“Tahun lepas dah tinggal puasa sebab hamil anak sulung, jadi tahun ni kena ganti atau ganti dan bayar fidyah. Kelirulah” Ada segelintir ibu-ibu keliru tentang hukum membayar fidyah dan menggantikan puasa yang telah ditinggalkan pada tahun lepas atas faktor kehamilan, kelahiran dan penyusuan.
Ikuti perkongsian penuh daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan persoalan ini.
Oleh kerana masalah ini berlegar dalam banyak Facebook dan juga media sosial di samping persoalan yang sampai ke meja kami maka, sewajarnya kami menekuni isu ini dan melebarkan lagi jawapan.
Wanita Hamil & Menyusu Anak Diberikan Keringan Untuk Berbuka Atau Tak Berpuasa
Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini daripada hadis Anas bin Malik RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)
Pun begitu, ada khilaf mengenai apakah perlu perempuan berkenaan menggantikan puasa atau tidak. Berikut perbezaan pendapat secara ringkas:
Pertama: Mazhab Hanafi: Jika perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa, wajib mengqada’kan puasa sahaja, tetapi sunat membayar fidyah. Pendapat ini juga dinyatakan oleh al-Hasan, Atha’ al-Nakhaie, al-Zuhri, al-Auzaie, Sufyan al-Thauri. Ini juga salah satu wajah dalam mazhab Syafie.
Kedua: Mazhab Syafi’i dan Hanbali: Wajib qada’ dan perlu membayar fidyah bagi perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa jika mereka takut kesihatan janin atau anaknya yang disusukan sahaja mengikut pendapat muktamad. Ini juga pendapat Mujahid.
Ketiga: Mazhab Maliki: Wajib mengqada’ dan fidyah hanya dikenakan kepada yang meninggalkan puasa kerana menyusukan bayi tidak kepada yang hamil. Wanita hamil hanya wajib mengqadha’kan sahaja tanpa fidyah. Ini juga pendapat ketiga dalam mazhab Syafie.
Keempat: Pendapat sebahagiansahabat antaranya Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Sirin: Jika kedua-duanya yakni perempuan yang hamil dan menyusu bimbang ke atas dirinya atau anaknya maka bolehlah ia berbuka dan membayar fidyah sahaja berdasarkan umum ayat
Berdasarkan kesemua pendapat mazhab ini, Sheikh Attiyyah Saqr dalam Seen Wa Jeem Lil-Mar’atil-Muslimah (soal jawab muslimah) mengatakan boleh saja memilih salah satu dari pendapat di atas. Namun Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan pendapat yang rajih ialah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas R.Anhuma.
Tarjih
Ads
Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha jika bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Juga jika dibimbangi terhadap dirinya dan anaknya, maka hendaklah diqadha sahaja. Justeru jika dibimbangi pada anak yang dihamilkan, atau yang disusukan sahaya, tanpa dirinya, maka diwajibkan qadha’ jika berbuka dan dibayar fidyah. Pendapat ini juga adalah pendapat jumhur dengan berkata sepertimana kaedah: “Hukum memberi makan kekal kepada hak yang tidak mampu berpuasa.”
Imam al-Turmuzi berkata: “Dan amalan di sisi ahli ilmu kebanyakannya bahawa perempuan tersebut boleh berbuka dengan memberi makan orang miskin sebagai fidyah dan juga qadha.”
Pendapat ini adalah sama dengan pendapat Syeikh Taqiyuddin.
Ibn Kathir berkata: “Bagi wanita yang hamil dan menyusu boleh meninggalkan puasa tetapi selepas itu hendaklah membayar fidyah dan mengqadha puasanya.”
Ahli ilmu dan para ulama telah menyebut bahawa sabit Ibn Abbas dan Ibn Umar telah rujuk daripada pendapat ini. Justeru, tidak boleh disabitkan pendapat tersebut kepada kedua-duanya. Lihat kitab As-Saum Wa al-Iftar Li Ashab al-A’zar (hal. 152-153)
Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra menjelaskan dengan sanad yang bersambung daripada Ibn Umar bahawa seorang perempuan mengandung (hamil) berpuasa pada bulan Ramadan dan merasa kehausan yang teramat, lantas ditanya halnya kepada Ibn Umar.
Kemudian Ibn Umar memerintahkannya untuk berbuka dan memberi makan setiap hari seorang miskin secupak. Kemudian tidak memadainya apabila dia sihat, hendaklah dia qada’nya. Lihat as-Sunan al-Kubra 4/230.
Berkenaan Ibn Abbas, Abdul Razzaq telah menyebut dengan sanadnya yang menunjukkan wajib qada’. Lafaznya daripada al-Thauri dan Ibn Juraij, daripada Atha’ daripada Ibn Abbas katanya: “Perempuan yang hamil dan menyusu boleh berbuka di siang hari Ramadan dan hendaklah dia qada’ puasa tanpa memberi makan. Lihat Musannaf 4/218.
Justeru, jadilah pendapat Ibn Abbas R.Anha dan Ibn Umar R.Anha bersama dengan pendapat jumhur.
Perbahasan Ayat
Kami nyatakan di sini pendapat para ulama berkenaan maksud ayat:
Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Tafsiran Ulama berkenaan ayat ini.
Antaranya:
Ibn Kathir berkata: “Bahawa nasakh ayat tersebut tetap berlaku bagi orang yang sihat dan bermukim dengan kewajipan berpuasa baginya.” Ibn Abbas berkata: “Ayat ini tidak dinasakhkan kerana yang dimaksudkan adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu melaksanakan ibadah puasa. Justeru, dia berhak berbuka dan memberi makan setiap harinya seorang miskin. Ini juga riwayat daripada Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan Said bin Jubair.”
Mengikut riwayat Ubaidillah daripada Nafi’ daripada Ibn Umar bahawa ayat ini sudah dinasakhkan.
Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani berkata: “Bagi mereka yang berpuasa dalam keadaan sukar dan masyaqqah termasuk yang megandung dan menyusukan juga, harus ketika itu berbuka kerana hilangnya kemampuan padanya.”
Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: “Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.”
Syeikh Ibn Asyur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Perkataan al-mutiq ialah yang mampu melakukan dan jika digunakan perkataan taqah lebih hampir kepada darjat kemampuan menuju kepada martabat lemah. Kemudian beliau menyebut golongan yang hamil dan menyusukan anak boleh berbuka dan hanya memberi makan setiap hari yang mereka berbuka.”
Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: “Ayat ini menunjukkan pada permulaan Islam yang difardhukan ke atas mereka puasa sedangkan mereka masih belum biasa yang menyebabkan merasa sukar lantas diberi keringanan untuk mereka berbuka dan hanya membayar fidyah kemudian dinasakh dengan ayat yang lain.”
Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam tafsirnya Zahrah al-Tafasir antara lain menyebut: “Ayat ini menunjukkan begitu sukar sehingga hilang kemampuan secara berterusan seperti orang yang teramat tua dan inilah tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Mas’ud.”
Ads
Perbahasan ayat ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
Adakah ia dinasakhkan atau tidak.
Apakah maksud yang dikehendaki dalam ayat ini.
Secara ringkasnya, para ulama telah khilaf berkenaan ayat ini samada dinasakhkan atau tidak kepada empat pendapat:
Pertama: Ia tidak dinasakhkan seperti pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Ia telah dinasakhkan seperti pendapat Salamah dan jumhur.
Ketiga: Ia hanya dikhususkan kepada orang yang mampu yang tiada uzur baginya dan kekal terhadap perempuan yang menyusu dan hamil.
Keempat: Bahawa sebahagiannya dinasakhkan dan sebahagiannya bersifat muhkam.
Berkenaan dengan persoalan kedua, siapakah yang ditujukan dalam ayat ini, terdapat tiga pandangan seperti yang dinukilkan daripada Tafsir Fakhr al-Razi:
Pertama: Ayat ini kembalik kepada orang yang musafir dan sakit.
Kedua: Ayat ini kembali kepada orang yang mukim dan sihat. Inilah pendapat kebanyakan ahli tafsir.
Ketiga: Ayat ini diturunkan kepada syeikh yang tua.
Penutup
Menekuni pandangan ulama maka kita dapati khilaf yang berlaku dalam kalangan mereka tidak lain tidak bukan kecuali mencari dalil yang paling kuat dan rajih. Pada saat yang sama, ada dalam kalangan ulama yang memilih jalan ihtiyat di mana ia lebih selamat.
Justeru, dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:
Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja. Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehah dia berbuka dan membayar fidyah sahaja, menurut pendapat sebahagian ulama seperti Ibn Abbas, Ibn Umar dan Ibn Sirin, Syeikh Abu Zuhrah dan Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur. Manakala menurut mazhab al-Syafie, harus berbuka tetapi wajib diqadha’ dan dibayar fidyah.
Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua.
Akhukum fillah
Kredit: Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan (30 Jun 2015 bersamaan 13 Ramadan 1436H) – Artikel ini diterbitkan pada 2015)
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kini memengang jawatan sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) di JPM.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika membuat ujian kehamilan dan hasilnya ada dua garisan, itulah detik yang membahagiakan. Bersyukur dengan anugerah Tuhan berikan. Bagi pasangan yang menanti zuriat sendiri, pasti berdebar-debar ketika menunggu keputusan UPT yang dibuat.
Wanita ini erkongsi luahan perasaannya yang mengalami lima kali keguguran sepanjang empat tahun perkahwinannya. Sehingga kini, dia dan suami masih bersabar menanti untuk mendapat cahaya mata sendiri.
Assalamualaikum. Mohon admin siarkan kisah saya ni. Nama saya Zurin. Saya berusia 32 tahun. Saya dan berkahwin lebih kurang empat tahun. Dalam tempoh perkahwinan saya dan suami, sudah lima kali saya hamil tapi masih tak ada rezeki untuk ada anak. Kelima-lima kandungan saya gugur.
Kali pertama mengandung selepas tiga bulan perkahwinan. Waktu itu, happy sangat sebab saya dan hubby memang tak ada perancangan untuk tangguhkan kehamilan. Kami ikut rezeki, lebih cepat lebih baik. Mabuk teruk juga awal-awal tu, tapi malangnya masuk minggu ke-10 kandungan saya gugur.
Tak tahu di mana silapnya, makan minum semua saya jaga. Kerja berat pun hubby tak benarkan saya buat, tapi dah termaktub bukan rezeki kami. Kandungan tak kuat dan gugur. Waktu tu sedih tak payah ceritalah, saya berkurung je dalam bilik. Sampai suami buntu tak tahu nk pujuk macam mana.
Tak lama lepas tu, lebih kurang selepas enam bulan datang haid saya hamil semula. Alhamdulillah. Hubby paling happy sebab dia memang nak sangat ada baby. Tapi tetap juga sama, lebih kurang 12 minggu kehamilan, gugur juga. Memandangkan kantung tak keluar sendiri, saya terpaksa ke hospital untuk menjalani prosedur membersihkan bahagian dalam rahim.
Saya tertanya-tanya, di mana silap kami suami isteri. Dua kali hamil, gugur juga. Saya berpegang pada konsep rezeki, mungkin belum sampai waktu kami. Jadi saya dan hubby kuatkan semangat dan reda dengan ujian ini.
Saya tak bersedia untuk mengandung dalam masa terdekat, jadi saya cakap dengan hubby, boleh tak kalau kita tangguhkan untuk ‘mencuba’ dalam tahun depan. Hubby setuju sebab dia kata tak mahu saya stres dan kalau boleh biarlah saya betul-betul ready sebelum mengandung semula.
Nak dijadikan ceritakan, saya hamil semula untuk kali ketiga. Yang ini memang sedih sikit. Saya dapat bertahan sehingga minggu ke-20. Waktu ni, dah nampak ada dua kantung. Maknanya saya hamil kembar. Ya Allah, happy sangat. Memang hubby pun kata, Allah dengar doa kami jadi Dia bagi dua terus. Nak ‘ganti’ yang sebelum ni.
Kandungan kali ketiga ni, memang sungguh-sungguh kami jaga. Sebarang kerja rumah hubby tak bagi buat. Setiap vitamin yang disarankan doktor, saya ambil. Makan minum semua jaga. Alhamdulillah, kehamilan ketiga ni kurang mabuk dan saya lebih cergas.
Tapi itulah, kalau memang betul bukan rezeki. Baru nak merasa nikmat pregnant lama sikit dan berjaya melahirkan anak-anak syurga kami, rupanya mereka juga ‘dijemput’ pulang. Saya tak tahu macam mana boleh keguguran, sebab pagi tu saya bangun tidur tiba-tiba darah penuh atas cadar katil.
Menggigil satu badan waktu tu. Hubby cepat-cepat dukung saya dan bawa ke hospital. Masuk ke wad kecemasan waktu tu, disebabkan kondisi saya dengan history dua kali keguguran. Waktu dirawat doktor, saya memang tak sedar apa. Bila bangun tu, baru dapat tahu doktor tak dapat selamatkan kandungan saya.
Memang waktu ni saya kemurungan. Saya hampir hilang pedoman. Mujurlah hubby nampak waktu tu. Saya ada percubaan nak membunuh diri, Ya Allah ampunkan lah dosaku ini (caranya biarlah saya rahsiakan). Allah masih panjangkan umur saya, Alhamdulillah.
Tak lama selepas itu, saya hamil semula. Tapi saya pendekkan cerita, saya tergelincir dan jatuh di tandas. Gugur sekali lagi untuk kali keempat. Lebih kurang lima bulan selepas itu, saya mengandung pula untuk kali kelima. Pada waktu itu, saya dan hubby dah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Tak mahu terlalu berharap.
Betul, belum rezeki kami. Pada minggu ke-10 saya mengalami keguguran. Dah kering air mata mahu meratap. Saya dan hubby hanya berdoa yang baik-baik untuk future kami. semoga kami diberikan peluang untuk merasa mempunyai anak sendiri. Saya dah ada enam yang menunggu saya di ‘sana’, tapi saya tak pernah putus berdoa agar ada yang menemani saya dan hubby di dunia.
Saya nak nasihatkan untuk para suami, kalau ada kes yang sama seperti saya ni, tolonglah support isteri kalian. Jadilah support system terkuat untuk dia. Jangan bagi tekanan pada dia. Alhamdulillah, itulah yang hubby saya buat. Dengan adanya dia, saya jadi kuat. Dia lah yang banyak bantu saya untuk terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT.
Untuk kawan-kawan semua, saya mohon untuk kalian tolong doakan saya dan hubby. Semoga kami akan berupaya untuk mempertahankan kandungan sehingga bayi yang comel dilahirkan. Kalau dapat seorang pun kami dah rasa cukup bertuah. Minta kawan-kawan semua untuk doakan kami ya? Mana tahu doa salah seorang dari kalian ‘diangkat’ dan asbab itu saya mampu ada zuriat sendiri.
Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita atau pengalaman yang ingin dikongsikan, sila klik KONGSI CERITA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pada waktu ibu sudah dapat merasai pergerakan bayi dalam kandungan, doktor atau juru rawat akan meminta para ibu untuk mencatat jumlah serta masa gerakan bayi. Jangan ambil remeh soal ini kerana ia dapat membantu para ibu untuk mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang masalah dengan bayi.
Banyak cara yang boleh digunakan untuk membuat catatan, bukan sahaja dengan menulisnya di dalam buku pemeriksaan tetapi juga boleh disimpan dalam aplikasi notes di telefon pintar.
Merasa pergerakan bayi dalam kandungan untuk kali yang pertama adalah detik yang sangat mengujakan dan memang sangat istimewa buat ibu.
Macam mana pergerakan bayi yang dikatakan normal ?
Kebanyakan wanita hamil akan pertama kali merasakan pergerakan bayi mereka ketika 18 hingga 20 minggu usia kandungan. Walau bagaimanapun, jika ini adalah kandungan yang pertama, ibu mungkin akan mula menyedarinya dalam kira-kira minggu ke-18 hingga minggu ke-20, atau lebih lewat. Sebaliknya jika anda pernah hamil sebelum ini, pergerakan bayi boleh dirasai daripada kira-kira minggu ke-15 dan minggu ke-18.
Gerakan menendang, atau perasaan ketukan lembut pada perut anda, tanpa anda sedari sebenarnya adalah sebenarnya pergerakan bayi itu.
Dengan perkembangan bayi, kebiasaannya pergerakan bayi juga akan turut berubah. Bayi anda akan bergerak lebih agresif sewaktu tengah hari dan petang. Manakala pada awal pagi dan malam, bayi anda akan mempunyai masa ‘tidur’ yang kebiasaannya dalam jangka masa 20 hingga 40 minit dan tidak melebihi 90 minit. Pada ketika ini bayi anda tidak akan bergerak. Bayi juga macam kita, perlukan masa berehat sebentar.
Pergerakan bayi akan meningkat sehingga 32 minggu kandungan dan kadar pergerakan akan menjadi statik sehingga saat dijangka bersalin. Menjelang penghujung kehamilan, bayi anda akan berehat selama kira-kira 45 minit sekali. Waktu rehatnya ini mungkin bagi anda terasa lebih panjang kerana anda tidak akan dapat merasa setiap pergerakan yang dilakukannya.
Lazimnya, jika anda terlalu sibuk dengan kerja seharian, ibu mungkin terlepas mengira atau merasakan pergerakan bayi anda. Walau bagaimanapun, apa yang paling penting adalah ibu perlu merasa pergerakan bayi sehingga saat kelahirannya.
Apakah kepentingan pergerakan bayi?
Semasa kehamilan, pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Jika berlaku perubahan pada pergerakan bayi, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat dan memerlukan perhatian doktor. Maka bersegeralah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Jangan tunggu esok lusa atau minggu depan.
Berapakah tendangan yang patut ibu rasakan dalam satu hari?
Tidak ada jumlah tendangan yang tetap yang perlu anda rasa. Sebenarnya tak perlu pun untuk tulis rekod tentang carta pergerakan bayi, asalkan ibu rasa pergerakan bayi pada setiap hari adalah sama seperti hari-hari kebiasaanya. Ada ibu terlupa nak catat carta pergerakan, sebab terlalu sibuk dengan kerja seharian. Tak mengapa persepsi ibu yg penting. Ibu lebih tahu bayinya bergerak ok atau tak.
Ibu digalakkan untuk memahami corak pergerakan bayi anda. Semakin lanjut kehamilan anda, semakin mudah untuk anda mengenal pasti corak pergerakan bayi. Setiap bayi mempunyai corak tidur dan jaga (awake) yang berlainan; lambat laun anda dapat mengenal pasti apa yang normal bagi bayi anda. Jika anda mengesan sebarang ketaknormalan pada coraknya, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.
Apakah yang perlu saya lakukan jika pergerakan bayi kurang atau tidak memuaskan?
Sentiasa dapatkan perhatian doktor dengan segera. Jangan abaikan pula masalah ini dengan mengambil keputusan untuk menyambung tidur. Bayi mungkin dalam bahaya.
Pemeriksaan serta bentuk rawatan yang akan diberikan kepada anda bergantung kepada usia kandungan anda.
Usia kandungan kurang 24 minggu
Kebanyakan wanita hamil hanya menyedari pergerakan bayi mereka dalam usia kandungan 18 hingga 20 minggu. Jika pada 24 minggu, anda masih tidak merasai pergerakan bayi, anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan (doktor atau jururawat) dan mereka akan memeriksa degupan jantung bayi dan akan menjalankan ujian ultrasound untuk memastikan bayi dalam keadaan yang baik.
Usia kandungan berusia 24 hingga 28 minggu
Kakitangan perbidanan akan memeriksa degupan jantung bayi anda. Anda akan menjalani pemeriksaan keseluruhan antenatal, tekanan darah ibu dan kehadiran albumin dalam air kencing akan turut diperiksa. Ketinggian rahim juga akan diukur; jika tinggi rahim ini lebih kecil daripada usia kandungan anda, ujian ultrasound akan dilakukan untuk mengetahui kadar perkembangan bayi, dan seterusnya akan ditandakan ke atas graf tumbesaran bayi.
Anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan terdekat anda secepat mungkin. Jangan berlengah lagi, mahupun menunggu hari esoknya untuk mengambil tindakan. Anda akan ditanya sekali lagi mengenai pergerakan bayi anda. Degupan jantung bayi akan diperiksamenggunakan mesin CTG selama 20 minit. Sekiranya keputusan pemeriksaan CTG adalah normal, bayi anda berada dalam keadaan yang baik dan ada akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan ultrasound menunjukkan kuantiti air mentuban mencukupi dan kadar pembesaran bayi anda normal.
Jika terdapat masalah pada CTG ataupun ujian ultrasound, doktor akan berbincang dengan ibu mengenai rawatan susulan yang diperlukan. Jika bayi berada dalam keadaan bahaya, bayi anda mungkin perlu dilahirkan dengan kadar segera. Ini semua bergantung pada usia kandungan serta tahap perkembangan bayi tersebut.
Bagaimana jika setelah saya dibenarkan pulang, pergerakan bayi kembali mengurang?
Jika anda dibenarkan pulang, anda seharusnya mengambil tahu pergerakan bayi anda dari masa ke semasa. Jika berulangnya masalah pergerakan bayi kurang, jangan berasa ragu-ragu untuk ke hospital dengan SEGERA, biarpun masalah anda ini berulang-ulang untuk yang ke sekian kalinya. Kami sedia membantu anda.
Ingat, jangan tunggu esok, lusa, tulat, minggu depan kalau baby kurang gerak. Jumpa Dr segera. Terima kasih Ibu atas keprihatinan anda !
Setiap anak ada rezekinya sendiri. Jangan pernah kita mempersoalkan mengapa Allah SWT berikan kita rezeki untuk terus mengandung walaupun baharu saja melahirkan anak. Tidak dinafikan, banyak kes ibu yang anaknya masih kecil kemudian hamil semula.
Sama seperti ibu beranak empat ini, Ayu Roses, yang berkongsi kisahnya hamil pada usia bayinya ketika itu 7 bulan. Pelbagai perasaan bercampur-baur antara gembira, sedih, takut dan sebagainya memandangkan kelahiran sebelum itu adalah secara pembedahan.
Ikuti perkongsian Ayu ini.
Ramai yang mengandung jarak dekat.. Tapi takut nak teruskan kandungan, Anak tak sampai setahun dah pergnant lagi (poor spacing) lagi² yang bersalin secara czer, meh ayu nak share pengalaman..
Mase mengandungkan Daim, Qaseh baru masuk 7bulan, bersalin czer pulak tu.. mase dapat tau mengandung, rase happy, sedih, takut, down pun ada, happy sebab tak sangka tengah preg, sedih takut sebab scar baru lagi, macam² Ayu fikir takut tiba² luka terbuka, down sbb mulut² makcik bawang “baru je bersalin dah mengandung lagi”..
Rasa Nak Gugurkan Kandungan
Ayu berkeras nak gugurkan atas alasan takut sebab scar baru lagi, sbb dengar cakap makcik bawang “bersalin czer tak sampai 2tahun tak boleh mengandung, Bahaya lah parut pun baru lagi” husband sedih sbb Ayu nak gugurkan, mase dapat tau Ayu preg dia yg paling happy.. Ayu kuatkan diri mintak nasihat dan sokongan dari family, mak nasihat “kenape nak gugurkan?
Ada sebab kenapa Allah nak bagi, macam org yg kawin bertahun² susah nak dapat anak, kau yang senang² dapat nak buang? Jangan buat dosa nak, kesian anak yg tak berdosa tu, teruskan jelah setiap anak ada rezekinya” dalam situasi ni jangan biarkan kita berfikir serabut sorang², family, kawan², husband kena support bagi nasihat yg positif, suami kena jadi tulang belakang..
Allah Ambil 1, Ganti 1
Dari situ Ayu dapat kekuatan, Ayu teruskan kandungan, enjoy the moment.. Selang 2bulan mak Ayu meninggal.. Semuanya ada hikmah, Allah nak ambil 1, Dia ganti 1, lepas 13w baru ada kekuatan nak buka buku, takut dengan keputusan doc, takut kena bebel, Alhamdulillah rezeki Ayu doc n nurse tak bebel, doc suruh teruskan kandungan macam biasa..
Sepanjang Hamil, Semuanya Mudah
Sepanjang mengandung Ayu xde alahan ape², nk kerja pun senang, seolah² anak dalam perut memahami.. Scar pun cantum elok, xsakit macam yg orang takut²kan, Cuma Ayu ada masalah Anemia, empat² pregnancy ada Anemia, 35w refer pakar O&G untuk scan scar, Alhamdulillah doc bg deliver normal, nak Elective czer pun boleh, tp Ayu tetap nak bersalin normal walaupun tau risiko rahim boleh pecah, melibatkan nyawa.. walaupun dah pernah rase czer, Ayu tetap berjuang nak bersalin normal.. Jangan pandang rendah pd ibu² bersalin secara czer.. Bukan saja² kita mintak untuk di czer.. Semua takdir Allah dan ada hikmahnya..
38w g checkup hb drop, dari 9.2 drop 8.3.. Esok tu doc refer pakar untuk drip ubat tambah darah,husband cakap “entah² esok tu awk bersalin” 😂 pagi² dah terpacak kt PAC untuk register naik ke EPAU.. nurse tegur “puan dah 38w dah boleh bersalin dah, kaunter xbuka lagi, kalau belum makan puan g makan dulu, sbb nak drip ubat xboleh perut kosong” Ayu beli roti dengan air milo untuk alas perut, g tandas tengok² dah turun tanda, sampai PAC bg tau nurse, tukar baju 2 org doc seluk 5kali dah bukak 2cm terus kena admit wad, bermalam lah kat dalam wad, masin mulut husband dengan nurse tu 😂😂
Nak Cuba Bersalin Normal, Tapi Tak Ada Rezeki
Esok pagi doc seluk buka 4cm, Ayu mandi siap² call husband, pukul 9pagi tolak lr pecahkan air ketumban, Daim dah popo kat dalam, drip induce, bermula contraction induce puas kena seluk, kena korek sebab air ketumban banyak, leaking non stop,jam menunjukkan pukul 3petang genap 6jam Ayu kt dalam lr, doc pakar dtg terangkan “puan masuk jam ni dah 6jam puan dlm lr, jalan baru bukak 5cm poor progress, contraction ada 3x je, baby pun dah berak kat dalam, nak tunggu lagi 2 jam macam xde peluang, risiko kalau contraction semakin kerap rahim boleh pecah, tapi baby puan tak besar, mase seluk saya dapat layang² kepala dia.. so puan nak tunggu lg 2jam atau nak czer ?
Tanpa berfikir panjang “takpe doc, czer jelah mane yg terbaik” Ayu sign borang dengan tenang, tukar katil sedia tolak ke bilik ot, masuk ot menggigil satu badan, sejuk yakamat.. Doc pakar bius “puan duduk luruskan kaki, peluk bantal, tahan nafas ye” bius separuh badan dah jalan terus czer, daim keluar² doc jerit “YaAllah debabnya dia” nurse sambut daim “eeeiii ade lesung pipit lahh, double chin, dagu belahh geramnye” berat daim 3.87kg terkejut doc sbb last scan berat dia 2.92kg je, kalau doc tau berat dia 3kg++ dah tentu² xbg try normal, tapi tu lah takdir, normal ke czer bukan pilihan.. Bukan saja² orang nak bersalin czer kudrat dia sama mcm org bersalin normal..
Bila tenung muka daim dalam² YaAllah.. Comelnya dia menyesal, rase bodoh sgt sebab nak gugurkan dia dulu.. Lepas bersalinkan daim macam² rezeki datang, bos naikkan gaji, suami dapat kerja yg baik..
Jangan Stres, Usah Peduli Kata-Kata Negatif
Yang mana mengandung rapat tu kalau boleh jangan stress², kawal emosi, cepat² buka buku mintak nasihat doc, bukan dengar mulut² makcik bawang konon² czer xboleh mengandung rapat, nanti tu ini tu ini, memang risiko tu ada tapi makcik bawang bukan doc, kalau doc cakap boleh teruskan kandungan tak perlu risau, sentiasa follow up dengar nasihat doc..
Bodoh sangat bila ada yang masukkan isu family planning.. Sebab apa bodoh? Sebab isu anak ramai ni bab rezeki. Kalau kau dah planning cantik punya, install mycalender, pasang iud, makan pil, tetap Allah kata rezeki, rezekilah. Jangan letak rezeki anak tu kat tangan kita. Kita merancang, Allah merancang tapi perancangan Allah tetap yang terbaik..
#mommymudaanak4
Niat asal mahu gugurkan kandungan, tapi tiada siapa yang menyangka rupanya anak itu murah rezekinya. Tidak dinafikan, ada risiko hamil semula tidak lama selepas melahirkan anak. Apatah lagi jika kelahiran sebelum itu melalui pembedahan caesarean, tetapi percayalah dengan ketentuan-Nya. Paling penting, dapatkan pandangan dari doktor dan ikut setiap nasihat yang mereka berikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lawat kubur suami ditemani kucing putih, "Waktu saya baca doa, Uteh pasti duduk di tep." Kucing adalah antara haiwan peliharaan yang paling popular di seluruh dunia. Dengan kecomelan rupa paras, perangai yang manja, dan personaliti yang unik, kucing telah mencuri hati ramai pencinta haiwan.