
Tahniah diucapkan buat pelakon jelita, Datin Intan Najuwa yang mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak kedua. Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Intan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, semalam.
Dalam perkongsian yang mencuri perhatian ramai itu, Intan memaklumkan bahawa puteri sulungnya, Imane Lunara bakal bergelar kakak tidak lama lagi. Berita tersebut sekali gus menandakan keluarga kecil mereka bakal bertambah ahli dan suasana rumah tangga pastinya akan lebih meriah dengan kehadiran cahaya mata baharu.
“Lunara akan jadi kakak. Keluarga kecil kami semakin membesar dan kami akan jadi berempat,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Menerusi hantaran sama, Intan turut memuat naik foto yang cukup menyentuh hati. Dalam gambar tersebut, Intan dilihat memegang imej imbasan kandungannya sambil tersenyum bahagia. Lebih mencuri perhatian, Lunara juga turut memegang gambar imbasan tersebut, seolah-olah sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang kakak.
Ruangan komen dihujani ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang tidak sabar menantikan kehadiran ahli baharu dalam keluarga pasangan ini. Ramai yang mendoakan agar segala urusan kehamilan Intan dipermudahkan serta bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023 dalam sebuah majlis yang berlangsung meriah. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama, Imane Lunara pada 15 Disember 2024.