“Saya selalu lihat video wanita memandu treler di TikTok dan ketika itu terfikir kalau mereka boleh, kenapa saya tidak boleh melakukan perkara sama,” kata Siti Hajar Mat Kasa ibu kepada dua cahaya mata.

Siti Hajar, 36, adalah pemandu treler yang menghantar barang hampir seluruh semenanjung Malaysia sejak enam bulan lalu.

Wanita itu juga selalu berkongsi videonya memandu kenderaan berat itu di TikTok dan mendapat perhatian warga aplikasi sosial itu.

ARTIKEL BERKAITAN [“Iron Lady KLCC..” Status Ibu Bukan Penghalang Maya Teruskan Karier Diminatinya]

Dah belajar memandu sejak dua tahun lalu

Menerusi perkongsian Harian Metro, ibu kepada dua anak lelaki berusia empat dan tujuh tahun itu berkata, dia mendapat lesen E penuh Februari lalu, namun sudah belajar memandu kenderaan berat itu sejak dua tahun lalu.

“Ingat Lelaki, Tengok Saya Berbaju Kurung, Ramai Tak Sangka.” Hebat Ibu Anak 2 Bawa Treler!

Menurutnya, semua itu dilakukan kerana minat dan mahu mencabar keupayaan diri selain mahu merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.

IKLAN

“Sebelum ini saya berniaga pencuci mulut yang dihasilkan dan dihantar sendiri selama lima tahun secara kecil-kecilan. Saya mencari kerja baharu yang ada penyata gaji kerana berhasrat membeli rumah sendiri.

“Itu yang mendorong saya memilih kerjaya pemandu lori. Saya mulanya ikut rakan untuk belajar cara memandu, turun dan naik bukit dan di selekoh. Lesen memandu lambat diperoleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Bawa pelbagai muatan seperti makanan dan kayu

Siti Hajar berkata, treler yang dipandunya ketika ini adalah yang ketiga yang mana dua kenderaan berat terdahulu adalah jenis kontena dan hanya menghantar barang dari pelabuhan ke sekitar Johor serta selatan ke utara sahaja.

Katanya, sekarang dia membawa pelbagai muatan barang seperti makanan dan kayu ke seluruh Semenanjung kecuali Terengganu.

IKLAN

“Ironinya kerjaya ini mencabar walaupun orang melihat kami berkerja secara santai tetapi kami perlu menahan mata untuk perjalanan yang jauh lebih 200 kilometer (km) sehari, tidur pun di tepi jalan atau di hentian rehat, makan pun kadang-kadang tak sempat.

“Pada mulanya memang agak sukar nak pandu kenderaan berat tetapi selepas kita tahu cara yang betul itu tidak menjadi masalah asalkan kita ada keyakinan serta keberanian,” kata anak jati Kampung Cahaya Baru, Masai.

Niat cari rezeki halal

Menurutnya, kenangan tidak dilupakan apabila pernah dimarah kerana mengambil masa lama untuk membuat pusingan U, dipertikaikan keupayaan memandu kenderaan berat, selain pernah dipuji kerana berani memandu treler.

“Ada juga yang terkejut kerana mereka ingatkan lelaki yang pandu dan saya juga kadang-kadang ada memakai baju kurung ketika ketika pulang menghantar barang sebab kurang sibuk dan tetap memakai seluar panjang di dalam kain.

“Sebelum ini, ibu bapa juga tak benarkan saya memandu treler, malah mereka minta saya cari kerja lain tetapi akhirnya bersetuju. Pada saya ini usaha saya mencari rezeki halal,” katanya.

“Ingat Lelaki, Tengok Saya Berbaju Kurung, Ramai Tak Sangka.” Hebat Ibu Anak 2 Bawa Treler!

IKLAN

Mengenai perkongsiannya di TikTok, Siti Hajar berkata, dia hanya mahu menyimpan kenangan dan bukan menunjukkan keupayaan memandu kenderaan berat itu.

“Sebenarnya sudah ramai kaum hawa memandu kenderaan berat dan ia bukan perkara baharu. Saya juga bukan mahu menunjuk boleh menjadi seperti lelaki sebaliknya hanya mencari rezeki halal,” katanya.

Kredit: Metro

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI