Luka Jahitan Bersalin Terbuka, Jangan Tunggu Lama Untuk Dapatkan Rawatan!

Share

Selepas melahirkan anak, tubuh ibu memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Dalam tempoh ini, setiap pergerakan mungkin terasa tidak selesa, terutama jika melibatkan luka jahitan bersalin. Namun, keadaan boleh menjadi lebih membimbangkan apabila jahitan tersebut terbuka semula.

Selain menyebabkan rasa sakit, pedih dan tidak selesa, ia juga boleh menjejaskan pergerakan serta rutin harian ibu jika tidak diberikan perhatian dan rawatan yang sewajarnya.

Walaupun keadaan ini jarang berlaku, ia tetap boleh terjadi dan tidak sepatutnya dipandang ringan. Menurut Dr. Yulianty Arifuddin, Resident O&G Consultant dari Hospital Pakar An-Nur, Bangi, jahitan terbuka atau wound breakdown boleh memberi kesan besar jika tidak dirawat dengan segera, termasuk meningkatkan risiko jangkitan serta memberi tekanan emosi kepada ibu yang sedang melalui tempoh berpantang.

Kenapa Jahitan Bersalin Terbuka Boleh Berlaku?

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan jahitan bersalin terbuka semula. Antaranya ialah koyakan yang besar atau sukar ketika proses kelahiran, terutama jika melibatkan prosedur episiotomi.

Selain itu, penjagaan kebersihan yang kurang baik semasa berpantang juga boleh menjadi punca. Luka yang tidak dibersihkan dengan sempurna lebih mudah dijangkiti bakteria, sekali gus mengganggu proses penyembuhan.

Masalah sembelit turut memainkan peranan besar kerana tekanan ketika meneran boleh memberi beban pada kawasan jahitan sehingga menyebabkan luka terbuka semula.

Ibu yang mempunyai berat badan berlebihan atau menghidap diabetes, termasuk diabetes ketika hamil, juga berisiko mengalami penyembuhan luka yang lebih perlahan, terutama jika paras gula dalam darah tidak dikawal dengan baik.

Tanda-Tanda Jahitan Bersalin Terbuka Yang Ibu Perlu Alert

Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi semakin serius. Jika ibu mengalami simptom berikut, segera dapatkan pemeriksaan doktor kerana ia mungkin petanda jahitan bersalin terbuka.

  • Sakit yang teruk di kawasan perineum melebihi dua hari.
  • Bau yang tidak menyenangkan dari faraj.
  • Pendarahan segar atau tompokan darah yang luar biasa.
  • Demam atau badan terasa tidak sihat.
  • Bengkak, kemerahan atau keluar nanah.
  • Luka jahitan kelihatan terbuka atau tidak rapat.

Kebiasaannya, jahitan yang terbuka berlaku akibat tekanan pada kawasan luka. Apabila berlaku pendarahan, keadaan itu juga boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Sebab itulah ibu tidak digalakkan bertangguh mendapatkan rawatan.\

Perlu Jahit Semula Atau Tidak?

Tidak semua kes jahitan bersalin terbuka memerlukan jahitan semula. Jika luka kecil dan tidak mengalami jangkitan, ia lazimnya boleh sembuh dengan sendiri melalui penjagaan luka yang rapi seperti cucian luka dan proses dressing setiap hari.

Namun, jika luka lebih besar, dalam atau sudah dijangkiti, rawatan lanjut seperti antibiotik atau jahitan semula mungkin diperlukan. Doktor akan menilai keadaan luka sebelum menentukan rawatan yang paling sesuai mengikut tahap kecederaan.

Tip Penjagaan Jahitan Bersalin Terbuka Agar Luka Cepat Sembuh

Apabila mengalami jahitan bersalin terbuka, ibu perlu memberi perhatian lebih kepada penjagaan diri supaya proses penyembuhan berjalan dengan lebih baik.

  • Amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan protein untuk membantu pembentukan tisu baharu.
  • Cuci kawasan faraj setiap hari menggunakan kaedah yang disarankan oleh doktor.
  • Pastikan kawasan luka sentiasa bersih dan kering.
  • Ambil vitamin secukupnya, terutama vitamin C bagi membantu penyembuhan luka.
  • Perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan sembelit.
  • Minum air secukupnya supaya sistem pencernaan berjalan lancar.
  • Elakkan meneran atau melakukan aktiviti berat yang memberi tekanan pada kawasan jahitan.
  • Dapatkan rehat yang mencukupi kerana tubuh memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Selain penjagaan luka, ibu juga perlu memantau perkembangan penyembuhan setiap hari. Sekiranya luka masih belum menunjukkan tanda-tanda sembuh selepas dua minggu atau semakin bertambah sakit, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Ibu, Jangan Abaikan Kesihatan Diri

Dalam kesibukan menjaga bayi yang baru lahir, jangan lupa bahawa ibu juga memerlukan perhatian dan penjagaan. Jahitan bersalin terbuka bukanlah masalah kecil. Semakin awal ia dikenal pasti dan dirawat, semakin cepat proses pemulihan berlaku.

Kesihatan ibu adalah asas kepada kesejahteraan seluruh keluarga. Oleh itu, jangan abaikan sebarang tanda yang mencurigakan, patuhi nasihat doktor dan sentiasa utamakan penjagaan diri sepanjang tempoh berpantang agar ibu dapat kembali sihat serta menikmati momen bersama si manja dengan lebih tenang.

Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Youtube Pa&Ma

Published by
SRM