
Ada cinta yang semakin kuat selepas melalui pelbagai fasa kehidupan bersama. Bukan hanya ketika bahagia, tetapi saat seorang isteri berada dalam keadaan paling lemah, takut dan memerlukan seseorang untuk terus menggenggam tangannya.
Sempena ulang tahun perkahwinan yang ketiga, pelakon Datin Intan Najuwa Abdul Wahid mencuri perhatian apabila menitipkan luahan cukup manis dan menyentuh hati buat suami tercinta, Datuk Ahmad Asraf Azman.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Intan mengenang kembali perjalanan tiga tahun rumah tangga mereka yang penuh dengan pelbagai warna. Daripada kehidupan berdua sebagai pasangan suami isteri, melalui pengalaman kehamilan dan kelahiran, sehinggalah kini bergelar ibu dan ayah kepada dua cahaya mata perempuan.
Biarpun tiga tahun mungkin kelihatan singkat, namun bagi Intan, terlalu banyak kenangan, ujian dan momen istimewa yang telah dilalui mereka sepanjang tempoh tersebut.
“Tiga tahun mungkin nampak singkat, tapi dalam tiga tahun ini, terlalu banyak cerita yang kita lalui bersama. Dari hari-hari bahagia, sampai ke saat saya paling lemah dan rapuh, awak tetap ada di sisi.
“Marriage is beautiful when you get to marry your best friend.”
Apa yang lebih menyentuh hati apabila Intan turut berkongsi bagaimana suaminya tidak pernah meninggalkan dirinya sendirian terutama ketika melalui detik-detik mencabar sebagai seorang ibu.
Menurut Intan, kehadiran suami yang sentiasa menjaga, menemani dan memberikan sokongan membuatkan dirinya berasa cukup dihargai sebagai seorang isteri.
“Terima kasih sebab sentiasa menjaga saya, menyayangi saya tanpa syarat dan tak pernah buat saya rasa keseorangan.”
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Malah sepanjang kehamilan sehingga melalui proses bersalin, suaminya menjadi insan yang sentiasa berada di sisinya.
“Sepanjang pregnancy, awak tak pernah lepaskan tangan saya. Sampai saat saya takut di OT, awak pegang tangan saya erat.
“Awak ada untuk first walk saya selepas bersalin, menemani malam-malam yang penuh tangisan dan tetap sabar dengan emosi saya sepanjang postpartum.”
Bagi seorang wanita yang baru melalui proses melahirkan anak, sokongan pasangan sememangnya begitu besar nilainya. Bukan sahaja daripada segi fizikal, malah kehadiran suami ketika emosi sedang tidak stabil mampu memberikan rasa selamat dan kekuatan.
Intan Najuwa turut mengakui bahawa suaminya pernah melihat dirinya dalam keadaan paling rapuh, namun lelaki itu tetap memilih untuk berada di sisinya.
“Awak dah lihat saya dalam keadaan paling vulnerable, tapi awak tetap pilih untuk ada. ❤️”
Luahan ringkas itu nyata membawa makna yang cukup mendalam. Ada kalanya cinta selepas berkahwin bukan lagi sekadar kejutan romantik atau ungkapan manis, tetapi tentang kesetiaan untuk terus berada bersama ketika pasangan sedang melalui waktu yang sukar.
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Dalam pada itu, Intan turut menyifatkan kehadiran dua cahaya mata perempuan sebagai hadiah paling indah daripada Allah sepanjang tiga tahun perkahwinan mereka.
Daripada hanya berdua, kehidupan pasangan ini kini semakin lengkap dengan gelak tawa dan keletah dua puteri yang menjadi pengikat kasih dalam keluarga kecil mereka.
“Dan hadiah paling indah daripada Allah dalam tiga tahun ini… dua little girls yang melengkapkan keluarga kecil kita. 🥹❤️”
Kehadiran cahaya mata bukan sahaja membawa status baharu sebagai ibu dan ayah, malah pastinya menjadikan ikatan antara pasangan semakin kuat apabila mereka bersama-sama belajar membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak.
Bagi Intan, perkahwinan bukan sekadar mencintai pasangan ketika hidup sedang indah. Sebaliknya, ia adalah tentang dua insan yang terus memilih untuk menjaga dan menyokong satu sama lain dalam setiap musim kehidupan.
“Marriage isn’t just about loving each other on the good days. It’s about two people choosing to take care of each other through every season of life.”
Mengakhiri luahan tersebut, Intan mengucapkan terima kasih kepada suaminya kerana menjadi tempat paling selamat, sahabat baik dan insan kesayangannya.
“Thank you for being my safe place, my best friend and my favourite person.”
Tidak ketinggalan, pelakon itu turut menitipkan doa agar rumah tangga yang dibina terus berada dalam lindungan Allah, dipanjangkan jodoh dan diberikan kesempatan untuk menua bersama.
“Semoga Allah terus jaga rumah tangga kecil kita, panjangkan jodoh kita dan izinkan kita menua bersama, dalam susah dan senang.
“Happy anniversary, sayang.
“I love you, always and forever.”
Manis sungguh luahan seorang isteri buat insan yang sentiasa berada di sisinya. Tiga tahun mungkin baru permulaan kepada perjalanan yang panjang, namun segala pengalaman yang dilalui bersama pastinya menjadikan hubungan itu semakin kuat dan bermakna.
Semoga rumah tangga Intan Najuwa dan suami terus dilimpahi kebahagiaan, dipermudahkan setiap urusan serta dua cahaya mata mereka terus membesar menjadi pengikat kasih dan penyejuk hati ibu ayah.
Untuk rekod, Datin Intan Najuwa Abdul Wahid mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos 2023.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini kini dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan, iaitu Imane Lunara dan Imane Laudya, yang melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga mereka.
Sumber: intannajuwa