HFMD dan herpangina, sama tapi tak serupa, ini fakta mama, papa perlu ambil tahu. Bila anak mula demam panas, tak mahu makan atau minum dan lemah, tolong periksa tekak, lidah dan pantau untuk ruam-ruam merah di tapak kaki, tangan ataupun punggung.
Kalau ada ulcer atau bintik merah, kebarangkalian besar anak dijangkiti virus coxsackievirus yang menyebabkan ulcer mulut (herpangina) ataupun HFMD.
HFMD Dan Herpangina, Sama Tapi Tak Serupa, Ini Fakta Mama, Papa Perlu Ambil Tahu
HFMD (Hand, Foot, and Mouth Disease) dan herpangina adalah dua penyakit yang sering menjejaskan kanak-kanak, terutama yang berusia di bawah 5 tahun. Kedua-duanya disebabkan oleh virus daripada keluarga yang sama, iaitu enterovirus, tetapi terdapat beberapa perbezaan utama antara kedua-duanya yang penting untuk difahami.
Langkah ini tolong ambil secepat mungkin!
▶️ Dapatkan rawatan dan pengesahan dengan doktor atau pakar kanak-kanak.
▶️ Jika disahkan HFMD atau herpangina, beritahu pengasuh, taska ataupun tadika untuk tindakan pembersihan
▶️ Bersihkan kawasan rumah sendiri termasuk permukaan meja, lantai dan mainan anak dan asingkan anak terjangkit daripada anak yang lain sehingga demam baik dan ulcer sembuh (biasanya 1 minggu dari mula simptom).
▶️ Tingkatkan kebersihan sendiri dan ahli keluarga dengan kerap mencuci tangan terutamanya sebelum makan dan selepas ke tandas. Kuman ini disebar melalui air liur, hingus, dan najis pesakit.
▶️ Galakkan untuk memberi minuman, susu dan makanan yang lebih, sejuk dan tidak masam/ pedas.
Ads
▶️ Ke hospital jika anak letih, tak mahu minum dan makan, sawan, ataupun kencing kurang atau kering lebih 6 jam untuk rawatan di hospital.
▶️ Pantau anak-anak lain dan kontak rapat anak dalam 3 hingga 5 hari lepas kontak untuk simptom jika ada.
Ada beza tak HFMD ini dengan herpangina (ulcer mulut)?
🔸 Herpangina biasa berlaku pada kanak-kanak umur 2 hingga 3 tahun dan ke atas, dengan DEMAM TINGGI (biasa sehingga 39-40 darjah Celcius) untuk 1-4 hari. Hanya ulcer atau bintik merah pada TEKAK dan TIADA ruam pada tangan atau kaki. Kes lebih serius disebabkan demam yang tinggi, ulcer yang sakit dan keletihan serta sakit kepala. Ramai yang perlu rawatan di hospital.
🔸HFMD atau penyakit tangan, kaki dan mulut pula biasa bermula dari bayi lagi, demam yang tak panas (kurang 38.5 darjah Celcius) untuk 1-2 hari, ulcer di tekak dan mulut serta ruam-ruam kemerahan atau bintik berair pada tapak kaki, tangan atau punggung. Kes kurang serius berbanding dengan herpangina.
Ads
🔸Kedua-dua disebabkan oleh kuman yang sama dan merebak dengan cari yang sama.
Nak elakkan sanak-saudara atau anak-anak lain jadi mangsa seterusnya, tolong KUARANTINKAN anak sekurang-kurangnya 1 MINGGU dari masa simptom bermula dan SENTIASA mencuci tangan dan jaga kebersihan anak!
Jangan salah cara penggunaan ubat di kalangan anak kecil ya ibu ayah! 10 panduan yang dikongis oleh ahli farmasi ini diharap dapat membantu para ibu bapa.
Penggunaan ubat di kalangan anak kecil perlu dibuat dengan cara yang betul dan mengikut nasihat diberikan oleh ahli farmasi dan doktor. Ibu ayah kena tahu cara penggunaan ubat yang betul untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah lain pula.
Bila anak sakit ibu ayah akan segera membawa si kecil berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Selepas rawatan dilakukan, doktor akan mempreskripsi ubat-ubat yang bersesuaian mengikut penyakit, usia dan berat badan anak.
Namun kadangkala ada ibu bapa tidak memberikan anak ubat itu sekiranya keadaan anak dilihat beransur sihat dan menyimpat ubat-ubat tersebut. Jika anak sakit sekali lagi atau anak yang lain sakit, mereka akan menggunakan saki baki ubat terdahulu atau berkongsi ubat antara anak-anak lain kerana beranggapan penyakit mereka adalah sama.
Berikutan salah faham yang banyak diamalkan oleh ibu bapa, Ahli Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Fahmi Hassan berkongsi info bermanfaat ini supaya ibu bapa lebih memahami cara betul penggunaan ubat yang diberi kepada anak-anak kecil.
1.Penggunaan ubat batuk dan selsema di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun adalah tidak digalakkan.
2.Tidak semua ubat yang selamat digunakan oleh orang dewasa boleh digunakan untuk kanak-kanak.
3.Ubat batuk dan selsema boleh menyebabkan sawan, gangguan pernafasan, peningkatan kadar degupan jantung dan kematian pada kanak-kanak.
4.Batuk dan selsema biasa akan sembuh sendiri tanpa rawatan dalam masa 5-7 hari. Penggunaan ubat batuk dan selsema tidak dapat mempercepatkan proses penyembuhan.
5.Pastikan anak anda mendapat bekalan cecair secukupnya. Gunakan titisan garam isotonik untuk mencairkan hingus dan mukus. Sedut hingus dari hidung menggunakan penyedut yang boleh dibeli di farmasi.
6.Gunakan alat penyukat yang sesuai seperti picagari sewaktu memberi apa-apa jenis ubat-ubatan kepada bayi dan kanak-kanak.
7.Sekiranya bayi anda demam, dapatkan pemeriksaan dari doktor dengan segera. Suhu yang tinggi di kalangan bayi boleh menyebabkan berlaku komplikasi yang lebih serius.
8.Ubat menurunkan suhu seperti paracetamol adalah selamat digunakan untuk bayi. Ikut arahan berkenaan dos dan cara penggunaan seperti yang diterangkan oleh doktor atau ahli farmasi.
9.Sekiranya anak anda memerlukan vitamin tambahan, dapatkan produk yang sesuai dengan umur anak anda.
10.Sentiasa peka dengan label ubat. Tanya ahli farmasi sekiranya terdapat kekeliruan berkaitan ubat-ubatan anda.
Sumber: fahmihassan.net
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Orang kata, petua orang lama ini jangan pandang sebelah mata. Iya, selagi belum cuba, resultnya belum kita tahu kan. Macam tu jugalah petua tambah susu badan selepas bersalin bagi ibu-ibu yang baru melahirkan zuriat.
Sebenarnya Anim tertarik dengan beberapa amalan orang dulu-dulu ni. Sangat ‘rare’ dan jarang juga orang kita amalkan tau. Ini mungkin disebabkan dah wujudnya penawar serta ubat-ubatan moden yang bantu para ibu yang alami masalah penyusuan berjaya menambah susu badan dengan lebih cepat seperti milk booster dan sebagainya.
Namun, PETUA TAMBAH SUSU BADAN yang sejak turun termurun nenek moyang kita dulu amalkan boleh juga sebenarnya dipakai sehingga kini kerana tidak ada salahnya jika mencuba sekiranya itu mendatangkan kebaikan.
Sekiranya anda tengah mencari cara untuk banyakkan susu badan, apa kata cuba petua ini.
Petua #1
Sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian layurkan atas api sampai layu. Apabila sudah rasa agak suam, tekapkan pada payudara selama beberapa minit. Amalkan setiap hari dan lihat hasil inshaallah.
Petua #2
Daun betik juga punya khasiat untuk menambah susu ibu. Rebus beberapa helai daun betik, ambil yang sederhana muda sahaja. Rebuskan, kemudian minum 2 hingga 3 kali sehari.
Petua #3
Banyakkan makan lobak putih. Lobak putih antara makanan yang sangat membantu para ibu menyusu untuk meningkatkan lagi pengeluaran susu badan.
Anim sendiri kerap mengamalkan pengambilan lobak putih supaya dapat tambah susu badan dan memekatkan lagi susu. Sehingga sekarang, Alhamdulillah susu badan masih ada untuk Sofia.
Lobak putih boleh dikisar halus dan campurkan dalam air suam untuk diminum. Tapi, kalau rasa terlalu extreme sangat kaedah ini, anda boleh renehkan ia jadi Sup Lobak Putih. Inshaallah selain berika tenaga, ia mampu menambah susu badan.
Petua #4
Mungkin ramai yang tak tahu petua tambah susu badan ke 4 ini. Tapi Alhamdulillah berkesan selepas Anim cuba tau!
Jantung Pisang. Ya! Sekiranya anda nak cari macam mana nak tambah susu badan secara semula jadi, cubalah makan jantung pisang.
Syaratnya, kenalah beli atau petik dari kebun.
Rebuskan dahulu, jangan dimakan terus. Rebuskan Jantung Pisang, dan makan macam Ulam. Tak kisah lah anda nak colek dengan sambal apa sekalipun. Jantung Pisang banyak berikan khasiat kepada ibu-ibu yang sedang menyusukan anak.
Ingat, menyusukan anak ini, bukan saja perlu tahu ilmu seperti cara mengepam, teknik mermet, supply & demand dan sebagainya. Tetapi makanan juga mempengaruhi hasil supaya ia dapat banyakkan susu badan.
Jangan pandang rendah pada petua tok nenek kita dulu. Dan jangan perlekeh makanan penambah susu badan.
Sebab ramai yang dah dapat manfaat dan rasa lega apabila proses penyusuan lancar dan masalah susu badan kurang berjaya diselesaikan.
Makanan merupakan topik yang kompleks tidak kiralah bagi bayi, remaja ataupun orang dewasa. Jika dibuka pada mana-mana laman sesawang jualan yang menawarkan buku khidmat nasihat pemakanan, terdapat lebih daripada 50,000 panduan yang dijual. Banyak kan? Bagaimana pula dengan makanan bagi wanita selepas bersalin? Adakah ia sama seperti pemakanan yang diambil oleh masyarakat setempat setiap hari? Betul ke ada makanan yang tidak boleh diambil oleh wanita selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai makanan berpantang.
Kenapa perlu berpantang?
Dalam adat orang Melayu, amalan berpantang seringkali dikatakan menyusahkan dan sebahagian daripadanya melibatkan penggunaan wang yang banyak. Mana tidaknya, terdapat pelbagai jenis peraturan yang mesti diikuti seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan pilis di dahi. Gaya pemakanan juga tidak terlepas daripada senarai perkara yang perlu dipantangkan.
Perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan amalan berpantang tersebut tidak bercanggah dengan sistem fisiologi badan adalah bertanyakannya kepada golongan profesional. Jika tidak, sukar untuk anda bezakan sama ada perkara tersebut selaras dengan konsep asas fisiologi atau mitos semata-mata. Banyak je maklumat berkenaan dengan makanan berpantang namun tidak diketahui akan kebaikan sebenarnya atau adakah ia boleh memberikan kemudaratan.
Sebagai contoh, dakwaan bahawa kononnya pengambilan air yang banyak boleh menyebabkan urat di kaki bengkak. Itu merupakan tanggapan pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan logik dan tidak bersandarkan kepada ilmu sains. Selepas bersalin, wanita perlu mengambil minuman sekurang-kurangnya 3 liter air bagi memenuhi kehendak badan dalam menyediakan susu untuk si manja.
Namun, salah ke jika anda ingin berpantang? Tidak sama sekali. Jika perkara tersebut tidak memudaratkan, anda boleh mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan tradisional yang mungkin menjadi pegangan individu dalam keluarga anda. Makanan berpantang juga baik untuk kesihatan secara umum, namun perlu dilihat juga pada makanan tersebut. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada doktor, bukan kepada mereka yang hanya beranggapan semata-mata.
Makanan berpantang bagi wanita
Dalam artikel ini, ada 3 contoh menu makanan berpantang yang boleh diambil bagi mengekalkan nutrisi pada tahap yang optimum.
Nasi putih, ayam bakar, selar singgang, ulam pegaga, serunding ikan bilis halia dan bawang putih rangup
Menu ini nampak ringkas namun ia mengandungi nutrisi makro dan mikro yang lengkap bagi memastikan anda sihat sepanjang tempoh berpantang. Ayam bakar dan ikan selar singgang dapat memberikan sumber protein sementara nasi putih pula diambil bagi mendapatkan sumber karbohidrat.
Ulam pegaga yang kaya dengan khasiatnya yang tersendiri dapat memberikan vitamin dan mineral yang mencukupi. Ia juga merupakan sumber serat yang dapat merawat atau mengelakkan masalah sembelit yang lazim dialami oleh wanita selepas bersalin.
Jika anda mempunyai masalah berkaitan kewangan, anda boleh pilih di antara ikan selar singgang atau ayam bakar sebagai sumber protein utama. Pastikan jumlah nasi diambil pada kuantiti yang sederhana. Jangan penuh satu pinggan pula.
Nasi putih, sawi stim, siakap stim dan oren sunkist
Menu ini juga mempunyai kandungan nutrisi makro dan mikro yang seimbang sebagai makanan berpantang. Nasi putih merupakan sumber tenaga utama diikuti dengan sawi stim dan oren sunkist yang menjadi sumber serat kepada wanita selepas bersalin. Pengambilan serat bersama dengan karbohidrat berpotensi untuk menyeimbangkan perembesan hormon insulin. Ini dapat membantu wanita mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Ikan siakap stim merupakan sumber pemakanan yang dapat memberikan nutrisi utama yang penting buat perkembangan otak si manja. Ini terutamanya penting bagi ibu yang memberi susu badan kepada anak mereka. Ikan mengandungi sumber Docosahexanoic Acid (DHA), Eicosapentanoic Acid (EPA) dan minyak Omega 3 yang sukar didapati dalam makanan lain.
Namun pengambilan ikan sebagai makanan berpantang perlu dikawal bagi mengelakkan merkuri yang berpotensi untuk membantutkan perkembangan otak si manja. The Food and Drug Administration (FDA), Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) dan The American College of Obstetricians and Gynecologists menyarankan pengambilan makanan laut tidak melebihi 12 auns seminggu.
Sukar untuk kita ukur 12 auns itu banyak mana, jadi bagi mengambil langkah berjaga-jaga, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda.
Lamb chop dengan kuah lada hitam dan sayur brokoli serta lobak merah
Bagi yang tidak suka makan nasi, terdapat alternatif lain yang lebih western. Lamb chop dapat memberikan sumber protein yang baik. Sayur-sayuran seperti brokoli dan lobak merah pula dapat memberikan serat dan sumber karbohidrat. Campurkan juga dengan jus oren asli bagi mendapatkan vitamin dan mineral lain. Yang penting, kurangkan pengambilan gula.
Diet yang tinggi protein dan serat boleh membantu mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Persamaan ketiga-tiga menu tersebut
Jika anda sedar, menu makanan yang tersenarai terdiri daripada sumber nutrisi makro dan mikro yang seimbang. Ia juga kurang minyak dan kaya dengan serat yang dapat memberikan kebaikan kepada wanita khususnya dalam usaha untuk mengembalikan berat badan kepada jisim berat badan normal. Jika anda ingin mencuba hidangan lain, pastikan ia terdiri daripada sumber karbohidrat, protein dan lemak yang berkhasiat.
Ikan haruan baik untuk sembuhkan luka bersalin?
Perkara yang sering menjadi punca obsesi doktor terhadap pesakit adalah pemulihan luka bersalin. Tidak kiralah jika anda melahirkan anak melalui czer atau secara normal. Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pengambilan ikan haruan dalam makanan berpantang boleh mempercepatkan proses pemulihan luka selepas pembedahan namun tiada kajian saintifik yang jelas menunjukkan ia berbuat sedemikian.
Betul ke tiada kajian saintifik? Pada tahun 2016, Dr Ahmad Faroukh Musa, seorang pakar bedah kardiotorasik, telah membentangkan kajian beliau berkenaan dengan potensi kesan pemulihan dengan pengambilan ekstrak ikan haruan setelah pembedahan pada Konferens Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur.
Seramai 183 orang subjek terlibat di dalam kajian beliau sepanjang tempoh 2012 hingga 2014 di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak ikan haruan mempunyai kadar jangkitan luka yang lebih rendah berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo. Subjek juga mengalami tahap kesakitan yang rendah berikutan peranan haruan dalam memberikan kesan terhadap reseptor kesakitan.
Penggunaan soalan kaji selidik profil kesihatan Nottingham telah mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak haruan mempunyai perubahan positif daripada sudut tenaga, kesakitan, emosi dan kesan fizikal. Jadi secara keseluruhannya, pengambilan ekstrak haruan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit selepas menjalani pembedahan.
Konklusi
Apakah makanan yang digemari oleh anda? Perkara penting yang perlu anda ambil kira dalam menetapkan jenis menu berpantang adalah makanan yang digemari oleh anda. Tiada gunanya jika anda benci makan ikan namun keluarga anda menyajikan masakan ikan kepada anda. Itu sedikit sebanyak akan menurunkan selera anda untuk makan seterusnya mempengaruhi aspek penjagaan diri dan anak anda. Jika anda khuatir akan kesan makanan terhadap tahap kesihatan anda, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!