KEPADA SI MANJA
Kekurangan tidur yang kronik boleh menjejaskan perkembangan mereka. Ia dikaitkan dengan masalah kekurangan Growth Hormone yang diperlukan untuk tumbesaran yang normal dan juga terhad penghasilan hormon Cortisol dan insulin.
Cortisol adalah hormon dikaitkan dengan tekanan manakala insulin pula mengimbang paras gula dalam badan. Kajian ada menunjukkan kekurangan kedua-dua hormon ini dan boleh mewujudkan masalah diabetes dan obesiti kemudian hari.
Kekurangan tidur yang kronik juga boleh menyebabkan masalah kelakuan atau behaviour problems dan juga perkembangan motor kasar dan halus. Dengan memahami keperluan tidur mengikut peringkat umur dan juga simptom-simptom seperti di atas kita boleh mengenali kanak-kanak yang berisiko untuk mendapat masalah kekurangan tidur.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keperluan bayi baru lahir yang wajib disediakan oleh ibu ayah sebelum kelahiran. Ketahui senarai lengkap barangan asas bayi termasuk lampin, pakaian, tempat tidur, penyusuan dan keselamatan.