Mendidik anak lelaki dan perempuan bukannya mudah. Lagi-lagi dalam keadaan sekarang yang cukup mencabar dan memerlukan pendekatan psikologi selain kecanggihan teknologi yang tanpa sempadan.

Sebagai ibu bapa anda adalah guru pertama anak sejak kecil dan ketika di rumah. Jika di rumah anak-anak dipersiapkan dengan segala ‘benteng’ kerohanian yang baik, anak-anak pasti tiada masalah walau ke mana sekalipun pergi.

Tip yang dikongsikan oleh Puan Aminah Mat Yusoff Yusoff ini mengenai mendidik anak lelaki cara orang dulu-dulu boleh dijadikan panduan bersama.

Tip mendidik anak lelaki cara orang dulu-dulu

Cabaran mendidik anak lelaki berbeza dengan anak perempuan. Saya kongsikan beberapa tip terbaik melahirkan anak lelaki yang berjiwa kental, bertanggungjawab dan di hormati masyarakat.

1. Sumber belanja

Inilah kehidupan. Saya menelusuri diary Almarhum ayahanda dan 5 bapa saudara yang dibesarkan oleh atuk dan nenek. Semuanya lelaki. Kebanyakan dari mereka menjadi insan yang sangat disegani dan ada yang dikumpulkan dalam kelompok ulama negeri kelantan.

Subhanallah..Terasa kerdilnya diri ini.

Jangan terkejut jika saya nyatakan, mereka melanjutkan pengajian ke luar negara berbekalkan duit belanja dari hasil jualan telur itik dan sumbangan masyarakat kampung.

Rupanya, wang belanja dan sumber yang berkat memberi kesan yang hebat dalam kehidupan seorang anak. Menjadi asbab kepada Allah SWT redha dengan ilmu yang dituntut sehingga mampu menjadi tunjang dalam masyarakat.

IKLAN

2. Susah

Kemewahan hanya akan melahirkan seorang anak lelaki yang pandai meminta bukan memberi.

Ajari mereka tentang kehidupan yang susah, jika hari ini suasana rumah kita tidak membantu, bawalah anak-anak ke suatu tempat yang mampu mengajar erti kesusahan yang sebenar.

Ajak mereka melakukan khidmat masyarakat, turun menziarahi keluarga yang dhoif dan berikan tanggungjawab sebagai Ketua untuk menguruskan sesuatu misi mengikut kadar kemampuan.

Banyakkan program bersama anak lelaki, membersih kawasan masjid, tempat wudhuk dan paling penting ialah tandas. Inilah cara yang paling mudah untuk menundukkan hati yang keras dan sombong.

Bila hati sudah dilentur, mudahlah akhlak dibentuk.

3. Damping

IKLAN

Cuba tanya anak lelaki satu soalan nie, bila besar nanti nak jadi apa?

Kita akan mendengar jawapan yang hampir sama. “Saya nak Jadi macam ayah”

Apapun pun pekerjaan seorang ayah, anak lelaki akan merasa bangga dan sentiasa memasang angan-angan untuk menjadi seperti nya.

Penting, dampingi anak-anak dengan contoh kelakuan yang terbaik. Tabiat yang buruk tinggalkan diluar rumah atau lakukan diluar pngetahuan anak-anak lelaki. Contohnya bertengkar, ketagihan game, merokok dan sebagainya.

Seorang anak yang diajar dengan kekerasan, sifat bengis, pemarah, suka berhibur dan kemaksiatan akan cenderung menjadi seorang penjenayah, mereka melihat orang lain sebagai lawan bukannya kawan.

4. Cintakan ilmu, pasakkan tauhid dalam jiwa

IKLAN

Bahaya membiarkan jiwa seorang anak lelaki kosong, kering dan gersang kerana banyak unsur-unsur negatif akan berebut memenuhinya.

Tidak mudah mendidik anak lelaki kerana kita hanya mampu melihat hasilnya apabila mereka menginjak remaja dan menjadi dewasa.

Cabaran yang paling besar ialah menguruskan anak lelaki remaja.. berapa ramai ibu ayah yang menumpahkan air mata kerana anak mereka tersungkur di lembah kehinaan, salah memilih haluan hidup, kuat melawan, memilih teman hidup yang salah, tercalar akidah kerana taasub dengan artis-artis barat dan kpop.

Ubat kepada segala penyakit ini ialah suapkan makanan kepada Rohani mereka. Wujudkan hubungan dengan Allah dan benamkan kalimah tauhid dalam jiwa, pasti dan pasti tidak ada perkara yang boleh merosakkannya.

5. Berdikari

Bekal hidup yang paling baik untuk seorang anak lelaki ialah ilmu dan pengalaman. Hantar mereka belajar di tempat jauh, lagi jauh lagi mahal pengalaman yang mereka perolehi.

Anak lelaki yang berdikari akan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bijak mengatur kehidupan.

Kita bukan sahaja melahirkan seorang anak lelaki, tetapi Allah amanahkan kita bakal khalifah. Besar sungguh tanggungjawab mendidik, kerana kita akan disoal tentang amanah ini.

Sumber: Aminah Mat Yusoff Yusoff

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI