
Pelakon dan selebriti terkenal, Datin Lisa Surihani menyentuh hati ramai apabila berkongsi momen keberangkatannya bagi menunaikan ibadah haji menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Perkongsian yang dimuat naik itu menerima perhatian ramai apabila Lisa tampil dengan luahan penuh syukur, rendah diri dan emosi sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menyahut panggilan Allah SWT.
Sebagai seorang ibu, Lisa mengakui tidak mudah meninggalkan keluarga untuk tempoh tertentu. Namun dia percaya Allah SWT adalah sebaik-baik penjaga buat insan tersayang sepanjang keberadaannya di Tanah Suci.
Antara yang paling mencuri perhatian pastinya suasana sayu ketika Lisa dan Yusry bersalaman serta memeluk erat ketiga-tiga cahaya mata mereka sebelum berlepas.
Anak-anak pasangan ini, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith dilihat tidak dapat menahan sebak apabila terpaksa berpisah sementara dengan ibu tersayang.
“Dalam menyahut panggilan suci ini, saya menyerahkan keluarga tersayang sepenuhnya di bawah jagaan dan perlindungan Allah SWT,” tulisnya.
Momen penuh emosi itu turut membuatkan ramai netizen tersentuh hati melihat betapa kuatnya ikatan kasih sayang dalam keluarga kecil mereka.
Dalam perkongsian sama, Lisa meluahkan rasa syukur yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima.
Menurutnya, perjalanan ke Tanah Suci kali ini cukup bermakna dan menjadi satu fasa spiritual yang amat besar dalam hidupnya.
“Hati saya diselubungi rasa syukur yang tidak terhingga kerana diberikan peluang menyahut panggilan suci ini,” tulisnya.
Lisa turut memohon orang ramai mendoakan agar segala urusan ibadahnya dipermudahkan serta diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di Mekah.
Dalam pada itu, Lisa juga mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua sekiranya pernah melakukan kesilapan sama ada secara sedar mahupun tidak.
“Sebelum melangkah pergi, saya dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas segala tutur kata dan perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati,” katanya lagi.
Luahan ikhlas itu nyata menyentuh hati ramai pengikutnya yang turut membanjiri ruangan komen dengan doa-doa baik buat Lisa dan suami.
Di akhir perkongsian, Lisa menitipkan doa agar dirinya serta seluruh jemaah haji dikurniakan ibadah yang dipermudahkan dan memperoleh haji mabrur.
Perkongsiannya itu menerima ribuan tanda suka dan komen daripada peminat serta rakan selebriti yang sama-sama menitipkan doa buat pasangan tersebut. Semoga urusan ibadah Lisa dipermudahkan.
Baca lagi: Tyra Kamaruzzaman Timang Anak Kedua, Pilih Nama Elaira Emran
Shila Amzah Dedah Warisi Talasemia, Doktor Nasihat Tak Mengandung & Czer Lagi!
Sumber: Instagram Lisa Surihani