
Sebagai ibu bapa, rasa nak lindungi anak memang satu fitrah. Lebih-lebih lagi apabila nampak anak jatuh, menangis atau bergelut melakukan sesuatu, hati terus rasa tak tenang. Tangan pula automatik nak membantu dan menyelesaikan semua perkara untuk mereka. Kita percaya itulah tanda kasih sayang.
Namun, pernah tak terfikir bahawa terlalu cepat membantu sebenarnya boleh melemahkan anak tanpa kita sedar?
Dalam dunia keibubapaan hari ini, istilah helicopter parents semakin kerap diperkatakan oleh pakar perkembangan kanak-kanak dan pakar psikologi. Walaupun niatnya baik, cara keibubapaan ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi, keyakinan diri dan kemahiran hidup anak.
Helicopter parents merujuk kepada ibu bapa yang sentiasa memantau, membantu atau menyelesaikan setiap masalah anak sebelum anak itu sempat mencuba menyelesaikannya sendiri.
Mereka sentiasa berada “di atas” anak seperti helikopter, bersedia mengambil alih setiap situasi walaupun sebenarnya anak mampu belajar menghadapinya sendiri.
Menurut ramai pakar keibubapaan, pendekatan ini mungkin nampak penyayang, tetapi dalam jangka masa panjang ia boleh menghalang perkembangan kemahiran penting yang diperlukan apabila anak semakin membesar.
Antara situasi yang sering berlaku ialah:
Apabila semua masalah sentiasa diselesaikan oleh ibu bapa, anak akan kehilangan peluang untuk belajar.
Anak-anak yang membesar dalam persekitaran seperti ini biasanya sentiasa:
Akibatnya, mereka mungkin mengalami kesukaran apabila dewasa kerana kurang kemahiran menyelesaikan masalah (problem solving skills), kurang yakin membuat keputusan dan mudah bergantung kepada orang lain.
Malah, sesetengah kajian juga menunjukkan bahawa anak yang terlalu dilindungi lebih mudah mengalami tekanan apabila berdepan situasi baharu kerana mereka kurang pengalaman menguruskan cabaran sendiri.
Bukan bermaksud ibu bapa tidak boleh membantu langsung. Bantuan tetap diperlukan, tetapi biarlah pada masa yang sesuai.
Jika situasi yang dihadapi anak tidak melibatkan bahaya yang mengancam nyawa, berikan sedikit ruang untuk mereka mencuba dahulu.
Contohnya, apabila anak jatuh, beri peluang dia bangun sendiri sebelum kita membantu. Apabila dia sukar memakai kasut, beri sedikit masa supaya dia berusaha sendiri. Jika dia bergaduh dengan adik-beradik, bimbing mereka mencari penyelesaian tanpa terus mengambil alih.
Dengan cara ini, anak belajar bahawa setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian dan mereka sebenarnya mampu menghadapinya.
Kadang-kadang kita terlalu takut melihat anak jatuh sehingga terlupa bahawa jatuh juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
Anak yang pernah mencuba sendiri, walaupun lambat atau melakukan kesilapan, sebenarnya sedang membina keyakinan diri, keberanian dan daya tahan yang sangat berharga untuk masa depan mereka.
Tidak salah untuk membantu. Tetapi jangan sampai semua perkara kita ambil alih.
Anak bukan memerlukan ibu bapa yang sempurna. Anak memerlukan ibu bapa yang percaya kepada kemampuan mereka.
Biarkan mereka mencuba. Biarkan mereka belajar. Dan apabila mereka berjaya bangun sendiri selepas menghadapi cabaran, ketika itulah kita akan sedar bahawa anak sebenarnya jauh lebih kuat daripada yang kita sangka.
Baca lagi: Fattah Amin, Amira Othman Timang Cahaya Mata Sulung. “Jadi Anak Soleh Penyejuk Mommy Daddy”
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!
Sumber: Siti Aisyah Rozalli