Pernah terfikir tak saat anda membaca buku dengan si kecil, kenapa anda perlu membacanya dengan kuat? Sebenarnya ia berkaitan dengan manfaat tumbesaran anak. Katanya, ini juga merupakan teknik mengajar anak membaca yang betul.
Jom ketahuinya dengan lebih lanjut.
Teknik mengajar anak membaca buku
Anda masih tercari-cari kaedah atau cara untuk mempertingkatkan penggunaan tatabahasa anak?
Dalam masa yang sama anda ingin memupuk nilai moral dan pengajaran dalam kehidupan si manja, jadi sudah tentu membaca adalah jawapannya.
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa membaca buku bersama si kecil memberikan pelbagai manfaat.
Ia dapat membantu mereka dalam aspek perkembangan sosial seperti belajar bercakap, berinteraksi serta meningkatkan kemahiran bahasa.
Selain akan mengeratkan hubungan dengan ibu bapa, tabiat mengajar anak membaca sedari awal usia juga dapat menjadikan mereka untuk lebih memahami dunia di sekeliling dan memiliki sifat jati diri.
Dalam kajian lain berkaitan tabiat ini, turut menyatakan bahawa masa yang diluangkan bersama anak juga dapat mengekang sebarang tingkah laku agresif, hiperaktif dan kesukaran untuk fokus.
Perlu ke membaca buku dengan kuat?
Membaca merupakan 1 bahagian penting dalam aspek perkembangan dinamik manusia.
Melaluinya, kita bukan sahaja belajar untuk berkomunikasi dan memperolehi ilmu pengetahuan, tetapi kita turut dapat pelbagai kemahiran dan manfaat lain.
Namun, adakah anda tahu sebenarnya terdapat kelebihan jika anda sebagai ibu bapa membacakan buku kepada anak-anak dengan suara yang kuat. Haa…tapi janganlah sampai terpekik terlolong, itu dah lain.
Kuat dalam konteks ini maksudnya dengan nada suara yang jelas dan bukan sekadar berbisik.
Lebih elok lagi jika anda dapat menunjukkan mimik muka atau melakukan perubahan nada suara seiring dengan watak dalam buku yang dibaca. Sudah tentulah ia dapat menarik minat si kecil, bukan?
9 manfaat membaca dengan kuat
Ads
Tabiat mengajar anak membaca bukan sekadar untuk menarik minat si kecil untuk mendengar anda membaca semata-mata, sebenarnya ada banyak manfaat dan kebaikan lain.
Jom ketahui 9 manfaat membaca buku dengan kuat.
Membantu perkembangan anak
Tabiat membaca dengan kuat kepada anak-anak seharusnya dimulakan selepas anak dilahirkan. Ia merupakan 1 cara terbaik untuk membiasakan si kecil yang baru lahir dengan suara anda.
Semakin mereka membesar, mereka akan memerhatikan anda saat anda membaca dengan menggerakkan mata dari kiri ke kanan sambil menggunakan mulut dan suara untuk memverbalkan apa yang tertulis di dalam buku.
Sementara anda membacakan buku kepadanya, tanpa disedari si kecil sedang memerhatikan anda.
Secara tidak langsung, mereka belajar beberapa kemahiran asas mengenai apa itu membaca. Bukankah itu satu manfaat yang baik?
Mempertingkatkan kemahiran bahasa
Untuk belajar bahasa baru, pertama sekali adalah untuk mendengarnya. Biasanya, perkataan yang kita gunakan dalam percakapan harian sangat terhad dan cenderung digunakan secara berulang kali.
Jadi saat anda bercerita dan membacakan buku kepada si kecil, ia merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan perkataan baharu.
Oleh itu, manfaat yang diperolehi adalah dapat membantu menambah perbendaharaan kata si kecil.
Lebih banyak perkataan baharu yang diketahui si kecil pastinya lebih baik. Ia bukan sahaja membantu mengenali perkataan baharu tetapi turut membolehkan si kecil untuk mengekspresikan dirinya dengan lebih baik.
Ads
Senaman otak
Saat kita bercerita kepada anak, kita sebenarnya mewujudkan 1 rangsangan di dalam otak mereka. Anak-anak bukan sekadar mendengar, tetapi turut mewujudkan idea yang berbeza di dalam fikiran.
Penyelidikan menunjukkan mengajar anak membaca buku akan merangsang aktiviti otak. Anda juga boleh menggalakkan mereka untuk berkongsi apa yang mereka fikirkan sekali gus mengajar mereka tentang kehidupan.
Saat kita membaca, kita sedang ‘menyuap’ imaginasi mereka dan membuka ruang untuk mereka berfantasi tanpa had.
Pupuk nilai moral
Adakah anak anda lebih mendengar kata-kata daripada individu luar seperti guru mereka di sekolah berbanding anda sebagai ibu bapa?
Jangan risau, anda tidak keseorangan, malahan ramai ibu bapa lain turut mengalami isu yang sama.
Jadi melalui bercerita dengan anak, ia adalah antara cara untuk si kecil mendengar nasihat anda.
Sebaiknya anda dinasihatkan untuk cuba menyelitkan sebarang nilai moral dan pengajaran berkaitan kehidupan dalam penceritaan anda.
Wujudkan sifat empati
Terdapat bukti mengatakan, pembacaan khususnya cerita fiksyen, dapat memberikan manfaat dalam membina sifat empati dalam diri anak.
Ads
Sebagai contoh, membaca mengenai perjuangan pahlawan, sudah tentu akan dapat mewujudkan rasa kecintaan kepada negara.
Sekiranya anda mahukan si kecil untuk mempunyai rasa tanggungjawab kepada dunia dan masyarakat sekeliling, berikan inspirasi kepada mereka melalui pembacaan.
Pemilihan buku yang baik juga dapat membantu mempertingkatkan sifat empati pada anak.
Meningkatkan fokus
Pasti anda pernah melalui saat di mana ketika sedang membacakan buku, si kecil sibuk bermain dengan anak patung atau permainan mereka.
Paling menguji kesabaran apabila mereka sibuk menyelak helaian buku berbanding mendengar apa yang anda ceritakan.
Anak-anak kecil memang sukar untuk duduk diam dan itu adalah kenyataan.
Fokus merupakan 1 kemahiran yang perlu dipelajari si kecil. Sebagai ibu bapa, anda jangan berputus asa.
Pastikan anda membaca kepada si kecil sekurang-kurangnya 4 hingga 5 minit setiap hari.
Percayalah, lama-kelamaan si manja akan belajar untuk menumpukan perhatian dan duduk diam dalam tempoh masa tertentu.
Jalinan kasih
Paling utama, manfaat yang diperolehi daripada membacakan buku kepada anak-anak adalah untuk dapat meluangkan masa bersama. Ia pastinya 1 perkara yang tidak boleh dijual beli.
Ia bukan sekadar membantu menambah kemahiran dalam diri mereka tetapi dalam masa yang sama mengeratkan jalinan antara ibu bapa dan anak-anak. Jangan lepaskan peluang ini, okay?
Mulakan membaca hari ini
Jika sebelum ini, anda tidak pernah membaca buku bersama anak, masih belum terlewat untuk melakukannya. Mulakan dengan buku cerita yang mempunyai watak kartun yang diminati si kecil.
Ketepikan segala gajet dan tugasan harian, luangkan masa paling tidak 5 hingga 10 minit untuk membacakan buku kepada si kecil. Gunakanlah masa yang ada untuk membina momen indah bersama anak-anak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak dinafikan sifat kucing yang manja, comel jadi tarikan anak-anak kecil untuk mendekatinya. Bahkan orang dewasa pun akan suka dan ada yang membelanya sebagai peneman di rumah.
Bagaimanapun, kucing yang tak dijaga dengan elok, mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada sesetengah individu yang antibodinya lemah ataupun yang alergik.
Perkongsian dari Puan Anna Yusof baru-baru ini mengenai kes anaknya yang alergik dengan kucing selepas bermain dengan haiwan manja itu perlu dijadikan pengajaran bersama.
Maksud Puan Anna dia bukan nak benci haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu tetapi peringatan untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang sensitif supaya lebih berjaga-jaga.
Kali Pertama Kena Demam, Merengek
Pertama kali Muhammad Hanif Iman kena jangkitan kuman kucing ini pada Mac lalu. Masa tu kami ke rumah sepupu suami. Dia main dengan kucing jiran sepupu suami.
Kali pertama kena di bahagian perut
Balik ke rumah dia demam. Keluar biji air macam kena minyak panas. Apabila biji tu pecah terus jadi kudis besar. Masa tu memang dia merengek dan menangis je.
Masa tu memang tak tahu kena jangkitan dari kucing, Bawa ke klinik doktor tanya ada main dengan kucing ke? Ini sebab terkena jangkitan kuman dari kucing.
Biji air pecah merebek di bahagian perut
Kali Kedua Kena Di Bahagian Perut
Sekali lagi Muhammad Hanif Iman kena kuman dari kucing. Sebelum ini pernah kena sekali.
Jangkitan kali kedua dibahagian bahu
Pergi klinik, jumpa doktor. Doktor terus cakap, “Ada main kucing la ni”. Mula-mula timbul macam biji air besar. Then bila biji air itu pecah, terus jadi besar macam ni.
Kucing-kucing yang dia main bukan kucing liar, semuanya kucing yang dibela. Kali ini kucing di rumah Tok Wan dia. Padahal kucing itu sentiasa dimandikan, dijaga, cuma mungkin tak dicucuk vaksin.
Selepas ini, sesiapa yang bela kucing, bawalah kucing ambil suntikan vaksin bagi mengelakkan terkena kuman dari kucing. Selepas ini, memang ibu akan kuarantin Iman dari main kucing sebab kasihan tengok dia merengek kata sakit.
Untuk makluman, selepas anak-anak main kucing, memang saya terus mandikan anak sebab anak kedua dan ayahnya semput serta alergik pada bulu haiwan. Tetapi setiap kali main kucing, memang Iman saja yang akan kena macam ini. Nasib dia tidak berapa nak baik agaknya.
Kesilapan mendidik anak tentu akan memberi kesan kepada tingkah laku anak-anak. Akibatnya anak-anak tidak mendengar kata ibu bapa.
Semua yang dah merasai betapa besarnya tanggungjawab yang perlu ditanggung pasti akan mengangguk setuju. Tidak ada apa pun perkara yang senang dalam membesarkan manusia supaya dia jadi insan yang berguna pada masa senang, tetapi pengalaman membesarkan anak adalah pengalaman yang sebenarnya manis di dalam pahit.
Walau bagaimanapun, ada bermacam panduan yang boleh membantu kita sekurang-kurangnya lebih bersedia dalam menjalani hidup sebagai seorang ibu atau bapa. Berikut adalah lima kesalahan yang kami rasakan perlu dikongsi supaya perjalanan anda sebagai ibu dan bapa menjadi lebih mudah.
Tidak ajar anak tidur awal
Ramai ibu bapa merungut kenapa anak-anak mereka tidak dapat tidur pada waktu malam, berjaga, melalak, nak ajak main tetapi pada waktu siangnya pula lena. Kes ini selalunya melibatkan anak kecil. Ini berlaku kerana dari mula lagi ibu bapa tidak mendidik anak untuk tidur awal. Semasa anak masih bayi, ajar anak tidur dari awal walaupun dia tidak mengantuk. Seeloknya lepas jam 7 dah tidur dan si ibu perlu tidur sekali dengan anak. Memang perit sikit untuk korbankan masa berjaga kita yang sangat terhad tapi amalan ini jika dilakukan dengan konsisten, akan melatih anak supaya dapat tidur awal dan tidak berjaga pada awal pagi mintak bermain dengan dia.
Anak pula perintah ibu bapa
Saya perasan ramai ibu bapa yang jadi takut nak marah anak. Mungkin terlalu terpengaruh dengan pendidikan barat yang terlalu mementingkan hubungan “diplomatik” di antara anak dan ibu bapa, sehinggakan kadangkala apabila anak-anak mula mengganggu orang lain di tempat awam pun, dibiarkan saja tanpa sebarang teguran. Adakah itu baik? Tidak. Mendidik anak-anak untuk berani memerhatikan dunia adalah satu perkara, tetapi sehingga ada yang membiarkan saja perangai anak huru hara adalah amat tidak patut dilakukan. Teguran masih diperlukan dan kadangkala, marah itu perlu ada.
Tidak mahu anak bersusah payah
Berkat tahap kemampuan kita yang semakin baik, semakin ramai ibu bapa yang mampu membelikan anak-anak mereka bermacam benda. Walaupun begitu, kita perlu sedar apabila diberikan dengan pelbagai benda seperti gajet atau permainan, ini akan membuatkan anak tidak belajar erti susah payah mendapatkan sesuatu. Seorang anak perlu faham yang barang yang dia perolehi tidak jatuh dari langit dan dia juga perlu memahami yang setiap barang yang diperolehi, sepatutnya mempunyai makna yang besar.
Beri gajet untuk diamkan anak
Ini kerap berlaku zaman ini. Terlalu ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka huru-hara, menggunakan cara paling mudah iaitu memberikan gajet seperti telefon pintar atau gajet untuk mendiamkan mereka. Cara ini rasanya tidak bagus kerana apa yang berlaku sebenarnya adalah ibu bapa mengalihkan perhatian anak-anak ke satu perkara lain, yang lama kelamaan akan membuatkan ibu bapa terpaksa bergantung dengan gajet dalam semua perkara. Gajet bukanlah penyelesaian. Cuba cari jalan bagaimana hendak mengawal anak anda tanpa menggunakan gajet.
Terlalu takut kecewakan anak
Jika ada ibu bapa yang mempunyai dua atau lebih anak, pasti akan timbul masa di mana seorang anak terpaksa mengalah dengan anak lain. Untuk memujuk yang mengalah, ibu bapa mula menjanjikan dengan beliau sesuatu sebagai ganjaran yang dia akan dapat jika dia mengalah, secara sembunyi-sembunyi. Ada dua perkara akan berlaku. Yang pertama, anak anda akan lebih kerap mengalah untuk mendapatkan imbuhan. Dua, jika diketahui anak yang tidak mahu mengalah, itu akan mencipta jurang di antara dia dan adik beradiknya. Didik anak supaya mengalah dengan ikhlas kerana mengalah itu perkara yang baik antara adik beradik. Lebih sukar, tetapi untuk jangka masa panjang Insya Allah anda akan nampak kesannya.
Seronok bila ada anak kecil ni, meriah dibuatnya bila dah pandai bercakap. Macam-macam yang dia tanya. Semua benda dia tanya “kenapa”. Sampai tak larat kita nak menjawab. Bila anak banyak bertanya ni bagus, itu tandanya dia sedang mencapai perkembangan otak yang ligat berfikir.
Memang normal fasa ini dia akan banyak bertanya kerana sikap ingin tahu memang sangat tinggi. Jangan pula kita marah sebab itu akan merencatkan keinginan dia untuk bercakap dan berfikir. Lagi banyak tanya, lagi bagus. Biarlah berbuih mulut kita nak menjawab. Kebanyakan pendapat dari pakar perkembangan anak, ibu ayah jangan sekali-kali herdik atau sekat anak yang suka bertanya. Nanti bila mereka ‘sentap’ terus tak nak tanya apa-apa soalan. Anda juga yang risau.
Okay, ini antara beberapa cara bijak yang ibu ayah boleh buat bila berhadapan dengan anak yang suka bertanya soalan sama berulang-ulang kali. Ini pun boleh elak kita daripada rasa macam nak marah bila kena jawab soalan yang sama.
Tapi ingat jangan sekali-kali jawab “tak tahu” atau “entah” pada soalan anak anda atau buat acuh tak acuh sebab malas nak layan anak yang suka bertanya. Buruk kesannya pada perkembangan anak tau!
Tanya balik soalan yang sama
Memang tabiat budak kecil suka tanya soalan sama berulang kali. Jangan marah. Biar je dia tanya banyak kali soalan yang sama lepas tu cuba tanya balik soalan itu padanya. Anda akan terkejut sebab dia boleh bagi jawapan yang betul. Kesimpulannya, anak sengaja tanya soalan yang sama pada ibu ayah mungkin sebab kali pertama soal, dia rasa anda tak beri perhatian padanya. Jadinya dia tanya banyak kali untuk dapatkan sepenuh perhatian walaupun dia sendiri tahu jawapannya.
Sumber foto: www.freepik.com
Tumpukan perhatian pada anak
Bila anak anda mula bertanya soalan, sebaiknya hentikan seketika aktiviti yang dilakukan sebelum itu. Pandang muka anak dan tepat pada matanya serta fokus mendengar soalannya. Reaksi mengangguk-anggukkan kepala yang anda tunjukkan sebagai tanda cuba memahami soalan yang ditanya akan menggembirakan hati anak.
Bila anak anda tanya soalan, anda boleh berikan jawapan dalam bentuk soalan kembali supaya dia boleh berfikir.
Contohnya kalau dia tanya, “Mama, kenapa kita kena gosok gigi?”.
Anda boleh jawab, “Rafid rasa kalau tak gosok gigi, mulut kita busuk tak?”.
Tentu dia akan terfikir kenapa pula mulut busuk dan anda boleh terangkan tentang mulut yang ada bakteria dan kotoran makanan yang dimakan. Kalau tak dibersihkan akan berbau busuk dan gigi rosak. Sekurang-kurangnya sesi pertanyaan tersebut ada memberikan ilmu baru kepada anak. Interaksi dua hala ini memberikan peluang kepada otak anak untuk berfikir.
Bila anak anda mula bertanya soalan, sebaiknya hentikan seketika aktiviti yang dilakukan sebelum itu. Pandang muka anak dan tepat pada matanya serta fokus mendengar soalannya. Reaksi mengangguk-anggukkan kepala yang anda tunjukkan sebagai tanda cuba memahami soalan yang ditanya akan menggembirakan hati anak.
Tahulah si kecil yang ibu atau ayah tak jemu melayan setiap soalannya. Sepatutnya anda kena berbangga sebab anak sudah semakin bijak berfikir dan sentiasa ingin tahu banyak perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Keep calm and smile
Untuk mengelakkan rasa serabut anak tanya banyak soalan, anda kena tetapkan dalam hati supaya sentiasa dalam mode bertenang dan banyakkan senyum supaya ikhlas dan bersedia untuk menjawab setiap soalan anak walaupun untuk kali yang ke-180!
Sumber foto: www.freepik.com
Berusaha beri jawapan terbaik
Janganlah disebabkan tak tahu jawapan atau malas nak huraikan panjang lebar, maka anda jawab “tak tahu” atau “entahlah mama pun tak tau”, sekurang-kurangnya kalau tak tahu jawapan yang betul, anda boleh cakap “nanti mama cari jawapan kat internet ya.” Barulah anak lebih bersemangat nak jadi kritis dan berfikir untuk tanya ibu ayah soalan lagi. Kalau asyik jawab tak tahu, anak pun beranggapan ibu ayah tak tahu banyak perkara dan akhirnya dia pun jadi malas nak tanya.
Ingatlah, fasa anak suka tanya soalan tak akan selamanya berlaku. Makin dia membesar makin kurang soalan yang ditanya. Nanti anda pula yang asyik tanya kepada anak dan rindu nak jawab soalan anak!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kartun Doffy the Dog tular selepas Ustaz Elyas Ismail mendakwa ia menormalisasikan maksiat melalui adegan berbahaya. Ramai ibu bapa meluahkan kebimbangan dan menyeru pemantauan kandungan anak.