Strawberi buah yang memiliki warna yang menarik dan tinggi kandungan vitamin. Ironinya, buah ini juga cenderung mewujudkan tindak balas alahan yang tidak diingini. Jadi, bolehkah memberi bayi makan strawberi? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

[Baca Selanjutnya: Tak Salah Anak Lelaki Suka Teddy Bear, Itu Membentuk Jiwanya Lebih Penyayang]

Apakah reaksi alahan kepada strawberi?

Reaksi alahan yang biasa ditunjukkan seperti ruam dan gatal-gatal, terutama apabila buah menyentuh kulit di sekitar mulut. Namun, ada masanya tindak balas yang teruk mungkin boleh berlaku yang melibatkan bengkak di dalam kerongkong. Simptom lain yang turut boleh berlaku adalah seperti timbul keradangan pada kulit, muntah, loya, cirit-birit, kesukaran bernafas, dan jika individu tersebut mempunyai asma atau ekzema, ia berisiko akan menjadi lebih teruk.

Bila masa yang sesuai perkenalkan strawberi?

Pakar mempunyai pendapat dan garis panduan yang berbeza tentang kesesuaian buah strawberi untuk diperkenalkan diet pemakan bayi. Terdapat pendapat yang mengesyorkan untuk menunggu sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya setahun sebelum memberikan kepada mereka.

Walau bagaimanapun, di Amerika Syarikat, laporan dari American Academy of Pediatrics, menyatakan garis panduan ini telah diubahsuai untuk membolehkan bayi memakan strawberi seawal usia 6 bulan.

Keliru bukan? Sebagai ibu bapa, mesti anda tidak tahu mahu mengikut pendapat yang mana.

Untuk memudahkan keadaan dan agar tidak mencetuskan sebarang risiko kepada bayi, sebaiknya, strawberi diperkenalkan kepada bayi anda hanya selepas 12 bulan, bersama makanan lain yang turut mempunyai potensi untuk mencetuskan tindak balas alahan.

Tetapi jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai alahan, adalah lebih baik untuk menunggu tempoh yang lebih lama. Anda boleh bertanyakan kepada pakar pediatrik untuk sebarang kepastian.

Kombinasi makanan

Strawberi boleh dicampurkan dengan beberapa pilihan makanan untuk menjadikan makanan bayi lebih lazat. Berikut adalah beberapa cadangan kombinasi makanan:

Buah-buahan. Puri strawberi yang dicampurkan dengan puri buah-buahan lain akan memberikan rasa yang hebat. Antara buah-buahan yang menjadi pilihan seperti mangga dan pic.

Bijirin bayi: tambahan strawberi bersama pelbagai jenis pilihan bijirin bayi. Anda turut boleh mencampurkan tepung yang diperbuat daripada beras dan oat untuk menghasilkan bubur yang lazat.

Susu dan yogurt. Merupakan kombinasi klasik yang digemari oleh individu dewasa dan kanak-kanak. Campuran strawberi dan susu lembu adalah sesuai untuk diberikan selepas bayi berusia 12 bulan.

Kebaikan strawberi

  1. Menguatkan sistem imun
    Strawberi kaya dengan vitamin C, antioksidan dan fitokimia yang berperanan untuk menjaga sistem imun agar sentiasa sihat. Sistem imun yang lebih kuat dapat meningkatkan ketahanan bayi terhadap beberapa patogen yang menyebabkan penyakit.

2. Meningkatkan sistem saraf
Fitokimia yang terdapat dalam strawberi menawarkan beberapa manfaat kepada sistem saraf, termasuk meningkatkan fungsi otak.

3. Baik untuk sistem peredaran darah
Kalium dalam strawberi memberikan peranan kepada kesihatan umum bayi, mengembangkan saluran darah dan mempertingkatkan tahap kesihatan sistem peredaran darah secara keseluruhan.

4. Tulang kekal sihat
Strawberi mengandungi kalsium, fosforus, fluorida yang memainkan peranan penting dalam menguatkan tulang – amat penting untuk pembesaran bayi.

Sumber: Hello Doktor