Hanya tinggal sebulan lebih sebelum seluruh umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan. Sudah pastinya kita semua teruja membuat persediaan untuk berpuasa, tetapi adakah semua ‘hutang’ tahun lalu sudah dilangsaikan?

Apabila bercerita tentang puasa yang masih tidak berganti, biasanya ibu-ibu hamil atau yang menyusukan bayi sedikit keliru dengan hukum untuk membayar fidyah dan sebagainya.

Artikel Menarik: [Jangan Ambil Mudah! Ibu Hamil Yang Hampir ‘Due Date’ Tidak Digalakkan Berpuasa]

Hamil & Menyusu Anak Dikira Uzur Syarie. Tak Wajib Bayar Fidyah, Yang Penting Qada Puasa

Ikuti penerangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan ini

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah wanita yang tidak sempat menggantikan puasa Ramadhan sehingga tiba Ramadhan seterusnya wajib qadha’ dan membayar kafarah? Alasan dia menangguhkan ialah kerana mengandung atau menyusukan anak. Terima kasih.

Jawapan:

IKLAN

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Di dalam Syariat Islam, mengandung dan menyusukan anak adalah bentuk keuzuran yang mengharuskan berbuka. Daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

IKLAN

Maksudnya: “Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.”

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Daud (2408)

Wajib ke atas wanita yang tidak berpuasa kerana mengandung atau menyusukan anak untuk menggantikan puasa selepas berlalunya Ramadhan. Jika dia tidak sempat menggantikannya, bukan kerana keuzuran, maka dia dianggap berdosa dan diwajibkan untuk membayar fidyah sebanyak satu cupak makanan ruji tempatan, seberat 600 gram. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/92).

Hamil & Menyusu Anak Dikira Uzur Syarie. Tak Wajib Bayar Fidyah, Yang Penting Qada Puasa

IKLAN

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200):

“Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadhan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja.”

Artikel Menarik: [Kurma & Madu Bantu Jaga Kuantiti & Kualiti Susu Ibu Ketika Berpuasa. Tak Perlu Risau Susu Tak Cukup]

Kenyataan yang sama dinukilkan daripada kitab al-Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat) (hlm. 456) oleh Syeikh Hasan al-Kaf:

“Jika seseorang itu melewatkan qadha kerana suatu keuzuran seperti musafir, sakit, menyusukan, lupa dan jahil – maka dia tidak wajib bayar fidyah.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa ibu-ibu yang melewatkan ganti puasa, kerana uzur Syarie seperti sentiasa sakit, menyusukan anak, dan mengandung, adalah tidak wajib dikenakan fidyah, jika mereka tidak sempat menggantikan puasa sebelum tiba Ramadhan seterusnya.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI