
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terkena tembakan senjata api buatan sendiri ketika berada di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, Sabah.
Kejadian menyayat hati itu melibatkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok, sekali gus menjadi peringatan tentang pentingnya keselamatan kanak-kanak daripada barangan berbahaya.

Berada Bersama Seorang Lagi Kanak-Kanak Ketika Kejadian
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.35 petang, Sabtu lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa berada bersama seorang lagi kanak-kanak di pondok berkenaan sebelum satu das tembakan berlaku.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok tersebut sebelum satu das tembakan berlaku.
“Kejadian dipercayai melibatkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala segera dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Hasil bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tembakan pada bahagian kepala.
Polis Siasat Pemilikan Senjata Api Buatan Sendiri
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga menyebabkan tragedi tersebut.
“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.
“Pihak polis turut meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan serta Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit sah.
Siasatan yang dijalankan turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan di lokasi kejadian, khususnya bagaimana senjata berbahaya boleh berada di kawasan yang turut diakses oleh kanak-kanak.

Pengajaran Buat Ibu Ayah
Tragedi ini menjadi peringatan kepada ibu ayah dan penjaga agar sentiasa memastikan persekitaran anak-anak bebas daripada barangan yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan mungkin tidak memahami bahaya sesuatu objek, termasuk senjata api buatan sendiri.
Justeru, setiap barangan berbahaya perlu dijauhkan daripada capaian kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Ibu ayah juga perlu mengingatkan anak-anak supaya tidak menyentuh atau bermain dengan sebarang objek yang tidak dikenali, terutama jika menyerupai senjata atau peralatan berbahaya.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

