Ibu bapa perlu tahu cara yang betul ketika menjaga tali pusat anak sebelum tertanggal. Penjagaan yang betul amat penting untuk mengelakkan tali pusat anak terkena jangkitan kuman.
Doktor Taufiq Razif berkongsi tentang cara-cara menjaga saki baki tali pusat anak dengan cara yang betul dan kenal pasti jangkitan yang berlaku. Ilmu ini wajib ibu bapa tahu untuk elak sebarang komplikasi yang boleh berlaku. Ikuti perkongsian ini;
SEMUA MAK AYAH KENA TAHU ILMU TENTANG TALI PUSAT NI
Gambar tali pusat anak saya yang berumur 10 hari.
Ni saya nak kongsi ilmu nak tahu tempat tali pusat baby kita tu ada jangkitan ke tak. Cuba tengok di bahagian perlekatan tali pusat tu:
Ada tak merah merah
Ada tak bengkak
Ada tak nanah atau cairan keluar
Tali pusat tu berbau busuk ke tak
Bayi demam ke tak
Bayi nampak lemah dan taknak menyusu ke tak
Kalau TAKDE, Alhamdulillah tapi kalau ADA, kena pergi periksa cepat-cepat. Ada kemungkinan tali pusat tu dah kena jangkitan.
Ni ada beberapa benda yang kita TAK BOLEH buat supaya tali pusat anak kita tu tak kena jangkitan.
Jangan pakaikan pampers sampai tutup bahagian tali pusat anak kita. Kencing dan najis anak kita boleh kena tempat tu dan mengakibatkan jangkitan.
Jangan letak ubat entah apa-apa kecuali ubat yang disediakan oleh hospital.
Jangan sentuh bahagian tali pusat tu tanpa cuci tangan dulu. Kita tak tahu kuman jenis apa yang tengah berkeliaran di tangan kita. Sistem imun bayi kita tak sekuat orang dewasa.
Jangan paksa paksa tali pusat tu untuk tanggal cepat cepat. Tali pusat tu akan luruh sendiri. Biasanya dalam 3-10 hari. Kalau 3 minggu tak luruh lagi cepat cepat pergi jumpa doktor.
Jangan mudah percaya benda pelik-pelik yang tak ada dalam agama tentang tali pusat anak kita yang dah luruh tu.
“Susu tak ada” biasa kita dengari dari ibu lepas bersalin. Kebimbangan bayi lapar sering menghantui. Ibu sebenarnya perlu fahami realiti dan cabaran penyusuan sebenar.
Susu tiada selepas bersalin adalah persoalan yang selalu bermain di fikiran mama selepas bersalin. Soalnya benarkah susu benar-benar tiada? Jangan cepat mengalah sehingga memberikan bayi susu formula.
Semua wanita bergelar ibu pasti mempunyai impian untuk menyusukan sendiri bayi mereka. Kerana ia merupakan hadiah pertama paling berharga dan terbaik buat yang tersayang.
Menurut Kaunselor Laktasi, Noorfazila Abdul Rahman, susu ibu dicipta oleh Allah swt sebagai rezeki yang perlu disalurkan kepada anak melalui si ibu. Kebiasaannya ramai ibu terutama yang pertama kali melahirkan anak seakan hilang arah dan tiada panduan bagaimana dan apa yang perlu dilakukan sejurus selepas melahirkan bayi.
KURANG SOKONGAN & ILMU
Biasanya mereka memang bersungguh-sungguh untuk menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu tetapi dek kerana kurang sokongan dan ilmu berkenaan ini membuatkan mereka keliru apa yang sepatutnya mereka lakukan.
Saya sungguh-sungguh tidak mahu perkara begini berlaku dan akhirnya membuatkan ibu dengan mudah percaya yang mereka TIADA SUSU dan tak mampu menyusukan anak sedangkan apa yang sepatutnya mereka lakukan tidak mereka lakukan.
SOKONGAN PADU DARI SUAMI DAN PERSEKITARAN
Ramai ibu beranggapan penyusuan merupakan suatu perkara yang mudah dan susu akan keluar dengan banyak sejurus selepas melahirkan sedangkan realitinya bukan lah seperti itu. Bukan mudah untuk menjayakannya jika tiada sokongan padu dari suami dan persekitaran. Kerana penyusuan bukan sahaja tanggungjawab seorang ibu malah tanggungjawab seorang ayah.
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini, bila berdepan dengan situasi konflik seperti ini terutama bila melibatkan suatu tragedi sehingga meragut nyawa. Sebagai seorang ibu yang bersungguh-sungguh mahu menjayakan penyusuan susu ibu, ibu bapa seharusnya mula membuat persediaan awal sebelum kelahiran anak lagi.
MENCARI ILMU PENYUSUAN
Apa yang dimaksudkan dengan persediaan awal ini ialah mencari maklumat dan memenuhkan dada dengan ilmu penyusuan sebanyak yang boleh. Perkara utama yang perlu diketahui adalah bagaimana dan bila sebenarnya susu telah mula terhasil dan tersedia di dalam payudara ibu?
IA TERBENTUK SEJAK AWAL
Ramai ibu tidak menyedari dan tidak tahu yang sebenarnya badan ibu telah bersedia menghasilkan susu sejak dari peringkat awal kehamilan. Ianya dikenali sebagai Fasa Memogenesis yang berlaku sekitar minggu ke 7 atau ke 8 kehamilan. Seterusnya apabila kandungan masuk ke trimester kedua sekitar 16 – 24 minggu proses penghasilan susu (Laktogenesis 1) untuk menghasilkan kolostrum telah pun bermula.
Ini bermakna sejak dari kandungan lagi payudara ibu telah pun menghasilkan susu! Hebatnya ciptaan Allah swt ini kerana Dia sediakan susu seawal usia kandungan 24 minggu kerana pada waktu ini ada bayi yang dilahirkan pramatang. Jadi walaupun ibu bersalin pramatang, ibu tetap mampu menyusukan anak dan tetap ada rezeki susu ibu buat si bayi.
Kolostrum merupakan susu pertama yang sangat berharga dan perlu diperolehi oleh bayi sebanyak yang boleh kerana di dalamnya terkandung banyak manfaat di antaranya zat antibodi yang disebut immunoglobulin. Selain terdapat antibodi, di dalam kolostrum terdapat faktor-faktor pertumbuhan yang berfungsi untuk menyempurnakan pertumbuhan dan perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa.
SUSU TIDAK ADA SELEPAS BERSALIN?
Benarkah susu tiada langsung selepas bersalin? Jawapannya tidak benar! Setiap ibu yang melahirkan anak sudah mempunyai susu di dalam payudaranya kerana penghasilan kolostrum sudah bermula sejak 16 minggu usia kandungan cuma paras hormon ibu yang berbeza membuatkan ada ibu yang sudah mula keluar susu sejak sebelum melahirkan dan ada ibu yang hanya keluar pada hari ke 2-3 anak dilahirkan.
Jadi, untuk meningkatkan paras hormon prolaktin ini, rangsangan dari hisapan bayi sangat diperlukan terutama pada jam-jam pertama kelahiran. Sebab itulah ibu perlu mendapatkan anak secepat yang boleh untuk disusukan supaya proses pengeluaran susu akan lebih cepat berlaku.
Jadi setiap ibu perlu bersedia dan susukanlah anak anda dengan yakin tanpa ragu-ragu sama ada anak mendapat susu yang cukup atau tidak. Sememangnya bila puting payudara dipicit ia seakan tiada susu, kerana fizikal kolostrum yang pekat dan sangat sedikit sesuai dengan keperluan dan saiz perut bayi yang tersangat kecil.
Selain itu, warna kolostrum yang jernih pada awalnya dan kekuningan menyebabkan ia tidak kelihatan dan ibu tidak sedar kehadirannya. Hanya rangsangan kerap pada payudara saja yang dapat membantu kolostrum tersebut diterima oleh bayi anda. Jadi ibu tak perlu panic jika anda melalui situasi seperti ini kerana ianya sesuatu yang normal dan apa yang perlu anda lakukan hanyalah menyusukan anak sekerapnya termasuk disebelah malam.
Lebih kerap payudara ibu mendapat rangsangan lebih cepat kolostrum akan mula keluar, lebih banyak kolostrum akan diterima oleh bayi dan lebih banyak susu bakal terhasil. Jangan risau kerana bayi mampu bertahan selama 6 jam walaupun tanpa makanan kerana bekalan makanan yang diterima dari plasenta mampu menampung keperluan jam-jam pertama kehidupannya. Bila bayi menangis bukan lah semata-mata kerana dia kelaparan tapi banyak lagi factor lain yang menyebabkan bayi menangis. Jadi susukan lah anak anda kerana hanya penyusuan saja yang dapat menenangkan anak dan memberi keselesaan kepadanya.
Selain itu, ibu perlu memastikan pelekapan (latch on) yang betul dan posisi penyusuan yang tepat untuk memudahkan proses kelahiran.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengalaman bersalin setiap ibu adalah berbeza. Begitu juga dengan pengalaman bersalinkan setiap anak, tentu juga berbeza. Ada yang mengalami sakit bersalin dan ada juga yang bernasib baik melahirkan anak tanpa masalah.
Salah satu sebab ibu tidak mengalami kesukaran semasa bersalin adalah kerana terdapat teknik yang boleh diamalkan untuk mengurangkan rasa sakit semasa bersalin. Persediaan awal adalah penting bagi membantu ibu mengatasi rasa sakit hendak bersalin.
Sakit bersalin adalah normal untuk setiap ibu hamil. Ini kerana otot badan ketika proses kelahiran, akan bekerja keras untuk mengeluarkan bayi di dalam rahim. Kontraksi pada otot rahim dan tekanan pada serviks semasa tempoh bersalin akan membuatkan anda mengalami ketegangan pada bahagian abdomen, pangkal paha dan belakang badan.
Selain itu, bakal ibu juga akan rasa sakit hendak bersalin kerana berlakunya tekanan pada kantung dan usus yang menyebabkan kepala bayi semakin meregang ke arah tempat kelahiran.
1 Suntik persekitaran kelahiran yang menenangkan. Semasa hampir tempoh kelahiran, pasangkan alunan zikir dan lagu yang menenangkan anda. Selain itu, peralatan untuk bersalin juga mestilah yang dapat membantu anda memudahkan kelahiran seperti tilam yang lembut. Jika anda bercadang untuk bersalin dengan posisi yang berbeza, sediakan peralatan yang perlu seperti bola kelahiran atau bangku kecil. Walau bagaimanapun, pastikan polisi hospital bersalin anda membenarkan anda untuk mencuba posisi berbeza.
2 Lengkapkan diri dengan ilmu bersalin sebelum tempoh kelahiran anda. Anda boleh dapatkannya melalui buku, majalah, laman sesawang, video, kelas pranatal atau bertanya kepada doktor. Pelbagai informasi dapat membantu anda menghadapi keadaan semasa bersalin.
3 Atasi ketakutan anda dengan cara meluahkannya kepada orang terdekat anda seperti suami ataupun ibu anda. Doktor juga adalah orang yang terbaik untuk menasihati anda tentang cara-cara mengatasi rasa takut semasa bersalin.
4 Latihan teknik pernafasan adalah kunci paling penting untuk membantu memudahkan proses bersalin anda. Bagi mempelajarinya, hadirilah kelas pranatal yang akan membantu anda mempelajari teknik pernafasan yang betul untuk menghadapi kontraksi sebelum bersalin. Caranya adalah dengan melepaskan tekanan pada setiap hembusan dan cuba juga menarik nafas laju pada setiap 2 atau 3 saat iaitu 20 hingga 30 kali seminit. Jika anda kehilangan tempo, minta pertolongan pasangan anda untuk membantu anda mendapatkan semula rentak melalui pergerakan mata, tangan atau kepala.
5 Tumpukan perhatian anda pada sesuatu perkara yang boleh membuatkan anda gembira (seperti wajah pasangan anda, gambar yang dapat memberi inspirasi atau benda kegemaran anda). Keadaan ini dapat merangsang deria anda dan mengurangkan kesakitan. Selain itu, dengan mendengar muzik, suara yang menenangkan atau rakaman alunan ombak dan membayangkan anda berada pada persekitaran yang menenangkan juga dapat membantu mengurangkan kesakitan.
6 Hangatkan tubuh dengan mandi air panas. Ini bagi melegakan kesakitan kontraksi, merehatkan minda anda malah ada kalanya ia juga membantu anda untuk mempercepatkan proses kelahiran. Cara terbaik adalah dengan keadaan anda duduk di atas bangku dan halakan pancuran air panas terus ke abdomen anda atau bahagian belakang tubuh anda.
7 Bagi mempermudahkan proses kelahiran, banyakkan pergerakan terutama semasa menghampiri proses bersalin. Kontraksi akan lebih menyakitkan jika anda hanya berbaring di atas katil tanpa melakukan sebarang pergerakan. Anda boleh berjalan, bersandar, bergoyang atau mencangkung mengikut posisi yang anda selesa. Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati pada setiap pergerakan anda!
8 Sentuhan atau urutan daripada suami juga dapat membantu melegakan sakit bersalin anda. Anda boleh minta suami menggenggam tangan anda, membelai pipi atau rambut anda, atau mungkin juga menepuk-nepuk tangan atau bahu anda semasa proses kelahiran.
Dental caries atau lebih mudah dipanggil sebagai masalah gigi berlubang merupakan antara masalah normal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira individu dewasa mahupun kanak-kanak. Tetapi, masalah ini lebih kerap dialami oleh kanak-kanak, khususnya mereka yang menyusu botol.
Pastinya ia mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa jika anak anda mengalami masalah gigi berlubang, bukan? Jadi bagaimana cara terbaik untuk mencegah perkara ini daripada berlaku? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui tip yang boleh diamalkan.
Tip Mencegah Gigi Berlubang
Ilmu mengenai penjagaan gigi adalah sangat penting. Jadi perkara pertama sekali adalah untuk memastikan bahawa anda juga mementingkan aspek penjagaan gigi dan kesihatan oral anda terlebih dahulu.
Bagaimana gigi berlubang terjadi? Masalah ini boleh berlaku apabila bakteria dalam plak memetabolisma karbohidrat, yang akhirnya menghasilkan asid yang mengurangkan pH dalam rongga mulut. Asid ini bertindak ‘mencairkan’ (demineralization) struktur gigi anda. Maka terjadilah gigi berlubang.
Berikut adalah antara beberapa tip untuk mencegah gigi berlubang yang boleh anda amalkan:
1. Penjagaan awal
Sama ada anda memilih untuk menyusukan bayi anda secara eksklusif ataupun menggunakan susu botol, adalah penting untuk anda memberikan perhatian dalam aspek penjagaan gigi bayi anda dengan baik.
Awal kelahiran hingga usia 12 bulan – lap mulut dan gusi bayi anda dengan perlahan-lahan menggunakan kain lap yang bersih. Sekiranya gigi pertama bayi anda sudah kelihatan, anda boleh menggunakan berus gigi bayi yang lembut.
12 hingga 36 bulan – pada usia ini, beruskan gigi anak anda 2 kali sehari selama 2 minit. Gunakan sedikit ubat gigi berfluorida sehinggalah anak anda berusia 3 tahun. Sebaiknya berus gigi anak anda selepas sarapan pagi dan sebelum tidur.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – botol susu
2. Tiada susu botol
Sememangnya sudah menjadi kebiasaan ibu bapa untuk membenarkan anak tidur sambil menyusu botol. Tahukah anda perbuatan ini bukan sahaja meningkatkan risiko masalah gigi kepada anak anda, tetapi turut mendedahkan anak anda kepada masalah jangkitan telinga dan tersedak? Jadi sebaiknya, elakkan daripada mengamalkan tabiat ini. Mencegah itu adalah lebih baik, bukan?
3. Bukan pengganti puting
Terdapat sesetengah ibu bapa yang memilih untuk memberikan anak mereka menghisap botol susu bagi menggantikan penggunaan puting, kerana menyangka ia adalah lebih baik berbanding puting. Tetapi hakikatnya, tidak sama sekali. Jangan pernah menggunakan botol susu sebagai pengganti kepada puting bagi penggunaan tempoh waktu yang panjang. Sekiranya anak anda masih mahukan botol susu, sebaiknya isi botol dengan air kosong sahaja.
4. Cawan biasa
Sebolehnya, apabila anak anda mencapai usia seawal setahun, cuba untuk melatihnya minum menggunakan cawan minum yang biasa. Mengajar anak untuk minum dengan cawan biasa dapat mengelakkan kecenderungan cecair daripada terkumpul di sekitar gigi. Paling utama, cawan tidak boleh diminum sambil tidur.
5. Air kosong
Sekiranya anak anda sudah terbiasa dengan tabiat untuk menghisap botol susu untuk tempoh yang panjang, terutamanya ketika waktu hendak tidur atau dalam perjalanan jauh di dalam kereta, pastikan anda hanya mengisinya dengan air kosong. Elakkan daripada memberikan air manis mahupun susu.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – makanan manis 6. Hadkan makanan manis
Siapa yang tidak gemarkan makanan manis? Sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, pasti akan tidak menolak makanan manis, bukan? Namun, sebaiknya anda hadkan jumlah pengambilan makanan manis untuk dimakan oleh anak anda, seperti gula-gula, biskut, kerepek kentang dan segala makanan yang tinggi kandungan gula. Ini adalah antara jenis makanan yang tidak baik untuk anak anda terutamanya jika dimakan dalam kuantiti yang banyak. Sebagai ibu bapa anda perlu bertegas dalam hal ini.
7. Jus buah-buahan
Jus segar yang diperah daripada buah-buahan sememangnya baik. Tetapi American Academy of Pediatrics (AAP) tidak mengesyorkan pemberian jus kepada bayi di bawah usia 6 bulan. Manakala jika ingin memberikan jus bagi anak anda yang berusia di antara usia 6 hingga 12 bulan, pastikan ia dihadkan kepada 4 auns sehari dan perlu dicampurkan dengan air, dengan kiraan separuh air dan separuh jus. Untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun pula, pemberian jus perlu dihadkan dalam jumlah 4 hingga 6 auns sehari.
8. Hindari produk pemutihan
Terdapat kajian yang mengkaji mengenai kesan penggunaan produk pemutihan kepada kanak-kanak. Tetapi apa yang pasti, penggunaannya produk seperti itu cenderung menyebabkan gigi anak anda menjadi nipis dan mendatangkan kesan tindak balas yang berbeza berbanding kesannya kepada enamel gigi kekal. Sebaiknya elakkan sebarang produk pemutihan bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
9. Rawatan berkala
Sebaiknya biasakan anak anda untuk berjumpa dengan doktor gigi. Ia boleh dimulakan seawal ketika anak anda berusia 12 bulan.
Langkah penjagaan
Masalah berkaitan gigi seperti gigi berlubang mahupun gigi reput boleh dicegah daripada berlaku kepada anak-anak anda. Cara yang paling penting adalah dengan memastikan langkah penjagaan yang betul diamalkan bagi mencegah sebarang kerosakan daripada berlaku. Jangan ambil mudah soal penjagaan gigi anak-anak anda. Mulakan seawal mungkin. Dengan langkah penjagaan yang betul, gigi anak anda akan dapat tumbuh dengan sihat dan baik.
Sumber: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!