
Bila sebut tentang penyakit kencing manis atau diabetes, pasti ramai ibu ayah membayangkan penyakit yang sering dialami oleh golongan dewasa dan warga emas. Namun, tahukah ibu ayah bahawa kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada risiko menghidap penyakit ini?
Lebih membimbangkan, dalam kesibukan menguruskan kehidupan seharian, ada kalanya ibu ayah mungkin terlepas pandang tentang corak pemakanan, gaya hidup dan perubahan kesihatan anak-anak.
Justeru, penting untuk ibu ayah memahami bahawa diabetes bukan sekadar berkaitan dengan pengambilan gula, malah melibatkan pelbagai faktor lain termasuk genetik dan tindak balas sistem imun tubuh.
Menerusi perkongsian kepada majalah Pa&Ma, Pn. Siti Fasihah Abdul Razak, Pegawai Dietetik U9, Fakulti Sains Kesihatan UiTM menjelaskan bahawa ibu ayah boleh memahami dengan lebih mendalam tentang punca diabetes dalam kalangan kanak-kanak serta kesan bahaya terhadap kesihatan, perkembangan dan kehidupan mereka.

Ketahui Diabetes Mellitus (Kencing Manis) Kalangan Kanak-Kanak
Penyakit Diabetes Mellitus atau kencing manis sering kali dikaitkan sebagai penyakit orang dewasa ataupun warga emas. Namun, seiring dengan peralihan zaman dan gaya hidup moden, statistik kesihatan telah menunjukkan peningkatan yang membimbangkan bagi penyakit ini dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Diabetes dalam kalangan kanak-kanak lazimnya terbahagi kepada dua: Diabetes Jenis 1 (penyakit autoimun) dan Diabetes Jenis 2 (berkait dengan gaya hidup dan obesiti).
Prevalens Diabetes dalam kalangan Kanak-kanak
Menurut sejarah, Diabetes Jenis 1 merangkumi sebahagian besar (kira-kira 69.2% hingga 77%) daripada kes diabetes kanak-kanak yang didaftarkan.
Namun lebih mengejutkan, Diabetes Jenis 2 yang lazimnya merupakan penyakit golongan dewasa, kini telah dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun (dan terdapat laporan anekdot mengenai kes yang lebih muda didiagnosis seawal usia 8 tahun).
Sebagai ibu bapa dan penjaga, kesedaran tentang faktor penyumbang dan kesan jangka panjang penyakit ini merupakan salah satu langkah dalam melindungi masa depan generasi muda.
Faktor Utama Kanak-Kanak Menghidapi Diabetes Mellitus

1. Pemakanan Tidak Sihat dan Obesiti
Peningkatan drastik kes Diabetes Jenis 2 dalam kalangan kanak-kanak pada hari ini mempunyai kaitan secara langsung dengan masalah obesiti. Corak pemakanan moden yang sarat dengan makanan terproses, makanan segera, serta minuman tinggi gula menyumbang kepada pertambahan berat badan yang tidak sihat.
Dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2024, hasil dapatan menunjukkan bahawa 2 daripada 3 remaja mengambil lebih daripada 37.5g, atau 7.5 sudu teh, gula setiap hari.
Oleh yang demikian, apabila seorang kanak-kanak mengalami obesiti, tisu lemak yang berlebihan akan menyebabkan sel-sel tubuh menjadi rintang terhadap insulin (insulin resistance).
Pankreas terpaksa bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin, dan lama-kelamaan, organ tersebut akan hilang keupayaannya untuk mengawal paras gula dalam darah.
Selain itu, dalam tinjauan yang sama juga, 2 daripada 5 remaja turut mengamalkan makan malam beserta makan lewat malam secara berlebihan sekurang-kurangnya sekali seminggu yang mana hal ini akan meningkatkan risiko lebih tinggi untuk Diabetes jenis 2.
2. Gaya Hidup Kurang Aktif
Gaya hidup kurang aktif bertindak sebagai pemangkin kepada risiko diabetes. Dengan lambakan gajet, permainan video, dan televisyen, kanak-kanak pada hari ini menghabiskan lebih banyak masa duduk di dalam rumah berbanding bermain dan bersenam di luar.
Kekurangan aktiviti fizikal bukan sahaja mempercepatkan masalah obesiti, malah ia menyebabkan otot tidak menggunakan glukosa dengan cekap sebagai tenaga.
Pergerakan fizikal yang aktif amat kritikal kerana ia dapat membantu sel tubuh menjadi lebih sensitif terhadap insulin, seterusnya menstabilkan bacaan gula dalam darah secara semula jadi.
3. Faktor Genetik dan Sejarah Kesihatan Keluarga
Faktor keturunan memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan risiko seorang kanak-kanak untuk menghidap diabetes.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang menghidap Diabetes Jenis 1, risiko mereka untuk mewarisi keadaan ini adalah jauh lebih tinggi.
Begitu juga dengan Diabetes Jenis 2, yang mana mutasi genetik tertentu boleh menjejaskan cara tubuh menghasilkan atau bertindak balas terhadap insulin.
Walaupun genetik tidak boleh diubah, dengan mengetahui sejarah keluarga, langkah pencegahan boleh dilakukan oleh para ibu bapa dengan membuat pemantauan awal kepada anak-anak mereka.
Selain daripada itu, anak-anak yang dilahirkan daripada ibu hamil yang mempunyai sejarah Diabetes Gestasi (Gestational Diabetes) turut mendapat impak risiko diabetes kemudian hari.
Hal ini kerana, bayi di dalam kandungan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dilahirkan dengan berat badan yang berlebihan (makrosomia) dan cenderung membina masalah rintangan insulin apabila mereka membesar.
4. Tindak Balas Autoimun Tubuh (Diabetes Jenis 1)
Bagi kes Diabetes Jenis 1, kebanyakan punca utamanya adalah tindak balas autoimun. 1 daripada 300 hingga 1 daripada 250 kanak-kanak berisiko (menurut populasi Amerika Syarikat) untuk mendapat Diabetes jenis 1 daripada tindakbalas autoimun.
Sistem imun tubuh yang sepatutnya berfungsi melindungi badan daripada jangkitan bakteria atau virus, secara tidak sengaja menyerang dan memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas.
Sel-sel inilah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin.
Apabila sel-sel ini musnah, tubuh kanak-kanak tidak lagi mampu menghasilkan insulin secara semula jadi, menyebabkan gula terperangkap di dalam saluran darah dan tidak dapat ditukar menjadi tenaga.
Faktor pemicu kepada tindak balas autoimun ini masih terus dikaji, namun ia sering dikaitkan dengan faktor persekitaran atau pendedahan kepada virus tertentu pada awal usia.
Kesan Bahaya Diabetes Terhadap Kanak-Kanak

1. Komplikasi Fizikal dan Kerosakan Organ Jangka Panjang
Kanak-kanak yang hidup dengan kadar gula dalam darah yang tidak terkawal untuk tempoh yang lama berdepan dengan pelbagai komplikasi fizikal yang serius apabila mereka dewasa.
Gula yang tinggi boleh merosakkan saluran darah dan saraf di seluruh tubuh.
Ini mendedahkan mereka kepada risiko kerosakan saraf (neuropathy) yang boleh membawa kepada amputasi, kegagalan buah pinggang (nephropathy) yang memerlukan dialisis, masalah penglihatan (diabetic retinopathy) yang boleh menyebabkan buta, serta penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung pada usia yang terlalu muda.
2. Pertumbuhan dan Perkembangan Fizikal Terbantut
Insulin bukan sekadar hormon untuk mengawal gula, tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam proses tumbesaran sel dan tisu.
Kekurangan insulin atau kawalan diabetes yang lemah boleh menyebabkan gangguan pada pertumbuhan fizikal kanak-kanak.
Mereka mungkin kelihatan lebih kurus berbanding rakan sebaya (terutamanya bagi Jenis 1) dan sentiasa merasa keletihan yang melampau kerana sel tubuh terhalang daripada menerima nutrisi yang diperlukan untuk membesar dengan sihat.
3. Kemerosotan Prestasi Akademik
Tahap gula dalam darah yang tidak stabil secara langsung memberi kesan kepada fungsi kognitif kanak-kanak. Apabila gula terlalu rendah (hipoglisemia), kanak-kanak akan mengalami simptom seperti berdebar, berpeluh, hilang fokus, dan kekeliruan.
Sebaliknya, gula yang terlalu tinggi (hiperglisemia) boleh menyebabkan kelesuan, kerap membuang air kecil, dan penglihatan kabur. Keadaan seperti ini menyebabkan mereka sering tidak mampu memberikan tumpuan yang baik di dalam kelas.
Malah ada yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana terpaksa hadir ke hospital lebih kerap untuk temujanji dan rawatan susulan, sekaligus mengganggu potensi kecemerlangan akademik mereka.
4. Cabaran Kesihatan Mental dan Emosi
Menguruskan diabetes adalah satu tugas yang mencabar dan memenatkan secara mental, terutamanya bagi kanak-kanak yang masih tidak memahami sepenuhnya keadaan mereka.
Keperluan untuk mencucuk jari bagi menguji tahap gula beberapa kali sehari, mengambil suntikan insulin, dan sentiasa menjaga makan boleh menyebabkan mereka rasa berbeza, terasing, atau tersisih daripada rakan sebaya.
Tekanan ini sering menjurus kepada masalah psikologi seperti kebimbangan (anxiety), kemurungan, dan perasaan marah yang menjejaskan kualiti hidup mereka secara keseluruhan.
5. Bebanan Kewangan kepada Keluarga
Penyakit diabetes tidak hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi secara keseluruhan turut memberi kesan kepada sebuah institusi kekeluargaan.
Kos rawatan diabetes adalah berterusan sepanjang hayat seperti perbelanjaan untuk bekalan ubat-ubatan, jarum suntikan, jalur ujian glukosa, pam insulin, serta rawatan susulan.
Perkara ini akan menambahkan komitmen kewangan.
Selain bebanan kewangan, emosi ibu bapa turut terjejas kerana timbulnya rasa bimbang dan tekanan yang berpanjangan bagi memastikan penjagaan kesihatan anak-anak ini terjamin.
Oleh kerana penjagaan yang rumit, ketegangan dalam hubungan kekeluargaan boleh wujud.
Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penyokong utama dengan membudayakan pemakanan seimbang, menggalakkan aktiviti fizikal, dan sentiasa peka terhadap perubahan kesihatan anak-anak.
Akhir kata, menguruskan anak-anak dengan penyakit diabetes bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Namun dengan mendidik kanak-kanak tentang keadaan mereka dengan penuh kasih sayang membolehkan mereka membesar sebagai individu yang berdaya tahan, mampu mengawal penyakit mereka, dan hidup dengan potensi yang optimum seperti kanak-kanak lain.
Ibu Ayah, Jangan Pandang Ringan Kesihatan Anak!
Kesihatan anak-anak merupakan tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian sejak mereka kecil. Jangan tunggu sehingga anak menunjukkan masalah kesihatan yang serius, barulah ibu ayah mula mengambil berat tentang corak pemakanan dan gaya hidup mereka.
Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa tidak semua jenis diabetes boleh dicegah melalui pemakanan dan gaya hidup. Diabetes Jenis 1 merupakan penyakit autoimun, manakala amalan hidup sihat dapat membantu mengurangkan risiko Diabetes Jenis 2.
Jika anak menunjukkan perubahan seperti kerap dahaga, kerap membuang air kecil, kehilangan berat badan tanpa sebab atau keletihan luar biasa, ibu ayah disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor.
Bagi anak yang sudah didiagnosis dengan diabetes pula, mereka amat memerlukan sokongan emosi, kasih sayang dan kerjasama seluruh keluarga dalam menjalani rawatan.
Ingat ibu ayah, anak-anak yang menghidap diabetes juga berhak menikmati zaman kanak-kanak yang ceria, membesar dengan sihat dan mencapai impian mereka. Dengan pemantauan kesihatan, rawatan yang betul serta sokongan keluarga, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang berkualiti.

sekarang!
