Alahai, tak sampai hati kalau tengok anak sembelit kan? Muka merah-merah waktu meneran. Lepas tu menangis sebab rasa tak selesa. Sembelit adalah antara masalah yang biasanya berlaku dalam kalangan bayi selain kembung perut.
Apabila bayi menghasilkan najis yang keras atau kurang membuang air besar, keadaan ini dipanggil sembelit. Biasanya untuk bayi yang minum susu akan membuang air besar selepas menyusu atau mungkin satu atau dua kali dalam tempoh seminggu. Untuk bayi yang minum susu formula, kekerapan membuang air besar adalah sekali dalam tempoh dua ke tiga hari.
Yang buat mama papa susah hati bila anak mendapat sembelit adalah kerana mereka akan sering merengek kerana rasa sakit perut yang datang dan pergi. Ia akan menyebabkan rasa tak selesa pada perut. Yang paling dirisaukan apaila bayi mengalami luka pada lubang dubur yang menimbulkan rasa sakit atau pendarahan ketika membuang air besar.
Selain itu, anak juga akan kehilangan selera untuk makan. Kalau mama papa tekan pada bahagian perut anak, boleh rasa agak keras pada permukaannya. Rasa keras itu menekan perut bayi yang membuatkannya cepat kenyang walaupun baru makan sikit.
Sumber foto: www.shutterstock.com
Ada banyak cara yang boleh mama papa lakukan untuk cuba elakkan masalah sembelit ini. Untuk bayi yang sudah mula makan, banyakkan campuran sayur atau buah dalam makanan mereka. Pengambilan makanan yang tinggi serat dapat membantu proses pencernaan dan anak lebih mudah membuang air besar.
Bayi yang mengalami sembelit perlu cukup air alam badan. Untuk bayi berusia lebih dari enam bulan bolehlah berikan mereka minum air masak, jus prun atau jus buah pir. Untuk bayi yang berusia bawah enam bulan, berikan mereka susu yang secukupnya.
Salah satu cara lain untuk mengatasi masalah sembelit atau kembung perut adalah dengan mengurut bayi anda. Sesetengah mama mungkin sudah biasa melakukan urutan ini pada bayi, tapi bagi yang belum tahu bolehlah cuba.
Ads
Teknik urutan ini dapat membantu mengatasi masalah kolik dan sembelit. Nak buat pun senang aje! Boleh rujuk video yang dikongsikan menerusi akaun Tiktok mamadrama001 ini;
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi ibu yang baru bersalin, rengat akan menjadi mimpi ngeri. Kesakitan pada bahagian ari-ari selepas bersalin ini tidak dapat digambarkan, hanya yang pernah menghadapinya akan tahu.
Rengat akan berlaku kepada ibu selepas melahirkan, tidak kira secara normal atau pembedahan. Malah ada ibu yang menyamakan rengat dengan kontraksi bersalin dan mengatakan lebih dari itu bagi menggambarkan tahap kesakitan teramat sangat yang dialami.
Menurut Dr Afiq Rahim, sakit rengat ini juga perlu diketahui oleh para suami bagi membantu dan memahami isteri yang sedang mengalaminya.
Mungkin ada yang pertama kali mendengarnya terutama kaum Adam.
Ketahuilah, ilmu ini barangkali boleh membantu kamu saat isterimu butuh pertolonganmu selepas bersalin.
Sakit Rengat atau bahasa Mat Don ‘AFTER BIRTH PAIN” adalah sakit menyerupai senggugut selepas bersalin. Ada pihak mengatakan sakit ini lebih kuat daripada sakit kontraksi semasa hendak bersalin.
Ini adalah antara proses pengecutan rahim kepada saiz dan posisi asalnya.
RENGAT BERLIPAT KALI GANDA SEMASA MENYUSU
Kesakitannya akan diamplifikasikan berlipat kali ganda apabila penyusuan ibu dilakukan sehingga ada ibu yang tewas melawan sakit ini.
Mengapa pula?
Penyusuan ibu merangsang penghasilan hormon oxytocin, hormon yang diperlukan si ibu untuk mengecutkan rahimnya segera.
Rahim yang lambat mengecut boleh menyebabkan berlaku TUMPAH DARAH seperti yang berlaku kepada pesakit saya semasa banjir 2014 (nak tahu kisah ibu tersebut, bolehlah dapatkan senaskah buku saya “I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING”).
RENGAT BANYAK BERLAKU SELEPAS KELAHIRAN ANAK KEDUA & KE ATAS
Biasanya sakit rengat ini hanya berlaku pada anak kedua dan ke atas dan jarang berlaku kepada ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata.
Durasi kesakitan pula sekitar 2-10 hari bergantung kepada keadaan.
Akan tetapi kebanyakkan ibu yang pernah melalui mengatakan durasinya bergantung kepada bilangan anak. Semakin banyak anak, semakin lama sakitnya.
BAGAIMANA MENGHILANGKAN KESAKITAN RENGAT?
Ada kajian di PubMed yang menunjukkan assosiasi stress dan depresi kepada ibu yang kesakitannya gagal diuruskan dengan baik selepas bersalin.
Jadi penting menguruskan kesakitan ibu selepas bersalin dengan baik!
#1. UBAT PENAHAN SAKIT
Pilihan terbaik adalah penggunaan ubat penahan sakit NSAID yang telah terbukti secara kajian memang berkesan. Gabungannya dengan Ubat Paracetamol juga dilihat berkesan.
#2. TEKNIK PERNAFASAN
Teknik pernafasan atau hipnosis juga dapat membantu mengawal kesakitan.
#3. MENGOSONGKAN PUNDI KENCING
Antara tips lain adalah sentiasa membuang air kecil untuk mengosongkan pundi kencing. Pundi kencing yang penuh antara punca menaikkan tahap sakit rengat selepas bersalin.
#4. TUNGKU ATAU LOSYEN PANAS
Petua tradisional juga boleh diamalkan seperti meletak tuku / batu panas ke atas rahim / losyen panas untuk mengurangkan sakit dan mempercepatkan proses pengecutan mengikut kadar yang disarankan sahaja dan tidak berlebihan.
Bagi yang bersalin secara pembedahan, perlulah mendapat nasihat doktor terlebih dahulu. Dibimbangi rawatan yang tanpa kajian boleh mengganggu penyembuhan luka dalaman.
Paling penting si ibu dan pasangannya perlu bersabar dan menguatkan semangat untuk melalui ujian ini.
Saya dan isteri juga baru menempuh episod baru seperti ini. Memang sakit yang teramat. Kasihan melihat isteri mengerang sakit rengat.
Jadi saya berharap artikel ini dapat membantu para ibu dan pasangannya untuk bersedia menghadapi saat tersebut.
Ramai tak tahu yang ketika contraction, ibu boleh cuba relaks kan otot yang tegang dengan mandi air suam.
Masa anda mandi, anda boleh cuba teknik deep breathing agar lebih tenang dan selesa. Mulakan dengan membasuh dari bahagian bawah naik ke atas dan baca bismillah syifa’ berulang-ulang kali.
Antara kebaikan Bismillah Syifa’ ialah mengurangkan sakit bisa tulang dan sendi.
بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الشافي
بسم الله الكافي
بسم الله المعافي
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شىء في الارض ولا في السماء وهو السميع العليم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dengan nama Allah Yang Menyembuhkan
Dengan nama Allah Yang Mencukupkan
Dengan nama Allah Yang Memberikan kesihatan yang baik
Dengan nama Allah yang tidak memberi kemudaratan dengan namanya akan sesuatu pun di dunia dan di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kalau dah relaks tu jangan pulak mandi lama sangat dalam toilet tu lebih dari 30minit. Risau Kaklong kalau korang terbersalin sorang sorang dalam toilet.
Cuba lah, InshaAllah semoga beroleh manfaat.
Sakit bersalin adalah normal untuk setiap ibu hamil. Ini kerana otot badan ketika proses kelahiran, akan bekerja keras untuk mengeluarkan bayi di dalam rahim. Kontraksi pada otot rahim dan tekanan pada serviks semasa tempoh bersalin akan membuatkan anda mengalami ketegangan pada bahagian abdomen, pangkal paha dan belakang badan.
Selain itu, bakal ibu juga akan rasa sakit hendak bersalin kerana berlakunya tekanan pada kantung dan usus yang menyebabkan kepala bayi semakin meregang ke arah tempat kelahiran.
1 Suntik persekitaran kelahiran yang menenangkan. Semasa hampir tempoh kelahiran, pasangkan alunan zikir dan lagu yang menenangkan anda. Selain itu, peralatan untuk bersalin juga mestilah yang dapat membantu anda memudahkan kelahiran seperti tilam yang lembut. Jika anda bercadang untuk bersalin dengan posisi yang berbeza, sediakan peralatan yang perlu seperti bola kelahiran atau bangku kecil. Walau bagaimanapun, pastikan polisi hospital bersalin anda membenarkan anda untuk mencuba posisi berbeza.
2 Lengkapkan diri dengan ilmu bersalin sebelum tempoh kelahiran anda. Anda boleh dapatkannya melalui buku, majalah, laman sesawang, video, kelas pranatal atau bertanya kepada doktor. Pelbagai informasi dapat membantu anda menghadapi keadaan semasa bersalin.
3 Atasi ketakutan anda dengan cara meluahkannya kepada orang terdekat anda seperti suami ataupun ibu anda. Doktor juga adalah orang yang terbaik untuk menasihati anda tentang cara-cara mengatasi rasa takut semasa bersalin.
4 Latihan teknik pernafasan adalah kunci paling penting untuk membantu memudahkan proses bersalin anda. Bagi mempelajarinya, hadirilah kelas pranatal yang akan membantu anda mempelajari teknik pernafasan yang betul untuk menghadapi kontraksi sebelum bersalin. Caranya adalah dengan melepaskan tekanan pada setiap hembusan dan cuba juga menarik nafas laju pada setiap 2 atau 3 saat iaitu 20 hingga 30 kali seminit. Jika anda kehilangan tempo, minta pertolongan pasangan anda untuk membantu anda mendapatkan semula rentak melalui pergerakan mata, tangan atau kepala.
5 Tumpukan perhatian anda pada sesuatu perkara yang boleh membuatkan anda gembira (seperti wajah pasangan anda, gambar yang dapat memberi inspirasi atau benda kegemaran anda). Keadaan ini dapat merangsang deria anda dan mengurangkan kesakitan. Selain itu, dengan mendengar muzik, suara yang menenangkan atau rakaman alunan ombak dan membayangkan anda berada pada persekitaran yang menenangkan juga dapat membantu mengurangkan kesakitan.
6 Hangatkan tubuh dengan mandi air panas. Ini bagi melegakan kesakitan kontraksi, merehatkan minda anda malah ada kalanya ia juga membantu anda untuk mempercepatkan proses kelahiran. Cara terbaik adalah dengan keadaan anda duduk di atas bangku dan halakan pancuran air panas terus ke abdomen anda atau bahagian belakang tubuh anda.
7 Bagi mempermudahkan proses kelahiran, banyakkan pergerakan terutama semasa menghampiri proses bersalin. Kontraksi akan lebih menyakitkan jika anda hanya berbaring di atas katil tanpa melakukan sebarang pergerakan. Anda boleh berjalan, bersandar, bergoyang atau mencangkung mengikut posisi yang anda selesa. Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati pada setiap pergerakan anda!
8 Sentuhan atau urutan daripada suami juga dapat membantu melegakan sakit bersalin anda. Anda boleh minta suami menggenggam tangan anda, membelai pipi atau rambut anda, atau mungkin juga menepuk-nepuk tangan atau bahu anda semasa proses kelahiran.
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!