Mula membersihkan mulut bayi beberapa hari pertama selepas lahir perlu untuk memastikan kebersihan mulut dijaga dari awal. Selepas menyusu, lap gusi bayi dengan tuala kecil yang bersih dan lembap untuk menanggalkan plak.
Ibu bapa perlu tahu kerosakan gigi boleh berlaku sebaik sahaja gigi tumbuh di dalam mulut. Satu keadaan kerosakan gigi yang serius di kalangan kanak-kanak kecil adalah “karies botol susu” yang berlaku apabila bayi itu dibiarkan menyusu secara berterusan dari botol susu, formula, air gula, atau jus buah-buahan semasa tidur atau pada waktu malam.
Sebagai ibu bapa, anda perlu jadikan rutin membersihkan gigi anak dan buang persepsi ‘baru gigi susu kalau rosak pun nanti tumbuhlah gigi baru’. Jika mentaliti ini ada dalam diri anda, bila dapat anak seterusnya pun anda akan fikir hal yang sama.
Ads
Jadi sebaiknya buat langkah ini untuk memudahkan anda membersihkan gigi dengan mudah.
• Mewujudkan rutin pembersihan mulut yang baik di peringkat awal usia.
• Menyelia pemberusan gigi kanak-kanak sehingga berumur enam tahun.
• Gunakan ubat gigi bersaiz kacang hijau untuk mengelak anak anda menelan secara berlebihan.
• Bagi membantu anak anda memberus gigi, berdiri di belakang mereka dan condongkan kepala ke atas supaya semua permukaan gigi boleh diberus menggunakan kaedah gosokan yang lembut.
Selain tip tersebut, anda mungkin boleh mencuba tip yang dikongsikan Lamy menerusi Kelab Soal Jawab Ibu & Bakal Ibu Comel yang menggunakan kayu sugi untuk membuang tompok putih di gigi anak.Saya nak berkongsikan pengalaman saya mengenai kayu sugi yang sangat berkesan menanggalkan kesan degil pada gigi anak saya. Anda boleh mendapatkan kayu sugi di kedai sensei atau di mana-mana kedai dan ianya sangat murah.
Ads
Saya beli sepaket (20 gram) berharga 50 sen sahaja. Sebelum menggunakannya, rendamkan kayu sugi dalam air suam selama 10 minit, kemudian gosokkan kayu sugi itu pada kesan degil di gigi anak anda.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Jahitan selepas bersalin sememangnya buat ibu trauma seketika walaupun diberikan ubat bius. Terasa ngilu yang berpanjangan pada kawasan faraj. Inilah yang menakutkan semua ibu. Namun bukan semuanya merasai jahitan ini, ada juga ibu bertuah yang berjaya melahirkan anak tanpa sebarang koyakan. Jahit pun tak!
Perkongsian ibu Farhain Azmi ini memang hebat. Dia sebelum ini melahirkan anak ketiganya yang kini berusia 4 bulan di rumah kerana tidak menyangka telah sampai waktu melahirkan.
Akhirnya suami disebelah menjadi peneman menyambut si comel. Paling hebat bersalin tanpa koyakan dan jahitan. Apa rahsianya? Ini yang dikongsikan olehnya.
TIPS MUDAH BERSALIN TANPA KOYAKAN DAN JAHITAN
Haritu kak yong ada buat post tentang pengalaman sendiri bersalin di rumah. Boleh klik link ini untuk baca.
Ramai yang minta share tips mudah bersalin tanpa ada koyakan dan tak perlu dijahit. Kebelakangan ni memang agak sibuk. Ini curi sikit masa untuk menaip. Amaran! Posting ni agak panjang tapi In shaa Allah semoga bermanfaat.
Pengalaman kak yong sendiri anak pertama bersalin normal dan melalui prosedur episiotomy. Nak kena jahit sikit je tapi ngeri bila terbayang jarumnya. Manakala anak kedua dan ketiga bersalin normal dan alhamdulillah tiada koyakan dan melalui proses jahitan.
Ini antara apa yang kak yong amalkan :
1. SENTIASA AKTIFKAN DIRI
Masa awal trimester mengandung je kakyong ada alahan mengandung. Masa ini balik kerja je tidur dan banyak berehat. Jarang buat kerja rumah. Tapi bila kandungan dah masuk 4-5 bulan camtu, memang kakyong aktifkan diri.
Sentiasa buat kerja rumah termasuk masak dan sempat lagi amik tempahan mooncake. Pergi kerja pula naik motor dan LRT. (Part naik motor tu kalau rasa kandungan lemah, jangan pula ikut ye). Banyak naik turun tangga di rumah dan pejabat, Maklumlah dok kuarters flat.
2. MINUM AIR KELAPA
Kakyong memang suka minum air kelapa. Sepanjang kehamilan, memang selalu minum. Ini terus terang mengaku taktau kebetulan ke apa, tapi kulit anak semua bersih je bila keluar.
3. AMALKAN MINUM MINYAK KELAPA DARA (VC0)
Kakyong guna minyak kelapa jenama D’Aura. Beli yang set. Ada yang kakyong sapu minyak di perut untuk kurangkan stretchmark, makan kapsul pil dan minum minyak kelapa dara tu.
Ramai orang nasihatkan amik masa kandungan 7 bulan ke atas kan? Kakyong bedal je makan kapsul tu dari kandungan 4 bulan. Dah masuk 7 bulan baru minum minyak kelapa dara. Tak salahkan kita ikhtiar?
4. AMALKAN MAKAN MAKANAN SUNNAH
Kurma antara contoh makanan Sunnah. Kurma banyak khasiat seperti membekalkan tenaga.
Nak bersalin tanpa koyak ni tips pentingnya kena ada tenaga yang cukup. Sekali teran je baby dah terus keluar. Selain dari makan kurma, boleh juga minum air rendaman kurma. Contoh malam sebelum tidur, rendam 3 biji kurma dalam segelas air masak. Pagi esok dah boleh minum.
5. URUTAN FARAJ/PERINEUM
Segan nak cerita hal ni. Tapi ini ilmu. Urutan faraj atau urutan perineum adalah urutan di kawasan antara kulit vagina dan dubur. Boleh google teknik urutan ni. Jangan risau untuk buat.
Boleh buat masa mandi. Kalau rasa susah, minta tolong suami. Kakyong buat sendiri la, ishh segan aih nak minta tolong suami. Hehe. Kandungan dah 8-9 bulan, boleh dah buat. Urutan ni mengurangkan risiko vagina terkoyak ketika meneran. Urutan ini baik sebab ia melatih kawasan perineum untuk meregang sebesar mungkin. Jadi, baby senang keluar.
6. AMALKAN MENGAJI DAN BERZIKIR
Antara surah elok untuk ibu mengandung surah Maryam, surah Luqman, surah Yasin, surah Yusuf dan surah Hujarat. Surah Maryam ni memudahkan urusan bersalin.
Lagi bagus kalau kita dapat baca satu al-Quran. Sekurang-kurangnya sehari sehelai muka surat. Mak selalu pesan kat kakyong, sentiasa baca doa nabi Yunus terutama ketika tengah tahan sakit kontraksi.
Doa Nabi Yunus. Surah al-Anbiya ayat 21:87
La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”
7. SENTIASA BERCAKAP DENGAN BAYI
Bayi dari dalam perut dia dah kenal suara ibunya. Jadi rajinkan bersembang dengan bayi. “Adik, umi tak sabar nak jumpa adik. Adik mesti comel dan sihatkan? Adik keluar baik-baik ye nanti.”
Sembang je apa-apa pun dengan anak dalam perut tu. Positifkan diri. Fikir kita nak lalui satu proses bersalin yang indah. Tak semua orang dapat melaluinya.
8. GUNAKAN TEKNIK MENERAN DENGAN BETUL • Berbaringlah dengan lutut berlipat dan kedua kaki dibuka. • Angkat kepala, dagu cecah dada. • Mata pandang perut (tidak digalakkan tutup mata) • Tangan pegang buku lali kaki • Masa teran jangan keluarkan suara. • Masa teran jangan angkat punggung. • Baca bismillah atau apa-apa doa yang terlintas difikiran. • Tarik nafas dalam-dalam, tutup mulut dan teran (bayangkan kita nak beri oksigen pada baby) (-sumber: google)
Ramai ibu mengandung terutama yang mengandung kali pertama risau, takut dan keliru dan cara meneran yang betul. Sebenarnya ini tips paling penting, silap cara teran keberangkalian akan berlaku koyakan.
Masa kakyong bersalin dalam bilik di rumah, walaupun dalam keadaan panik kak yong tetap ingatkan diri. Jangan sesekali angkat punggung dan kangkang seluas yang boleh sambil tangan pegang hujung buku lali kaki.
Bila dah sampai rasa baby nak keluar sangat-sangat ini, terus tarik nafas yang panjang dalam-dalam , rapatkan dagu dan pandang perut. Jangan menjerit, sebab bila banyak keluar suara tenaga kita akan makin berkurang. Kita jadi makin penat. Kawal pernafasan dan terus teran sekali je sampai bayi dah keluar.
Paling bagus jika anda dan pasangan menghadiri kelas antenatal. Sekarang ni dah banyak hospital kerajaan dan badan swasta yang anjurkan kelas sebegini. Ini sebagai persiapan awal untuk menyambut bayi. Kak yong dan suami pernah hadiri kelas antenatal di Hospital Kuala Lumpur semasa mengandung anak pertama.
Tips ni semua atas pengalaman dan amalan kak yong sendiri. Sebab tu ada tips yang orang lain guna, kak yong tak guna pun. Contoh makan telur ayam kampong mentah dan minum air selusuh. Tak lalu nak makan telur mentah-mentah. Air selusuh tu minum masa bersalin anak pertama je. Anak kedua dan ketiga tak minum pun, tapi yang ni la paling cepat bersalin berbanding anak pertama.
Takda isu saiz baby untuk bersalin normal dan tanpa koyakan. Anak kedua kakyong, Firas lahir 3.32kg. Zuhayra pula lahir 2.88kg.
Bersalin tanpa koyakan ni memudahkan kita bergerak (tetap kena jaga pergerakan), nak jaga senang, nak makan pun takda la kena pantang sangat . Pantang tetap kena pantang. Satgi hampa hentam kakyong pula. (ada orang katanya awal bersalin, tak elok makan ayam. Kakyong makan je sup ayam/ayam bakar). Alhamdulillah takda gatal.
Nak membuang pun senang. Ingat lagi bersalin anak ketiga, Zuhayra (Ala budak keluar dalam rumah tu) lepas bersalin terus turun tangga nak ke hospital untuk keluarkan uri pula. Sampai di katil, terus bagitau nurse nak terkencing. Pastu selamba bangun pi tandas, sampai nurse kena marah dengan kawannya sebab biar kak yong ke tandas. Risau agaknya kakyong pitam. Dah nak terkencing takkan nak kencing atas katil, tak selesalah.
Tak salah berikhtiar selagi tak memudaratkan diri. Lain orang lain caranya. Kak yong doakan ibu-ibu semua dipermudahkan urusan bersalin dan dapat merasai nikmat bersalin tanpa koyakan.
Jangan bersedih andai kata kalian melalui pengalaman bersalin normal dengan jahitan ataupun ceaser. Kalian tetap ibu hebat 🙂
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidung berair, kerap demam, selesema berulang dan masalah berkaitan usus adalah antara masalah yang kerap dialami oleh si kecil. Ada segelintir ibu bapa beranggapan ia adalah antara sebahagian daripada masalah biasa yang lazim dihadapi oleh kanak-kanak bersekolah dan/atau dalam jagaan pengasuh.
Namun begitu, perlu anda tahu bahawa bukan semua kanak-kanak mudah jatuh sakit. Apabila sistem imun berfungsi dengan baik, si kecil anda mampu melawan masalah-masalah kesihatan ini. Sistem imnunnya yang kuat juga akan membina benteng semula jadi untuk melawan penyakit ini.
Daripada sekadar mempersiapkan ubat demam, selesema dan batuk, terdapat beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk merangsang sistem imun si manja. Lakukan langkah-langkah agar anak anda dapat membina sistem daya ketahanan tubuh yang kuat.
1. Galakkan pemilihan makanan sihat
Nutrisi yang kurang berkhasiat, makanan yang boleh menimbulkan sensitiviti hingga menimbulkan alahan, mengandungi bahan tambahan dan pengawet serta terlalu banyak gula boleh mengganggu sistem imun lalu meyebabkan si kecil mudah terkena jangkitan penyakit tertentu.
Jadi, sebagai ibu bapa, anda perlu bantu si kecil memilih makanan yang sihat dan elakkan makanan rapu yang tidak berkhasiat. Beri dia pilihan makanan yang lebih baik seperti memperbanyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
2. Praktikkan amalan kebersihan yang baik
Galakkan amalan kebesihan diri yang baik kepada anak anda sejak daripada usia kecil. Dengan yang demikian, amalan ini akan dilakukan secara betreusan lalu dapat membantu tubuhnya membina sistem imun yang kuat.
3. Galakkan waktu tidur berkualiti
Bergantung kepada tahap umur, si kecil memerlukan 10 hingga 14 jam waktu tidur sehari. Bukan itu sahaja, kualiti tidur yang baik tanpa adanya gangguan adalah sangat penting untuk dititikberatkan.
4. Elakkan asap rokok pasif
Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kesan asap rokok pasif berbanding golongan dewasa. Hal ini kerana si kecil anda bernafas pada kadar yang lebih laju. Untuk itu, elakkan dia berada dekat dengan persekitaran yang diselubungi dengan asap rokok kerana ia berupaya mengganggu tahap kesihatan dan perkembangan otaknya.
5. Ambil snek berkhasiat
Terdapat sesetengah jenis makanan yang boleh menguatkan sistem imun. Usaha mengambil snek berkhasiat dalam jumlah yang seimbang setiap hari, membolehkan tubuh anak anda akan menjadi lebih kuat untuk melawan serangan jangkitan penyakit.
Antara yang boleh diberi ialah kekacang seperti badam atau walnut. Ia dapat memastikan dia memperoleh vitamin E, zink dan omega-3. Sama juga halnya dengan buah sitrus seperti oren, limau dan jambu batu yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan.
Jangan dilupakan tentang sayur berdaun hijau yang sememangnya penuh dengan nutrien dan aktioksidan seperti beta karotena dan vitamin penting lainnya. Ia boleh didapati daripada bayam, kubis, brokoli dan lain-lain. Yogurt pun dapat membantu anak anda kerana ia mengandungi bakteria baik iaitu probiotik. Dengan adanya bakteria baik di dalam usus, ia membantu tubuh melawan penyakit dan bakteria jahat.
6. Tambahkan dengan bantuan suplemen
Suplemen ternyata bagus dalam membantu menambahkan kekurangan dalam pengambilan makanan harian si kecil. Ia terbukti secara klinikal menggalakkan sistem imun. Contohnya Chewies Immunolicious Gummies yang membantu mengaurangkan deman dan selesema dengan menggalakkan sistem imun.
Setiap satu gummy penuh dengan 50mg Wellmune® iaitu yis beta glucan semula jadi yang menjadi pencetus imun manusia dalam melindungi tubuh.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Proses bertungku bagi wanita selepas melahirkan adalah amalan tradisional masyarakat Melayu semasa tempoh berpantang. Tetapi apakah kelebihannya dan bagaimana cara bertungku selepas bersalin ini dilakukan?
Keperluan bertungku selepas bersalin
Amalan bertungku ini umum adalah lebih kepada budaya Melayu, kerana jika diikutkan bangsa lain di Malaysia, tiada yang mengamalkannya. Ia biasanya dilakukan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai tempoh berpantang.
Tujuan bertungku semasa berpantang adalah untuk melancarkan darah, mengecut dan menaikkan rahim. Pada bahagian perut pula, ia memainkan peranan penting untuk membantu melangsingkan abdomen di samping menurunkan berat badan.
Manfaat bertungku selepas bersalin
Apabila bertungku, haba daripada batu yang dipanaskan dan ditekapkan di bahagian tubuh akan menyebabkan saluran darah pada kulit mengembang, sekali gus menjadikan proses peredaran darah bertambah baik.
Kesannya:
Jenis-jenis tungku
Adakah boleh menggunakan sebarang batu untuk bertungku ini? Jawapannya tidak. Ada beberapa pilihan tungku yang boleh digunakan.
Pertamanya, tungku besi yang didatangkan dalam bentuk bulat dan lonjong. Walau bagaimanapun, tungku besi bulat agak sukar digunakan untuk bertungku pada bahagian perut. Disebabkan itu, tungku besi lonjong lebih menjadi pilihan.
Manakala tungku batu biasanya menggunakan batu sungai. Kelebihan penggunaan tungku jenis ini adalah ia dikatakan kurang menyakitkan sekiranya digunakan dengan cara yang betul ketika proses bertungku.
Pilihan tungku lain adalah tungku herba yang dihasilkan daripada pasir sungai atau batu kecil yang dikeringkan untuk tahan lebih lama.
Tungku ini juga dimasukkan dengan pelbagai jenis herba seperti jintan hitam, halba, serai wangi dan lain-lain.
Cara bertungku selepas bersalin
Bagi ibu selepas melahirkan anak, amalan bertungku dipercayai dapat merawat rahim dan organ badan lain.
Biasanya tempoh untuk bertungku selama 45 minit dilakukan ibu selepas berurut pada awal pagi dan petang.
Bagaimana caranya?
Batu tungku yang hendak digunakan perlu dipanaskan terlebih dahulu untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.
Kemudian, batu tunggu yang telah dipanaskan perlu dibalut dengan beberapa lapisan kain yang dilapik dengan daun mengkudu.
Kenapa daun mengkudu?
Daun ini dipilih kerana bau wangi yang terhasil semasa bertungku dapat memberikan ketenangan.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan daun sirih, daun kunyit hitam, pandan, lengkuas atau serai wangi.
Penting untuk memastikan balutan pada batu, diikat dengan rapi pada bahagian hujungnya supaya tidak terburai.
Bagi ibu bersalin normal, amalan bertungku ini boleh dimulakan seawal hari ke-3 selepas melahirkan anak sehingga hari ke-44. Ia juga boleh diteruskan selepas tempoh itu.
Untuk wanita yang melalui proses bersalin secara pembedahan caesarean, anda harus bersabar kerana perlu menunggu luka czer sembuh sepenuhnya sebelum menjalani rawatan bertungku ini.
Bahagian perlu bertungku selepas bersalin
Peraturan penting semasa bertungku adalah ia perlu dilakukan ketika ibu sedang berbaring.
Adakah semua bahagian tubuh perlu bertungku?
Tidak. Berikut dikongsikan antara kawasan tubuh yang perlu menjalani proses bertungku ini:
Bahagian peranakan
Kawasan ini perlu ditungku bagi mengecutkan peranakan yang membesar semasa mengandung tetapi ia perlulah dilakukan dengan berhati-hati.
Cara bertungku untuk menaikkan bahagian peranakan ini perlu dibuat daripada bawah perut. Ia dilakukan dengan menolak batu tungku dari bawah ke atas dan mengikut arah jam.
Elakkan daripada meletakkan batu tungku di atas pusat atau perut.
Sekitar buah dada, ketiak juga perlu bertungku selepas bersalin
Bahagian lain yang terlibat adalah dada, ulu hati, ketiak dan belikat.
Tekapkan dengan perlahan-lahan pada bahagian dada supaya darah mengalir dengan baik. Ini untuk membolehkan susu ibu keluar dengan lancar.
Selepas itu, tungku dibawa ke bahagian ulu hati. Bertungku pada kawasan ini dapat membantu memecahkan angin di bahagian perut dan ulu hati.
Kemudian beralih pula ke bahagian ketiak kanan serta kiri. Akhir sekali barulah proses bertungku dilakukan di bahagian belikat kanan dan kiri untuk beberapa minit.
Di bahagian leher
Pada bahagian tubuh ini, batu tungku diletakkan seperti bantal di bawah leher. Tujuan bertungku pada kawasan ini adalah untuk memulihkan perjalanan darah ke bahagian kepala dan leher.
Cara bertungku selepas bersalin di bahagian bawah pinggang
Selain bahagian tubuh di atas, ibu selepas beranak juga perlu bertungku pada betis, paha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki.
Anggaran masa untuk bertungku pada bahagian bawah pinggang ini adalah antara 15-20 minit.
Jika batu tungku yang digunakan bulat atau bujur, terdapat 2 pilihan menungku pada bahagian tapak kaki boleh anda lakukan, iaitu:
Namun semasa melakukan amalan bertungku ini, haruslah tidak melebihi 30 minit pada satu-satu bahagian tubuh. Kenapa? Ini kerana dipercayai jika terlalu lama, saluran darah boleh mengecut.
Selain daripada ibu selepas beranak, sesiapa sahaja boleh mengamalkan bertungku ini. Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada anda. Selamat bertungku!
Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!