Ibu bapa garang buatkan anak semakin menjauh, rasa tak selesa, takut. Peranan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak amat penting. Pendekatan mendidik yang berasaskan kekerasan atau sikap garang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada perkembangan fizikal dan mental anak-anak.
Ibu Bapa Garang Buatkan Anak Semakin Menjauh, Rasa Tak Selesa, Takut
Berikut perkongsian daripada Shah Hakimi trauma therapist, aktivis kaunselor
Anak akan menjauh dan tak selesa dengan ibu ayah jika terlalu garang dan menakutkan.
Ini ialah perilaku biasa bagi sesiapa pun. Jika kita dimarahi, pastinya akan datang rasa takut. Jika kita rasa takut, kita akan rasa nak lari atau jauhkan diri daripada orang tersebut.
Perilaku di atas juga tidak terlepas pada anak kita. Malah banyak lagi kesan buruk pada anak jika kita terlalu garang dan buatkan anak terlalu takut dengan kita. Namun yang terjadi dan dirasai oleh anak kita lebih menakutkan. Sebabnya ketakutan mereka dirasai setiap hari dan setiap masa apabila berada bersama kita.
Bukan itu sahaja, anak kita akan selalu bingung dan keliru sebabnya tidak tahu bila dan sebab apa kena marah. Sebab ada sahaja yang tak kena dan bermasalah. Bayangkan ketakutan ini akan diusung oleh anak kita sampailah mereka dah tua.
Sampai ada yang sudah dewasa pun, duduk sebelah ibu ayah pun boleh terdiam, ‘blank’, rasa ada yang tak kena, gelisah, sangat sensitif, ada juga akan sakit secara tiba-tiba dan banyak lagi berbeza-beza ikut orang.
Dan biasanya kita tidak akan faham beberapa atau banyak tindakan anak kita yang di sebalik setiap perilaku mereka adalah untuk elak atau lari daripada kita. Sebabnya mereka sangat takut. Mereka akan kurang bercakap dengan kita, mereka lagi suka berada bersama kawan-kawan, mereka akan kurangkan masa untuk bersama kita dan banyak lagi.
Dan sedihnya, kita tidak akan perasan pun yang mereka dah mula berperilaku begitu sejak kecil lagi. Dan jadi lebih kerap dan lagi ekstrem apabila mereka dah dewasa.
Juga, anak yang sudah dewasa pun tak sedar yang mereka cuba elak atau lari daripada ibu ayah mereka dengan pelbagai helah dan alasan yang nampak rasional dan boleh jadi sukar untuk diperdebatkan.
Bukankah anak itu sudah belajar sejak kecil dengan pelbagai strategi licik dan kreatif untuk sedaya upaya kurangkan rasa ketakutan tersebut. Pastinya apabila dewasa, lagi nampak munasabah segala strateginya.
Kesan Terhadap Emosi dan Mental
Stres dan Kecemasan
Anak-anak yang sering dimarahi atau dihukum secara keras mungkin mengalami tekanan dan kecemasan yang tinggi. Mereka mungkin berasa takut untuk membuat kesilapan atau menyuarakan pendapat mereka, yang boleh menyebabkan tekanan emosi yang berterusan.
Ads
Harga Diri Rendah
Sikap garang dan kritikan berterusan boleh merendahkan harga diri anak-anak. Mereka mungkin merasakan diri mereka tidak berharga atau tidak mampu memenuhi harapan ibu bapa, yang boleh mengakibatkan perasaan rendah diri.
Masalah Perilaku
Anak-anak mungkin menunjukkan tingkah laku negatif seperti memberontak, berbohong, atau menjadi agresif sebagai reaksi terhadap perlakuan garang ibu bapa. Ini adalah cara mereka untuk mengekspresikan kekecewaan atau kemarahan yang terpendam.
Kesan Terhadap Prestasi Akademik
Kehilangan Motivasi
Ketakutan terhadap hukuman atau dimarahi boleh menyebabkan anak-anak kehilangan minat dan motivasi untuk belajar. Mereka mungkin belajar semata-mata untuk mengelakkan hukuman, bukannya kerana minat atau keinginan untuk mencapai kejayaan.
Kesukaran Fokus
Stres dan kecemasan yang disebabkan oleh ibu bapa yang garang boleh mengganggu keupayaan anak-anak untuk fokus dalam pelajaran. Ini boleh mengakibatkan prestasi akademik yang merosot.
Ads
Kesan Terhadap Hubungan Sosial
Kesukaran Membina Hubungan
Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang garang mungkin mengalami kesukaran untuk membina hubungan yang sihat dengan rakan sebaya dan orang dewasa lain. Mereka mungkin menjadi pemalu, takut untuk berinteraksi, atau sebaliknya, menjadi terlalu agresif dalam perhubungan.
Kurang Kemahiran Sosial
Kekurangan interaksi positif di rumah boleh mengakibatkan anak-anak kurang kemahiran sosial. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik atau menguruskan konflik dengan cara yang sihat.
Adalah penting bagi ibu bapa untuk menyedari bahawa pendekatan mendidik yang terlalu garang boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap anak-anak. Kasih sayang, komunikasi yang baik, dan pendekatan yang lebih lembut tetapi tegas adalah penting dalam mendidik anak-anak.
Ibu bapa harus berusaha untuk memahami perasaan anak-anak dan memberikan sokongan emosi yang mereka perlukan untuk berkembang dengan sihat dan bahagia.
Sumber: Shah Hakimi trauma therapist, aktivis kaunselor
Bilangan perkataan yang boleh kanak-kanak sebut akan bagi kesan berapa panjang ayat yang mereka boleh buat.
Menurut Patalogis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassimkanak-kanak 2 tahun patutnya sudah boleh buat ayat 2 perkataan. Jadi bilangan perkataan yang mereka kena sebut adalah lebih kurang 70-100 perkataan. Ini purata sahaja. Kalau lebih bagus lah.
Paling sikit 50 perkataan (ini borderline). Jika tak ditingkatkan bilangan, boleh membawa kepada kelewatan untuk perkembangan bahasa seterusnya.
Jadi jika anak sudah 2 tahun ke atas tapi masih cakap sepatah-sepatah, anda perlu lihat bilangan perkataan yang mereka boleh sebut. Jika sikit sebab tu lah mereka belum buat ayat lagi.
Pentingnya ibu bapa tambahkan perkataan yang mereka boleh sebut dulu. Nanti bila bersedia mereka akan buat ayat pula.
Nak atasi anak cakap pelat, ibu bapa kena rajin layan anak bercakap sepanjang masa. Tidak hairan jika hari ini ada yang risau mengenainya.
“Anak saya dah 3 tahun tapi masih pelat cakap bahasa dia. Memang susah nak faham.”
“Anak saya masih belum pandai bercakap lagi, sedangkan semua kawan-kawan sebayanya sudah pun petah bercakap.”
Sebenarnya, semua anak-anak belajar bahasa mengikut aturan yang sama. Mereka belajar nama-nama pertama, kemudian mereka mula menggabungkan perkataan-perkataan tersebut dan akhirnya mereka pandai membuat ayat.
Menurut Dr Erna Nadia, ibu bapa yang ada anak seperti ini mestilah ajar anak-anak menggunakan perkataan dengan betul, bukan pelat.
Contoh:
Makan, bukan mamam
Susu, bukan syusyu atau nenen
Berak, bukan yakyak
Dan kena selalu bercakap dengan anak-anak di rumah. Bukan sekadar biar mereka main sendiri atau bagi gadget atau tengok tv tapi kita buat hal kita.
Sebab tu ekspresi anak jadi flat macam screen gadget dan tv sebab dia berkomunikasi sehala. Dia tak tahu nak bercakap dengan orang lain, dia tak tahu nak bercakap pun dan yang lebih teruk lagi gaya dan nada cakap dia seperti kartun.
Ada kes di mana seorang kanak kanak umur 3 tahun yang bercakap bunyi seperti mickey mouse sebab setiap hari dia dihidangkan dengan video mickey mouse. Kesian dia.
Ajar anak-anak kira dan perkataan yang berlainan setiap hari. Ajar anak anak untuk minta apa yang dia mahu dengan perkataan.
Contoh:
Dia nak makan nasi, dia tunjuk dan cakap ‘nak nasi’
Dia nak main kat luar, dia cakap ‘nak main’
Ajar dia perkataan baru setiap hari dan ulang ulang ulang. Anak-anak umpama span, dia akan serap apa yang dia lihat dan dengar setiap hari.
Jadi, berkatalah dan ajarlah serta tunjukkanlah yang baik-baik jika kita mahu anak-anak kita menjadi baik-baik.
Lagi satu, perhatikan anak kita bila kita panggil dia. Bila terus panggil, dia terus toleh atau tak. Jangan jerit, cuba dengan nada biasa sahaja, tengok samada dia toleh atau tak. Jika tak, cuba dengan nada yang sedikit kuat.
Jika selalu terjadi, boleh cuba beberapa kali. Risau jika dia tak bercakap atau lambat bercakap bukan sebab tak pandai cakap tapi ada masalah pendengaran.
Biasanya bila anak berumur setahun enam bulan, dia dah boleh berkata 1-2 perkataan dengan jelas.
Contoh : mama, papa, nak makan, atok, nenek, ibu, susu.
Umur dua tahun dah boleh sebut 2-3 perkataan dengan jelas dah boleh mengira (walaupun tunggang terbalik)
Contoh: kereta banyak, nak makan nasi, nak minum susu, jom main.
Bila umur 3 tahun, dia dah boleh bina ayat mudah.
Contoh: ibu, jom kita pergi jalan-jalan.
Babah, tengok tu kucing comel.
Cubalah ya.
Bersembang dengan anak-anak selalu. Ajar mereka setiap hari setiap masa.
Umur setahun pun ada saja budak yang pandai lafaz doa makan dan surah pendek. Semua tu bukan magik cuma perlukan praktik.
Ingat ya, ajar anak bercakap bukan sekadar tunjuk-tunjuk atau bagi gadget sahaja.
Janganlah kita kata ‘anak saya yang ni lambat sikit tak macam kakak abang dia’. Kata kata tu doa. Takkan seorang ibu bapa nak doa yang tak bagus kan?
Semua orang pun tak pernah jadi ibu bapa. Jadi, bukan anak-anak sahaja yang perlu belajar, ibu bapa pun perlu tambah ilmu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berat badan anak turun semasa berpuasa mungkin merisaukan mama dan papa. Tambah lagi dia liat nak bangun sahur. Macam mana nak buat, mama papa buntu!
Puasa di bulan Ramadan ialah rukun Islam ketiga. Adakah puasa tidak memudaratkan keperluan nutrien anak? Menurut Nur Hidayanti Asma Alias, Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Pendedahan terhadap puasa digalakkan sejak daripada peringkat awal. Latihan ini dapat mendidik si manja membiasakan diri untuk berpuasa pada usia yang diwajibkan iaitu selepas akil baligh.
Apa yang penting bagi ibu bapa yang ingin melatih anak-anak berpuasa, galakkan supaya anak bangun untuk sahur. Bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Amalan sahur dan berbuka dengan sajian yang seimbang dapat mengekalkan keperluan nutrisi seharian.
SAJIAN SEIMBANG UNTUK SAHUR
Makanan yang sesuai diambil semasa bersahur adalah makanan lengkap yang terdiri daripada karbohidrat, protein, serat dan lemak. Sediakan makanan seimbang contohnya nasi bersama lauk, sayur atau buah-buahan.
Makanan yang disediakan haruslah segar dan baru dimasak.Jika ada lebihan makanan berbuka, pastikan makanan disimpan dengan betul dan dipanaskan sempurna bagi mengelakkan kontaminasi makanan.
Elakkan makanan berproses seperti sosej dan nuget sebagai sajian sahur anak. Makanan berproses mengandungi kandungan garam yang tinggi yang boleh menyebabkan rasa haus sekaligus mengakibatkan badan mengalami kehilangan air (dehidrasi)
Makanan yang pedas dan berempah juga perlu dielakkan supaya tidak berlaku ketidakselesaan perut. Pastikan anak meminum air kosong ketika bersahur.
Elakkan minuman berkafein seperti kopi atau teh yang merupakan agen diuretik dan boleh menyebabkan dehidrasi.
5 TIP ANAK MINUM AIR SEMASA BERPUASA
Sewaktu puasa, badan anak mungkin akan mengalami dehidrasi atau kekurangan air di dalam badan sekiranya pengambilan air tidak mencukupi. Masalah ini akan menyebabkan badan keletihan sewaktu berpuasa. Walaupun waktu antara berbuka hingga sahur adalah terhad, tips berikut boleh di amalkan bagi mengelakkan badan kekurangan air.
Amalkan pecahan minum air berikut bagi mendapatkan jumlah air yang disarankan setiap hari.
Sewaktu berbuka, minum satu gelas air terlebih dahulu. Disarankan untuk berbuka dengan kurma atau manisan dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu.
Selepas solat Maghrib, pastikan minum satu gelas air lagi. Tambah satu gelas air lagi selepas makan. Selain menggalakkan pengambilan air, pemilihan air kosong selepas makan dapat mengawal kalori yang diambil. Selepas solat Isyak dan terawih, minum satu gelas air lagi.
Sebelum tidur, anak juga digalakkan untuk minum air.Dua gelas air lagi ditambah ketika bangun untuk sahur dan selepas makan sahur.
Pembahagian waktu minum air seperti ini digalakkan bagi mengelakkan ketidakselesaan pada perut jika minum sekaligus dengan kuantiti yang banyak pada suatu masa.
BERAT ANAK SAYA TURUN SEMASA RAMADAN! BAHAYAKAH?
Anda perlu tahu tumbesaran anak iaitu tinggi, berat dan indeks jisim tubuh berpandukan carta tumbesaran oleh World Health Organisation (WHO). Bagi kanak – kanak yang memiliki masalah berlebihan berat badan dan mengamalkan pemakanan berkalori tinggi, bulan puasa adalah waktu terbaik untuk melatih mereka mengamalkan pemakanan yang sihat.
Jika kanak – kanak berpuasa mengamalkan kuanti dan kualiti makanan yang betul, penurunan berat badan secara sihat akan berlaku dan ia tidak akan memberikan kesan negatif kepada mereka.
Sebaliknya, kanak – kanak yang tidak perlu menurunkan berat badan tetapi mengalami penurunan,semak semula makanan yang disediakan untuk anak ketika sahur dan berbuka. Pastikan ia berkhasiat, berkualiti dan seimbang.
MOREH
Snek malam selepas terawih dibenarkan dengan kadar yang tidak keterlaluan. Ambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, buah atau kuih muih dengan kuantiti yang sedikit bagi mengelakkan pengambilan kalori yang berlebihan pada waktu malam.
Selain kuantiti, kualiti makanan perlu dititik beratkan supaya anak mendapat zat makanan yang lengkap untuk keperluan satu hari. Oleh itu, elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi atau mi goreng kerana pada waktu malam kerana mereka tidak memerlukan tenaga yang banyak pada waktu malam.
6 Tip pemakanan anak di bulan Ramadan
Pemilihan makanan yang sihat dan seimbang sangat digalakkan untuk berbuka puasa dan sahur.
Mulakan waktu berbuka dengan makanan yang mudah dihadam seperti kurma dan buah-buahan. Ini dapat memberikan tenaga segera kepada tubuh selepas seharian berpuasa.
Elakkan minuman manis, berkarbonat ketika berbuka bagi mengelakkan ketidakselesaan pada perut dan mengelakkan pengambilan kalori yang terlebihan.
Sediakan sajian makanan lengkap yang terdiri daripada karbohidrat kompleks (nasi, mi, roti), protein (ikan, ayam) dan serat (sayuran, buah).
Karbohidrat kompleks lebih baik berbanding kuih muih manis yang mengandungi kandungan gula yang tinggi yang akan menyumbang kepada lebihan kalori.
Bagi lauk pauk pula, pilih makanan yang dipanggang, kukus atau rebus. Serat seperti bijirin penuh, buah buahan dan sayur sayuran mengekalkan rasa kenyangan yang berpanjangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.