Nenas antara buah yang ibu hamil takut nak makan kerana kononnya boleh menyebabkan keguguran di awal kehamilan. Tapi selepas tahu khasiatnya yang banyak, antaranya untuk merawat masalah batuk dan sembelit tak kira orang dewasa ataupun si kecil memang akan beli buah nenas sahaja lah.
Hasil penyelidikan yang dibuat oleh Puan Intan Nornie Sheika tentang khasiat nenas dan cara buat rawatan secara alami menggunakan buah nenas memang patut diketahui oleh semua orang. Rugi tak makan nenas tau!
Nenas. Antara buah-buahan yang biasanya ibu hamil elak kerana ‘tajam’. Benarkah?
Tidak benar sama sekali.
Nenas sangat kaya khasiat seperti
Vitamin C dan A yang bagus sebagai antioksidan.
Magnesium,
Kalium dan kalsium,
Posfor dan sukrosa
Ads
Enzim bromelain
Biasanya sebelum ini, kita akan buang/tidak makan bahagian empulur nenas kan ?
Bahagian empulur nenas. (bahagian keras di tengah nenas) mengandungi enzim bromelain.
Enzim ini sangat kaya dengan komponen anti-radang (anti-inflammatory). Sangat baik untuk rawatan alami beberapa penyakit.
Ads
Jus nenas (terutama bahagian empulurnya) mempunyai kesan 5 kali lebih baik merawat batuk berbanding ubat batuk sendiri.
Enzim ini juga membantu memecahkan ‘lemak’ protein kepada bentuk yang mudah hadam, dan ini amat membantu sistem pencernaan kita. Jadi selain pisang untuk merawat sembelit, makan empulur nenas.
‘Cytotoxicity’ dalam rawatan kanser, terutamanya kanser usus. ‘Cytotoxicity’ ialah keupayaan mengecutkan/membunuh sel kanser dan memelihara sel yang sihat pada masa yang sama
(Sila google ‘cytotoxicity’. Dalam perubatan, bromelain diekstrak untuk dijadikan ubat anti-radang yang juga membantu pengecutan sel kanser.).
Info tambahan (oleh Puan Ainini Zainal), nenas adalah ‘natural inducer’. Namun, jika anda ada reaksi/alahan pada nenas, boleh elakkan pengambilannya.
Dan nenas juga ialah ‘natural inducer’ untuk memberi rangsangan semasa kelahiran bayi. (natural inducer). Ambil nenas muda dan empulurnya, kerana enzim bromelain sangat ‘concentrate’ di bahagian tersebut.
Ads
Rawatan alami
1. Batuk melalui jus nenas
Kisar nenas bersama bahagian empulurnya. Minum 1 cawan sehari. Boleh dicampur madu, namun nenas itu sendiri sudah banyak sucrosa dan manis.
2. Makan bahagian empulur nenas segar untuk rawatan sembelit
Jika menghadapi perut kembung/sebu atau sembelit, makan nenas segar juga bagus untuk melegakan sistem penghadaman. Makan bahagian empulurnya untuk dapatkan enzim bromelain.
JANGAN BUANG EMPULUR NENAS lagi ya selepas ini!
Sumber: Facebook Intan Nornie Sheika
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pantau pergerakan bayi penting mengelakkan bayi meninggal masa lahir (still birth). Siapa ibu yang berisiko?
Menurut Dr. Dharmini Veerakumaran, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa kebolehupayaan janin untuk hidup di luar rahim ialah 22 minggu. Namun, ini tertakluk kepada negara-negara yang mempunyai teknologi neonatal (bulan pertama kelahiran) yang tinggi iaitu kelengkapan ventilator, inkubator dan sebagainya seperti di Amerika dan Australia.
Sebaliknya di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan usia 24 minggu. Anda perlu faham definisi kebolehupayaan janin untuk hidup di luar rahim ini kerana jika bayi dilahirkan pada usia 20 minggu, dia dianggap gugur. Jika dilahirkan pada umur 24 minggu, barulah dia dikatakan sebagai lahir tidak bernyawa.
Dalam pada itu, terdapat dua jenis kelahiran tidak bernyawa yang perlu anda ambil tahu. Ia ada fresh still birth (FSB) di mana bayi meninggal dalam tempoh 48 jam sebelum kelahiran dan macerate still birth (MSB).
MSB melibatkan bayi yang meninggal lebih daripada 48 jam sebelum tarikh kelahirannya. Sehubungan itu, bagi kes-kes di mana si ibu tidak mengetahui usia sebenar kandungannya, maka mayat bayi yang beratnya 500 gram dianggap sebagai still birth.
Pentingnya carta pergerakan bayi
Sewaktu kandungan mencecah usia 28 minggu, anda akan diminta untuk melakukan catatan di dalam carta pergerakan bayi. Biarpun kelihatan remeh, ia sangat penting untuk dititikberatkan.
Carta pergerakan yang anda perlu lakukan ini dapat dijadikan petunjuk sama ada bayi dalam kandungan sihat ataupun tidak.
PUNCA DARIPADA IBU
1.Umur
Masalah kematian bayi sewaktu dilahirkan sering terjadi di kalangan ibu yang terlalu muda iaitu umurnya bawah 20 tahun ataupun berusia (40 tahun ke atas).
2.Menghidap penyakit tertentu
Bagi anda yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan penyakit kronik yang lainnya, ketahuilah anda merupakan golongan berisiko terutamanya apabila tubuh tidak mampu lagi dapat meneruskan kehamilan.
3.Sindrom anti phospolipid (APS)
Ia merupakan sejenis penyakit di mana darah wanita hamil mudah beku. Apabila di dalam saluran darahnya mempunyai darah beku, ia boleh memasuki plasenta dan menyekat pengaliran darah, oksigen dan makanan kepada bayi.
4.Trauma
Kemalangan yang pernah berlaku seperti terjatuh, terhantuk dan yang seumpama dengannya boleh mendedahkan anda kepada risiko kematian bayi sewaktu dilahirkan.
5.Tekanan
Apabila mengalami tekanan, tubuh akan mengeluarkan hormon stres di dalam darah dan memberi tumpuan hanya pada bahagian organ-organ yang penting. Oleh sebab itu, kelenjar adrenalin akan menjaga otak, jantung dan buah pinggang dalam keadaan darurat dan kurang memberi perhatian kepada bahagian rahim. Secara tidak langsung ia mendatangkan mudarat kepada bayi.
6.Sosial ekonomi
Still birth juga didapati terjadi kepada golongan ibu hamil yang terlalu miskin atau tiada pengetahuan asas bagi menjaga kesihatan diri dan kandungan. Antara lain, jika ada di kalangan anda yang ambil alkohol atau dadah semasa hamil, ia bakal mendedahkan bayi kepada risiko still birth.
PUNCA DARIPADA BAYI
1.PembesaranTerbantut (IUGR)
Risiko still birth boleh berlaku sekiranya bayi tidak mampu untuk membesar dengan kadar sempurna.
2.Pembentukan kongenital
Lazimnya ia boleh terjadi kepada bayi yang mengalami masalah pembentukan organ dalaman tubuh seperti jantung. Sama juga halnya dengan yang mengalami kecacatan akal.
3.Air ketuban
Anda perlu tahu bahawa air ketuban yang kurang ataupun terlalu banyak pun boleh menyumbang kepada risiko still birth.
4.Plasenta
Masalah yang berlaku kepada uri seperti abruption placenta juga boleh menjadi penyebabnya. Ia terjadi kerana uri lekang terlebih dahulu sebelum bayi berjaya dikeluarkan. Jadi, ia tidak dapat memberi bekalan oksigen pada bayi lalu menyebabkannya meninggal.
Manakala placenta praevia pula berpunca daripada pendarahan. Setiap kali pendarahan berlaku, plasenta tidak boleh berfungsi dengan sempurna dan boleh menyebabkan nyawa bayi dalam kandungan terancam.
Nasihat doktor
Setelah hamil atau mengandaikan diri hamil, segera dapatkan pemeriksaan daripada doktor. Tidak semestinya anda berjumpa dengan doktor pakar. Gunakan kemudahan yang telah disediakan oleh KKM dengan mengikuti rutin pemeriksaan antenatal secara berkala. Dalam masa yang sama, jaga kesihatan diri dan kandungan. kesihatan, kawal masalah yang dihadapi dan jaga pemakanan dengan mengikuti saranan diet yang baik.
Demikian juga halnya dengan rutin ujian imbasan. Lakukannya mengikut nasihat doktor bagi membolehkan beliau mengetahui keadaan bayi dari semasa ke semasa.
Elakkan diri daripada mengambil sebarang suplemen yang mempromosikan kelancaran proses kelahiran serta hindari ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan daripada KKM.
TIP DOKTOR: Jika anda mendapati pergerakan bayi kurang daripada biasa, cuba makan terlebih dahulu kemudian berehat untuk tempoh setengah jam. Setelah itu, pantau pergerakan bayi dengan lebih peka. Jika dia kurang bergerak, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Tahun lepas dah tinggal puasa sebab hamil anak sulung, jadi tahun ni kena ganti atau ganti dan bayar fidyah. Kelirulah” Ada segelintir ibu-ibu keliru tentang hukum membayar fidyah dan menggantikan puasa yang telah ditinggalkan pada tahun lepas atas faktor kehamilan, kelahiran dan penyusuan.
Ikuti perkongsian penuh daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan persoalan ini.
Oleh kerana masalah ini berlegar dalam banyak Facebook dan juga media sosial di samping persoalan yang sampai ke meja kami maka, sewajarnya kami menekuni isu ini dan melebarkan lagi jawapan.
Wanita Hamil & Menyusu Anak Diberikan Keringan Untuk Berbuka Atau Tak Berpuasa
Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini daripada hadis Anas bin Malik RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)
Pun begitu, ada khilaf mengenai apakah perlu perempuan berkenaan menggantikan puasa atau tidak. Berikut perbezaan pendapat secara ringkas:
Pertama: Mazhab Hanafi: Jika perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa, wajib mengqada’kan puasa sahaja, tetapi sunat membayar fidyah. Pendapat ini juga dinyatakan oleh al-Hasan, Atha’ al-Nakhaie, al-Zuhri, al-Auzaie, Sufyan al-Thauri. Ini juga salah satu wajah dalam mazhab Syafie.
Kedua: Mazhab Syafi’i dan Hanbali: Wajib qada’ dan perlu membayar fidyah bagi perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa jika mereka takut kesihatan janin atau anaknya yang disusukan sahaja mengikut pendapat muktamad. Ini juga pendapat Mujahid.
Ketiga: Mazhab Maliki: Wajib mengqada’ dan fidyah hanya dikenakan kepada yang meninggalkan puasa kerana menyusukan bayi tidak kepada yang hamil. Wanita hamil hanya wajib mengqadha’kan sahaja tanpa fidyah. Ini juga pendapat ketiga dalam mazhab Syafie.
Keempat: Pendapat sebahagiansahabat antaranya Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Sirin: Jika kedua-duanya yakni perempuan yang hamil dan menyusu bimbang ke atas dirinya atau anaknya maka bolehlah ia berbuka dan membayar fidyah sahaja berdasarkan umum ayat
Berdasarkan kesemua pendapat mazhab ini, Sheikh Attiyyah Saqr dalam Seen Wa Jeem Lil-Mar’atil-Muslimah (soal jawab muslimah) mengatakan boleh saja memilih salah satu dari pendapat di atas. Namun Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan pendapat yang rajih ialah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas R.Anhuma.
Tarjih
Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha jika bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Juga jika dibimbangi terhadap dirinya dan anaknya, maka hendaklah diqadha sahaja. Justeru jika dibimbangi pada anak yang dihamilkan, atau yang disusukan sahaya, tanpa dirinya, maka diwajibkan qadha’ jika berbuka dan dibayar fidyah. Pendapat ini juga adalah pendapat jumhur dengan berkata sepertimana kaedah: “Hukum memberi makan kekal kepada hak yang tidak mampu berpuasa.”
Imam al-Turmuzi berkata: “Dan amalan di sisi ahli ilmu kebanyakannya bahawa perempuan tersebut boleh berbuka dengan memberi makan orang miskin sebagai fidyah dan juga qadha.”
Pendapat ini adalah sama dengan pendapat Syeikh Taqiyuddin.
Ibn Kathir berkata: “Bagi wanita yang hamil dan menyusu boleh meninggalkan puasa tetapi selepas itu hendaklah membayar fidyah dan mengqadha puasanya.”
Ahli ilmu dan para ulama telah menyebut bahawa sabit Ibn Abbas dan Ibn Umar telah rujuk daripada pendapat ini. Justeru, tidak boleh disabitkan pendapat tersebut kepada kedua-duanya. Lihat kitab As-Saum Wa al-Iftar Li Ashab al-A’zar (hal. 152-153)
Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra menjelaskan dengan sanad yang bersambung daripada Ibn Umar bahawa seorang perempuan mengandung (hamil) berpuasa pada bulan Ramadan dan merasa kehausan yang teramat, lantas ditanya halnya kepada Ibn Umar.
Kemudian Ibn Umar memerintahkannya untuk berbuka dan memberi makan setiap hari seorang miskin secupak. Kemudian tidak memadainya apabila dia sihat, hendaklah dia qada’nya. Lihat as-Sunan al-Kubra 4/230.
Berkenaan Ibn Abbas, Abdul Razzaq telah menyebut dengan sanadnya yang menunjukkan wajib qada’. Lafaznya daripada al-Thauri dan Ibn Juraij, daripada Atha’ daripada Ibn Abbas katanya: “Perempuan yang hamil dan menyusu boleh berbuka di siang hari Ramadan dan hendaklah dia qada’ puasa tanpa memberi makan. Lihat Musannaf 4/218.
Justeru, jadilah pendapat Ibn Abbas R.Anha dan Ibn Umar R.Anha bersama dengan pendapat jumhur.
Perbahasan Ayat
Kami nyatakan di sini pendapat para ulama berkenaan maksud ayat:
Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Tafsiran Ulama berkenaan ayat ini.
Antaranya:
Ibn Kathir berkata: “Bahawa nasakh ayat tersebut tetap berlaku bagi orang yang sihat dan bermukim dengan kewajipan berpuasa baginya.” Ibn Abbas berkata: “Ayat ini tidak dinasakhkan kerana yang dimaksudkan adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu melaksanakan ibadah puasa. Justeru, dia berhak berbuka dan memberi makan setiap harinya seorang miskin. Ini juga riwayat daripada Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan Said bin Jubair.”
Mengikut riwayat Ubaidillah daripada Nafi’ daripada Ibn Umar bahawa ayat ini sudah dinasakhkan.
Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani berkata: “Bagi mereka yang berpuasa dalam keadaan sukar dan masyaqqah termasuk yang megandung dan menyusukan juga, harus ketika itu berbuka kerana hilangnya kemampuan padanya.”
Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: “Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.”
Syeikh Ibn Asyur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Perkataan al-mutiq ialah yang mampu melakukan dan jika digunakan perkataan taqah lebih hampir kepada darjat kemampuan menuju kepada martabat lemah. Kemudian beliau menyebut golongan yang hamil dan menyusukan anak boleh berbuka dan hanya memberi makan setiap hari yang mereka berbuka.”
Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: “Ayat ini menunjukkan pada permulaan Islam yang difardhukan ke atas mereka puasa sedangkan mereka masih belum biasa yang menyebabkan merasa sukar lantas diberi keringanan untuk mereka berbuka dan hanya membayar fidyah kemudian dinasakh dengan ayat yang lain.”
Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam tafsirnya Zahrah al-Tafasir antara lain menyebut: “Ayat ini menunjukkan begitu sukar sehingga hilang kemampuan secara berterusan seperti orang yang teramat tua dan inilah tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Mas’ud.”
Perbahasan ayat ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
Secara ringkasnya, para ulama telah khilaf berkenaan ayat ini samada dinasakhkan atau tidak kepada empat pendapat:
Pertama: Ia tidak dinasakhkan seperti pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Ia telah dinasakhkan seperti pendapat Salamah dan jumhur.
Ketiga: Ia hanya dikhususkan kepada orang yang mampu yang tiada uzur baginya dan kekal terhadap perempuan yang menyusu dan hamil.
Keempat: Bahawa sebahagiannya dinasakhkan dan sebahagiannya bersifat muhkam.
Berkenaan dengan persoalan kedua, siapakah yang ditujukan dalam ayat ini, terdapat tiga pandangan seperti yang dinukilkan daripada Tafsir Fakhr al-Razi:
Pertama: Ayat ini kembalik kepada orang yang musafir dan sakit.
Kedua: Ayat ini kembali kepada orang yang mukim dan sihat. Inilah pendapat kebanyakan ahli tafsir.
Ketiga: Ayat ini diturunkan kepada syeikh yang tua.
Penutup
Menekuni pandangan ulama maka kita dapati khilaf yang berlaku dalam kalangan mereka tidak lain tidak bukan kecuali mencari dalil yang paling kuat dan rajih. Pada saat yang sama, ada dalam kalangan ulama yang memilih jalan ihtiyat di mana ia lebih selamat.
Justeru, dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:
Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja. Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehah dia berbuka dan membayar fidyah sahaja, menurut pendapat sebahagian ulama seperti Ibn Abbas, Ibn Umar dan Ibn Sirin, Syeikh Abu Zuhrah dan Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur. Manakala menurut mazhab al-Syafie, harus berbuka tetapi wajib diqadha’ dan dibayar fidyah.
Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua.
Akhukum fillah
Kredit: Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan (30 Jun 2015 bersamaan 13 Ramadan 1436H) – Artikel ini diterbitkan pada 2015)
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kini memengang jawatan sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) di JPM.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon Amyra Rosli mengakui, sejak mendapat tahu dirinya hamil anak kedua, dia mengelak daripada melayari laman sosial kerana bimbang mengidam jika terlihat muat naik juadah yang menyelerakan.
Amyra, 28, yang kini mengandung lapan minggu berkata, dia baru sahaja memesan kek gulung berkrim dari Tawau, Sabah kerana teringin menikmatinya selepas melihat juadah itu di Instagram.
“Saya kalau boleh cuba mengelak daripada melayari Instagram kerana bimbang tiba-tiba mahu menjamah juadah yang sama seperti dimuat naik pengguna aplikasi itu.
“Bukan banyak pun saya makan, cuma lebih kepada teringin mahu menjamah, terutama pada tengah malam. Kata orang, cukup untuk melepas rasa di tekak.
“Baru-baru ini, saya meminta Amar menyediakan bihun bersama sos. Biarpun pelik, tetapi dia penuhi juga permintaan saya itu. Pernah sekali, saya begitu teringin mahu menjamah mi segera, walaupun hidangan itu tidak baik untuk wanita hamil selepas melihat orang lain menikmatinya di Instagram,” katanya.
Amyra berkata, biarpun selera makannya semakin bertambah, dia tidak mampu menjamah banyak kerana tekaknya kurang selesa selepas menikmati makanan.
“Alhamdulillah, biarpun ada alahan, ia tidak seteruk ketika saya mengandungkan Anaqi dahulu. Ketika hamil anak pertama, saya sering muntah, terutama sebelah malam,” katanya.
Sebelum ini Amar yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 berkongsi perkhabaran gembira Amyra hamil anak kedua.
“Saya tidak sangka Amar membuat pengumuman di Instagram, sedangkan saya hanya berkongsi berita gembira sebagai kejutan sempena hari ulang tahun kelahirannya.
“Patutlah telefon bimbit saya tidak berhenti berbunyi pada hari itu, rupa-rupanya Amar sudah berkongsi mengenainya di Instagram,” katanya.
Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan anak sulung, Aqeef Anaqi pada 15 Oktober 2017.