
“Tak apalah, bagi anak minum sikit saja. Bukannya selalu pun!”
Namun, tanpa disedari, daripada sedikit itulah akhirnya menjadi kebiasaan. Setiap kali keluar makan, anak pesan air manis. Balik dari sekolah, cari air kotak. Apabila berjalan-jalan bersama keluarga, minuman boba pula menjadi pilihan.
Tabiat pengambilan minuman manis anak ini perlu diberikan perhatian oleh ibu ayah agar tidak menjejaskan kesihatan mereka dalam jangka panjang.
Sebagai ibu ayah, tentunya kita seronok melihat anak menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka. Namun, jangan kerana terlalu ingin memenuhi kehendak anak, kita terlepas pandang kesannya terhadap kesihatan mereka dalam jangka panjang.
Lebih membimbangkan, pengambilan gula berlebihan bukan sahaja meningkatkan risiko obesiti dan kerosakan gigi, malah boleh menyumbang kepada masalah kesihatan yang turut menjejaskan fungsi buah pinggang.
Jangan Pandang Ringan Pengambilan Minuman Manis Anak
Buah pinggang merupakan organ penting yang berfungsi menapis bahan buangan daripada darah serta mengawal keseimbangan cecair dalam badan.
Pengambilan minuman manis secara berlebihan dan berterusan boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes jenis 2 serta tekanan darah tinggi. Masalah kesihatan ini boleh menjejaskan fungsi buah pinggang dalam jangka panjang.
Walaupun minuman manis bukan penyebab langsung utama penyakit buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak, tabiat pemakanan yang tidak sihat sejak kecil boleh meningkatkan risiko penyakit apabila mereka meningkat dewasa.
Sebab itulah ibu ayah perlu mengambil berat tentang pengambilan minuman manis anak, termasuk kekerapan dan jumlah gula yang diambil setiap hari.
7 Jenis Minuman Manis Anak Yang Perlu Dikawal

Berikut tujuh jenis minuman yang perlu diberikan perhatian oleh ibu ayah.
1. Air Sirap
Air sirap sering menjadi pilihan ketika makan di luar mahupun menghadiri kenduri. Namun, kandungan gula tambahan yang tinggi serta nilai nutrisi yang rendah menjadikannya kurang sesuai untuk dijadikan minuman harian anak.
2. Jus Buah Dalam Kotak
Jangan mudah terpedaya dengan gambar buah-buahan pada bungkusan. Sesetengah minuman jus mengandungi gula tambahan yang tinggi. Sebaiknya, berikan anak buah-buahan segar yang turut membekalkan serat.
3. Minuman Susu Pekat Manis
Meskipun mempunyai perkataan susu, susu pekat manis mengandungi gula yang tinggi dan bukan pengganti kepada susu biasa. Elakkan menjadikannya bahan utama dalam bancuhan minuman harian anak.
4. Minuman Tenaga
Minuman tenaga mengandungi kafein dan sesetengahnya turut mengandungi gula yang tinggi. Pengambilannya boleh meningkatkan tekanan darah, mengganggu waktu tidur dan menyebabkan jantung berdegup lebih laju. Minuman ini tidak sesuai untuk kanak-kanak.
5. Minuman Bergas
Rasa manis dan sensasi berkarbonat membuatkan minuman ini digemari anak-anak. Namun, pengambilan terlalu kerap boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes jenis 2 dan kerosakan gigi.
6. Minuman Coklat Segera
Antara minuman kegemaran si kecil. Bagaimanapun, sesetengah minuman coklat segera mengandungi gula tambahan yang tinggi, apatah lagi jika dibancuh bersama susu pekat manis.
7. Boba Dan Milk Tea
Bukan sahaja mengandungi gula daripada bancuhan minuman, malah tambahan topping seperti bebola boba, jeli dan sirap turut meningkatkan jumlah gula serta kalori yang diambil.
Didik Anak Minum Air Kosong Sejak Kecil
Ibu ayah memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- Biasakan anak membawa botol air kosong ke sekolah.
- Kurangkan stok minuman manis di rumah.
- Baca label kandungan gula sebelum membeli minuman.
- Elakkan menjadikan minuman manis sebagai ganjaran.
- Jadilah contoh kepada anak dengan mengutamakan air kosong.
Dalam usaha mengawal pengambilan minuman manis anak, ibu ayah boleh melakukan perubahan secara berperingkat supaya anak lebih mudah membiasakan diri dengan pilihan minuman yang lebih sihat.
Selain air kosong, susu biasa tanpa gula tambahan juga boleh dijadikan pilihan yang bersesuaian dengan usia dan keperluan pemakanan anak.
Jangan lupa untuk menyemak jumlah gula bagi setiap hidangan pada label minuman kerana satu botol mungkin mengandungi lebih daripada satu hidangan.
Jangan Tunggu Anak Sakit Baru Nak Berubah!

Kadangkala, kerana tidak sampai hati melihat anak meminta, kita turuti sahaja kemahuannya. Namun, kasih sayang bukan bermakna semua permintaan anak perlu dipenuhi.
Belajarlah untuk berkata tidak apabila sesuatu itu boleh memudaratkan kesihatannya.
Biarlah anak merajuk seketika kerana tidak mendapat minuman kegemarannya daripada berdepan masalah kesihatan pada masa hadapan.
Mengawal pengambilan minuman manis anak sejak kecil merupakan antara langkah yang boleh dilakukan oleh ibu ayah untuk membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan dalam jangka panjang.

Kesihatan anak adalah amanah. Apa yang kita biasakan kepada mereka hari ini, itulah yang akan dibawa sehingga dewasa nanti. Mulakan perubahan daripada rumah, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sumber: CDC www.mkn.gov.my
American Academy of Pediatrics, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) dan National Kidney Foundation.

sekarang!
