
Hati ibu mana yang tidak sebak apabila ketiga anaknya dibunuh dengan kejam. Walaupun kejadian telah berlaku lebih 13 tahun lalu, hati ibu ayah tetap merindui anak tersayang.
Malah setiap kali kedatangan Syawal, suasana yang sepatutnya meriah kini disambut dengan penuh kesedihan sejak kehilangan tiga anak mereka dalam tragedi yang dikenali sebagai Tragedi Tiga Beradik Alor Semela pada tahun 2013.
Anak sulung mereka ketika itu berusia 14 tahun, anak kedua 12 tahun dan anak bongsu pula baru berusia tiga tahun. Kehilangan serentak tiga cahaya mata itu meninggalkan luka yang sangat mendalam buat pasangan suami isteri tersebut.
Itulah situasi pilu yang dilalui oleh Siti Aishah dan suaminya, Rusdi Rani, 51, sejak Tragedi Tiga Beradik Alor Semela berlaku lebih sedekad lalu.
Trauma dengan kejadian itu juga menyebabkan mereka tidak sanggup lagi melihat rumah serta bilik anak-anaknya. Malah mereka akhirnya berpindah ke Besut pada tahun 2015 kerana tidak mahu kenangan pahit itu terus menghantui fikiran.
Rindu Anak Tidak Pernah Padam

Menurut Siti Aishah, setiap kali Ramadan dan Aidilfitri menjelang, kerinduan terhadap anak-anaknya semakin terasa.
“Setiap kali puasa dan raya, rasa rindu itu makin menebal. Dulu kami lima beranak meriah, sibuk cari baju dan kasut raya. Sekarang tinggal berdua, rasa sunyi sangat,” katanya.
Katanya lagi, anak-anaknya sangat menggemari masakan seperti sup, singgang ikan dan jika hari raya, mereka sangat suka makan rendang.
Walaupun sudah berpindah ke rumah ibu mentua di Besut sejak 2015 selepas Tragedi Tiga Beradik Alor Semela, kerinduan terhadap anak-anak itu tidak pernah hilang.
“Kadang-kadang keletah mereka bertiga masih terbayang-bayang seolah-olah mereka masih ada,” kongsinya dengan nada sebak.
Setiap kali menjelang Aidilfitri, hatinya menjadi sayu kerana jika anak-anaknya masih hidup, mereka kini sudah berusia sekitar 27, 25 dan 16 tahun.
Tidak Pernah Berjumpa Tertuduh
Dalam masa sama, Siti Aishah meluahkan rasa terkilan kerana sepanjang prosiding mahkamah berlangsung hampir dua tahun berkaitan Tragedi Tiga Beradik Alor Semela, dia tidak pernah berpeluang bersemuka dengan tertuduh.
Malah keluarga tertuduh juga tidak pernah datang memohon maaf sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.
“Kalau diberikan peluang berjumpa lagi dengan dia, saya mahu tanya kenapa bunuh anak saya? Sebab apa bunuh semua anak kami,” katanya.
Namun hasrat itu akhirnya tidak kesampaian apabila tertuduh dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas mendapat pembebasan awal dari penjara.
Menurutnya, hanya selepas tertuduh meninggal dunia barulah ibunya datang berjumpa untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku dalam Tragedi Tiga Beradik Alor Semela itu.
Lebih menyedihkan, keluarga tersebut sebenarnya merupakan jiran mereka sendiri sebelum tragedi berlaku.
“Mereka sebenarnya jiran kami, hanya selang tiga buah rumah sahaja dengan rumah kami di Kedah dulu,” jelasnya lagi.
Kronologi Kejadian

Detik tragis yang membawa kepada Tragedi Tiga Beradik Alor Semela bermula pada 29 November 2013 sekitar jam 7.30 malam apabila anak sulungnya meminta izin untuk keluar pada waktu malam bagi ke rumah rakan.
Pada mulanya dia tidak mengizinkan. Namun selepas anaknya mendapatkan kebenaran daripada bapanya, Rusdi Rani, barulah mereka membenarkan.
Namun sehingga jam 8 malam, ketiga-tiga beradik itu masih belum pulang. Pasangan suami isteri tersebut kemudian keluar mencarinya di kawasan sungai dan rumah rakan, tetapi pencarian malam itu tidak membuahkan hasil.
Keesokan harinya, pihak hospital menghubungi mereka dan meminta hadir ke unit forensik selepas dimaklumkan bahawa anak-anak mereka ditemui sudah meninggal dunia.
Anak sulung ditemui di Padang Petani, manakala dua lagi adiknya dijumpai di kawasan tali air. Kes ini kemudiannya dikenali sebagai Tragedi Tiga Beradik Alor Semela yang pernah menggemparkan negara.
Kes Yang Pernah Menggemparkan Negara
Pada 30 November 2013, negara digemparkan susulan penemuan mayat Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di sebuah sawah terbiar di Kampung Alor Senibong dalam keadaan menyayat hati.
Kira-kira 24 jam kemudian, mayat dua adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemukan dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, Alor Semela.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata beliau mengikuti perkembangan Tragedi Tiga Beradik Alor Semela tersebut sejak hari pertama kejadian berlaku.
Menurutnya, individu yang terlibat sebelum ini telah menjalani hukuman penjara sebelum dibebaskan. Namun difahamkan pelaku tersebut meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air.
Tambah beliau, perkenalan dengan keluarga terbabit bermula selepas tragedi itu berlaku dan sejak itu beliau sentiasa mengikuti perkembangan kehidupan mereka.
“Sudah lebih 13 tahun saya mengenali keluarga ini. Saya melihat sendiri bagaimana mereka berusaha membina semula kehidupan selepas kejadian tersebut.
“Sebab itu, bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja kami menyantuni mereka, malah sejak awal lagi kami cuba membantu dan menyokong mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Bagi Siti Aishah dan suaminya, kehilangan dalam Tragedi Tiga Beradik Alor Semela itu mungkin tidak akan pernah dapat dilupakan sepanjang hayat mereka.
Sumber: Sinar Harian & Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





