
Hati ibu mana yang tidak sebak mendengar khabar anak yang tersayang pergi terlebih dahulu daripana dirinya. Lebih meruntun jiwa, pergi dalam keadaan yang mengejutkan. Jauh di sudut hati, sesiapa sahaja tidak dapat menerima hakikat khabar begini. Namun sebagai manusia kita harus menerima ketentuhan Ilahi.
Kapten Zainol Afiq menjadi antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada petang Selasa, dalam tragedi yang benar-benar meruntun hati ramai.
Lima nyawa terkorban dalam tragedi itu, termasuk seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ketika itu sedang menjalankan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Namun di sebalik berita nahas yang menggemparkan itu, ada keluarga yang sedang cuba menerima hakikat bahawa insan yang selama ini keluar bekerja seperti biasa kini tidak akan pulang seperti sebelumnya.
Antara perkongsian yang cukup menyentuh hati ialah mengenai ibu kepada juruterbang, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, yang dikongsikan menerusi akaun Threads @khusairi.fadhli.
Kata-kata seorang ibu yang masih memikirkan makanan kegemaran anaknya membuatkan ramai terdiam dan sebak.
Kapten Zainol Afiq: “Sambal Bilis Tu Makanan Kegemaran Afiq”
Menerusi perkongsian tersebut, @khusairi.fadhli menceritakan situasi yang berlaku selepas keluarga selesai mengadakan bacaan Yasin dan doa selamat buat pasukan KKM yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Ketika para tetamu masih berada di rumah, ibu Kapten Zainol yang dirujuk sebagai ‘Mak Long’ tiba-tiba memberitahu mahu ke dapur untuk memasak sambal bilis.
Pada mulanya, para tetamu menyangka beliau mahu menyediakan makanan untuk mereka.
“Semua duduklah dulu ya, saya nak pergi masak sambal bilis sekejap.”
Tetamu kemudian memberitahu bahawa beliau tidak perlu bersusah payah menyediakan hidangan.
Namun jawapan yang diberikan selepas itu membuatkan suasana berubah.
“Eh bukan, saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak saya esok sebab sambal bilis tu makanan kegemaran Afiq.”

Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan beratnya hati seorang ibu ketika itu.
Mungkin dalam fikirannya masih ada rutin seorang emak yang mahu menyediakan makanan kegemaran anak. Anak yang selama ini bekerja jauh, anak yang mungkin setiap kali pulang atau keluar bertugas tetap menjadi insan yang difikirkan maknya.
Perkongsian itu turut menyebut agar orang ramai mendoakan kedua-dua ibu dan bapa Kapten Zainol Afiq yang dijadualkan berangkat ke Miri.
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Perkongsian Buat Ramai Teringat Pengalaman Sendiri
Ruangan komen kemudiannya dipenuhi dengan kata-kata simpati dan pengalaman mereka yang pernah menyaksikan sendiri bagaimana seseorang berdepan kehilangan insan tersayang.
Seorang pengguna Threads, @ndyhnr, berkongsi bahawa ibunya pernah melalui keadaan hampir sama selepas kehilangan suami.
Menurutnya, ibunya masih menyediakan Nescafe dan memasak lauk kegemaran arwah ayah seperti kebiasaan mereka sekeluarga.
Malah ibunya pernah memintanya memanggil ayah untuk makan.
Apabila diingatkan bahawa ayah sudah tiada, katanya, ibunya seakan tersedar sebelum masuk semula ke dalam bilik. Menurutnya, mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum keadaan ibunya semakin baik.
Seorang lagi pengguna, @noor_fazlin, turut berkongsi kisah arwah ibu mentuanya.
Walaupun suaminya sudah meninggal dunia berbelas tahun, arwah ibu mentuanya tetap menyediakan kuih raya yang menjadi kegemaran suami setiap kali Aidilfitri.
Katanya, setiap tahun wanita itu akan menyebut,
“Arwah apak suka kuih ni.”
Kisah-kisah itu menunjukkan betapa kenangan bersama seseorang boleh terus hidup melalui perkara yang kelihatan kecil — secawan kopi, lauk kegemaran, kuih raya atau sambal bilis yang selalu disediakan oleh seorang ibu.
Setiap Orang Melalui Kehilangan Dengan Cara Berbeza
Kehilangan orang tersayang bukan sesuatu yang mudah diterima dalam tempoh sehari atau dua.
Ada yang menangis tanpa henti, ada yang banyak berdiam diri dan ada juga yang secara tidak sedar terus melakukan rutin yang selama bertahun-tahun dilakukan untuk insan yang telah pergi.
Lebih-lebih lagi apabila kehilangan berlaku secara tiba-tiba tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
Sebab itu keluarga yang sedang melalui detik seperti ini memerlukan ruang, masa dan sokongan daripada orang di sekeliling.
Tidak perlu memaksa mereka segera kelihatan kuat. Kadangkala kehadiran ahli keluarga, pelukan dan seseorang yang bersedia mendengar sudah cukup bermakna.
Kapten Zainol Afiq Antara Lima Insan Pergi Ketika Menjalankan Amanah

Dalam kejadian pada 8 September 2026, sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak. CAAM menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 3.58 petang.
Kesemua lima individu di dalam helikopter berkenaan disahkan terkorban. Mereka ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Mereka bukan sekadar nama dalam sebuah berita tragedi. Empat daripada mereka merupakan petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi untuk memberikan khidmat kepada masyarakat pedalaman, sementara Kapten Zainol menerbangkan pasukan berkenaan dalam misi tersebut.
Perkhidmatan Doktor Udara sendiri telah menjadi antara talian hayat kesihatan penting bagi penduduk di kawasan pedalaman Sarawak sejak diperkenalkan pada 1973, termasuk dalam urusan rawatan, penghantaran ubat dan vaksin serta pemindahan pesakit kritikal.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas semua mangsa yang terkorban dan memberikan kekuatan yang luar biasa buat keluarga mereka.
Dan buat seorang ibu yang masih teringat mahu menyediakan sambal bilis kegemaran anaknya, semoga diberikan kekuatan untuk melalui hari-hari mendatang. Ada kasih seorang ibu yang tidak pernah terhenti walaupun anaknya sudah tiada di depan mata.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Info Untuk Rekod

- Tarikh kejadian: 8 September 2026, Selasa.
- Lokasi: Berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram, Sarawak.
- Pesawat: Helikopter BO-105, pendaftaran 9M-LLF.
- Misi: Perkhidmatan Doktor Udara/Flying Doctor Service (FDS).
- Jumlah mangsa: Lima orang, terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas KKM.
- Mangsa: Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya.
- Siasatan: AAIB di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian.
- Perkembangan setakat tengah hari 9 September: Pasukan SAR dan forensik digerakkan ke Long Lellang, manakala ahli keluarga mangsa turut ke Miri bagi urusan pengecaman termasuk proses DNA.
Sumber: khusairi.fadhli Bernama
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

