
“Bila sel-sel otak mula berhubung, maka terhasil ini. Hebatlah anak puan!”
Perkongsian seorang ibu di Threads mencuri perhatian ramai apabila anaknya secara tidak sengaja telah menghantar mesej peribadi (DM) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), sehingga mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @fatyn_zamry, ibu kepada kanak-kanak berkenaan tampil memohon maaf kepada PMX selepas menyedari anaknya telah menghantar mesej tersebut.
Namun siapa sangka, mesej daripada seorang kanak-kanak yang masih berada di tadika itu mendapat respon daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Jawapan PMX yang mencuit hati itu sekali gus membuatkan ramai tersenyum, malah memuji kreativiti dan keberanian anak kecil berkenaan yang berani berkomunikasi dengan pemimpin negara.
Menurut ibu kepada kanak-kanak tersebut, dia sendiri tidak menyangka anaknya sempat menghantar mesej secara peribadi kepada PMX ketika bermain telefon bimbit.
Rupa-rupanya, si kecil itu telah menghantar mesej yang berbunyi:
“Aslam, bagi cuti sekolah selamanya.” 🤭
Lebih mengejutkan, mesej itu bukan sahaja dibaca, malah dibalas sendiri oleh PMX dengan nada berseloroh.
“Wassalam. Amboiii… selamanya dia minta. Semoga jadi anak yang rajin baca buku dan pergi sekolah. Sampai hari cuti nanti pun dia nak pergi sekolah.”
Balasan tersebut membuatkan si ibu terharu dan segera memohon maaf sekali lagi.
“Ya Allah… PM saya minta maaf sekali lagi jika anak saya nakal. Saya pun tak tahu macam mana dia terfikir nak PM Perdana Menteri. Apa pun, terima kasih sudi reply dalam kesibukan. Terima kasih banyak atas doanya. Aamiin Ya Mujib.”
Menurutnya lagi, kanak-kanak yang mencuit hati ramai itu merupakan anak nombor dua dalam keluarganya.
Sementara itu, perkongsian tersebut terus meraih perhatian warga Threads. Antara komen yang paling mencuit hati ialah apabila seorang netizen bertanya:
“Aslam tu siapa ye?”
Ibu kanak-kanak itu kemudian menjelaskan sambil berseloroh:
“Bukan suami siapa-siapa… tu shortform kepada Assalamualaikum.”
Ruangan komen terus dibanjiri gelak tawa apabila ramai mengakui kreativiti kanak-kanak hari ini memang sukar dijangka. Ada yang menganggap mereka sangat bijak menggunakan singkatan, manakala ada juga yang berkata hanya dunia kanak-kanak mampu menghasilkan idea spontan seperti itu.
Hakikatnya, telatah anak-anak yang sedang belajar membaca dan menulis sememangnya sering mencuit hati. Walaupun ada kalanya mereka melakukan sesuatu di luar jangkaan, ia sebenarnya menjadi antara momen manis yang akan dikenang apabila mereka dewasa kelak.
Sumber: Threads @fatyn_zamry