Mama kena dapatkan suntikan ini sebelum bersalin, terutamanya yang mungkin bersalin awal dari tarikh jangkaan. Penting sangat!
Menurut pegawai perubatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, suntikan amat penting untuk ibu yang berkemungkinan melahirkan bayi pramatang. berikut ialah perkongsian beliau di laman Medical Mythbusters Malaysia;
Corticosteroid adalah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka akan melahirkan bayi pramatang/ tak cukup bulan. Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada pada peha, lengan atau pada punggung. Ianya diberikan melalui 2 dos atau ada yang memberikan sebanyak 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam
Mengapa corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan dengan bayi pramatang?
Ubat ini sudah digunakan bertahun-tahun lamanya, diberikan kepada ibu yang dijangkakan akan melahirkan bayi pramatang, meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ianya mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan di dalam otak, jangkitan kuman yang serius ataupun masalah pada salur pencernaan.
Ads
Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?
Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengatakan suntikan lebih daripada itu adalah selamat.
Bilakah sepatutnya saya mendapat suntikan corticosteroid ?
Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 34 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amatlah digalakkan jika pembedahan itu akan berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.
Ads
Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal ini masih lagi tidak jelas, pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.
Berapa lama suntikan corticosteroid ini menjadi efektif?
Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos yang pertama.
Ads
Siapakah yang sepatutnya menerima suntikan corticosteroid?
Anda akan dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi untuk melahirkan bayi pramatang, sebelum 35 minggu kehamilan. Ini termasuklah :
Anda sedang mengalami kontraksi pramatang
Air ketuban sudah pecah, walaupun tiada kontraksi
Bayi dikehendaki untuk lahir awal, misalnya bayi tidak membesar dalam rahim
Anda mempunyai masalah dan bayi perlu dilahirkan awal untuk menyelamatkan ibu, misalnya pre-eclampsia.
Jika anda akan menjalani pembedahan caeserean elektif sebelum 39 minggu, anda akan disarankan untuk menerima suntikan corticosteroid.
Kelahiran pramatang ni tak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yg bakal lahir untuk matangkan peparunya agar kurang komplikasi berkaitan dengan kelahiran pramatang
Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Mungkin sesetengah wanita hamil menganggap waktu mengandung untuk berehat. Tidak boleh bergerak aktif atau terlalu lasak dikhuatiri memberi kesan kepada kandungan. Sebenarnya jika seseorang wanita hamil itu aktif dan banyak bersenam sewaktu mengandung, amalan ini dapat memudahkan proses kelahiran kelak.
Carilah jenis senaman mengikut kemampuan tubuh. paling penting, ikuti kelas atau latihan kecergasan yang diawasi oleh instruktor bertauliah.
Berminat untuk kekal aktif, tetapi keliru dengan pilihan senaman yang boleh diamalkan? Untuk pengetahuan anda, ada beberapa jenis senaman yang mungkin tidak anda sangkakan baik untuk wanita mengandung, tetapi amat bagus jika boleh diamalkan.
Pa&Ma senaraikan beberapa jenis senaman yang boleh anda cuba untuk kekal aktif dan mudah-mudahan memudahkan proses melahirkan anak nanti. Carilah senaman yang anda suka kerana ia dapat membantu anda untuk kekal konsisten dan berdisiplin untuk melakukannya. Amalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
BERLARI
Senaman ini paling cepat dan berkesan untuk mengaktifkan jantung. Selagi tubuh anda berkemampuan, ubah jaraknya selagi tenaga anda mampu menanganinya. Jika baharu mula bersenam, jangan terus berlari. Mulakan perlahan-lahan dengan berjalan terlebih dahulu.
BERENANG
Aktiviti ini sangat baik untuk ibu hamil kerana ia membantu menggerakkan lengan dan kaki. Ia juga membantu mengaktifkan jantung dan paru-paru. Semakin besar kandungan, anda akan dapati tubuh semakin ringan di dalam air.
Menariknya aktiviti ini kerana anda boleh membuat senaman di dalam air yang membantu menguatkan sendi dan mengurangkan masalah edema terutamanya pada hujung waktu mengandung.
YOGA ATAU PILATES
Aktiviti yoga baik kerana ia memngajar anda untuk melenturka tubuh serta bersedia dengan posisi melahirkan bayi. Selain itu, senaman ini banyak mengajar teknik pernafasan yang baik untuk anda guna pakai ketika mahu bersalin. Regangan yang dibuat haruslah mengikut kemampuan tubuh dan tidak dipaksa. Ikuti kelas dengan instruktor yoga bertauliah.
Pilates pula mensasarkan otot-otot yang lemah sewaktu anda mengandung. Anda akan diajar untuk menetapkan masa bersenam serta untuk kekal tenang dalam apa jua situasi. Jika berkesempatan, anda disarankan untuk mengikuti kelas pilates yang dianjurkan oleh jurulatih yang diyakini.
AEROBIK DAN TARIAN
melakukan aerobik adalah selamat selagi anda melakukannya dengan impak rendah. Ia baik untuk memberi kekuatan kepada otot-otot tubuh anda. Dengan menari, anda akan menggalakkan aktiviti pengepaman darah ke jantung.
Menarilah mengikut jenis muzik yang digemari tetapi elakkan pergerakan lasak seperti melompat atau langkah yang terlalu rumit yang berkemungkinan menyebabkan anda hilang keseimbangan. Menari juga merupakan salah satu terapi terbaik buat wanita hamil.
SENAMAN KUATKAN LANTAI PELVIS
Senaman untuk lantai pelvis bertindak untuk menguatkan bahagian itu. Jika otot lantai pelvis lemah, anda cenderung untuk terkencing ketika bersenam, batuk, bersin atau ketawa. Dengan melakukan senaman ini secara konsisten, ia boleh dielakkan.
SENAMAN BEBAN
Jika anda mampu, lakukan senaman ini. Pilih berat mengikut kemampuan dan kekuatan tubuh anda. Biasanya senaman begini dibuat oleh wanita hamil yang sudah biasa melakukannya sebelum mengandung. Ia perlu dilakukan perlahan-lahan dan menggunakan beban yang tidak keterlaluan, sekadar untuk membantu menguatkan otot tubuh.
Senaman bertujuan untuk mengukuhkan otot serta membina ketahanan diri sebagai langkah persediaan untuk membawa bayi dalam kandungan yang semakin membesar. Bersenam secara konsisten dapat membantu menguatkan bahagian tubuh untuk membawa berat badan yang bertambah, memperbaiki emosi, memberi tenaga, memastikan anda bersedia fizikal dan mental untuk bersalin, memberi tidur berkualiti kepada si ibu dan banyak lagi.
Aktiviti yang bagus untuk wanita hamil akan mengepam jantung dan memudahkan tubuh untuk dilentur. anda boleh berlari atau mengangkat berat tetapi rejim senaman harus ditukar mengikut trimester kehamilan.
Mengidam ketika hamil itu biasa. Ada yang suka makan manis, ada pula yang mengidam menu pelik-pelik sepanjang hamil. Bukan mengada tapi sekadar mahu merasa. Begitu kata sesetengah ibu hamil.
Perkongsian seorang pengguna Tik Tok, Shee Yunus, @sheeyunus yang gemar makan beras mentah menarik perhatian ramai.
Bukan sekali bahkan dia yang kini hamil anak kedua turut mengidam makan beras mentah di ketika kehamilan anak pertamanya.
Menerusi Tik Toknya, Shee memuat naik videonya menyediakan beras sambil makan penuh berselera.
Beras dibasuh terlebih dahulu dan kemudiannya ditapis, barulah bersih untuk di makan.
“My current addiction, makan beras. Korang??,” tulisnya di kapsyen.
Dalam pada itu, wargamaya turut bertanyakan apakah rasa beras mentah itu sehingga menarik perhatiannya untuk makan penuh berselera sekali.
Melalui perkongsian video keduanya, kata ibu cantik kepada dua cahaya mata ini lagi, dia rasa puas dapat menikmati beras yang sedap dan rangup setiap kali menjamahnya.
“Jom kita rasa sebab sekarang ni Shee tengah mengidam.
“Shee basuh beras ni dulu sebab dalam beras kan ada habuk, binatang. Kalau basuh rasa selamat sikit nak makan.
“Rasa dia nikmat, sedap. Rasa dia rasa beras lah, tak berubah pun tapi sebab kita mengidamkan jadi rasa sedap sangat dan chunchy. Rasa puas sangat.
Ketika ditanya tentang bahaya makan beras mentah itu, kata Shee menerusi pengalamannya sebelum ini, dia dan anaknya sihat tanpa sebarang komplikasi ketika hamil.
“Bagi Shee dia depend pada orang jugaklah, ada orang HB dia low, ada yang gigi rosak tapi bagi Shee alhamdulillah ok saja.
“Masa anak first pun Shee makan jugak, alhamdulillah anak sihat dan Shee pun sihat.
“Shee makan beras ni time mengandung je, mengidam. Bila dah bersalin tu auto dia stop dan tak rasa nak makan dah,” kongsinya lagi.
Meninjau di ruangan komen, ternyata ramai yang turut sama mengidam beras mentah seperti Shee malah makan seperti biasa tanpa sebarang komplikasi. Tak kurang juga yang turut membawa bekalan beras ke pejabat. Memang rare!
Ketika hamil, banyak masalah yang mungkin berlaku pada si ibu. Salah satunya adalah anemia. Ia merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin.
Di dalam perkongsiannya di laman Facebook, Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan tentang anemia. Biarpun perkongsian ini di buat sekitar tahun 2020, ia masih berguna sebagai rujukan para ibu.
Anemia adalah masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin. Kekurangan hemoglobin bawah paras normal menyebabkan tubuh tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan mengakibatkan penghidapnya berasa lemah.
Wanita, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik berisiko tinggi mendapat anemia. Masalah kekurangan darah ini juga boleh diwarisi dan bayi mungkin mendapatnya ketika dilahirkan. Warga emas juga berisiko tinggi mendapat anemia kerana kekurangan zat makanan dan masalah kesihatan. Malah, wanita dalam tempoh subur juga terdedah kepada anemia akibat kekurangan zat besi disebabkan kehilangan darah akibat haid, selain peningkatan permintaan bekalan darah ketika mengandung.
Bagi kebanyakan wanita mengandung pula, mereka akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah. Keadaan ini memang nampak normal ketika ini hingga tidak diberikan perhatian serius. Mereka menganggap ia mungkin kesan perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.
Anemia atau kurang darah adalah suatu keadaan apabila jumlah sel darah merah (hemoglobin) berada di bawah paras normal. Hemoglobin yang terkandung di dalam sel darah merah berperanan mengangkut oksigen dari paru-paru dan menghantarnya ke seluruh bahagian tubuh.
Apabila anda mengalami anemia, tubuh tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Lantas anda tidak mendapat oksigen yang cukup dan akibatnya cepat berasa penat. Malah komplikasi kesihatan serius yang lain juga boleh berlaku.
Apabila seseorang wanita hamil, ada kemungkinan untuknya mengalami anemia apabila tidak mendapat zat besi secukupnya. Dalam keadaan ini, wanita mungkin berasa cepat penat, emosi mudah terganggu dan lemah.
Semasa hamil badan wanita menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin. Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan secukupnya, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan badan seseorang itu. Ini kerana apabila usia kandungan semakin meningkat, isi padu darah juga bertambah dan ia menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, penghasilan plasma darah juga bertambah dan menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia relatif atau fisiologi. Seseorang itu dikatakan mengalami masalah anemia apabila tahap kepekatan hemoglobin (g/dl) kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Kira-kira 75 peratus wanita hamil mengalami anemia akibat kekurangan zat besi. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko wanita hamil melahirkan bayi tidak cukup bulan atau berat badan bayi yang rendah. Wanita hamil sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Mereka disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian.
Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Antara gejala anemia adalah letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas. Selain itu masalah anemia yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pramatang (tidak cukup bulan), kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran.
Rawatan zat besi secara rutin disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka mereka disarankan mendapatkan suntikan zat besi yang dilakukan di klinik atau hospital. Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk dalam kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin.
Tahap hemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah dalam kalangan mereka yang mempunyai anemia kronik berbanding wanita dengan masalah hemolisis akut. Hemolisis adalah keadaan apabila kemusnahan sel darah merah disebabkan kecederaan pada membran sel.
Anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca akibat pendarahan semasa kelahiran. Wanita mengandung disarankan supaya menjalani pemeriksaan mengikut jadual seperti disediakan di klinik ibu mengandung. Ini sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
Masalah anemia ketika hamil boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
1. Anemia akibat kekurangan zat besi
Ia berlaku apabila badan tidak mendapat zat besi secukupnya untuk menghasilkan hemoglobin yang diperlukan badan. Jadi, darah tidak dapat membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Ini masalah anemia yang paling lazim dalam kalangan wanita hamil.
2. Anemia akibat kekurangan folat
Folat adalah vitamin yang ditemui secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau. Ia sejenis vitamin B yang diperlukan badan untuk menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah. Ketika hamil, wanita memerlukan lebih folat, tetapi kadang kala ia tidak dapat dibekalkan melalui pemakanan. Apabila ini berlaku, badan tidak boleh menghasilkan sel darah merah normal yang cukup untuk mengangkut oksigen ke tisu badan.
Jadi inilah sebabnya wanita hamil diberikan suplemen asid folik. Kekurangan folat boleh menyebabkan kecacatan pada bayi seperti spina bifida dan bayi dilahirkan tidak cukup berat.
3. Anemia akibat kekurangan vitamin B12
Badan kita memerlukan vitamin B12 untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat. Apabila wanita hamil tidak mendapat cukup vitamin B12 daripada pemakanannya, badannya tidak boleh menghasilkan sel darah merah yang sihat dalam kuantiti diperlukan.
Semua wanita hamil berisiko mengalami masalah anemia. Ini kerana mereka perlukan lebih zat besi dan asid folik berbanding biasa. Namun risikonya lebih tinggi dalam keadaan seperti berikut:
1. Kehamilan kembar 2. Kerap hamil dan jarak antara dua kehamilan adalah rapat 3. Banyak muntah kerana mabuk hamil sehingga tidak lalu makan 4. Hamil pada usia terlalu muda (remaja) 5. Tidak mengambil cukup makanan yang kaya zat besi 6. Pernah alami anemia sebelum hamil
1. Pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju
2. Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia
1. Tingkat pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, tomato, tembikai, labu, bijan, tauhu, lada benggala, kiwi dan buah-buahan kering seperti prun dan kismis
2. Ambil roti dan bijirin diperkaya zat besi, asid folik
3. Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
Tiada siapa menyangka, tangisan kecil yang selalu mengisi rumah itu akhirnya menjadi yang terakhir.Seorang ibu hanya mampu memeluk tubuh anaknya yang kaku, selepas detik...