Kalau dulu kulit cukup cerah, putih, mulus dan gebu tapi penangan bayi dalam perut, wajah yang tiba-tiba cantik bertukar jadi sebaliknya. Siapa yang tak ‘down’ dan murung waktu hamil.
Namun apa sebabnya kulit bertukar jadi gelap? Apa sebenarnya yang berlaku? Bakal ibu jangan terkejut atau bimbang, kulit akan Kembali pulih seperti sediakala sebaik bayi dilahirkan kelak.
Sebenarnya, perubahan pada tubuh badan khususnya kulit buat seorang wanita yang sedang hamil bukanlah satu perkara yang mengejutkan.
Kondisi kulit gelap ketika hamil ini dikenali secara saintifik sebagai chloasma atau melasma dan dipercayai berlaku pada 50% ke 70% kehamilan. Sekiranya ia berlaku kepada anda, akan ada kawasan kulit gelap ketika hamil berbanding warna kulit asal.
Kebiasaannya, tompok gelap ini akan berwarna tona gelap seperti hitam dan coklat serta biasa berlaku pada kawasan muka ibu hamil.
Disebabkan itu, kondisi ini turut dikenali sebagai topeng kehamilan (mask of pregnancy).
Pun begitu, keadaan ini juga boleh terjadi pada kawasan kulit lain selain muka. Ada juga pada tempat yang sangat mengejutkan!
Untuk pengetahuan anda, ia adalah disebabkan oleh hiperpigmentasi pada kulit yang akan berlaku akibat beberapa faktor lain.
Ads
1. Muka
Pertamanya, kondisi ini sudah tentu akan terjadi pada kawasan kulit muka dan akan membuat sebahagian tempat menjadi lebih gelap berbanding asal. Kebiasaannya, kawasan kulit muka yang akan terjejas adalah dahi, pipi, hidung, bawah mata, dan atas bibir yang akan menjejaskan kecantikan kulit wajah.
2. Kulit leher
Kelihatan seperti daki yang penuh pada leher, kondisi ini sebenarnya bukanlah disebabkan anda tidak menjaga kebersihan diri ketika hamil.
Namun leher juga adalah salah satu kawasan kulit yang mudah terjejas sekiranya berlaku proses hiperpigmentasi kulit semasa mengandung.
3. Ketiak
Hiperpigmentasi kulit ketika sedang hamil juga akan memberi kesan kepada kawasan kulit bawah lengan sekali gus menjadikannya lebih gelap.
Selain itu, kondisi ini juga dipercayai boleh berlaku lebih teruk akibat geseran di antara kulit serta penggunaan deodoran yang tidak sesuai.
Ads
4. Puting
Meskipun warna puting payudara memang gelap secara semula jadi waktu hamil, namun akan wujud perubahan di mana ia lebih gelap semasa mengandung.
Ia adalah disebabkan oleh proses hiperpigmentasi kulit selain didorongi oleh aktiviti hormon estrogen dan progesteron yang aktif ketika hamil.
5. Kelangkang
Kulit bahagian kelangkang atau kawasan di antara pangkal paha juga berisiko menjadi gelap ekoran kondisi yang dinamakan sebagai topeng kehamilan ini.
Dalam pada itu, ia juga dipengaruhi oleh faktor berat badan yang cenderung meningkat lantas membuat kulit lebih banyak terjadi geseran.
Apa punca sebenar kulit gelap ketika hamil?
Puncanya disebabkan proses hiperpigmentasi akibat perubahan hormon tubuh badan seorang wanita. Pun begitu faktor lain yang boleh jadi pencetus antaranya:
* Perubahan hormon – Hormon kehamilan seperti estrogen dan progesteron akan merangsang penghasilan melanin yang lebih banyak
* Pendedahan cahaya – Cahaya matahari yang mengandungi ultra ungu (UV) juga boleh merangsang penghasilan melanin pada kulit
* Genetik – Kajian menyatakan bahawa individu yang berkulit gelap secara genetik lebih berisiko mengalami kondisi ini berbanding mereka yang berkulit cerah
Bagi mereka yang risau dengan penampilan diri semasa sedang mengandung ini, ada beberapa cara yang boleh kalian lakukan. Pertama sekali adalah dengan mengambil vitamin B9 yang tinggi folat kerana ia boleh mengurangkan proses hiperpigmentasi daripada berlaku.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita yang sedang mengandung akan melalui pemeriksaan pranatal dan pelbagai ujian saringan dari awal kehamilan sehinggalah bersalin. Suami-suami jangan penat bantu isteri.
Jadi sudah pasti banyak masa dihabiskan di klinik sepanjang tempoh kehamilan 40 minggu. Sekiranya tahap kesihatan baik, pemeriksaan tidaklah sekerap mana. Namun jika ibu ada masalah kesihatan, maka lebih keraplah ujian, temujanji dan pemeriksaan antenatal perlu dilakukan di klinik. Dengan ini memang lebih keraplah si ibu perlu ke klinik walau pun kandungan semakin hari semakin sarat. Emosinya juga jadi sensitif, tambah-tambah lagi dengan orang yang tersayang.
Suami adalah orang yang tepat untuk menemani isteri ke klinik. Adakalanya terpaksa berkampung di klinik demi si isteri yang sedang hamil. Encik Akhtar Syamir atau Bro Ohsem, telah berkongsi mengenai kisah isterinya yang mempersoalkan perkara ini.
Orang mengandung ni memang menyusahkan ke?
Soal isteri kepada saya semalam dengan memegang erat tangan saya. Matanya merah menahan air mata dari berlinangan kerana menganggap dirinya menyusahkan saya dengan kandungannya yang sudah menghampiri 31 minggu.
Ini kerana kelmarin, beliau untuk kali ketiganya menjalani ujian BSP (Blood Sugar Profile). Jadi boleh dikatakan berkampunglah kami di klinik kesihatan untuk mengambil bacaan darah sebanyak 4 kali dalam sehari. Setelah 2 kali BSP sebelum ini mencatatkan bacaan yang baik, namun kelmarin bacaan pertama pada pukul 8 pagi menunjukkan bacaan 5.3 tahap gula dalam darah. Jika mengikut kadar biasa, bacaan itu adalah baik. Masih di bawah 6.1. Tetapi mungkin orang mengandung ini standardnya berlainan kerana 5.3 pada bacaan pertama hari ujian BSP dianggap sebagai tinggi.
Hasilnya, selepas berjumpa Doktor semalam, isteri diarahkan untuk membuat BSP sekali lagi pada hari ini. Agak mengecewakan juga kerana ujian BSP ini 4 kali. Bermakna 3 kali perlu dibuat di klinik kesihatan dan yang terakhir di klinik biasa atau farmasi. Jadi, saya perlu menemaninya lagi dua hari iaitu hari ini (BSP) dan besok untuk berjumpa Doktor sekali lagi. Bayangkan 4 hari berturut – t urut ke Klinik Kesihatan yang sememangnya penuh setiap hari.
SILAP TERTUNJUK MUKA STRES
Mungkin ternampak sedikit kekesalan di air muka saya semalam yang membuatkan isteri terfikir yang dia menyusahkan saya. Saya akui memang silap saya tertunjuk muka. Selalunya saya memang akan sorok apa jugak kepenatan dalam membantu dia. Saya tidak kesalkan bacaan gula isteri pun sebenarnya.
Cuma agak stress dengan keterpaksaan berkunjung ke Klinik Kesihatan 4 hari berturut – turut. Mungkin memang tidak boleh ditangguh lagi ujian BSP itu. Kalau boleh ditunda ke minggu hadapan alangkah baiknya. Kerana 4 hari berturut – turut memang memenatkan. Tapi demi keselamatan baby, saya harus terus positif.
TIDAK MENYUSAHKAN PUN
Sehingga hari ini saya cuba menenangkan perasaan dia. Sesungguhnya saya sedar perkara ini harus dilalui oleh kebanyakan orang yang mengandung. Tidak ada istilah menyusahkan sebenarnya. Malah saya yang patut bersyukur kerana isteri sudi bersusah payah dengan sakitnya, loyanya, muntahnya untuk kami menambah zuriat. Tidak ada apa lagi yang sepatutnya saya harapkan dari dia melainkan sentiasa cuba meringankan bebannya.
Kadang – kala saya terlihat ada ibu – ibu yang datang ke klinik kesihatan bersendirian ataupun bersama anak yang masih kecil. Terdetik juga rasa kasihan tetapi saya lebih berasa kagum dengan kekentalan mereka. Semoga semua ibu yang menjalani saat – saat ini dipermudahkan segala urusan.
Doakan juga urusan kami dipermudahkan dan semoga isteri saya Nora Azni dan kandungan sentiasa sihat walafiat. Due adalah pada 20hb Oktober ni. Boleh juga bagi kata – kata semangat kat dia. Nampak sedikit down dari semalam lagi.
Korang pernah kena buat BSP? Serik tak? Pengalaman korang macam mana?
Bagi wanita yang baru sahaja berkahwin, pastinya rasa keliru samada hamil atau pun tidak. Malah adakalanya langsung tidak sedar perubahan tubuh yang anda kini sedang hamil.
Jangan bahayakan diri dan bayi dalam kandungan, ini tanda-tanda lazim yang menunjukkan anda sedang hamil. Hati-hati!
1. Lambat datang haid
Apabila janin telah terbenam pada dinding rahim ibu, hormon human chorionic gonadotropin (hCG) akan dirembeskan. Ia bagi mengelakkan berlakunya proses ovulasi dan haid.
Kebanyakan wanita akan mula sedar seawal 4 minggu kehamilan jika mereka mengira kitaran haid mereka.
2. Pendarahan ringan
Ramai wanita seringkali tersalah anggap bahawa tompok-tompok pendarahan yang dialami pada fasa awal kehamilan itu haid. Ia merupakan darah yang keluar seusai janin berjaya membenamkan dirinya ke dalam dinding rahim.
Pendarahan tersebut mempunyai warna yang lebih cair dan kuantiti yang sedikit.
3. Sakit dan kekejangan perut
Apabila anda mengalami pendarahan ringan, kebanyakan wanita turut mengalami kekejangan pada bahagian perut.
Kajian pada tahun 2011 oleh Universiti North Carolina telah menunjukkan bahawa 28% daripada 4,539 wanita mengalami simptom kesakitan apabila berlaku pendarahan ringan.
4. Suhu badan naik
Kenaikan suhu badan juga merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Namun perlu diingatkan juga, simptom ini agak tidak spesifik.
Anda boleh mengalaminya ketika sedang bersenam atau ketika cuaca panas.
5. Kelesuan
Apabila hormon progesteron anda memuncak, anda akan mudah untuk berasa letih dan mengantuk. Ini berikutan progesteron juga memainkan peranan penting dalam kitaran tidur jaga.
Cuba dapatkan tidur yang cukup untuk memaksimumkan masa rehat anda.
6. Rasa berdebar-debar
Ini merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Jumlah isi padu darah di dalam badan anda akan meningkat menyebabkan jantung anda berdegup 25% lebih pantas daripada kadar normal.
Jika anda mempunyai masalah jantung, dapatkan nasihat kesihatan daripada doktor anda.
7. Payudara semakin besar
Mungkin ini merupakan masa untuk anda membeli bra baharu? Perubahan pada saiz payudara merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Ia disebabkan oleh perubahan hormon mendadak yang ingin menyediakan diri anda untuk kelahiran bayi.
Puting (areola) anda juga akan menjadi semakin besar dan menghitam.
8. Perubahan mood semasa hamil
Wanita hamil cepat beremosi, kan? Ini semua disebabkan oleh perubahan hormon. Jika anda merasakan pasangan anda mudah melenting atau merajuk daripada biasa, itu juga merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak.
Pujuk mereka. Wanita hamil mudah mendapat masalah kemurungan, keresahan atau kegembiraan yang melampau.
9. Kerap kencing
Apabila jumlah isi padu darah di dalam badan anda meningkat, buah pinggang juga terpaksa bekerja keras bagi memastikan sistem fisiologi badan berada pada paras yang optimum.
Keadaan ini boleh menyebabkan air kencing berkumpul dengan lebih laju di dalam pundi kencing. Minum air secukupnya dan jangan menahan kencing.
10. Perut kembung
Keadaan ini kebiasaannya berlaku selepas makan. Proses penghadaman anda menjadi perlahan berikutan perubahan hormon yang berlaku.
Jangan risau, apabila badan anda sudah biasa, simptom ini kebiasaannya kurang berlaku. Amalkan gaya pemakanan sihat.
11. Sembelit
Perubahan hormon bukan sahaja akan membuatkan anda rasa kembung perut, ia juga boleh menyebabkan sembelit. Apabila anda mengalami simptom ini, perut anda akan bertambah kembung menyebabkan anda berasa tidak selesa.
Ambil makanan berserat pada kuantiti yang banyak dan minum air secukupnya.
12. Mabuk hamil
Mabuk hamil (morning sickness) kebiasaannya berlaku pada minggu ke empat kehamilan. Badan anda masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan peningkatan hormon.
Ini boleh menyebabkan berlakunya simptom muntah dan loya yang kerap kali menjadi salah satu cara nak tahu hamil atau tidak.
13. Sensitif pada bau
Banyak kajian telah membuktikan bahawa wanita hamil lebih sensitif kepada bau terutamanya pada trimester pertama.
Setakat ini tiada bukti spesifik yang dapat menerangkan mekanisme simptom ini namun ia merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak dan kerap kali dilaporkan pada doktor.
14. Loya dan muntah
Berbeza dengan mabuk hamil yang disebabkan oleh hormon, wanita yang sensitif kepada bau berisiko untuk mengalami simptom loya dan muntah.
Perkara ini juga boleh mempengaruhi tahap selera makan mereka. Maka untuk para suami, jangan pakai baju atau stokin yang sama berulang kali ya?
15. Rasa dunia berpusing
cara nak tahu hamil atau tidak
Pening kepala bukanlah simptom spesifik kepada diagnosis kehamilan namun ia merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Perubahan pada isi padu darah wanita boleh menyebabkan tekanan darah rendah.
Hormon seperti estrogen dan progesteron juga boleh menggalakkan salur darah untuk mengembang menyebabkan tekanan darah anda untuk turun lebih rendah. Anda mungkin akan mengalami simptom pening namun ia akan hilang.
16. Mengidam
Tiada konsep sains spesifik yang boleh menerangkan fenomena ini namun wanita hamil memang kebiasaannya mengidam untuk makan sesuatu.
Ini merupakan salah satu cara nak tahu hamil atau tidak. Penuhilah hasrat mereka dan dalam masa yang sama pastikan makanan tersebut sihat dan berkhasiat.
17. Berat naik
Ini bukanlah tanda awal kehamilan namun, secara perlahan-lahan, berat anda akan naik. Walaupun kenaikan berat badan ini dianggap normal, anda harus memastikan ia berada dalam lingkungan yang sihat mengikut jisim berat badan (BMI) anda.
Jika tidak, anda mudah mendapat penyakit kronik seperti kencing manis jenis II dan masalah berat badan berlebihan selepas bersalin.
18. Pedih ulu hati
Hormon kehamilan boleh menyebabkan spinkter pada bukaan esofagus anda mengendur. Ini membolehkan asid perut untuk memasuki esofagus menyebabkan keradangan pada dinding esofagus.
19. Muka kelihatan berseri
Oleh sebab jumlah isi padu darah dan hormon anda bertambah, lebih banyak darah akan mengalir melalui salur darah menyebabkan kelenjar minyak terpaksa bekerja lebih keras.
Perkara ini boleh menyebabkan kulit anda kelihatan licin dan berseri.
20. Masalah jerawat
Walaupun peningkatan pada aktiviti kelenjar minyak dianggap positif, buat sesetengah individu, mereka terdedah untuk mendapat masalah jerawat.
Jika ia tumbuh secara mendadak, dapatkan bantuan doktor anda untuk rawatan lanjut.
21. UPT positif
Ini merupakan cara nak tahu hamil atau tidak yang paling mudah. Alat ujian air kencing kehamilan (UPT) boleh mengesan hormon hCG yang meningkat pada awal kehamilan. Pergi ke farmasi dan beli alat tersebut.
Kebanyakan UPT boleh mengesan hormon hCG 8 hari selepas anda terlepas haid.
22. Kurang selera makan
Banyak sebab kenapa isteri anda yang sedang hamil kurang selera makan. Ia boleh disebabkan oleh alahan mengandung yang dialami, kurang vitamin, deria bau terlalu sensitif atau tidak mempunyai mood untuk makan.
Ia mungkin berterusan sehingga anda bersalin, maka adalah lebih baik untuk anda melaporkan kepada doktor.
23. Selera makan bertambah
Setiap wanita mengalami simptom yang berbeza. Ada yang kurang makan, ada juga yang selera makan meningkat secara mendadak.
Pastikan anda mengawal pengambilan kalori anda. Kenaikan berat badan mendadak atau berlebihan boleh menyebabkan komplikasi kehamilan dan komplikasi kesihatan dalam jangka masa panjang.
24. Selesema
Ibu hamil mudah untuk mendapat jangkitan virus dan bakteria. Perubahan pada status imun badan mereka menyebabkan mereka mudah untuk mendapat penyakit.
Saya ingin pandangan doktor mengenai prosedur External Cephalic Version (ECV) untuk memperbetulkan kedudukan bayi semasa usia kandungan 36 minggu. Adakah prosedur ini jalan terbaik?
Jawapan:
ECV atau external cephalic version adalah satu prosedur untuk memusingkan bayi daripada kedudukan songsang atau melintang kepada kedudukan cephalic atau dikenali sebagai kedudukan kepala bayi di bawah. Tujuan ECV dilakukan adalah untuk mengurangkan insiden kelahiran bayi songsang atau melintang.
Bayi yang songsang biasanya dilahirkan melalui pembedahan LSCS. Bagi ibu-ibu yang mahu melahirkan bayi songsang melalui faraj, bayi mungkin mengalami masalah “terlekat” dan sukar untuk mengeluarkan kepala dari salur faraj ibu. Keadaan ini boleh mengakibatkan kekurangan oksigen ke otak bayi atau dia berisiko meninggal dunia. Doktor dan jururawat terlatih akan mengendalikan prosedur ECV ini di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan bagi:
• Memantau keselamatan ibu yang inginkan ECV.
• Memastikan bayi selamat semasa dan selepas ECV dilakukan.
• Mempunyai perkhidmatan dan alatan yang cukup jika apa-apa kesulitan timbul sewaktu dan setelah ECV dilakukan.
Adakah ECV dibuktikan berjaya menukar kedudukan bayi? Jawapannya, terpulang kepada kumpulan kakitangan yang terlibat. Peratus kejayaan dilaporkan setinggi 80%. Jika ECV berjaya dilakukan, 5% daripada bayi ini boleh pusing semula ke posisi songsang. Jika ECV tidak berjaya, puan perlu berbincang dengan doktor puan sama ada puan ingin:
1. Mencuba ECV sekali lagi.
2. Melahirkan anak melalui pembedahan LSCS jika anak masih songsang pada minggu yang ke-37.
Waktu yang disarankan melakukan ECV adalah pada 36 minggu. Jika puan sudah mempunyai anak sebelum ini, prosedur ECV ini boleh juga dilakukan ketika kehamilan minggu yang ke-37.
Puan ada bertanya adakah ia selamat. Jawapannya ya! Kebanyakan ECV tidak menyebabkan komplikasi tetapi puan hendaklah melakukan ECV setelah berbincang dengan doktor dan diterangkan tentang risiko-risiko yang berkaitan dengan ECV ini. Tiga komplikasi yang pernah dilaporkan adalah:
1. Abruptio placenta (Uri lekang dari dinding rahim).
2. Uterine rupture (Rahim pecah/luka).
3. Fetomaternal bleeding (Masalah pendarahan ketika hamil).
Dalam pada itu, tidak semua wanita sesuai untuk prosedur ECV. Wanita-wanita ini tidak dibenarkan melalui prosedur ECV:
1. Pernah mengalami pendarahan ketika hamil.
2. Sudah dikenal pasti memerlukan pembedahan LSCS dari awal lagi.
3. Bayi yang mempunyai corak CTG yang tidak normal sebelum ECV.
4. Bayi kembar.
5. Masalah kehamilan yang sudah pecah air ketuban.
6. Mempunyai bentuk rahim bicornuate dan sebagainya.
Oleh itu jika puan inginkan ECV, prosedur ini mestilah dilakukan di dalam hospital yang boleh memantau puan dan anak dalam kandungan. Hospital itu juga mestilah mempunyai kemudahan untuk pembedahan LSCS jika puan dan/atau bayi memerlukannya dengan segera.
Soalan ini dijawab oleh Dr Norintan Zainal Shah, Doktor Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Columbia Asia Medical centre, Seremban 2, Negeri Sembilan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketahui khasiat susu kambing untuk anak termasuk membantu menguatkan tulang, meningkatkan sistem imun, mudah dihadam serta menyokong perkembangan otak dan tumbesaran si kecil.