Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun telah ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan menggunakan tukul besi dalam satu kejadian mengejutkan yang berlaku di Flat Ungku Tun Aminah. Kejadian itu yang dirakam dan tular di media sosial menunjukkan keganasan melibatkan suspek dan beberapa kanak-kanak di lokasi kejadian.

Kronologi Serangan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya telah diserang oleh seorang lelaki pada hari Sabtu kira-kira jam 5.19 petang.

“Mangsa yang berusia 12 tahun mengalami pendarahan di kepala dan segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” kata beliau dalam kenyataan media.

Ads

Menurutnya, mangsa kini dalam keadaan stabil meskipun mengalami kecederaan koyakan di kepala serta bengkak di tangan kanan.

Suspek Ditahan & Didapati Positif Dadah

Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Tun Aminah berjaya menahan suspek di kediamannya di sekitar kawasan Johor Bahru pada hari yang sama jam 7.25 petang.

Ads

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujar Balveer Singh lagi.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman selama tujuh hari bermula Ahad sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata atau cara yang merbahaya.

Ads

Rakaman Tular Dedahkan Detik Cemas

Insiden ini mendapat perhatian ramai selepas video berdurasi 2 minit 19 saat tersebar luas di media sosial. Rakaman tersebut menunjukkan suspek mundar-mandir di kawasan lif di flat berkenaan sambil dikelilingi beberapa kanak-kanak perempuan.

Dalam video itu, kedengaran jeritan seorang kanak-kanak sebelum lelaki tersebut dilihat melarikan diri dari kawasan kejadian. Beberapa saat kemudian, seorang kanak-kanak perempuan memasuki lif sambil memegang kepalanya yang berlumuran darah detik yang mengejutkan dan meruntun hati ramai netizen yang menonton video berkenaan.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads