
Kadar Kelahiran Malaysia kini menjadi antara isu demografi paling penting yang perlu diberi perhatian. Malaysia sedang berdepan satu realiti yang semakin membimbangkan apabila jumlah kelahiran hidup terus menunjukkan trend penurunan yang ketara.
Berdasarkan data yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia menggunakan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara merekodkan hanya 414,918 kelahiran hidup pada tahun 2024, iaitu jumlah paling rendah sejak tahun 1980.
Lebih membimbangkan, angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 9.0 peratus berbanding tahun 2023 yang mencatatkan 455,761 kelahiran hidup.
Pada masa yang sama, kadar kesuburan negara atau Total Fertility Rate (TFR) kini berada pada sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras gantian populasi iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita.
Secara mudah, paras gantian populasi ialah jumlah minimum anak yang diperlukan bagi memastikan sesebuah generasi dapat menggantikan generasi sebelumnya.
Apabila kadar kesuburan berada pada 2.1, populasi sesebuah negara secara umumnya dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Namun apabila kadar itu jatuh kepada 1.6 seperti yang berlaku di Malaysia hari ini, jumlah bayi yang dilahirkan tidak lagi mencukupi untuk menggantikan populasi yang semakin menua.
Maksudnya, semakin ramai rakyat Malaysia akan memasuki usia tua, tetapi semakin sedikit bayi yang lahir untuk mengambil alih peranan mereka pada masa hadapan.
Jika dibandingkan dengan tahun 2000, Malaysia pernah mencatatkan 537,853 kelahiran hidup.
Hari ini, angka itu telah merosot kepada 414,918 kelahiran. Ini bermakna negara kehilangan lebih daripada 120,000 kelahiran setiap tahun berbanding dua dekad lalu.
Penurunan ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ia mencerminkan perubahan besar dalam struktur masyarakat Malaysia apabila semakin ramai pasangan memilih untuk mempunyai anak yang lebih sedikit.
Jumlah warga emas akan meningkat dengan lebih cepat berbanding golongan muda.
Ini bermakna lebih banyak perbelanjaan diperlukan untuk penjagaan kesihatan, kebajikan dan sokongan sosial bagi golongan berusia.
Kanak-kanak yang lahir hari ini merupakan tenaga kerja negara pada masa hadapan.
Apabila bilangan mereka semakin sedikit, jumlah pekerja tempatan juga akan berkurangan.
Keadaan ini boleh menjejaskan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.
Lebih sedikit pekerja bermakna lebih sedikit pembayar cukai.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu menanggung kos yang lebih tinggi untuk menyokong populasi warga emas yang semakin bertambah.
Apabila kekurangan tenaga kerja tempatan berlaku, sektor seperti pembinaan, perladangan, pembuatan, perkhidmatan dan penjagaan warga emas akan memerlukan lebih ramai pekerja dari luar negara.
Ini bukan soal menolak atau membenci warga asing. Sebaliknya, ia adalah realiti ekonomi yang berlaku apabila jumlah penduduk tempatan yang berada dalam usia bekerja semakin mengecil.
Terdapat pelbagai faktor yang sering dikaitkan dengan penurunan kadar kelahiran:
Gabungan faktor-faktor ini menyebabkan ramai pasangan berasakan mempunyai ramai anak bukan lagi satu pilihan yang mudah.
Penurunan kelahiran yang berlaku hari ini bukan sekadar isu keluarga atau individu. Ia sebenarnya isu nasional yang akan mempengaruhi ekonomi, pasaran pekerjaan, sistem kesihatan dan struktur sosial negara pada masa depan.
Jika trend ini berterusan, Malaysia mungkin berdepan situasi di mana jumlah rakyat yang memasuki usia persaraan jauh lebih ramai berbanding generasi muda yang memasuki alam pekerjaan. Membimbangkan!
Baca lagi: Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!