
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila melihat seorang kanak-kanak kecil berusia dua tahun terpaksa bertarung dengan kesakitan selepas diserang sekumpulan anjing liar.
Kisah Nur Haira diserang anjing liar di Peserai, Batu Pahat nyata mengundang rasa simpati ramai apabila Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas diserang lima ekor anjing liar.
Bukan sahaja orang ramai menitipkan doa agar si kecil ini kembali pulih, malah pelawak Shahrol Shiro turut tampil menziarahi keluarga mangsa bagi memberikan sokongan dan semangat ketika mereka sedang melalui ujian yang cukup berat ini.
Shahrol Shiro Ziarah Keluarga Nur Haira Diserang Anjing Liar

Menerusi perkongsian di Threads, Shahrol Shiro berkongsi video ketika hadir menziarahi keluarga adik Haira yang kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas serangan berkenaan.
Lebih memilukan, video tersebut turut merakam luahan abang sulung mangsa, Hanif, yang dipercayai melihat sendiri kejadian ngeri itu berlaku di hadapan matanya.
Dalam nada yang menggambarkan trauma dialaminya, kanak-kanak itu berkata,
“Saya nampak depan mata sendiri acik. Darah, darah acik.”
Luahan ringkas itu cukup menggambarkan betapa mengerikan kejadian yang terpaksa disaksikan seorang kanak-kanak apabila melihat adiknya sendiri dalam keadaan berlumuran darah.
Pengalaman seperti ini tentunya bukan sahaja meninggalkan kesan kepada mangsa, malah kepada adik-beradik serta seluruh ahli keluarga yang berada di lokasi ketika kejadian.
Operasi Menangkap Anjing Liar Diteruskan
Menurut Shahrol, dia turut bersama pasukan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dalam operasi mencari dan menangkap anjing liar yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, ketika operasi dilakukan, mereka dikatakan berjaya menemui sarang anak anjing dan usaha mengesan anjing liar berkenaan akan diteruskan.
Semoga usaha pihak berkaitan dapat menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan membahayakan penduduk, khususnya kanak-kanak.
Nenek Tergamam Lihat Cucu Dikelilingi Lima Ekor Anjing
Merujuk kepada laporan terdahulu mengenai kejadian Nur Haira diserang anjing liar, nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, berkata dia terkejut apabila melihat cucunya, Nur Haira, mengalami kecederaan parah selepas digigit anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai.
“Saya menjerit lihat cucu terbaring dengan kepala dan mula dipenuhi darah, dikelilingi lima ekor anjing.”
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi selepas kanak-kanak berusia dua tahun itu dihantar oleh ibu bapanya ke rumah Darlinda.
Menurut Darlinda, ia merupakan kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya kerana sebelum ini kanak-kanak tersebut lebih kerap berada bersama datuk sebelah bapanya yang tinggal tidak jauh dari kawasan berkenaan.
“Ibu bapa Nur Haira ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia nak ikut sekali.
“Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu manakala saya bersiap untuk mandi.
“Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing menggigitnya.
“Anak saya terdengar jeritan lalu keluar menyelamatkan Nur Haira yang cedera parah di kepala dan muka,” katanya.
Nur Haira Ditidurkan Selepas Dirawat Di Zon Merah

Darlinda bersama anaknya kemudian segera membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Kanak-kanak itu dilaporkan menerima rawatan di zon merah sebelum terpaksa ditidurkan akibat kecederaan yang dialaminya.
Mengimbas kembali detik membawa cucunya ke hospital, Darlinda mengakui dia tidak mampu melupakan keadaan Nur Haira ketika itu.
“Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.
“Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana kecederaan parah dialaminya,” katanya.
Penduduk Dakwa Sudah Lama Risau Dengan Anjing Liar
Dalam pada itu, Darlinda mendakwa anjing liar yang menyerang cucunya dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti memburu babi di kawasan kebun sawit berhampiran rumah mereka.
Menurutnya, masalah anjing berkeliaran di kawasan berkenaan sudah lama menimbulkan kebimbangan penduduk.
“Mereka (pemburu) menggunakan anjing dan selepas selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini. Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini yang cepat membiak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Kejadian Nur Haira diserang anjing liar sememangnya meruntun hati. Dalam usia baru dua tahun, si kecil ini terpaksa melalui ujian yang begitu berat, manakala ahli keluarganya pula berdepan detik penuh trauma dan kebimbangan menantikan perkembangan kesihatannya.
Semoga adik Nur Haira diberikan kekuatan, dipermudahkan segala rawatan dan kembali pulih seperti sediakala. Semoga ibu bapa, datuk, nenek serta adik-beradiknya juga diberikan ketabahan untuk menghadapi ujian ini.
Kejadian ini juga wajar menjadi peringatan kepada semua pihak agar isu anjing liar di kawasan kediaman tidak dipandang ringan. Aduan dan tindakan awal amat penting terutama apabila haiwan berkeliaran dalam kumpulan kerana ia berpotensi mendatangkan bahaya kepada penduduk, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih kecil.
Sumber:shahrol_shiro Berita Harian, BeritaRTM
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

