Usai melahirkan bayi, emosi isteri boleh menjadi tidak stabil kerana perubahan hormon yang masih lagi kacau bilau. Ketika inilah suami main peranan penting untuk beri sokongan dan bantu apa yang patut supaya isteri yang baru sahaja bertarung nyawa melahirkan bayi dapat berpantang dan kembali sihat.
Dalam satu perkongsian Taufiq Razif, 5 perkara ini suami perlu tahu bila isteri lepas bersalin. Menurutnya ketika itulah isteri memerlukan sokongan suami sama ada dari segi emosi dan juga fizikal.
5 Benda suami kena ambil tahu bila isteri baru lepas bersalin
5 benda suami nak kena tahu tentang isteri yang lepas bersalin ( post partum ) #1 – Buang air besar dan kecil kali pertama lepas bersalin tu akan sangat sakit pada si dia lebih-lebih lagi dalam keadaan perineum yang jadi sangat sensitif.
#2 – Walaupun baby dah keluar tapi jangan ingat perut terus kempis macam sebelum mengandung ye. Rahim ambil masa dalam 6 minggu untuk kembali ke bentuk asal.
#3 – Rambut banyak gugur masa menyikat dan mandi tapi jangan gelabah. Ni efek daripada hormon estrogen yang mendadak turun je. Biasanya rambut gugur tu akan berhenti dalam 6-12 bulan.
#4 – Memang boleh berpantang tapi jangan sampai melampau lampau sangat. Sampai ada yang tak bagi si ibu tu minum air putih. Dah la nak kena menyusu lagi. Bukan kita takut tubuh tu jadi dehidrasi je tapi yang paling kita takut kalau sampai terjadi pembekuan darah dalam saluran darah di paru-paru ( pulmonary embolism ) akibat daripada kurang minum air tu sendiri ( dehydration ).
Tanda-tanda Pulmonary Embolism adalah :
– Denyut nadi jadi lebih laju daripada biasa
– Batuk darah
– suhu badan naik
– sesak nafas Bahaya ke pulmonary embolism ni?
– Yup. Sangat bahaya. Boleh sebabkan kematian mengejut!
#5 – Selepas bersalin, hormon isteri boleh jadi kacau bilau. Jadi jangan pelik kalau tiba-tiba emosi isteri jadi tak stabil. Boleh jadi tiba-tiba sedih, hati pun rasa redup je dan tiba-tiba nak menangis. Tu mungkin simptom Baby Blues. Benda tu biasa terjadi dalam seminggu atau dua minggu lepas bersalin. Cuma kalau lepas tu simptom tu masih tak hilang juga memang kena jumpa doktor takut-takut dah jadi Post Partum Depression.
Masa ni la si isteri paling perlukan sokongan suaminya sendiri. Bayangkan betapa banyak luka yang si isteri dah tanggung selama nak lahirkan zuriat si suami kan. Bukan cuma luka kesan koyakan Episiotomy je tapi luka emosi tu sendiri yang lebih dasyat sebab tu la si isteri sangat perlukan tidur, makan dan minum yang cukup dan sokongan emosi yang berterusan daripada suaminya sendiri.
p/s : Tolong sebarkan pada suami isteri yang belum tahu tentang benda ni ye
sokongan daripada suami selepas isteri melahirkan anak memang sangat diperlukan. Bantuan dan sokongan dari segi emosi dan fizikal dibutuhkan oleh isteri. Tempoh berpantang amat diperlukan oleh isteri untuk membantunya pulih dari kecederaan dalaman yang dialami ketika bersalin.
Mempunyai anak istimewa seperti Autisme, ADHD dan berkeperluan khas lain sememangnya satu anugerah buat ibu bapa yang hebat. Cabaran untuk membesarkan anak-anak istimewa ini bukan calang-calang.
Namun setiap anak yang lahir ke dunia tentu ada keistimewaan yang tersendiri meskipun hidupnya tak senorma kanak-kanak diusia mereka. Menghadapi meltdown tidak mengira waktu pasti sesuatu yang biasa buat ibu bapa yang mempunyai anak dengan Severe Autisme, namun alah bisa tegal biasa. Meskipun perit untuk melalui situasi yang tegang setiap kali anak-anak Autisme ini Meltdown, namun itu semua pastinya mematangkan lagi kehidupan dalam berkeluarga.
Dalam satu temubual oleh Majalah Nona bersama Nori Abdullah isteri kepada YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia yang mempunyai anak Autisme menceritakan kehidupan mereka seharian bersama anak istimewa mereka, Timor atau mesra dengan gelaran Puma oleh YB KJ yang disahkan menghidap penyakit tersebut ketika dia baru mencecah usia tiga tahun.
“Macam-macam cabaran sebenarnya tapi yang paling utama ialah penerimaan. Penerimaan untuk kita faham keadaan dia, untuk kita tetap yakin yang dia juga mempunyai potensi dan untuk lebih memahami keadaan anak-anak kita. Itu antara first step. Timor didiagnosis autism secara rasmi ketika umur tiga tahun.
“Jujurnya, ia bukan satu masalah besar kerana sebelum ini pun dalam keluarga kami dah ada anak istimewa. Jadi tak susah untuk faham dan terima bahawa Timor anak istimewa. Cuma sebagai ibu bapa kami perlu membuat sesuatu dan salah satu pendekatan yang kami ambil adalah melalui intervensi awal dan terapi.
Memang ambil masa sedikit untuk betul-betul faham dan terima hakikat bahawa inilah keadaan dia. Mungkin masalah yang dia alami ini akan berlanjutan sampai dia dewasa atau sampai bila-bila. Walau macam mana pun, kita kena ada rasa yakin yang dia mempunyai potensi diri.
Sebab itulah ibu bapa kena pentingkan terapi dan intervensi awal yang saya percaya mampu mengubah sikap dan pemikiran anak-anak ini ke arah lebih positif. Sebagai seorang ibu, saya mahu usahakan sebanyak mungkin untuk Timor juga anak-anak autism lain yang perlukan terapi,” ujar Nori yang merupakan anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Jelas Nori lagi, keadaan akan jadi kritikal sekiranya kanak-kanak terlibat tidak diberi bantuan terapi atau rawatan selanjutnya. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak dapat pergi ke sekolah atau tidak dapat melakukan aktiviti harian bersama adik-beradik atau ahli keluarga yang lain.
Bila Timor meltdown, saya dan suami kena pastikan kami yang bersedia dulu. Kalau dia meltdown kami tak boleh terpengaruh sama. Tapi, iyalah kadang-kadang dia meltdown, kita pun boleh terikut sama. Sebaik-baiknya dalam keadaan dia dah terlalu sedih atau mengamuk atau dah tak tahan dengan rangsangan berlebihan ke… kita yang perlu tenang untuk beri dia masa tenteramkan diri dia sendiri atau dalam kata lain, meluahkan perasaan dia dalam keadaan yang selamat.
Jadi kalau dia jenis meronta atau susah nak duduk diam… tangan kaki bergerak-gerak, susah nak kawal, kita pastikan dia ada ruang yang selamat dan kita pun tak nak ada barang pecah dan sebagainya. Kita kena berikan dia masa. Ini bukan anak yang saja mengada-ngada nak mengamuk. Dia memang tak dapat nak mengawal dan perkembangan rangsangan dia kadang-kadang berlebihan.”
Yang pasti, autism melibatkan banyak jenis dan bukan tertumpu kepada satu masalah saja. Ada kanak-kanak yang boleh ditenangkan dengan muzik, gajet, alat mainan dan bermacam-macam lagi. Berbeza pula bagi Timor. Menurut Nori, salah satu cara untuk dia meredakan keadaan Timor adalah dengan memberikan anak kesayangannya itu segelas air.
“Kalau anak saya, saya akan berikan air. Ingatkan dia untuk minum, bagi dia slow down breathing supaya dia akan tenang. Bergantung kepada ibu bapa itu sendiri macam mana hendak menenangkan anak. Paling penting kita latih diri kita untuk tenang bila keadaan anak kita meltdown.”
Ditanya apa reaksi pertama beliau dan suami apabila anak mereka disahkan menghidap autism, Nori bagaimanapun mengakui terkejut dengan perkara tersebut. “Perasaan malu tu tak ada sebab dalam keluarga kami memang dah ada anak istimewa. Cuma terkejut sebab saya pasti mana-mana ibu bapa pun tak duga yang anak mereka akan ada kelainan.
Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang kami dalam ‘action mode’. Maksudnya, kami akan segera fikir apa langkah seterusnya, cari therapist, cari sekolah yang sesuai untuk Timor dan macam-macam lagi. Itu antara first mode kami.
Ibu bapa kena ambil masa juga untuk menerima dan betul-betul faham keadaan ini serta apa impaknya kepada keluarga. Impak ni macam-macam… dari segi emosi, rutin harian, termasuk juga kewangan. Macam saya sendiri, saya terapkan kepada anak-anak lain. Jibreil kini 13 tahun manakala Raif pula 5 tahun. Kedua-duanya pun saya terangkan keadaan sebenar Timor supaya mereka faham.
Saya selalu ingatkan mereka yang walau macam mana sekalipun dia tetap abang atau adik dan ahli keluarga kita. Kami suami isteri turut saling mengingatkan bahawa Timor tetap anak kami. Itu tak akan berubah dan seperti mana kami beri sokongan dan kasih sayang kepada Jibreil dan Raif, macam itu jugalah kami beri kepada Timor. Memang perlu tunjuk kesedaran itu bermula dengan keluarga kita sendiri.
Sejak kecil lagi Jibreil sudah didedahkan dengan keadaan adiknya dan kalau apa-apa berlaku, dia antara yang pertama yang akan pertahankan adik dia. Waktu mengandungkan Raif mula-mula dulu pun kami sekeluarga sudah mula buat persediaan untuk Timor melalui social stories.Kami sediakan social stories ini untuk Timor, agar dia lebih bersedia dan memahami sesuatu perkara melalui gambar dan teks yang mudah. Jadi kami terangkan yang dia bakal ada adik dan tidak terkejut.
Bagi anak-anak autism, mereka agak susah untuk terima pengalaman baru atau perkara yang di luar daripada rutin harian mereka. Sebab itu kami cuba sampaikan perkara baru kepada Timor melalui social stories memandangkan dia boleh membaca.
Mungkin bagi kanak-kanak yang tak mampu membaca lagi, kita boleh bagi visual saja. Tidak kisahlah melalui telefon ke, iPad atau apa-apa pun. Ikut kreativiti ibu bapa itu sendiri. Ini adalah antara tip yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak autism yang masih kurang faham tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka,” telus Nori yang tidak pernah lelah mengasuh Timor berusia 12 tahun.
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Leo Averroes.
Nak cepat baik luka bersalin, ini tip pemakanan ibu dalam pantang. Tempoh berpantang bukan sekadar waktu berehat, tetapi merupakan fasa penting bagi pemulihan tubuh selepas melahirkan anak. Dalam tempoh ini, ibu perlu benar-benar menjaga pemakanan, bukan sekadar menahan diri daripada makan sembarangan.
Selain menjalani rawatan tradisional untuk memulihkan tenaga, apa yang dimakan turut memberi kesan besar terhadap kesihatan keseluruhan ibu.
Pada minggu pertama, disarankan mengambil makanan yang kering bagi membantu mengecutkan rahim. Pastikan makan pada waktu tetap untuk mengelakkan perut dimasuki angin. Nasi yang dimakan sebaiknya masih panas dan dalam jumlah sederhana. Lebih baik makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap, berbanding makan banyak dalam satu hidangan.
Masuk minggu kedua, makanan berkuah seperti sup ikan dan sup sayur boleh mula diperkenalkan, termasuk buah-buahan untuk menyokong keperluan nutrisi badan.
Makanan bergoreng dan berlemak harus dielakkan kerana boleh mengganggu proses penyembuhan. Untuk menjaga berat badan dan kesihatan, lebihkan makanan yang dimasak secara stim atau rebus seperti sayur dan ulam-ulaman.
Walaupun pantang lama melarang minum air dalam kuantiti banyak sekaligus kerana dikatakan boleh menyebabkan rahim lambat kecut, ibu tetap perlu mengambil air secara berkala dalam jumlah mencukupi untuk penghasilan susu dan pemulihan dalaman.
Halia adalah bahan utama dalam hidangan berpantang kerana sifatnya yang ‘panas’ dan ‘kering’. Ia membantu menghilangkan angin, memanaskan badan dan memperbaiki sistem pencernaan. Namun, jika bayi mengalami jaundis, pengambilan halia perlu dihentikan buat sementara kerana ia boleh mempengaruhi kandungan bilirubin dalam susu ibu.
Sayuran seperti cekur manis, lobak putih, peria dan pegaga bukan sahaja membantu menambah susu, tetapi juga melancarkan sistem pencernaan dan pengaliran darah.
Minuman herba hasil rebusan serai, halia, kulit kayu manis dan lada hitam boleh diamalkan dua kali sehari – pagi dan malam – bagi membantu mengembalikan kecergasan tubuh.
Untuk detoksifikasi badan, ulam seperti pegaga, cekur, daun kunyit, ulam raja, pucuk mengkudu dan daun kesum sesuai diambil kerana kaya dengan serat, mineral dan vitamin seperti A, C dan E.
Ikan segar penting dalam diet berpantang. Pilihan seperti ikan haruan, selar dan sardin sangat sesuai, terutama bagi ibu yang bersalin secara pembedahan kerana membantu penyembuhan luka. Sebaliknya, elakkan ikan seperti kembung, bawal hitam, tongkol dan terubuk yang boleh menyebabkan alahan atau bentan.
Buah oren kaya vitamin C yang membantu proses penyembuhan luka dalaman. Dalam masa yang sama, elakkan makanan yang dianggap ‘sejuk’ atau ‘tajam’ seperti kangkung, timun, bayam, tebu, cincau, dan nanas kerana boleh menyebabkan badan sejuk, sakit sendi dan otot lemah.
Pengambilan kunyit bersama nasi panas setiap hari selama 40 hari dipercayai mempercepatkan pengecutan rahim dan membantu penyembuhan luka dalaman. Namun begitu, jika bayi masih mengalami jaundis, sebaiknya elakkan kunyit buat sementara waktu.
Pemulihan selepas bersalin memerlukan disiplin dan ketekunan. Jika ibu tidak serius menjaga pemakanan dan tidak mampu mengikut pantang, kemungkinan besar badan akan mengambil masa lebih lama untuk kembali sihat dan cergas. Menjaga pemakanan semasa berpantang bukan sekadar tradisi, tetapi langkah bijak untuk kesihatan jangka panjang.
Ibu ayah mana yang tidak risau jika anak diserang demam. Kemudian demamnya itu berpanjangan dan suhu badan pun panas. Sudah dua tiga klinik dikunjungi dan ambil ubat, tetap tidak sembuh. Selera makan anak pun semakin berkurangan dan tidak aktif.
Demam bersuhu tinggi merupakan salah satu daripada gejala-gejala jangkitan virus. Terdapat banyak jenis virus yang boleh menjangkiti anak-anak seperti denggi, influenza, enterovirus (penyakit tangan, kaki dan mulut atau Hand Foot Mouth Disease–HMFD), rotavirus (cirit birit) dan bermacam-macam lagi. Semua virus tersebut boleh menyebabkan demam tinggi, dan beberapa lagi gejala lain yang lebih spesifik untuk setiap jangkitan.
Sekiranya anak menghidap demam denggi, dia mungkin akan mengadu sakit kepala, sakit sendi dan tulang, sakit perut, muntah dan cirit birit, atau ruam. Anak yang menghidap jangkitan influenza pula akan mengalami selesema dan batuk. Anak mungkin menunjukkan tumbuhnya bintat kecil di tangan, kaki, punggung serta ulser di dalam mulut sekiranya menghidap HMFD. Seterusnya anak yang menghidap jangkitan rotavirus akan mengalami muntah dan cirit-birit.
Apabila anak demam, perkara yang paling utama adalah pemantauan kondisi anak secara umum seperti tahap aktivitinya dan selera makan minumnya. Berilah ubat demam sekiranya demam tinggi melebihi 38.5° Celcius.
Sekiranya suhu masih tinggi setelah diberikan ubat demam, ibu ayah perlu menjerlum kepala, tengkuk, dan badannya secara keseluruhan. Ini boleh membantu menurunkan suhu badan anak anda. Galakkan anak anda minum banyak air/cecair seperti air kosong, susu, jus buah-buahan dan lain-lain.
Sekiranya semua tersebut sudah dilakukan dan suhu badan anak masih tinggi secara berterusan, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Doktor boleh memberikan ubat tambahan untuk mengawal suhu badan anak anda berdasarkan diagnosis dan keadaan anak.
Sekiranya anak anda dikhuatiri mengalami jangkitan yang serius seperti denggi, doktor akan mengesyorkan pemeriksaan darah. Sekiranya perlu doktor, akan mengesyorkan pemantauan di wad/hospital.
Beberapa ujian boleh membantu doktor untuk mengenal pasti jenis jangkitan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesamaan pada bacaan ujian darah dalam jangkitan virus yang berbeza seperti tahap sel darah putih (white blood cells) dan platelet yang rendah atau menurun. Ujian spesifik untuk mengesan denggi biasanya hanya perlu dilakukan sekiranya kanak-kanak demam bersuhu tinggi secara berterusan selama melebihi tiga atau empat hari.
Ini kerana keputusan ujian mungkin negatif jika dilakukan terlalu awal walaupun sebenarnya pesakit sudah dijangkiti. Begitu juga seperti influenza yang sampel hingus pada awal-awalnya mungkin negatif tetapi jika diulang setelah beberapa hari barulah memberikan keputusan yang positif. Sampel najis pula diperlukan untuk mengenal pasti jenis kuman dalam anak-anak yang mengalami cirit-birit.
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketahui cara sekat video Indonesia di YouTube dengan mudah menggunakan tetapan aplikasi, fungsi sekatan dan kawalan ibu bapa bagi membantu anak menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.