Secara umumnya ada beberapa sebab bayi anda menangis dan meragam. Malah si manja yang masih belum boleh bercakap, menjadikan menangis sebagai kaedah untuk berkomunikasi. Walaupun kebanyakan isyarat menangis menunjukkan bayi mempunyai keperluan seperti mahu makan atau mahu ditukar lampin yang basah tetapi ada ketikanya anda sukar memahami kenapa bayi sangat cerewet sehingga sukar dikendalikan.
Sekiranya anda sudah biasa mengendalikan anak sendiri, anda akan tahu apa yang mereka mahukan apabila menangis. Sebagai langkah pertama sebelum anda memeriksa dengan lebih lanjut, anda boleh lakukan lima perkara ini dahulu:
Tukar lampin. Kemungkinan lampin basah menyebabkannya dia tidak selesa.
Berinya susu atau makanan. Mungkin dia kelaparan atau haus.
Periksa perut bayi jika dia alami kembung perut. Sapu minyak angin pada perutnya.
Cuba tidurkan bayi. Dia mungkin mengamuk kerana mengantuk.
Periksa pakaian yang dipakainya sama ada terlalu ketat atau tebal yang menyebabkannya tidak selesa. Tukar jika perlu.
Jika bayi masih menangis selepas anda buat lima perkara ini, mungkin anda boleh meredakan tangisan si manja dengan beberapa cara yang lain. Usah risau, ia tidak susah dibuat dan biasanya berkesan untuk menenangkan mereka.
1.BAWA BAYI KE TEMPAT YANG TENANG
Bayi boleh menjadi lebih mudah dirangsang apabila berada di ruang yang tenang dari kebisingan dan suasana nyaman. Kadang kala dengan pencahayaan, bunyi dan persekitaran mudah untuk bayi bergerak akan bayi menjadi cerewet. Cuba alihkan bayi ke lokasi yang tenang dan tempat yang biasa dengannya untuk si manja berada dalam keadaan tenang. Pencahayaan bilik yang dimalapkan sedikit juga boleh meredakan tangisan mereka.
Ads
2.BEDUNG BAYI
Kebanyakan bayi suka dirinya dibedung kerana ia membuatkan dirinya berasa selamat seperti di dalam rahim ibu. Apabila si manja di bedung, ia dapat membantu mengawal pergerakan (refleks Moro) bayi anda dan membantu si manja tidur nyenyak.
3.BUAIKAN
Perlahan-lahan buaikan bayi anda dalam gerakan berirama yang boleh membantu mengatasi masalah bayi yang cerewet. Gerakan berirama mengingatkan bayi anda berada di dalam rahim. Anda juga boleh dodoinya sambil berjalan atau meletakkan di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang.
Membuaikan si manja dalam dukungan seperti ini boleh meredakan tangisannya.
4.MENYANYI
Mengulangi bunyi seperti “Shhh, shhh, shhh” atau “ahhh, ahh” dalam corak irama pada nada yang sama boleh membantu menenangkan bayi anda. Tidak mengapa jika suara tidak merdu, asalkan bunyi suara anda adalah biasa dan selesa untuk bayi anda. Bagi Muslim, boleh mengalunkan zikir dalam nada yang sama untuk menenangkan si manja.
5.UBAH KEDUDUKAN
Kadang-kala memegang bayi dengan cara berbeza boleh membantu memberikan keselesaan pada si manja yang cerewet. Jika bayi anda mempunyai masalah kolik atau kembung perut, anda boleh memegang bayi dengan kedudukannya menghadap anda. Posisi dukung cara ini memberi tekanan pada bahagian perut kecilnya yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan si manja.
6.MASA UNTUK SENDIRIAN
Jika anda masih tidak dapat menenangkan bayi anda yang cerewet ini, cuba letakkan si manja di tempat tidur bayi untuk beberapa minit. Kadang-kala seperti orang dewasa, bayi hanya mahu sendirian untuk dirinya berehat tanpa diganggu.
Jika anda telah mencuba pelbagai keperluan bayi anda dan mencuba panduan yang diberi ini, namun masih gagal menenangkan bayi, cuba dapatkan rawatan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat serta melakukan pemeriksaan kesihatan bayi.
Info Mengenai Kembung Perut/Kolik
Tangisan bayi selalunya akan lebih kerap di antara usia enam hingga lapan minggu dan akan berkurangan apabila bayi berusia tiga bulan. Jika bayi anda baru lahir sihat tetapi menghidapi kolik, akan membuatkan bayi anda menangis kerana tidak selesa.
Tangisan akibat kolik berbeza daripada tangisan yang normal kerana lebih kuat dan bernada lebih tinggi.Tangisan bayi yang kolik kedengaran seolah-olah dia dalam kesakitan atau berteriak. Bayi yang menangis kerana kolik lebih sukar ditenangkan dan tangisan mungkin akan berakhir selepas dia mengeluarkan angin atau membuang air besar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangkitan gastroenteritis Rotavirus adalah penyebab utama cirit-birit berlarutan untuk bayi dan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. Ia menyebabkan hampir kematian 215,000 kanak-kanak bawah 5 tahun setahun seluruh dunia dan 1 daripada 50 kanak-kanak yang dijangkit dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Vaksin Rotavirus amat berkesan untuk mengurangkan sehingga 90% risiko jangkitan rotavirus yangs serius.
Jangkitan Rotavirus adalah jangkitan utama yang menyebabkan cirit-birit di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah (risiko tertinggi di bawah 2 tahun).
1. Perlukah saya memberikan vaksin Rotavirus kepada anak saya? Apakah keberkesanannya?
Vaksin rotavirus yang digunakan sekarang sudah berada di pasaran sejak tahun 2006 lagi. Kajian mendapati kedua-dua vaksin dapat mengurangkan risiko masuk wad untuk jangkitan cirit-birit (sehingga 50 – 80%), kes jangkitan Rotavirus untuk semua tahap dalam 50 – 65% dan kes jangkitan Rotavirus yang serius sehingga 90%. Ini bermaksud kira-kira 9 daripada 10 kanak-kanak yang mendapat vaksin ini akan dilindungi daripada jangkitan Rotavirus yang teruk.
Vaksin ini turut disyorkan oleh World Health Organization (WHO) untuk dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk semua negara di seluruh dunia. Setakat ini, terdapat 98 buah negara yang telah dimasukkan untuk program imunisasi kebangsaan termasuklah negara Thailand (dalam proses kajian ) tetapi untuk Malaysia, walau bagaimanapun, hanya dibekalkan dalam sektor swasta sebagai vaksin pilihan.
2. Apakah jenis vaksin Rotavirus yang terdapat di pasaran?
Di Malaysia, terdapat dua jenis vaksin Rotavirus yang diluluskan dan hanya didapati di klinik mahupun hospital swasta.
a. Rotarix, RV1 (dari GlaxoSmithKline, Belgium)
Harga lebih mahal, tetapi hanya memerlukan 2 dos dengan jarak sekurang-kurangnya 4 minggu.
b. Rotateq, RV5 (dari Merck & Co. Inc., USA)
Harga lebih murah, tetapi memerlukan 3 dos dengan jarak sekurang-kurangnya 4 minggu antara dos.
Kedua-dua vaksin ini mempunyai kadar keberkesanan yang hampir sama dan hanya berbeza dari segi kos dan bilangan dos yang diperlukan. Selepas anak anda memulakan salah satu vaksin ini, adalah dinasihatkan untuk melengkapkannya sama ada 2 atau 3 dos mengikut jenis vaksin Rotavirus yang diberikan.
3. Bilakah umur yang sesuai untuk diberi vaksin Rotavirus?
Untuk kedua-dua vaksin adalah disyorkan untuk mendapatkannya seawal umur 6 minggu. Saya sentiasa menyarankan ibu bapa untuk membawa anaknya untuk ke klinik pada umur 6 minggu untuk vaksin Rotavirus, vaksin pneumococcal dan vaksin 6 serangkai (HepB, HiB, IPV, DTaP) sekali.
Untuk Rotarix (RV1), dos pertama hanya boleh diberikan sebelum 20 minggu (5 bulan) manakala Rotateq (RV5) pula dos pertama hanya boleh diberikan sebelum 15 minggu (3 bulan setengah) dan dos seterusnya perlu diberikan sebelum umur 24 minggu dan 32 minggu masing-masing.
Risiko untuk mendapat jangkitan Rotavirus akan mula bertambah bermula umur 12 minggu apabila antibodi daripada ibu semakin berkurangan. Jadi, adalah disarankan untuk mendapatkan vaksin Rotavirus seawal mungkin untuk mendapatkan perlindungan yang terbaik untuk anak.
4. Bagaimana vaksin ini diberikan?
Vaksin ini diberikan melalui mulut (secara oral) dan bukannya suntikan. Dos berbeza antara 2 vaksin tersebut antara 1.5ml hingga 2ml dan senang semakan oleh kebanyakan bayi tanpa masalah. Adalah digalakkan ubat diberikan ke dalam mulut, berdekatan dengan pipi bayi untuk mengelakkan bayi muntah dan batuk. Bayi tidak perlu puasa dan dapat menyusu susu ibu seperti biasa sebelum dan selepas vaksin diberikan.
5. Bolehkan vaksin ini diberikan dengan vaksin yang lain?
Vaksin suntikan yang lain pada umur vaksin rotavirus diberikan adalah selamat untuk diberikan bersama kecuali Oral polio vaksin yang tidak disarankan untuk diberikan Bersama tetapi ia tidak digunakan di Malaysia lagi.
6. Apakah kesan sampingan untuk vaksin Rotavirus?
Kesan sampingan jarang berlaku dan tidak serius. Kebiasaannya cirit-birit, sakit perut, dan muntah yang tidak serius dan demam jarang berlaku. Untuk vaksin Rotavirus sebelum ini sentiasa dikaitkan dengan peningkatan risiko usus tersumbat (intussusception) dan tidak berlaku lagi dengan vaksin rotavirus yang baru selepas tahun 2006.
7. Siapakah yang tidak digalakkan untuk mendapatkan vaksin Rotavirus?
a. Bayi dengan masalah kurang daya pertahanan seperti Severe Combined Immunodeficiency (SCID)
b. Bayi dengan masalah usus yang tidak dirawat dan cenderung untuk mendapat penyakit usus tersumbat seperti Merkel’s Diverticulum
c. Mempunyai sejarah usus tersumbat (Intussusception)
d. Mempunyai alahan serius dengan vaksin yang sama sebelum ini
e. Demam tinggi atau cirit-birit/ muntah (ditunda sehingga penyakit sembur)
8. Adakah anak saya tidak akan dijangkiti cirit-birit selepas diberikan vaksin ini?
Vaksin untuk Rotavirus tidak mencegah jangkitan ini 100% tetapi dapat mengurangkan sehingga 90% untuk kes jangkitan rotavirus yang serius. Selepas vaksinasi, kebanyakan jangkitan Rotavirus adalah kurang serius dan risiko untuk masuk wad dapat dikurangkan. Selain itu, selain Rotavirus terdapat juga kuman-kuman virus dan bakteria lain yang dapat menyebabkan cirit-birit.
Akan tetapi, jangkitan Rota Virus adalah yang paling serius untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan risiko jangkitan dapat dikurangkan banyak dengan vaksin ini.
Ibu-bapa turut perlu menjaga kebersihan anak terutamanya semasa menukar lampin, sebelum dan selepas makan atau menyediakan makanan dan minuman.
Penyakit gastroenteritis Rotavirus membunuh kira-kira 215,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun seluruh dunia setiap tahun. Vaksin untuk Rotavirus adalah satu-satunya cara yang terbukti untuk mencegah penyakit ini.
“With Passion, We Treat, We Guide and We Prevent”
Sumber:
DR LIM WEE YI
Pakar Kanak-kanak
SALAM Senawang Specialist Hospital, Seremban
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera!
Apabila diberikan sebelah kiri, dia hanya menyusu sekejap sahaja. Ia juga mungkin punca pengeluaran susu tidak seimbang di mana susu payudara kanan lebih banyak daripada sebelah kiri (apabila di pam). Adakah hal ini normal atau boleh memudaratkan? Bagaimana cara yang boleh kita lakukan untuk mengatasinya?
Ia agak normal apabila sesetengah bayi terutamanya yang baru lahir menggemari sebelah payu dara sahaja apabila menyusu. Lazimnya, bayi akan menolak, meragam atau menyusu dengan sekejap sahaja apabila disusukan di payu dara yang tidak digemarinya. Amalan ini boleh menyebabkan payu dara besar sebelah (lopsided) dan akan dapat diatasi setelah bayi bercerai susu kelak.
Pengeluaran susu tidak seimbang antara kedua-dua belah payu dara adalah disebabkan beberapa faktor.
Kadang kala trauma kelahiran akan menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk menyusu di sebelah payu dara akibat ketidakselesaan atau kesakitan pada kawasan tertentu di kepalanya (biasanya melibatkan alat bantuan kelahiran – vakum dan forsep).
Bengkak di sebelah payu dara. Payu dara yang bengkak menyebabkan bayi berusaha keras untuk cuba melekap dengan baik. Kesan kepayahan yang dialami, dia cenderung untuk menggemari payu dara yang mudah melekap.
Jika anda mengalami mastitis di sebelah payu dara, bayi mungkin tidak mahu menyusu menerusinya kerana rasa yang berbeza (lebih masin disebabkan peningkatan kandungan sodium). Malah, rasa susu di sebelah payu dara yang jarang dikosongkan juga boleh menjadi lebih masin.
Keadaan fizikal payudara. Perbezaan keadaan areola/puting agak biasa berlaku (puting tenggelam/leper). Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.
Perbezaan aliran susu. Bayi lebih suka menyusu daripada payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih baik. Ada kalanya refleks pancutan susu terlalu perlahan atau terlalu laju atau bekalan susu berkurangan juga boleh menjadi masalah.
Ibu gemar menyusukan bayi dengan sebelah payu dara. Antara sedar atau tidak, anda mungkin lebih kerap menawarkan sebelah payu dara. Biasanya perkara ini berlaku pada waktu malam apabila puan tidak sedar kerana terlalu letih atau mengantuk. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan bekalan susu di kedua-dua belah payu dara. Bekalan susu pada payu dara yang jarang diberikan akan berkurangan!
Pembedahan atau kecederaan. Jika salah satu payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu pada payu dara tersebut.
Perlu diingatkan juga bahawa bayi perlu dipujuk dan bukan dipaksa! Oleh itu, teknik memujuk amat penting dalam usaha mengembalikan minatnya untuk menyusu di sebelah payu dara yang tidak digemari.
Cuba susukan bayi ketika dia baru bangun tidur dan belum benar-benar sedar atau ketika dia sedang mengantuk. Bayi akan lebih mudah bekerjasama dan bertindak secara spontan.
Mulakan penyusuan pada payu dara yang kurang digemarinya terlebih dahulu. Apabila pancutan refleks berlaku, alih ke payu dara sebelah lagi tanpa mengubah posisi kepalanya. Sebagai contoh, mulakan dengan posisi Cradle Hold kemudian alihkannya kepada posisi Football Hold. Puan juga boleh praktik posisi penyusuan yang lain.
Menyusu dalam suasana yang selesa (lampu malap atau berkeadaan sunyi dan sepi)
Cuba menyusu sambil berjalan, menggendong atau ayunkannya perlahan-lahan sehingga bayi menerima payu dara yang kurang digemari.
Jika bayi lebih gemar payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih laju, lakukan urutan (breastcompression) untuk mempercepatkan aliran susu di payu dara yang mana aliran susunya perlahan. Jika sebaliknya, kepit (ScissorHold) di bahagian areola untuk memperlahankan aliran susu. Untuk merangsang penghasilan susu dengan lebih banyak di payu dara yang mana alirannya perlahan, anda boleh memerah dengan tangan atau mengepam payudara tersebut untuk memastikan bekalan susu yang berkekalan.
Kesabaran adalah kunci kejayaan. Teruskan usaha! Bayi anda mungkin akan menerima kembali payu dara sebelah kiri sedikit masa lagi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Apabila sistem imun seorang kanak-kanak tidak dapat melindungi diri mereka daripada alergi terhadap bahan dalam makanan, debu atau perkara tertentu, ia sebenarnya adalah tindak balas yang menyebabkan mereka mempunyai alahan.
Alahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur, aktiviti sosial dan di sekolah. Kanak-kanak dengan masalah ekzema iaitu situasi awal alahan paling awal boleh menyebabkan mereka cenderung untuk mempunyai alahan terhadap benda lain.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr Ezairy M Sallih, menyatakan mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, penting untuk mak ayah tahu bahawa alahan ini lebih mudah berlaku bila kanak-kanak itu sendiri mempunyai keluarga dengan sejarah alahan.
google image
Tiada ibu bapa yang mahu melihat anaknya menderita. Ibu mana yang mahu melihat anaknya jatuh sakit dan hidup dengan penuh kesengsaraan. Betul?
Hakikatnya, mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, tahukah anda bahawa ianya lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai keluarga dengan sejarah alahan? Maknanya, jika anda sendiri ada masalah alahan, anak anda juga turut sama berisiko untuk mendapat masalah yang sama.
Saya faham adalah amat sukar untuk ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka daripada terdedah kepada segala punca alahan sama ada datangnya daripada persekitaran, makanan dan sebagainya. Oleh itu, saya sering menasihatkan ibu bapa yang berjumpa saya agar lebih menumpukan perhatian kepada pemantauan gejala alahan anak-anak mereka. Pastikan bahawa semua simptom yang dialami tidak mengganggu kehidupan seharian anak-anak. Dan apa yang lebih penting, ia tidak mengganggu perkembangan IQ, EQ dan persekolahan anak-anak kita!
Jika ibu bapa mampu mengenalpasti punca alergi yang dialami oleh anak-anak, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kualiti hidup anak anda, mengurangkan jumlah hari tidak hadir ke sekolah dan ia juga akan membantu meningkatkan lagi perkembangan akademik anak-anak anda.
Sebenarnya, ada banyak punca-punca alahan yang boleh dialami oleh anak-anak. Kebiasaan pesakit yang saya temui mengadu mengalami gejala alahan apabila mengambil sesetengah makanan seperti makanan berasaskan kacang, telur, udang, ketam, kerang, ayam dan sebagainya.
Perlu diingatkan juga bahawa setiap anak-anak ini tidak sama punca alahan yang dialami. Anda tidak boleh menganggap jika anak sulung anda alergik kepada udang, maka semua anak-anak yang lain turut mengalami alahan kepada jenis makanan yang sama. Tak sama, puan-puan…
Punca ada di sekeliling kita
Saya senaraikan beberapa punca alahan yang boleh berlaku kepada anak-anak kita. Semoga ia boleh menjadi panduan kepada anda yang masih belum berjaya mengenalpasti apa punca alahan anak-anak anda.
Persekitaran luar : Ia boleh disebabkan oleh debunga pokok, tumbuh-tumbuhan dan habuk serta asap yang ada di luar rumah.
Persekitaran dalam rumah sendiri : Ia mungkin daripada bulu binatang peliharaan kita seperti kucing contohnya. Boleh juga disebabkan hama atau habuk yang terperangkap pada sarung bantal, tilam, langsir, permaidani atau mungkin juga pada penghawa dingin kita!
Makanan : Ada beberapa jenis makanan yang agak biasa dikaitkan dengan punca-punca alahan seperti kacang tanah, telur, makanan laut, coklat dan susu.
Lain-lain : Selain itu, ada juga pesakit yang mudah untuk mengalami alahan apabila terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan di luar rumah, minyak wangi dan sebagainya.
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar di sini. Anda perlu memantau segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak anda. Ianya termasuklah gejala seperti kerap-kerap bersin, hidung berair, kegatalan pada mata, masalah pada kulit dan ini semua biasanya berlaku kepada anak-anak yang sememangnya ada alahan terhadap sesuatu ‘allergen’ yang mereka sepatutnya tahu lebih awal lagi.
Saya sering menerima beberapa soalan daripada ibu bapa tentang bagaimana untuk kita kenalpasti bahawa anak kita ini sebenarnya sedang mempunyai gejala-gejala alahan terhadap sesuatu makanan? Adakah beberapa perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian?
Oleh itu, saya senaraikan beberapa simptom yang amat biasa ditemui di kalangan anak-anak kita apabila mereka sedang mengalami gejala alahan terhadap sesuatu keadaan atau makanan.
google image
Simptom anak terkena alahan
Ruam kemerah-merahan pada kulit : Ini biasa berlaku kepada anak-anak kita jika mereka lebih sensitif kepada sesuatu keadaan terhadap kulitnya. Jika ini berlaku kepada anak-anak anda secara berulang kali, maka anda perlu kenalpasti apa puncanya seberapa segera yang mungkin.
Gejala pada hidung : Anak-anak yang mempunyai masalah alahan juga akan mengalami simptom-simptom alahan pada hidung. Anda akan dapati anak anda kerap alami gatal-gatal pada hidung, mudah bersin-bersin dan hidung berair. Keadaan ini biasanya berlaku apabila mereka terdedah kepada ‘allergen’ yang menyebabkan masalah ini berlaku. Seboleh-bolehnya, cuba kenalpasti apa punca yang menyebabkan ia berlaku supaya masalah ini tidak terus berlarutan tanpa pemantauan rapi oleh anda.
Simptom pada tekak : Pesakit biasanya akan lebih kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak. Sebab itu ada ramai juga pesakit yang mengadu mengalami masalah tidak selesa dan sakit pada kawasan tekak.
Simptom pada mata : Anak-anak anda bukan sahaja ada masalah pada kulit dan hidung, bahkan mereka juga boleh alami masalah gatal-gatal pada mata, mata kerap rasa kering atau kadang berair, dan ianya lebih biasa berlaku apabila mereka terdedah kepada punca alahan.
Sesak nafas : Jangan dibuat main tentang masalah alahan ini. Jika ianya tidak ditangani dan dikenalpasti lebih awal, anda mungkin sengaja membiarkan anak anda terus menjalani kehidupan dengan terdedah kepada punca-punca alahan yang sebenarnya yang boleh membahayakan mereka! Ada sesetengah kes dimana jika ia gagal ditangani dengan baik oleh ibu bapa, ia boleh mengakibatkan sesak nafas yang teruk. Ada kes sehingga boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam wad hospital!
Masalah pada sistem pencernaan : Ada juga keadaan di mana anak anda mungkin mengalami gejala alahan dalam bentuk seperti cirit-birit dan sakit perut. Walaupun agak tidak kerap ditemui berbanding gejala-gejala lain, namun simptom ini juga perlu diketahui oleh ibu bapa agar mereka tahu apa permasalahan yang sedang dialami oleh anak-anak mereka.
Kita perlu sedar bahawa pesakit ‘allergic rhinitis’ atau alahan resdung ini jika tidak mendapatkan rawatan yang sesuai, cecair berlendir di dalam ruang sinus akan terus berkumpul dalam ruang sinus hidung pesakit. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus!
Jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kuning di dalam sinus. Masalah ini akan menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih buruk seperti berat pada kawasan muka, pening kepala, dan ada kes yang memerlukan ubat antibiotik.
Ada ibu bapa yang bertanya kepada saya, bagaimana mahu memastikan bahawa gejala serta masalah ini tidak berulang? Bolehkah masalah ini hilang sampai bila-bila? Di sinilah perlunya peranan ibu bapa di rumah. Pastikan anda berjaya kenalpasti apa punca yang menyebabkan anak-anak anda dapat simptom alahan ini. Ianya mungkin daripada makanan, persekitaran, habuk, hama dan sebagainya. Setelah punca alahan ini berjaya dikenalpasti, maka elakkan. Saya percaya masalah ini akan selesai atau sekurang-kurangnya akan lebih mudah untuk ditangani jika punca alahan ini berjaya dikenalpasti dengan lebih awal lagi.
Ada banyak sebenarnya rawatan yang boleh dilakukan di hospital bagi memastikan masalah ini tidak terus berlarutan dan berjaya ditangani dengan baik.
Untuk langkah awal, kami di klinik telinga, hidung dan tekak akan menasihatkan pesakit untuk menjalani ujian ‘allergy skin test’. Melalui ujian ini, doktor akan melakukan ujian kepada pesakit. Ada lebih 40 ‘allergen’ akan disuntik ke kulit pesakit bagi mengenalpasti punca alahan pesakit tersebut. Setelah lebih dua puluh minit, doktor akan membaca keputusan berdasarkan tindak balas yang berlaku pada kulit pesakit.
Melalui ujian ini biasanya pesakit akan mengetahui apakah punca-punca alahan yang mereka sedang alami. Pastinya, mereka akan berjaya mengelakkan semua punca-punca tersebut selepas itu dan masalah alahan yang dialami selama ini akan berjaya dikawal dengan lebih baik.
Selain menjalani ujian yang saya sebutkan tadi, kami juga akan melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Bagaimana struktur dalam hidung tekak, mulut, telinga, mata dan kulit pesakit. Jika masalah alahan pada hidung yang dialami amat mengganggu pesakit, mereka boleh dibantu dengan ubat ‘intranasal steroid’ yang bertujuan untuk mengurangkan tindak balas inflamasi pada dalam hidung dan seterusnya boleh membantu pesakit mengawal masalah yang dialami.
Pembedahan kecil juga akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinet).
Masalah seperti gatal-gatal pada hidung dan mata boleh juga dibantu dengan memberi ubatan seperti ‘oral antihistamine’. Ubat-ubat ini perlulah diambil dengan pemantauan dan selepas pesakit mendapat pemeriksaan daripada doktor di klinik atau hospital terdekat.
Sebagai pesanan terakhir daripada saya, sayangilah anak-anak kita. Jangan biarkan masalah kesihatan yang dialami mereka berterusan tanpa pemantauan baik daripada kita sebagai insan yang paling dekat dengan mereka. Ingatlah bahawa anak-anak ini adalah anugerah yang tidak ternilai untuk kita.
Semoga kita semua diberi kesihatan berpanjangan dan sentiasa duduk di bawah limpahan rahmat dan kebahagiaan milikNya.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.