Anak anda memerlukan pelbagai sumber makanan untuk mendapat cukup nutrisi bagi perkembangan giginya. Selain kumpulan makanan utama, dengan menambah lebih makanan super dalam diet anak anda akan menyediakan lebih mineral, vitamin, serat, dan lemak sihat untuk perlindungan gigi mereka. Artikel ini menyediakan 5 makanan baik untuk gigi kanak-kanak.
Sayuran crunchy
Jika anda mencari makanan kunyahan ‘semula jadi’, mungkin sayuran crunchy atau rangup (seperti lobak mentah, kubis bunga, kacang hijau, daun saderi atau snap kacang) adalah pilihan yang sesuai. Sayur-sayuran ini mempunyai tekstur kasar semula jadi yang membantu mengikis keluar sisa plak yang tidak diperlukan selepas anak anda memberus gigi. Ibu bapa perlu menyediakan sayuran seperti ini sebagai snek atau pencuci mulut dan menggalakkan kanak-kanak untuk kerap mengunyah sayuran ini.
Buah-buahan kaya dengan vitamin C
Bagi mencegah gingivitis yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria dalam mulut kanak-kanak, jadi anda perlu menyediakan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C dalam makanan harian anak anda. Terdapat banyak jenis buah yang kaya dengan vitamin C yang mudah anda dapati di pasar seperti oren, buah limau, kiwi, cantaloupe, betik, dan beberapa jenis buahan lain. Di samping itu, beri juga adalah salah satu buah yang paling berkhasiat dan lazat yang boleh dimakan setiap hari. Beri seperti strawberi, raspberi atau beri hitam bukan sahaja merupakan pencuci mulut yang sedap, bahkan juga adalah buah yang sangat kaya dengan nutrien dan antioksida. Beri dan buah kaya vitamin C lain boleh membantu menghapuskan bakteria dalam mulut dan membekalkan kolagen sihat untuk gusi anda.
Kekacang dan bijian
Jika anak anda berusia 3 tahun ke atas, anda boleh berikannya makan bijian seperti biji bunga matahari dan biji chia. Bijian ini adalah sumber mineral hebat, mengandungi lemak baik, protein dan serat. Ia juga menyediakan lemak semula jadi yang menyalut gigi dan membantu melindungi gigi daripada bakteria. Bijian Grind pula sangat lazat dan mudah dimakan sebagai snek, ditaburkan pada salad, serta dijadikan pencuci mulut yang menyelerakan. Juga, anda boleh menambah bijian dan kekacang semasa membuat kek untuk seisi keluarga anda. Minyak semula jadi yang ada dalam bijian membantu menguatkan enamel gigi. Malahan, sesetengah bijian juga menyediakan kalsium. Bijian dan kekacang ini disarankan untuk disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan kerosakan.
Gula-gula getah tanpa gula
Jika anda terlalu sibuk untuk menyiapkan buah atau sayur, anda boleh mempertimbangkan untuk memberi anak makan gula-gula getah. Kebanyakan gula-gula getah dibuat bagi membantu mengeluarkan plak dan meningkatkan antibodi semula jadi dalam mulut anak anda. Selain itu, dengan mengunyah gula-gula getah tanpa gula selepas makan boleh membantu anak anda mengelakkan kerosakan gigi dan masalah nafas berbau.
Produk tenusu
Produk tenusu tanpa gula tambahan adalah perlu untuk gigi kanak-kanak. Contohnya, keju akan merangsang penghasilan saliva atau air liur sementara kalsium di dalamnya membantu menggantikan mineral terlarut resap dari gigi oleh asid. Produk tenusu kegemaran kanak-kanak seperti susu, yogurt, dan aiskrim tanpa gula juga menyediakan kalsium dan fosfat. Susu diperkaya adalah penuh dengan vitamin D, yang membantu tubuh kanak-kanak memproses kalsium dengan berkesan.
Bila ada bayi, antara masalah yang anda perlu pantau dengan teliti adalah ruam lampin. Ramai bayi akan mengalami sekurang-kurangnya sekali masalah ruam lampin. Ada bayi mengalami ruam lampin yang tidak teruk dan sekejap sahaja sudah sembuh tetapi ada juga yang melalui fasa kesakitan yang memerlukan rawatan lanjut akibat jangkitan bakteria telah berlaku.
Apa pun seeloknya kita elakkan dan cegah bayi daripada kena ruam bayi yang akan membuatkan si kecil tidak selesa dan meragam sepanjang masa. Semoga perkongsian Ahli Farmasi seperti dikongsi dalam laman facebook Kementerian Kesihatan Malaysia ini dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa.
RUAM LAMPIN – APA PERLU DILAKUKAN?
Ruam lampin merupakan keadaan yang kerap berlaku dalam kalangan bayi atau anak kecil. Kulit bayi adalah agak sensitif. Ruam lampin terjadi apabila kulit bayi terdedah kepada air kencing atau najis dalam jangka masa yang panjang. Tambahan pula, geseran antara kulit dengan lampin yang dipakai boleh menyebabkan keadaan kulit menjadi panas dan merah.
Selain itu, ruam lampin juga boleh berlaku apabila bayi atau kanak-kanak mempunyai alahan kepada jenis lampin pakai buang yang digunakan atau alah kepada bahan pencuci atau sabun yang digunakan untuk membasuh lampin. Pada dasarnya, ruam lampin adalah masalah kulit yang ringan dan tidak serius, namun jika dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan lepuh pada kulit dan boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau kulat berlaku.
Ciri-ciri ruam lampin adalah keadaan kulit bayi atau anak kecil yang mempunyai ruam merah di kawasan punggung, bahagian kemaluan atau kawasan yang ditutup dengan lampin. Ruam lampin seperti ini biasanya adalah ringan dan para ibu bapa boleh merawatnya dengan mengamalkan enam langkah berikut.
1. Tukarkan lampin bayi dengan lebih kerap. Seboleh-bolehnya sebaik sahaja lampin basah. Hal ini disebabkan air kencing atau najis yang dibiarkan lama tanpa pembersihan merupakan penyebab utama ruam lampin berlaku. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memeriksa lampin setiap 2 – 3 jam untuk pertukaran lampin. Bayi yang berumur kurang daripada setahun memerlukan pertukaran lampin yang lebih kerap berbanding dengan kanak-kanak berumur 1- 2 tahun.
2. Bersihkan kawasan punggung dengan air suam sahaja dan lap kering dengan tuala bersih yang lembut. Elakkan menggunakan sabun kerana bahan kimia pada sabun boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan menerukkan lagi keadaan. Tisu basah pakai buang (baby wipes) boleh digunakan tetapi perlu pilih jenis tisu basah yang bebas bahan pewangi dan alkohol.
3. Pastikan kawasan punggung adalah kering sebelum memakai lampin yang baru. Gunakan tuala jenis yang lembut dan lap dengan perlahan-lahan.
4. Sapu krim atau salap jenis pelindungan (barrier cream or ointment) setiap kali menukar lampin bagi membentuk lindungan antara kulit dengan air kencing dan najis. Sapuan yang nipis sudah mencukupi. Antara jenis krim atau salap pelindung yang boleh digunakan adalah zink oksida (zinc oxide), jeli petroleum/ parafin (petroleum jelly/ white soft paraffin). Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi komuniti semasa membuat pilihan krim pelindung yang sesuai untuk bayi.
5. Elakkan menggunakan bedak talkum kerana bedak tersebut berkemungkinan mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan masalah ruam berlaku.
6. Tukarkan jenama lampin pakai buang yang digunakan sekiranya 5 langkah di atas tidak berkesan. Pilih jenis lampin yang sesuai kepada bayi dan mempunyai kadar serapan air kencing yang lebih tinggi.
Pada kebiasaannya, ruam lampin akan sembuh dalam tempoh masa 1 minggu selepas mengambil langkah-langkah seperti di atas. Sekiranya keadaan bayi masih berlarutan dengan terbentuknya lepuh kecil, kulit menjadi kering dan merekah serta pembengkakan berlaku, perlu rujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Doktor mungkin akan mensyorkan penggunaan ubat sapu jenis steroid seperti hydrocortisone.
Ubat sapu steroid dapat mengurangkan masalah keradangan. Ubat sapu steroid perlu digunakan secara nipis pada kawasan terlibat mengikut arahan daripada doktor. Penggunaan ubat sapu steroid hanya untuk jangka masa yang singkat sahaja. Jangan gunakan ubat tersebut berpanjangan tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi anda.
Dalam kes jangkitan kulat dan bakteria, ubat sapu antikulat dan antibiotik akan dipreskripsikan oleh doktor yang merawat. Ubat sapu antikulat perlu disapu secara berterusan sekurang-kurangnya 7 – 10 hari selepas ruam hilang. Ini adalah untuk memastikan pembasmian kulat yang berlaku sepenuhnya. Ubat sapu steroid, antikulat atau antibiotik perlu digunakan terlebih dahulu sebelum menggunakan krim atau salap pelindung.
Para ibu bapa adalah disyorkan untuk memastikan kawasan punggung bayi sentiasa kering dan bersih dengan mengamalkan amalan menukar lampin yang lebih kerap supaya ruam lampin tidak berlaku. Seperti kata pepatah, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Para pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi – 5.00 petang ) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan.
Chan Chiew Ting
Pegawai Farmasi
Klinik Kesihatan W.P. Labuan
Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga adalah antara penyakit-penyakit yang boleh menjangkiti kanak-kanak dan bayi. Perkongsian doktor ini amat bermanfaat untuk menanganinya.
Dr Syahr Musafir berkongsi mengenai bahayanya serangan bakteria streptococcus pneumoniae yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga. Malah lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan kecacatan sekiranya.
Tindakan ibu bapa memberikan anak suntikan vaksin pneumococcal berupaya mengurangkan risiko kesan dan komplikasi yang mungkin terjadi seperti kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian. berikut ialah perkongsian beliau;
Esok nak masuk tahun baru 2019, sudah pasti ramai yang menyusun-nyusun azam baru. Buat para ibu bapa, saya nak kongsi vaksin pneumococcal (Pneumococcal Vaccine). Manalah tahu boleh dijadikan sebagai salah satu AZAM 2019.
Penyakit pneumokokus adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae yang menjangkiti orang dewasa dan kanak-kanak. Tetapi lebih berisiko kepada kanak-kanak dan orang tua.
Bakteria ini boleh membawa pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan paru-paru / peradangan (radang paru-paru), meningitis (keradangan membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga bahagian tengah).
Kalau tak silap, tahun ini ada viral kes meningitis yang melibatkan kanak-kanak.
SERANGANNYA BOLEH MENYEBABKAN KECACATAN KEKAL & KEMATIAN
Terdapat banyak jenis strain (jenis) Streptococcus pneumoniae (sekitar 90 jenis atau serotaip) tetapi hanya minoriti strain (kira-kira 20 serotaip) menyebabkan penyakit pneumokokus. Majoriti jangkitan ini serius dan memerlukan rawatan di hospital, kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian.
Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization (WHO)) menganggarkan bahawa daripada 8.8juta kematian tahunan di seluruh dunia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, 476000 kematian adalah disebabkan oleh jangkitan pneumokokal. Kadar kematian dan penyakit adalah lebih tinggi di negara-negara membangun dengan majoriti kematian yang dilaporkan di Afrika dan Asia.
WALAU PUN ANTIBIOTIK BOLEH MENGUBATI, VAKSIN PILIHAN TERBAIK
Walaupun rawatan antibiotik untuk penyakit pneumokokus boleh didapati, beberapa jenis bakteria ini ‘lebih kuat’ berbanding antibiotik. Maksudnya, antibiotik tak mampu menyelesaikan jangkitan bakteria.
Memandangkan penyakit pneumokokus adalah penyakit yang boleh dielakkan dengan pengambilan vaksin, vaksinasi adalah pilihan terbaik. Di Malaysia, penyakit pneumokokus adalah salah satu daripada penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksin untuk membantu melindungi daripada penyakit serius, komplikasi dan menyelamatkan nyawa.
Vaksin ini mencegah penyakit. Antibiotik itu mengubati. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
CARA PEREBAKAN BAKTERIA STREPTOCOCCUS PNEUMONIAE
Streptococcus pneumoniae boleh tersebar dengan mudah melalui permukaan yang dijangkiti, dan daripada orang ke orang apabila terdapat hubungan langsung atau melalui titisan, contohnya apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk. Bukan semua orang yang telah terdedah kepada bakteria, akan mengalami gejala penyakit pneumokokus.
Sesetengah orang membawa Streptococcus pneumoniae (biasanya dalam hidung dan tekak) tanpa menunjukkan tanda-tanda gejala penyakit itu sendiri tetapi boleh menyebarkannya kepada individu yang tidak dijangkiti.
Kanak-kanak sangat terdedah kepada jangkitan tersebut. Maka, vaksin memberi perlindungan terhadap risiko ini. Terutama anak-anak yang bersekolah, bersukan, aktiviti outdoor malah anak-anak yang ditinggalkan di pusat/rumah asuhan, nurseri dan sebagainya.
VAKSIN PNEUMOCOCCAL
Pada masa ini terdapat dua jenis vaksin pneumokokus: vaksin polysaccharide pneumokokus (pneumococcal polysaccharide vaccine) dan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine). Untuk kanak-kanak dan orang normal (kurang dari 65 tahun) yang tiada risiko tinggi jangkitan kerana masalah imunisasi tersensitif, mendapatkan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) sudah cukup bagus.
Vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) pula ada dua jenis:
(1) Prevenar13, yang melindungi daripada 13 jenis serotaip bakteria.
(2) Synflorix, yang melindungi daripada 10 jenis bakteria Streptococcus pneumoniae.
VAKSIN PNEUMOCOCCAL INI ADALAH INISIATIF SENDIRI
Anak-anak kami, Along ST (7 tahun 5 bulan) dan Angah IY (5 tahun 2 bulan) mendapat vaksin ini secara percuma di Australia kerana perlindungan insurans – diberikan secara 3 dos berkala sebelum umur 2 tahun.
Namun di Malaysia, vaksin ini tidak tersenarai dalam vaksinasi percuma. Mungkin salah satu sebabnya adalah vaksin ini berkos tinggi dan masih tidak berisiko tinggi. Di Australia, caj yang dikenakan adalah AUD$380 hingga $450 untuk 1 suntikan vaksin ini jika bukan rakyat Australia yang tiada perlindungan insurans.
Jadi, untuk anak-anak kami yang lahir di Malaysia, perlu dapatkan vaksinasi ini melalui inisiatif sendiri.
HARGA & DOS VAKSIN UNTUK KANAK-KANAK
Saya survey harganya dalam range RM270 hingga RM350 untuk Prevenar13, dan RM230 hingga RM280 bagi Synflorix. Saya mendapatkan khidmat vaksinasi ini di sebuah klinik swasta di Kota Bharu, dengan harga RM270 untuk Prevenar13 (Kena PM kalau nak tahu klinik mana) untuk anak ke-3 kami, Aboy HE (2 tahun). Tahun lepas RM250, tahun ni naik harga dah.
Jika tak silap saya, di Selangor, boleh dapatkan vaksinasi ini di hospital/klinik kerajaan dengan bayaran RM230 (Synflorix). RM230 ni kira murah sangat dah ni.
Untuk anak bawah 2 tahun, perlu pergi ke klinik 2 hingga 3 kali kerana suntikan vaksin ini dos berkala bagi anak berusia kurang 2 tahun. Tetapi apabila menjangkau 2 tahun, hanya 1 dos (1 suntikan) sahaja.
UNTUK ANAK 2 TAHUN KE BAWAH PERLU DOS BERKALA
Kalau nak mudah, boleh buat macam saya ni, pergi bila anak sudah berumur 2 tahun untuk 1 kali suntikan sahaja. Tetapi risikonya anak tiada perlindungan vaksin sebelum berumur 2 tahun. Ada risiko di situ, yang tak patut diambil tetapi diambil sebab kos. Saya ambil risiko ini sebab anak-anak saya dijaga sendiri oleh isteri saya di rumah, tidak dihantar ke pengasuh dan sebagainya.
Saya sekadar berkongsi, para ibu bapa boleh jadikan azam tahun 2019 untuk vaksinkan anak-anak secara tambahan. Boleh menabung RM25 setiap bulan supaya dapat kumpul RM300 pada bulan Disember 2019, boleh pergi suntikkan anak dengan vaksin ini penghujung tahun 2019. RM300 itu masih berbaki, boleh beli aiskrim. Heheh. Berbaloi.
Saya pula, dapat gaji bulan Januari nanti, akan mula asingkan RM15 menabung bagi tujuan vaksinasi ini, untuk anak ke-4 kami, Adik AL (1 bulan 24 hari), supaya cukup RM300 pada Disember 2020 (ketika umur 2 tahun). InsyaAllah.
Haid yang datang lambat selepas melahirkan anak adalah perkara biasa. Keadaan ini berlaku bagi membolehkan hormon kembali stabil. Pun begitu haid yang terlalu lambat sebenarnya membimbangkan.
Jangan berdiam diri. Jika ini yang terjadi ada baiknya ibu segera mendapatkan pencerahan daripada doktor. Setiap orang berbeza-beza keadaannya. Masalah hormon adalah penyebabnya.
Begitu kata Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan secara terperinci buat semua ibu-ibu.
Selepas melahirkan anak, selalunya wanita akan mengalami gangguan kitaran haid. Selalunya seorang wanita akan mengalami haid semula antara enam hingga dua belas bulan.
Namun jika hal ini berlanjutan lebih dari setahun, terdapat gangguan hormon (ketidakseimbangan hormone) yang serius berlaku dalam tubuh wanita tersebut.
Selain itu selalunya selepas melahirkan anak, seorang wanita dinasihatkan mendapatkan suntikan pencegah kehamilan. Suntikan ini dikenali sebagai Provera (Medroxyprogesterone Acetate) adalah hormon progesterone sintetik yang menggangu kitaran haid.
Masalah berat badan berlebihan dan obesiti juga mengganggu kitaran haid. Obesiti juga mungkin disebabkan oleh masalah kekurangan hormone thyroid (hypothyroidism) di mana mungkin sesetengah orang mengalami masalah kesukaran untuk menurunkan berat badan.
Masalah tekanan emosi sepanjang tempuh pantang seperti tidak cukup tidur kerana memberikan perhatian pada anak dan terpaksa bangun setiap 2 jam bagi menyusukan anak juga mempengaruhi hormone seterusnya mengganggu kitaran haid.
Saya mencadangkan agar puan-puan melakukan pemeriksaan doctor, bimbang ia disebabkan oleh masalah yang lebih besar seperti ketumbuhan atau masalah pramatang menopause yang sering berlaku pada wanita muda di zaman ini.
Selalunya doctor akan membuat pemeriksaan hormon dengan mengambil sampel darah bagi melihat tahap hormone-hormon seperti testosterone, estrogen, thyroid dan beberapa jenis hormone lagi.
Selain itu doctor akan melakukan pemeriksaan ultrasound bagi melihat bayangan organ dalaman seperti ovari, rahim atau mungkin ketumbuhan lain yang ada dalam rongga pelvis.
Pemeriksaan MRI hanya akan dilakukan jika doctor melihat ada sesuatu yang tidak normal dalam pemeriksaan darah atau ultrasound. Jadi proses diagnose yang dilakukan agak rumit dan mengambil masa. Harus bersabar dan menurut saja arahan doctor untuk setiap pemeriksaan.
Dalam era digital yang berkembang pesat hari ini, televisyen tetap menjadi salah satu sumber hiburan dan maklumat utama untuk keluarga. Namun, dengan pelbagai jenis...