
Pendidikan adalah jambatan yang mampu mengubah masa depan seseorang, tanpa mengira latar belakang kehidupan. Menyedari hakikat itu, kerajaan terus memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi menerusi pelbagai inisiatif bantuan kewangan, termasuk Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) yang memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mengejar impian akademik tanpa dibebani hutang pendidikan.
Penyerahan BAeK PTPTN Kepada Para Pelajar
Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin. Terdahulu, sesi Penyerahan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) kepada pelajar di Johor pada 13 Jun 2026 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN.
Penyerahan BAeK PTPTN akan diteruskan pada 15 Jun 2026 di Melaka melibatkan dua (2) pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Politeknik Melaka yang disempurnakan oleh YB Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir, Puan Mas Anisah Ayu binti Othman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Melaka.


402 Pelajar Seluruh Negara Telah Menerima Manfaat
Pengerusi PTPTN semasa Sesi Penyerahan BAeK PTPTN di Johor, turut memaklumkan bahawa sejak diperkenalkan pada tahun 2026 sehingga 31 Mei 2026, seramai 402 orang pelajar di seluruh negara menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM8.79 juta. Melalui pelaksanaan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN), pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mulai 1 Januari 2026.
Inisiatif ini membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Menerusi BAeK PTPTN juga impian pendidikan tinggi golongan memerlukan dapat direalisasikan melalui sokongan kewangan yang menyeluruh sekali gus memberi dorongan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memulakan kerjaya tanpa hutang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





