Tidur diketahui amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup bukan sahaja akan berasa letih, tetapi juga akan membuatkan mereka hilang tumpuan.
Begitu juga dengan tidur siang, ia sama pentingnya dengan tidur malam. Teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui manfaat tidur siang dan mengapa ianya penting untuk kanak-kanak.
Mengapa tidur siang penting?
Bukan orang dewasa sahaja memerlukan tidur siang, tetapi kanak-kanak juga amat memerlukannya. Tidur siang atau meridap merupakan kunci untuk memastikan kanak-kanak mendapat rehat yang sepatutnya diperlukan oleh mereka setiap hari. Bukan itu sahaja, manfaat tidur siang juga adalah untuk pembangunan fizikal dan mental di alam kanak-kanak.
Manfaat tidur siang
Terdapat beberapa manfaat tidur siang atau meridap. Antaranya adalah:
Ads
Membantu anak belajar- Satu kajian ke atas kanak-kanak prasekolah mendapati bahawa tidur siang dapat membantu mereka melakukan lebih baik ketika bermain mainan yang melibatkan memori.
Kanak-kanak kekal cergas- Beberapa kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk makan lebih banyak, terutama makanan yang tidak sihat, apabila mereka tidak mendapat tidur yang cukup. Justeru, ia membuatkan mereka cenderung mendapat obesiti. Kanak-kanak yang cepat letih juga tiada cukup tenaga untuk bergerak aktif dan bersenam.
Mood lebih baik jika tidur cukup- Anak yang tidak cukup tidur akan menunjukkan tantrum dan meragam. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melangkau meridap akan kurang gembira dan menunjukkan reaksi yang teruk pada kejadian yang mengecewakan.
Ads
Berapa lama tidur siang yang anak anda perlukan?
Keperluan meridap kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat usia.
Bayi baru lahir- 3 bulan: Bayi perlu tidur sehingga 18 jam sehari, dan berjaga sekitar satu atau dua jam.
Bayi sehingga usia 12 bulan: Memerlukan 2-4 jam tidur siang sehari.
Kanak-kanak 1-3 tahun: Perlu tidur 12-14 jam sehari, termasuk tidur siang (1-3 jam).
Kanak-kanak prasekolah: Memerlukan 11-13 jam tidur sehari termasuk meridap.
Kanak-kanak sekolah 5- 12 tahun: Waktu tidur malam antara 10 hingga 11 jam. Namun, biasanya selepas anak usia 5 tahun, mereka sudah tidak memerlukan tidur di siang hari. Jika boleh, hadkan tidur siang anak kepada 30 minit sahaja supaya tidak mengganggu waktu tidur malam mereka.
Keputusan untuk melangkau meridap boleh dibuat berdasarkan tingkah laku kanak-kanak dan jumlah tidur malam mereka. Berikut adalah keadaan bila ibu bapa boleh melangkau anak tidur pada waktu siang:
Jika anak anda mudah terlelap di malam hari.
Anak nampak cukup rehat pada siang hari.
Kanak-kanak jarang tertidur semasa dalam kereta ataupun ketika menonton TV.
Tidur siang adalah perlu untuk setiap bayi dan kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu tahu akan keperluan tidur siang mengikut peringkat usia anak mereka. Jika anda dapati anak kerap letih dan seperti tidak cukup tidur, maka mungkin anda perlu mengajar anak untuk tidur siang.
Menjaga bayi bukanlah semudah yang disangka. Tambah lagi yang berkaitan dengan masalah kesihatan terutama bayi bawah setahun.
Bayi meragam secara tiba-tiba adalah perkara biasa. Berjaga malam menjaga bayi yang tidak sihat memang biasa dilalui oleh ibu bapa kan?
Ada yang terpaksa mengambil cuti untuk menjaga permata hati mereka. Seperti orang dewasa, bayi juga mengalami masalah kesihatan. Kerana sistem imun bayi masih lemah dan mudah berjangkit.
Terdapat beberapa masalah kesihatan bayi yang biasanya dihadapi semasa sedang membesar.
1. Sedu
Sedu adalah masalah kesihatan bayi yang perkara biasa berlaku. Memang kerap berlaku dalam sehari. Bagi ibu, usah risau kerana sedu adalah normal. Menurut doktor, keadaan ini disebabkan bayi terlalu kenyang.
Petua orang-orang tua, basahkan sedikit tisu dan letakkan pada bahagian dahi bayi anda. Sedu akan hilang selepas itu.
2. Muntah
Kebiasaannya berlaku selepas menyusu atau setengah jam atau sejam selepas penyusuan. Kuantiti muntah adalah sedikit dan jika muntah bayi terlalu banyak dan tidak henti, ibu perlu membawa bayi ke klinik. Bayi anda mungkin mengalami masalah pada usus.
Muntah juga berlaku kerana bayi menyusu terlebih dos. Perut bayi tersangat kecil dan mempunyai had untuk menyimpan susu. Sebab itulah bayi memang kerap menyusu iaitu sekurang-kurangnya 8 kali sehari.
Sebaiknya, selepas menyusu sendawakan bayi dengan memangku dan meletakkan kepala bayi menghadap bahu anda, kemudian tepuk perlahan-lahan.
3. Kembung Perut
Masalah kesihatan bayi ini biasa berlaku dan selalunya kerap berlaku pada waktu malam. Banyak punca kembung perut terhadap bayi, antaranya disebabkan oleh pemakanan ibu, cuaca dan juga susu formula yang tidak sesuai.
Untuk melegakan perut bayi, sapu minyak angin atau minyak telon di bahagian perut, bahagian belakang badan, telapak kaki dan pada bahagian betis. Pastikan minyak yang digunakan selamat untuk bayi.
Cara tradisioanal juga boleh digunakan dengan menggunakan tungku herba yang telah dipanaskan, pastikan suhu yang selamat untuk kulit bayi dan tuam pada perut bayi. Insya-Allah, ini akan melegakan kembung perut bayi.
4. Cirit-Birit
Ada yang menyatakan bahawa jika bayi buang air besar lebih daripada tiga kali dianggap cirit-birit. Akan tetapi, perlu juga dilihat dari segi warna najis dan juga bentuknya.
Biasanya jika bayi mengalami cirit-birit, najisnya sedikit dan cair serta membuang lebih daripada tiga kali. Bayi yang kerap menyusu juga kerap membuang.
Untuk mengatasinya, anda haruslah memberi bayi anda air(untuk bayi 6 bulan ke atas) atau menyusu secara kerap kerana telah berlaku dehidrasi atau mendapatkan rawatan dengan segera.
5. Sembelit @ Tidak Buang Air Besar
Keadaan ini biasa berlaku kepada bayi. Ibu bapa kena pantau. Ia normal bagi bayi menyusu badan. Biar anak membuang secara semulajadi. Jika nampak anak tak selesa boleh terus rujuk pada doktor.
6. Ruam
Masalah kesihatan bayi yang popular dan kerap terjadi ialah ruam. Sebagai ibu, kerisauan melanda jika terdapat bintik-bintik merah yang timbul pada wajah dan bahagian kulit yang lain terutamanya punggung.
Biasanya yang kerap berlaku kepada bayi ialah ruam lampin. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh lambat menukar lampin bayi dan juga kulit bayi cepat berpeluh. Kulit bayi sangat lembut dan sensitif, jadi penjagaan yang rapi amat diperlukan.
Ruam juga terjadi pada bahagian celah-celah paha dan lipatan anggota badan bayi. Sebagai penyelesaiannya, gunakan krim pelindung ruam yang tidak menyerap air.
Lampin yang basah perlu ditukar segera atau sebaik-baiknya 6 jam sekali. Jika bayi anda buang air besar, jangan melambatkan proses pembersihan kerana keadaan tersebut membuatkan bayi anda tidak selesa dan boleh menyebabkan gatal-gatal.\
7. Selsema
Masalah kesihatan bayi seperti selsema kerap berlaku setiap bulan. Sistem pertahanan bayi masih belum kuat dan mudah dijangkiti virus. Selsema akan meyebabkan bayi tidak selesa dan adakalanya tidak lena tidur.
Selsema terjadi disebabkan kahak terkumpul pada bahagian paru-paru bayi. Untuk membuang kahak, memang sukar, kerana bayi masih kecil. Anda juga boleh mencuba untuk melakukan Teknik Steam/Garlic Steam untuk melegakan bayi anda.
Atau sapukan minyak bawang putih di bahagian dada, belakang dan tapak kaki bayi. InshaAllah, cara ini akan memberikan kelegaan kepada bayi anda.
8. Demam
Masalah kesihatan bayi yang seterusnya ialah demam. Suhu biasa bagi bayi ialah 37 darjah celcius, jika suhu melebihi 38 darjah celcius ke atas, itu tandanya bayi anda demam.
Cara nak menurunkan suhu bayi adalah dengan meletakkan tuala basah di kepala dan juga dicelah ketiak bagimemastikan suhu badan dalam keadaan normal.
sumber: rezekisihat.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampak sahaja objek depan mata, bayi terus menggapaikan tangannya untuk mengambil barang tersebut depan mata. Ini perkembangan yang cukup positif untuk perkembangan bayi di bawah usia enam bulan.
Bayi mula mencapai objek dan menggapaikan tangan untuk mendapatkan sesuatu ialah satu perkembangan yang baik. Ia juga petanda perkembangan deria bayi berjalan dengan baik.
Perkembangan deria sihat bayi
– Semasa berbaring, bayi baru lahir anda akan cuba mencapai mainan yang dipegang pada kedudukan atas dada mereka
– Semasa berbaring, secara visual mereka akan cuba mengesan mainan bergerak dari satu arah ke arah yang lain
– Ketika berbaring, kepala akan fokus memerhatikan wajah atau mainan
– Boleh berasa tenang apabila dibuai, disentuh atau dengan bunyi perlahan
– Gemar menikmati pelbagai pergerakan
Lima manfaat aktiviti mencapai objek pada bayi
Aktiviti ini penting untuk menggalakkan beberapa kemahiran kepada bayi. Antaranya ialah;
* Menggalakkan bayi menggunakan jari-jarinya.
* Mempelajari tentang tekstur dan objek di sekeliling.
* Menggalakkan perkembangan visualnya.
* Menggalakkan bayi membuka tangan agar tidak menggenggam.
* Memperbaiki skil mata-tangan.
Mak ayah latih anak menggapai dengan cara ni
Mama dan papa boleh melakukan aktiviti rangsangan ini dengan beberapa cara. Berikut ialah beberapa tip untuk melatih bayi melakukannya;
1. Jika dalam posisi meniarap, anda boleh letakkan objek berdekatan supaya bayi mudah mencapainya. Objek yang boleh digunakan ialah seperti bola, mainan lembut dan sebagainya.
2. Mama dan papa berikan semangat kepada bayi dengan mengatakan kata-kata yang disukainya.
3. Biarkan bayi mencapai objek dengan tangan sendiri tanpa bantuan. Anda boleh memberikan objek tersebut pada tangannya pada permulaan, tetapi selepas beberapa kali cuba berikan cabaran tersebut kepadanya. Biar dia cuba capai dan ambilnya sendiri!
4. Biarkan ia menyeronokkan. Gunakan baby gym dan gantungkan mainan supaya bayi boleh mencapainya dalam posisi berbaring.
5. Mainan yang berbunyi seperti rattle dan kerincing boleh menarik perhatian mereka dan menggalakkan mereka mencapai. Anda boleh pegang dan biarkan bayi menggapainya atau cuba mencapainya!
Tapi ingat, mama dan papa perlu menghentikan aktiviti ini sekiranya mendapati bayi kelihatan penat, putus asa dan kecewa apabila gagal mencapai objek. Buat aktiviti lain untuk mengalih perhatian si kecil kepada kekecewaannya tadi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila bergelar ibu ayah anda kena tahu dan pantau perkembangan anak sama ada normal atau lewat. Kadangkala rasa tertekan bila orang asyik bandingkan anak dia dengan anak kita. Mungkin jika dia lewat perkembangan boleh segera bertindak membuat rawatan selanjutnya.
Namun tentu ramai ibu bapa masih keliru apa yang dimaksudkan dengan lewat perkembangan. Bilakah yang dikatakan seseorang bayi itu lewat perkembangannya? Adakah bila seorang bayi berusia 1 tahun 4 bulan dan masih belum berjalan dibandingkan dengan bayi-bayi lain yang sudah boleh berjalan sekitar usia 10-11 bulan?
Bila ramai kawan-kawan membandingkan kebolehan anak masing-masing, ibu ayah tentu mula risau tentang perkembangan anak sendiri.
Baca penerangan lengkap yang ditulis oleh Dr Poongundran A/L Pannerselvan, Pakar Pediatrik mengenai tahap perkembangan seorang bayi hingga dia membesar sebagai kanak-kanak.
Maksud sebenar lewat perkembangan adalah kelewatan perkembangan seseorang kanak-kanak jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain dalam lingkungan umur yang sama dari segi pelbagai aspek. Aspek-aspek yang dimaksudkan di sini adalah:
Perkembangan pergerakan kasar kanak-kanak (seperti berjalan, berlari, dan sebagainya)
Perkembangan pergerakan halus kanak-kanak (seperti cara penggunaan tangan dan pemegangan objek)
Perkembangan bahasa dan pertuturan (cara seseorang kanak-kanak bertutur, berkomunikasi, memahami dan menggunakan bahasa)
Perkembangan kognitif dan intelek (cara seseorang kanak-kanak memahami sesuatu, berfikir, dan belajar)
Perkembangan sosial dan emosi (cara seseorang kanak-kanak berinteraksi dengan yang lain serta mula berdikari)
Kelewatan perkembangan ini boleh bersifat sementara atau kekal. Kelewatan yang bersifat sementara biasanya berlaku dengan kanak-kanak yang lahir pramatang, atau diakibatkan oleh masalah kesihatan atau kemasukan ke hospital untuk jangka masa yang lama, kekurangan peluang untuk kanak-kanak tersebut untuk belajar skil baru dan stres dalam keluarga. Kelewatan sebegini biasanya bersifat sementara dan akhirnya akan mencapai perkembangan optimum mereka.
Kelewatan perkembangan yang bersifat kekal biasanya akan menunjukkan masalah dalam satu atau lebih dalam aspek-aspek seperti pemahaman dan pembelajaran, pergerakan, komunikasi, pendengaran dan penglihatan.
Secara amnya, kanak-kanak ini akan memerlukan penilaian oleh seorang doktor untuk menentukan aspek-aspek yang terlibat dalam perkembangan kanak-kanak tersebut. Di antara sebab-sebab yang boleh menyebabkan kelewatan perkembangan yang kekal adalah cerebral palsy, masalah berkaitan otot, autisma, masalah berkaitan dengan bahasa, emosi, penglihatan dan pendengaran.
Setiap Kanak-Kanak Adalah Berbeza
Perkembangan bagi seseorang kanak-kanak biasanya dilihat menerusi suatu julat perkembangan. Kita tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai takat perkembangan yang berbeza dari seorang ke seorang yang lain. Hanya sekiranya kanak-kanak tersebut telah melangkaui takat julat perkembangan bagi umur tersebut, kita mengatakan kanak-kanak itu lewat dalam perkembangannya.
Antara tanda-tanda bahaya yang perlu dilihat dari satu umur ke umur yang lain adalah seperti berikut:
Umur
2 bulan
Tanda –tanda bahaya
Tiada respon untuk bunyi yang kuat
Tiada senyuman kepada orang
Tidak membawa tangan ke mulut
Apabila dibaringkan di atas perut, bayi tidak dapat mengangkat kepala ke atas
4 bulan
Mata tidak mengikut arah objek yang dipegang
Tidak senyum kepda orang
Apabila dalam posisi duduk, kepala masih belum dalam keadaan stabil
Tiada sebarang bunyi-bunyian dibuat
Tidak memasukkan objek ke dalam mulut
Tidak dapat menolak kaki ke bawah apabila bayi dipegang berdiri dengan tapak kaki di atas permukaan yang keras
Mempunyai masalah pergerakan sebelah mata atau kedua-dua mata dalam semua arah
6 bulan
Tidak dapat mencapai objek dalam jangkauan
Tidak menunjukkan perasaan kasih sayang kepada penjaga
Mempunyai kesukaran untuk memasukkan objek ke dalalm mulut
Tiada respon kepada bunyi di persekitaran
Tiada bunyi-bunyian ‘vowel’ dibuat seperti ‘ah’, ‘eh’, ‘oh’
Tidak dapat berpusing dari depan ke belakang atau belakang ke depan
Tiada ketawa atau tiada bunyi-bunyian riang dibuat
Badan terasa keras dengan otot-otot yang keras
Badan sangat lembik seperti patung mainan kainan
9 bulan
Tidak dapat menampung berat badan dengan kaki apabila dipegang berdiri
Tidak dapat duduk dengan bantuan
Tiada bunyi-bunyian seirama seperti ‘mama’, ‘papa’, ‘dada’
Tiada respon apabila nama dipanggil
Tidak dapat mengenali orang yang biasa dilihat
Tidak melihat ke tempat yang ditunding
Tidak memindahkan barang mainan dari satu tangan ke tangan yang lain
1 tahun
Tidak merangkak
Tidak dapat berdiri apabila dibantu
Tidak mencari objek yang anda cuba lindung di hadapan kanak-kanak tersebut Tidak mengutarakan satu patah perkataan seperti ‘’ibu’, atau ‘ayah’
Tidak mempelajari cara mengoyangkan kepala atau ‘bye-bye’ apabila ditunjukkan Tidak menunding jari ke objek
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
1 tahun 6 bulan
Tidak menundingkan jari ke objek yang ingin ditunjukkan kepada yang lain Tidak dapat berjalan
Tidak mengetahui kegunaan objek biasa yang dilihat di rumah
Tidak meniru perilaku orang lain
Tidak mempelajari perkataan baru
Tidak dapat bercakap sekurang-kurangnya 6 patah perkataan
Tidak mengendah atau tidak perasan apabila penjaga tidak berada di sisi Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
2 tahun
Tidak menggunakan frasa dengan 2 patah perkataan seperti ‘nak susu’, ‘bagi bola’ Tidak tahu kegunaan barangan biasa di rumah seperti berus gigi, telefon, garpu, sudu Tidak meniru perilaku dan perkataan
Tidak dapat mengikut arahan mudah
Tidak dapat berjalan dengan lancar
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
3 tahun
Sentiasa jatuh atau tidak dapat menaiki tangga
Pertuturan yang tidak jelas atau sentiasa mempunyai air liur yang mengalir dari mulut secara berlebihan
Tidak dapat menggunakan alat permainan mudah
Tidak bercakap dalam ayat
Tidak memahami arahan mudah
Tidak mahu bermain dengan barang permainan atau bermain dengan kanak-kanak lain Tidak bermain berimaginasi/olok-olok (contoh mengajuk bercakap dalam terlefon menggunakan kiub)
Tidak melihat atau tiada kontek mata apabila melihat orang
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
4 tahun
Tidak dapat melompat di satu tempat
Mempunyai masalah menconteng
Tidak menunjukkan keinginan untuk bermain imaginasi/olok-olok
Tidak menghiraukan kanak-kanak lain atau tidak respon kepada orang selain dari ahli keluarga sendiri
Tidak suka untuk dipakaikan baju, ditidurkan atau menggunakan tandas Tidak dapat menceritakan kembali cerita yang disukai
Tidak dapat mengikut arahan dengan 3 tugasan (ambil patung dan beri kepada mama dan pergi ke pintu)
Tidak memahami maksud ‘sama’ dan ‘berbeza’
Tidak menggunakan ‘saya’ dan ‘anda’ dengan cara yang betul
Pertuturan yang tidak jelas
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
5 tahun
Tidak dapat menunjukkan pelbagai emosi yang berbeza
Menunjukkan kelakuan yang keterlaluan (terlampau takut, agresif, malu atau sedih) Tidak aktif dan tidak ingin berinteraksi
Kurang perhatian, mempunyai masalah untuk fokus dalam sesuatu kerja atau aktiviti lebih dari 5 minit
Tidak respon kepda orang atau respon yang bersahaja
Tidak dapat membezakan antara yang ‘sahih’ dan ‘olok-olok’
Tidak ingin bermain atau menyertai pelbagai permainan atau aktiviti Tidak dapat memberitahu namanya
Tidak dapat menceritakan tentang aktiviti harian atau pengalaman harian Tidak dapat melukis gambar
Tidak dapat memberus gigi, mencuci dan mengeringkan tangan, dan membuka pakaian tanpa bantuan orang lain
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
Jika Lewat Perkembangan Bawa Jumpa Doktor
Doktor tersebut akan melihat perkembangan anak anda dari kelahiran sehingga kini, melakukan pemeriksaan terperinci dari segi perkembangan, serta sistem saraf dan sistem yang berkaitan dan akan memulakan terapi yang bersesuaian dengan penemuan mereka.
Antara terapi yang mungkin disarankan adalah:
Program intervensi awal – merangkumi pemulihan dalam perkembagan kanak-kanak yang memerlukan penumpuan dalam aspek pergerakan, pertuturan, penulisan serta sensori kanak-kanak
Fisioterapi – untuk proses menguatkan otot-otot yang mungkin lebih lemah, dan aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan otot tersebut
Pemulihan cara kerja – untuk proses adaptasi penggunaan peralatan untuk membantu kanak-kanak tersebut melakukan aktiviti harian
Audiologi dan pendengaran – untuk pemeriksaan pendengaran sekiranya kanak-kanak tersebut mengalamai masalah pertuturan yang mungkin disebabkan oleh masalah pendengaran
Pakar pertuturan dan bahasa – membantu dalam memberikan cara-cara untuk membantu pertuturan kanak-kanak itu yang mungkin lambat dengan pelbagai intervensi dan aktiviti
Apabila dilihat dari apa yang diberitahu oleh puan, anak puan mempunyai risiko untuk lewat perkembangan kerana masih belum berjalan dalam umur 1 tahun 4 bulan. Sekiranya anak puan sempat berjalan dalam masa 2 bulan yang akan datang, maka tiada masalah untuk dirisaukan, tetapi saya mengesyorkan penilaian di peringkat hospital dilakukan untuk melihat sama ada memerlukan sebarang bantuan perubatan. Kami tidak mengesyorkan urut kaki dalam hal ini kerana sebab utama anak puan mungkin lewat berjalan masih belum dikenalpasti dan sekiranya masalah berkaitan dengan saraf, urut tidak akan membantu