Ibu-ibu pernah tak mengurut bayi? Tahu tak, sebenarnya ada banyak kebaikan urutan untuk si manja. Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Galakkan untuk mengurut bayi
Menurut Hello Doktor, walaupun pada dasarnya masih banyak penyelidikan lebih lanjut diperlukan, namun hasil dalam beberapa kajian menunjukkan terdapat kebaikan urutan kepada bayi. Bahkan, ia dikatakan membantu dalam proses tumbesaran yang sihat.
Mengurut bayi menawarkan pelbagai manfaat. Dengan setiap sentuhan lembut, bayi akan berasa disayangi dan dikasihi. Sudah tentu ia secara tidak langsung akan mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak.
Anda ingin cuba melakukan urutan kepada si manja tetapi tidak pasti di mana harus bermula? Ini caranya.
Kebaikan urutan kepada bayi
Sebelum mengetahui cara mengurut bayi, jom fahami terlebih dahulu manfaat bagi setiap urutan dan sentuhan yang dilakukan.
Antara kebaikan urutan adalah seperti:
1. Ketenangan otot dan singkirkan tekanan
Urutan yang dilakukan kepada bayi dapat melegakan tekanan mereka dengan merangsang pembebasan oksitosin, neurohormon yang baik dan menurunkan kadar kortisol – hormon stres.
Ia mengendurkan otot, merangsang tumbesaran dan sangat bagus untuk bayi kolik – keadaan di mana bayi akan menangis untuk jangka masa yang panjang.
2. Merangsang sistem saraf
Mengurut bayi mendatangkan manfaat kepada sistem saraf bayi kerana ia dapat meningkatkan perkembangan kemahiran motorik mereka.
3. Tidur lebih baik
Bayi yang diurut juga akan tidur dengan baik. Kelebihan ini memberikan faedah dalam proses tumbesaran otot yang lebih cepat hingga kepada peningkatan tindak balas imun.
Urutan juga membolehkan lebih banyak hormon melatonin terhasil – hormon yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mempercepatkan tidur.
4. Memperbaiki kualiti kehidupan bayi
Kebaikan urutan adalah ia boleh menjadi cara untuk menenangkan bayi dengan sindrom Down atau cerebral palsy.
Ads
Bayi pramatang juga akan menunjukkan perkembangan motor yang lebih baik apabila diurut secara berkala. Malahan, mereka juga akan menambah berat badan lebih cepat berbanding bayi pramatang yang tidak pernah diurut.
5. Meningkatkan peredaran darah
Mengurut bayi anda juga akan dapat membantu meningkatkan peredaran darah dan juga menurunkan rasa ketidakselesaan yang berpunca oleh gas atau keasidan, kembung perut mahupun pertumbuhan gigi.
Urutan akan merangsang saraf yang melalui saluran usus sehingga memberikan manfaat kepada sistem pencernaan.
6. Perkembangan psikologi dan sosial
Berdasarkan laporan daripada Asian Nursing Research Journal, rangsangan sentuhan semasa urutan akan memberikan kesan positif terhadap perkembangan psikologi dan sosial bayi di samping memperkuatkan ikatan bayi dengan ibu bapa.
7. Mengatasi kemurungan selepas bersalin
Dikatakan mengurut adalah berkesan untuk mengatasi kemurungan selepas bersalin atau dalam bahasa mudahnya, meroyan, dalam kalangan ibu-ibu.
Umumnya, ibu yang tertekan menunjukkan mood dan tingkah laku yang lebih baik ketika mereka mengurut bayi mereka secara berkala.
Tip mengurut bayi
Sebelum melakukan urutan, ada beberapa teknik yang perlu ibu (atau bapa) ketahui, antaranya:
Masa
Waktu terbaik untuk memulakan urutan bayi adalah ketika mereka terjaga dan dalam keadaan tenang.
Pilih masa antara 2 sesi penyusuan. Jarakkan tempoh masa lebih kurang 45 minit daripada sesi penyusuan terakhir si manja. Anda juga disarankan untuk menunggu 15 minit selepas mengurut sebelum menyusukan bayi.
Ads
Persekitaran
Urut bayi anda di tempat yang tenang dan memberikan keselesaan buat kalian berdua.
Baringkan si manja di atas tuala agar mereka berasa selesa. Sesi urutan juga boleh dilakukan di atas meja menukar lampin atau di atas katil anda.
Teruskan berbual
Sentiasa berkomunikasi semasa anda mengurut bayi.
Anda boleh mengulangi nama mereka dan perkataan ‘santai’ untuk menolong mereka berasa tenang, selain daripada bercerita atau menyanyikan lagu kanak-kanak kegemaran si manja.
Penggunaan minyak
Sekiranya menggunakan minyak, pilih produk tanpa wangian dan selamat kerana bayi mungkin memasukkan jari ke dalam mulut mereka.
Jenis urutan bayi
Urutan kaki
Genggam sebelah kaki si manja dengan lembut dan lakukan urutan lembut daripada bahagian paha ke pergelangan kaki.
Ulang teknik mengurut bayi ini beberapa kali sebelum melakukannya ke kaki sebelah.
Urutan perut
Letakkan tapak tangan pada bahagian tengah perut si manja. Menggunakan hujung jari, lakukan gerakan urutan perlahan dan lembut mengikut arah jam.
Ads
Ulangi urutan ini beberapa kali.
Urutan lengan
Lakukan gerakan perlahan pada lengan si manja. Bermula dengan bahunya dan bergerak ke bahagian pergelangan tangan.
Ulangi 2 hingga 3 kali sebelum beralih ke lengan yang sebelah lagi.
Urutan leher
Berikan sokongan bahagian badan atas dan kepala si manja menggunakan sebelah tangan.
Letakkan ibu jari tangan sebelah ke satu sisi leher bayi dan 2 jari di sisi bertentangan. Kemudian gunakan hujung jari lakukan usapan lembut dengan gerakan membulat.
Ulangi gerakan tersebut untuk beberapa kali.
Urutan melegakan kolik
Pertama sekali, berikan bayi urutan pada bahagian perut.
Kemudian bengkokkan lutut ke perutnya dan tahan selama 30 saat sebelum melepaskannya. Ulangi kaedah mengurut bayi ini beberapa kali.
Letakkan sebelah tapak tangan pada perut bayi. Lurutkan tangan dengan lembut daripada perut ke bahagian bawah, ia membantu melepaskan gas yang tersimpan. Ulangi gerakan ini jika perlu.
Memberikan ketenangan
Urutan bayi adalah terapi menenangkan untuk mereka dan mengeratkan ikatan antara anda dan si manja. Namun, tidak semua bayi suka apabila diurut.
Jika ia tidak berjaya pada kali pertama, mungkin anda boleh mencubanya beberapa kali sebelum mendapatkan teknik urutan yang betul dan bersesuaian dengan bayi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mama dan papa tidak boleh mudah perkembangan mental dan fizikal bayi. Sebenarnya 12 bulan pertama ialah waktu kritikal untuk bayi. Kepekaan ibu bapa mampu mengesan sekiranya ada sesuatu yang tidak normal pada perkembangan mereka.
12 bulan pertama perkembangan bayi anda adalah salah satu daripada tempoh paling dinamik dan menarik. Perubahan yang berlaku adalah besar dan kuat. Walau bagaimanapun, setiap bayi mempunyai kadar perkembangan yang tersendiri. Oleh itu, penting untuk mengenal pasti tahap perkembangan bayi anda supaya anda boleh menggalakkannya/ merangsang serta membantu apa yang perlu untuk perkembangannya. Setiap peringkat perkembangan bayi terdapat dua perkara yang harus diberi perhatian iaitu tumbesaran fizikal dan mental.
Bagi tumbesaran mental, bayi anda perlu disokong dan digalakkan untuk meningkatkan keupayaan mental. Bayi baru lahir sangat bergantung kepada individu yang berada di sekelilingnya. Orang di sekelilingnyalah yang akan memenuhi setiap keperluannya.
Kemampuan untuk berinteraksi dan mempengaruhi lingkungan sekitarnya ini diperoleh dari suatu proses perkembangan. Proses perkembangan dan perubahan pada bayi yang baru lahir ini terjadi dalam beberapa tahap mengikut pertambahan usianya setiap bulan.
SATU BULAN
Bayi baru lahir sangat bergantung kepada individu yang berada di sekelilingnya.
Orang sekelilingnya akan memenuhi setiap keperluannya.
Memberi tindak balas kepada suara anda dengan mengerakkan badannya.
Sangat suka apabila mendengar suara ibunya berbanding orang lain kerana itulah suara yang didengarinya sejak di dalam rahim lagi.
Kerap tidur dan terjaga apabila mendengar bunyi yang kuat.
Boleh mengenali suara dan bau anda.
DUA BULAN
Mula tersenyum apabila anda bercakap dengannya.
Mengeluarkan bunyi suara kecil dalam tindak balas.
Tersenyum menjadi kebiasaan pada tahap usia ini.
Mula menunjukkan minat pada persekitarannya dengan mencari punca bunyi.
Melihat objek yang ada di persekitarannya terutama objek berwarna merah dan hitam.
TIGA BULAN
Bayi anda mula menyedari anggota badannya.
Sering melihat jarinya dan mengerakkan jarinya sendiri.
Kaki mula aktif menendang dan menolak objek dihadapannya.
Bertindak balas dengan senyuman atau mengerakkan badannya apabila mendengar bunyi.
Mula membuat bunyi-bunyian seperti bercakap.
EMPAT BULAN
Memahami apa yang anda cakapkan kepadanya.
Rasa ingin tahu menjadi perkara utama pada usia ini
Mula mengenali objek permainan kegemarannya.
Mula memahami rutin harian seperti melakukan penyusuan dalam tempoh tertentu.
Boleh memberikan ekspresi ketawa kepada orang yang melihatnya.
Dapat membezakan ekspresi wajah individu yang berada di hadapannya walaupun belum boleh mengenalinya.
Mengetahui bahawa menangis boleh mendapat perhatian.
LIMA BULAN
Mulai boleh menikmati permainan mudah seperti bermain air di dalam bilik mandi.
Suka melihat dirinya dalam cermin. Boleh memegang botol susu sendiri.
Kebolehan untuk berinteraksi dengan anda meningkat setiap hari.
Bayi anda sekarang sudah sedar dari mana datangnya bunyi dan dia akan terus berpusing ke arah bunyi baru.
Mempunyai ikatan yang kuat dengan anda dengan menghulurkan tangannya apabila dia mahu didukung dan menangis apabila anda meninggalkan bilik.
Bayi anda juga mungkin akan mula memeluk dan mencium anda.
Mengikuti dengan gerakan mata terhadap orang yang sedang lalu-lalang di hadapannya.
ENAM BULAN
Perkembangan ikatan emosi semakin meningkat.
Si manja sudah dapat memilih untuk berhubung dengan seseorang yang lebih disenanginya.
Merasai perasaan bimbang apabila berpisah iaitu berasa cemas apabila individu yang dekat dengannya tidak ada.
Apabila mendengar bunyi suara yang berintonasi ceria, bayi akan menunjukkan rasa gembira, dan apabila anda bersuara garang, bayi akan sedih dan boleh menangis.
Selalu senyum bila bermain dan berinteraksi dengan anda.
TUJUH BULAN
Bayi sudah mula boleh ‘berbual dengan anda’ dan mungkin akan memulakan ‘perbualan’.
Bayi sudah mengetahui namanya.
Cuba untuk menyuapkan makanan sendiri.
Akan meniru perkara-perkara mudah yang anda lakukan.
Mula menunjukkan beberapa perasaan seperti takut dan suka kepada sesuatu makanan dan objek.
LAPAN BULAN
Emosi bayi anda adalah semakin jelas, contohnya, memberi ciuman kepada orang yang dikenalinya. Mungkin akan mengulangi perbuatan itu jika diberi tepukan.
Bayi anda akan mula menunjukkan reaksi bimbang apabila berhadapan dengan orang asing, terutamanya ketika dia penat atau meragam.
Penglihatan bayi kini hampir sama seperti orang dewasa dari segi kejelasan melihat sesuatu objek.
Walaupun penglihatan jarak dekatnya masih lebih sempurna daripada jarak jauhnya, penglihatannya sudah cukup baik untuk mengenali orang dan objek kegemarannya.
Dapat memanggil nama ringkas antaranya ‘mama’, ‘umi’, ‘papa’ dan ‘baba’
Ada bayi yang sudah mula merangkak dan duduk pada usia ini.
SEMBILAN BULAN
Mula memahami perkataan-perkataan yang mudah seperti “tidak” dan menunjukkan tanda-tanda kesungguhan, seperti bergerak ke arah perkara-perkara yang di luar kemampuannya.
Senyum dan ketawa apabila melihat anda.
Membuat pelbagai bunyi dengan anda, seolah-olah berbual-bual dengan anda.
Mulai rasa bimbang dengan perpisahan.
Jika anak anda menghisap satu ibu jari atau puting untuk menenangkan dirinya atau tidur semasa dia cuba menangani kebimbangannya, itu adalah OK.
Anak anda akan mula kedengaran seakan-akan perkataan sebenar, termasuklah “ma” dan “da.”
Bertindak balas kepada namanya dengan memandang sekelilingnya atau dengan menghentikan apa yang sedang dilakukannya untuk mengetahui siapa yang memanggilnya.
SEPULUH BULAN
Memahami ayat mudah, soalan dan pertanyaan, sebagai contoh, “Berikan buku itu kepada mama, ‘Dapatkan bola adik’, ‘Di mana anak patung adik?
Belajar perkataan dan isyarat tertentu seperti mengatakan ‘tidak’ dan melambaikan tangan untuk isyarat ‘selamat tinggal’.
Dapat mencari objek yang tersembunyi. Contohnya, lego yang disorokkan bawah bantal.
Dapat memadankan bentuk,
contohnya, meletakkan objek silinder dalam lubang yang hampir sama di dalam bekas.
Cuba menarik perhatian orang dewasa.
SEBELAS BULAN
Suka bermain dan sangat aktif.
Boleh bercakap dengan satu perkataan yang mudah difahami.
Dia juga boleh menunjukkan kepada anda perkara-perkara dalam buku.
Menunjukkan minat kepada buku-buku berilustrasi menarik.
Suka melakukan peniruan yang dilihat di persekitarannya.
Mula melangkah dan bertatih. Ada sesetengahnya sudah boleh berjalan.
DUA BELAS BULAN
Menunjukkan minat terhadap buku-buku kegemaran yang mengandungi banyak gambar,
Boleh memahami soalan yang mudah dan menggelengkan kepala untuk mengatakan ‘tidak’.
Mula nampak seperti anti-sosial kerana akan menangis apabila ditinggalkan atau gelisah bila berada dalam dakapan orang yang tidak dikenalinya.
Mengeluarkan atau menghasilkan bunyi perkataan seperti “ma,” “ba,” “na,” “da,” dan “ga?” Menoleh ke arah orang yang memanggil namanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketahui stimulasi sensori bulan ke bulan sesuai dengan tumbesarannya boleh dibuat di rumah!
Senang dan mudah sahaja melakukannya. Janji mama & papa kena rajin dan gigih.
1 BULAN
Bayi akan terbaring sepanjang masa kecuali semasa diangkat. Bagaimana pun, bayi telah mula membuat gerakan seperti membuat gerakan menggunakan tangan, menendang, memberikan respons kepada bunyi-bunyian tetapi penglihatannya masih lemah dan sedang berkembang.
CARA RANGSANGAN
• Biarkan bayi menggenggam jari anda.
• Baby mobile atau mainan yang berwarna hitam putih.
• Mainan yang berbunyi seperti kerincing.
• Penyusuan susu ibu menggalakkan rangsangan penglihatan di mana bayi akan memandang ibu semasa menyusu.
3-4 BULAN
Bayi sudah mula meniarap dan mengangkat bahagian atas badannya. Kepalanya boleh diangkat 45 darjah. Bayi sudah tahu kaitan antara perkara yang dilakukan dan dilihat saling berkait.
CARA RANGSANGAN
• Berikan mainan yang boleh digenggam bayi.
• Berikan bayi buku atau kad imbasan yang mempunyai dua warna yang kontras seperti hitam putih merah putih dan sebagainya.
• Gerakkan objek yang bergantung sebagai rangsangan kepada penglihatan si manja.
5-6 BULAN
Ada bayi pada peringkat usia 5-6 bulan sudah boleh duduk dengan sokongan seperti bantal pada bahagian belakang. Mula membuat bunyi-bunyian untuk mendapatkan perhatian orang lain. Berbaring, meniarap dan bergolek pelbagai cara. Pada usia enam bulan, bayi boleh diberikan makanan pelengkap seperti puri yang dikisar halus.
CARA RANGSANGAN
• Berikan mainan yang mudah dipegang dan digerakkan.
• Sediakan mainan berbentuk bulat seperti bola untuk rangsangan bayi untuk merangkak.
6-7 BULAN
Bayi pada usia ini biasanya sudah berupaya untuk duduk sendiri dan berpusing. Koordinasi mata tangannya semakin baik dan lebih banyak ekspresi wajah ditunjukkan.
CARA RANGSANGAN
• Perbanyakkan cara bermain yang melibatkan nyanyian, bercakap dan praktis vokal.
• Main tepuk tangan.
• Bebola mainan dari jenis lembut (plushies) sesuai untuk diberikan pada usia ini.
• Menerokai dan cuba menyiasat mengenai tubuh badannya.
7 -8 BULAN
Bayi mula merangkak, mengambil objek dengan dua jari dan sudah tahu beberapa bahasa badan untuk sesuatu (seperti melambai), lebih banyak ekspresi melalui vokal atau suara, babbling dan seolah-olah faham bahasa yang dituturkan orang dewasa.
CARA RANGSANGAN
• Galakkan bayi untuk mengalihkan mainan dari sebelah tangan kepada sebelah lagi tangan.
• Mainan jenis susun bertingkat sangat baik untuk melatih koordinasi mata tangan.
• Anda sudah boleh menyuapkan makanan kepadanya secara berhadapan untuk menggalakkan interaksi dengannya.
8-9 BULAN
Bayi merangkak semakin laju. Malah ada yang mula berpaut pada objek di sekeliling seperti perabot dan mama dan papanya untuk bangun. Bayi mula mengetuk objek untuk menghasilkan bunyi, berkomunikasi dengan orang dewasa dengan bahasa badan dan bunyi-bunyian. Tekstur makanannya juga berubah kepada yang lebih kasar.
CARA RANGSANGAN
• Boleh berikan bayi mainan yang boleh dicubit.
• Dia juga semakin mahir melepaskan mainan
• Suka bermain mainan jenis treasure box yang mempunyai elemen surprise (kejutan).
• Anda boleh memegang bawah lengan bayi untuk mengajarnya bertatih.
10 BULAN
Bayi sudah boleh berdiri sendiri tanpa sokongan selama beberapa saat. Dia boleh berjalan beberapa langkah dengan mainan jenis sorong. Boleh memanggil ibunya dan suka melihat orang lain bermain. Masih tidak pandai untuk berkongsi mainan.
CARA RANGSANGAN
• Sediakan memasang mainan yang berbentuk set.
• Latih bayi minum air dengan cawan.
• Boleh berikan mainan yang lebih complicated.
11-12 BULAN
Bayi sudah boleh menyusur laju dengan berpegang dengan objek. Sudah pandai membelek muka surat buku, sebutan perkataan yang lebih jelas, imaginasi lebih kuat dan lebih aktif. Boleh menuturkan beberapa perkataan yang bermakna.
CARA RANGSANGAN
• Sediakan mainan yang boleh dipicit seperti mengalihkan pompom ke dalam bekas mengikut warna, menggunakan penyepit dan sebagainya.
• Mainan jenis ‘letak dan bergerak’ dan jenis mekanikal bagus untuk membentuk persepsi bayi.
• Ajar bayi untuk makan dan minum dengan sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cegah anak jadi picky eater pada peringkat awal boleh membantu mereka mendapatkan nutrien secukupnya. Tidak perlu tunggu lama, tak ada gigi pun boleh!
BILA WAKTU SESUAI?
Menurut Siti Nurhayati Ali Pakar Pemakanan Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, masa terbaik memperkenalkan makanan jejari selepas bayi selesa dengan bentuk puri. Makanan jejari boleh diberi agar bayi dapat belajar menyuap makanan mereka sendiri kelak.
Tumbesaran bayi berbeza–beza dan tidak ada satu waktu yang sama. Namun secara purata usia bayi antara tujuh dan lapan bulan sudah bersedia untuk makanan finger food atau “mudah dipegang” ini.
TANDA ANAK SUDAH BERSEDIA UNTUK MAKANAN JEJARI
Antara tanda-tanda bayi anda bersedia untuk makanan jejari ialah seperti berikut;
Mencapai makanan semasa anda menyuap makanan puri.
Memegang sudu atau mangkuk.
Membawa objekmasuk ke mulut seperti memasukkan sudu ke dalam mulut.
Boleh duduk di kerusi bayi tanpa sokongan
BELUM ADA GIGI PUN BOLEH!
Anak saya masih belum ada gigi, bolehkah dia kunyah makanan jejari? Soalan ini seringkali ditanya mama papa yang prihatin. Bayi tidak semestinya perlu ada gigi untuk makan makanan pepejal dan belajar mengunyah. Gusi mereka adalah cukup kuat untuk mengunyah makanan jejari yang merupakan pepejal lembut.
Asalkan bayi memenuhi empat syarat di atas sebagai tanda bersedia untuk menerima makanan jejari, mama papa sudah boleh boleh berikannya sebagai snek.
BAYI BELAJAR MENYUAP SENDIRI
Ketika mula memakan makanan jejari, kebanyakkan bayi tidak dapat mengenggam makanan menggunakan dua jari dengan baik (pincher grip) tetapi lebih menggunakan fist grip atau four finger grip.
Ini adalah pembelajaran normal bayi belajar menyuap makanan. Jadi mama papa jangan risau untuk memberikan makanan jejari. Cuma paling mustahak sentiasa awasi anak dan pilih makanan yang sesuai di mana teksturnya mestilah lembut, mudah ditelan dan bentuknya mudah dipegang.
BOLEH ELAK BAYI MEMBESAR JADI PICKY EATER
Pelbagaikan rasa masam, manis, pahit, kelat dan sebagainya berulang kali agar bayi boleh merasa pelbagai rasa dan ini boleh mengelakkan mereka membesar menjadi seorang yang cerewet makan atau picky eater. Sediakan dalam pelbagai cara menghidang bagi menarik selera si manja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.