Asid folik yang juga dikenali sebagai folat, ialah vitamin B-kompleks – vitamin B9. Vitamin ini amat penting untuk tubuh mencipta sel-sel baru, membina DNA baru serta membaiki DNA yang telah rosak.
Folat juga diketahui dan dikenali akan peranannya dalam mencegah kecacatan kelahiran, kelahiran pramatang dan banyak lagi masalah kesihatan kelahiran yang lain.
Pun begitu, fakta yang ramai individu tidak tahu adalah asid folik juga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesuburan.
National Institute of Health menyarankan pengambilan kira-kira 400 mikrogram folat pada setiap hari untuk kebanyakan individu dewasa. Walau bagaimanapun, jika anda sedang dalam fasa mencuba untuk hamil, anda mungkin memerlukan dua kali ganda daripada jumlah ini, atau juga mungkin lebih.
Asid folik untuk apa? Folat mempunyai banyak fungsi dalam tubuh badan manusia antaranya adalah dalam membantu pertumbuhan tisu dan sel berfungsi, bekerja dengan vitamin B12 dan vitamin C untuk membantu tubuh memecah, mengguna dan membuat protein baru, membantu membentuk sel darah merah serta membantu menghasilkan DNA.
Ads
Folat juga dapat membantu mencegah pelbagai masalah kesihatan seperti anemia, diarhea dan ulser, begitu juga kondisi yang kronik seperti strok, kanser, penyakit jantung dan gangguan neurologi.
Disebabkan asid folik boleh membantu mencegah kecacatan kelahiran dan kelahiran pramatang, vitamin ini juga diketahui akan kepentingannya dalam perkembangan janin.
Ia juga penting bersama-sama dengan nutrien penting lain bagi membantu seseorang individu untuk kekal sihat.
Folat boleh didapati melalui makanan seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan sitrus dan banyak lagi makanan yang lain.
Ads
Namun begitu, disebabkan sukar untuk mendapat cukup folat melalui makanan, ramai wanita yang sedang merancang untuk hamil perlu mendapatkan vitamin ini melalui suplemen vitamin ini.
Pengambilan jumlah asid folik yang betul sebelum dan semasa hamil dapat membantu mencegah kecacatan tiub neural, termasuklah spina bifida. Ini tujuan asid folik untuk wanita.
Ads
Malahan, pengambilan dos tinggi folat sebelum kehamilan dan semasa trimester pertama juga dapat membantu mengurangkan risiko anda mengalami keguguran. Ini menjawab persoalan asid folik untuk apa.
Makanan tinggi asid folik
Paling utama, asid folik untuk wanita boleh didapati dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam serta buah-buahan sitrus seperti oren.
Selain itu, U.S. Food and Drug Administration juga telah menyatakan dan menyarankan anda untuk mengambil makanan yang mempunyai kandungan folat yang tinggi seperti berikut:
* Bijirin
* Kekacang
* Roti
* Nasi
* Pasta
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
Ramai ibu-ibu mengalami masalah sakit belakang sama ada semasa hamil, selepas bersalin dan juga ketika dalam tempoh menyusukan si manja. Mungkinkah masalah sakit belakang ini berkait rapat dengan proses bersalin atau posisi penyusuan yang salah?
Ada ibu yang akan sakit belakang semasa menyusu walau pun sudah mengaplikasikan posisi penyusuan yang betul. Apa lagi langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sakit belakang?
Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Omar, ibu yang menghadapi masalah sakit belakang adalah biasa. Lebih-lebih lagi di kalangan wanita hamil. Lazimnya, sakit beransur hilang selepas dua minggu melahirkan. Walau bagaimanapun, ia boleh kembali menyerang apabila ibu mula mendukung bayi mereka setiap hari.
APABILA BERAT ANAK BERTAMBAH
Apabila bayi semakin meningkat usia, beratnya bertambah dan boleh menyebabkan sakit belakang. Berat berlebihan menyebabkan otot perlu bekerja lebih kuat dan meningkatkan tekanan pada sendi. Jadi, sakit belakang yang anda alami mungkin bukan sepenuhnya disebabkan oleh amalan penyusuan susu ibu.
Menjaga bayi boleh memberikan tekanan kepada belakang tubuh. Asalnya, anda mungkin mengangkat atau mendukung bayi seberat 3 hingga 4kg. Apabila bayi mencecah usia setahun, beratnya dianggarkan 8kg. Kemudian, beratnya meningkat 11 hingga 13kg. Jadi, kesemua berat ini menambah tekanan kepada belakang tubuh ibu!
TIDAK AMALKAN POSISI PENYUSUAN YANG BAIK
Kebanyakan ibu baru secara tidak sengaja menjadikan masalah sakit belakangnya lebih teruk seperti tidak mengamalkan posisi penyusuan yang baik semasa menyusu tanpa disedari.
Contohnya, ibu terlalu fokus untuk memastikan bayi melekap dengan betul sehingga salah duduk. Ia memberi tekanan kepada leher dan otot atas bahagian belakang tubuh sewaktu anda menunduk.
Ibu yang mengalami sakit belakang sebelum atau semasa hamil cenderung untuk mengalami semua sakit yang sama selepas bersalin terutamanya jika sakit itu teruk atau bermula pada awal usia kehamilan.
TUNGGU 6 MINGGU UNTUK BERSENAM BAGI IBU YANG BERSALIN CAESAREAN
Jika anda melahirkan bayi secara caesarean, tunggu sehingga minggu keenam kelahiran atau sehingga mendapat kebenaran doktor sebelum mula melakukan senaman.
Artikel berkaitan: [Menggigil, Kegatalan, Tekanan Darah Rendah & Sakit Kepala Kesan Sampingan Epidural. Ia Bukan Penyebab Sakit Belakang!]
WANITA BERLEBIHAN BERAT BADAN BERISIKO
Tambahan pula, risiko sakit belakang adalah lebih tinggi di kalangan wanita muda dan bagi mereka yang berat badan berlebihan.
LANGKAH ATASI SAKIT BELAKANG
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sakit belakang:
Kedudukan tubuh ketika mendukung dan memberi bayi makan akan memberi kesan kepada apa yang bahagian belakang rasai. Sematkan dalam minda setiap hari:
*Beri tumpuan kepada postur dan sentiasa berdiri tegak.
*Duduk tegak. Fikirkan tentang postur apabila menyusukan bayi. Jika anda sakit belakang bahagian bawah, gunakan ganjal bagi memastikan kaki anda lebih tinggi daripada lantai.
*Pilih kerusi yang selesa yang mempunyai tempat letak tangan (armrest) dan gunakan banyak bantal sebagai sokongan tambahan kepada belakang dan lengan.
*Pelajari cara untuk posisikan diri ketika menyusu dan sentiasa rapatkan bayi ke payudara dan bukan sebaliknya. Cuba pelbagai posisi penyusuan yang berbeza-beza.
*Jika anda mengalami ketegangan di bahu dan bahagian atas belakang, posisi berbaring mungkin boleh memberi keselesaan.
*Sentiasa bengkokkan lutut sewaktu mengangkat objek dan bayi daripada posisi berlutut bagi mengurangkan tekanan kepada bahagian belakang.
*Biarkan orang lain mengangkat objek berat. Anda tidak sepatutnya mengangkat objek yang lebih berat daripada bayi sekurang-kurangnya untuk tempoh lapan minggu.
LAKUKAN 4 TIP RUTIN SENAMAN
1.Lakukan senaman lantai pelvis sebagai rutin harian bagi menguatkan otot belakang dan abdomen.
2. Biasakan diri melakukan senaman regangan tetapi elakkan pergerakan yang ekstrem.
3.Lakukan senaman untuk menguatkan otot abdomen dan meningkatkan fleksibiliti.
4.Berenang membantu menguatkan otot tanpa memberi tekanan pada sendi.
Dalam kesibukan menguruskan hal rumah tangga, kadang-kadang memberi kesan kepada kesihatan isteri. Demam adalah perkara biasa. Bila seorang isteri dan ibu ni demam, boleh ‘melumpuhkan’ keseluruhan keluarga. Sebab itu, isteri tak suka demam lama-lama. Kasihan pada suami dan anak-anak.
Di dalam perkongsian Ustaz Abu Hurairah Asifa, beliau ada berkongsi tentang bagaimana seorang suami boleh membantu untuk meredakan demam si isteri.
Jika isteri demam, ambillah sedikit masa untuk kita merawatnya.
Sebab kuasa penyembuhan itu, Allah ada berikan pada tangan seorang Suami.
Jangan biasakan beri panadol semata-mata, melainkan keadaan tak mengizinkan kita untuk merawatnya.
1. Pegang kepalanya, baca Al Fatihah dan niatkan untuk supaya Allah buangkan bisa badannya serta panasnya.
2. Niatkan juga moga Allah ampunkan dosanya. Allah surutkan demamnya. Buat dengan penuh kasih sayang.
3. Buatkan bubur nasi. Kacang goreng pedas je. Basuh beras, letak air, buka api, tunggu sampai nasi menjadi bubur. Nak power, letak isi ayam, daging ke, sayur karot skit. Atau paling akhir atau paling malas, sila ke Mcd dan beli saja bubur ayam kat situ.
4. Buat air penyejuk badan. Rebus Barli. Beli kat speedmart banyak. 60sen je sebungkus. Rebus dan ambil air, buh gula skit sekali dengan lemon. Lagi rajin buh gula batu, kurma cina, kembang semangkuk. Minum suam-suam, insyaAllah segala kepanasan akan keluar.
5. Yang penting, usaha. Isteri perlukan perhatian. Bukanlah kita nak jaga dia hari-hari, cuma saat dia demam itulah, hari isteri nak lihat kasih sayang kita sebagai Suami.
Kalau macam ngade sangat, tonyoh je lemon kat muka isteri bagi segar 😂
Ketika sakit, isteri hanya mahukan sedikit perhatian dari suami. Jika suami dapat membantu dengan cara-cara seperti yang dikongsikan ini, pasti demamnya akan surut dan isteri cepat sembuh. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Susu ibu sejuk sebenarnya selamat diminum terus oleh bayi tanpa dipanaskan. Ketahui kelebihannya, cara memanaskan susu dengan betul serta panduan penting yang setiap ibu perlu tahu.