
Siapa sangka, kunjungan seorang ibu bersama anak-anak ke sebuah masjid berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan solat bertukar menjadi pengalaman yang cukup menakutkan.
Semuanya berlaku apabila sebuah kipas gergasi di Masjid KLIA, tiba-tiba terjatuh ketika wanita berkenaan berada di kawasan tersebut bersama anaknya.
Walaupun kedua-duanya terselamat, kejadian itu meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Anak kecilnya dikatakan masih trauma setiap kali hendak tidur, manakala si ibu pula mengalami sakit kepala selepas insiden berkenaan.
Pengalaman mencemaskan itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads menerusi akaun @ismiummdhiahanawafanuh, sekali gus menjadi peringatan tentang pentingnya aspek keselamatan di tempat awam.

Mujur Anak-Anak Lain Sedang Mengambil Wuduk
Menerusi perkongsiannya, wanita berkenaan meluahkan rasa syukur kerana dia dan anaknya terselamat daripada kejadian yang tidak diduga itu.
Apa yang lebih melegakan, anak-anaknya yang lain kebetulan tidak berada di lokasi ketika kipas tersebut terjatuh.
Menurutnya lagi, sebelum kejadian berlaku, dia telah meminta anak-anaknya yang lain untuk mengambil wuduk.
Bagaimanapun, detik mencemaskan itu masih menghantui dirinya dan anak yang berada bersamanya ketika kejadian.
“Takdir Allah saya dan anak terselamat dari kecelakaan kipas besar masjid jatuh atas kami berdua.
“Mujur anak-anak lain waktu itu saya suruh pergi ambil wuduk.
“Sampai sekarang anak saya trauma masa nak tidur dan kepala saya sakit juga wei,” tulisnya.
Biarpun bersyukur kerana terselamat, wanita berkenaan mengakui kejadian tersebut tetap meninggalkan kesan, terutama terhadap emosi anaknya yang masih dibayangi rasa takut.

Kongsi Pengalaman Bukan Untuk Salahkan Mana-Mana Pihak
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut menjelaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan untuk mencari salah atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, dia berharap kejadian yang menimpa dirinya dan anak dapat membuka mata semua pihak mengenai kepentingan memastikan kemudahan di tempat awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Apatah lagi apabila melibatkan rumah ibadat yang menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga yang membawa anak-anak kecil.
Kejadian kipas gergasi jatuh di Masjid KLIA ini juga mengingatkan kita bahawa perkara yang dianggap kecil seperti pemeriksaan kipas, lampu dan kelengkapan bangunan tidak seharusnya dipandang ringan.

Anak Masih Trauma, Ibu Ayah Jangan Abaikan Kesan Emosi
Bagi orang dewasa, kejadian mengejutkan mungkin dapat dilupakan selepas beberapa ketika. Namun bagi kanak-kanak, pengalaman menakutkan boleh meninggalkan kesan emosi yang lebih lama.
Ada anak yang mungkin takut untuk tidur bersendirian, mudah terkejut atau kerap teringat semula kejadian yang dialami.
Dalam situasi seperti ini, ibu ayah perlu memberikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan tanpa memperkecilkan ketakutannya.
Peluk dan tenangkan anak serta yakinkan mereka bahawa mereka kini berada dalam keadaan selamat.
Insiden ini wajar dijadikan peringatan bersama tentang pentingnya penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala terhadap kemudahan di tempat awam.
Semoga ibu dan anak yang terlibat diberikan kesembuhan serta ketenangan selepas melalui pengalaman yang cukup mencemaskan ini.
Sumber: Threads @ismiummdhiahanawafanuh

sekarang!
