Biar tak kaya harta pun, asalkan dikelilingi dengan anak-anak soleh dan solehah sebagai penyeri rumah tangga dah cukup membahagiakan pasangan suami isteri. Anak sebenarnya harta yang paling berharga atas dunia ini kerana jika elok didikannya mereka akan jadi saham akhirat untuk ibu bapa.

Dengan keadaan sekarang ini, ramai pasangan membuat perancangan mengikut keupayaan keluarga masing-masing. Semua itu terpulang kepada suami isteri. Namun ada juga pasangan yang tetap inginkan anak ramai dalam keluarga.

Apa-apa pun hormatilah pendirian setiap orang kerana hanya mereka yang tahu keadaan sebenar. Selagi keperluan anak-anak tak terabai, pendidikan dunia akhirat seimbang, itu pun dikira rezeki juga.

Seperti yang dikongsikan oleh Puan Nur Najwa Najdi, kini dia gembira dikelilingi enam anak iaitu lima lelaki dan seorang perempuan. Cuma untuk kandungan yang ketujuh ini masih berteka-teki lagi setakat ini.

Menurutnya, perancangan Allah dah terbaik untuk kita. Cuma bila kita yakin dan segala keperluan anak tak diabaikan, makin murah rezeki yang diberikan. Tanggungjawab ini besar tetapi jika sentiasa positif semuanya dipermudahkan.

IKLAN

Berikut perkongsian mengenai pengalamannya yang mempunyai enam anak kecil dan kini sedang mengandung yang ketujuh.

Bila anak sulung lelaki, saya syukur sangat-sangat. Ini rezeki yang Allah bagi dekat saya. Bila bersalin anak kedua lelaki.. Alhamdulillah.. boleh la jadi kawan abangnya.

Bila anak ketiga lelaki Alhamdulillah, boleh ramaikan jemaah solat di rumah surau masjid.  Bila anak keempat lelaki Alhamdulillah, bila saya dan suami meninggal nanti dah ada hero dan pahlawan yang boleh usungkan setiap penjuru keranda jenazah kami.

Bila anak kelima lelaki..Alhamdulillah boleh bacakan talkin untuk mama baba nanti. Boleh bantu jaga angkat mama baba kalau kami sakit. Tapi tak pernah putus harapan berdoa pada Allah supaya Allah beri peluang untuk merasai ada anak perempuan sendiri.

Waktu kandungan ke-6 memang sentiasa positif. Kalau ditakdirkan zuriat ini lelaki InsyaAllah nanti dapat juga menantu perempuan.. Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami suami isteri. Zuriat ke-6 perempuan. Alhamdulillah syukur sebab baby girl ada ramai body guard.

Sekarang tengah mengandung zuriat ke-7. Mama doakan zuriat mama sihat sempurna. Bila tanya abang-abang nak baby apa, ada yang nak girl ada yang nak boy. Mama sempat dengar abang yang sulung kata kalau dapat baby girl abang menang. Adik-adik kena gilir-gilir jadi imam solat. Tapi kalau dapat baby boy, abang kalah, abang jadi imam solat selama sebulan.

Kredit: Nur Najwa Najdi

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)