
Menjadi ibu ayah bukan tugas yang mudah. Setiap hari ada sahaja perkara yang perlu difikirkan, daripada memastikan anak cukup makan, belajar dengan baik, menjaga tingkah laku sehinggalah membentuk mereka menjadi insan yang bertanggungjawab. Dalam proses mendidik anak, perkara kecil yang dilakukan berulang kali juga boleh memberi kesan terhadap emosi mereka.
Dalam proses membesarkan anak, ada masanya ibu ayah tersilap cara. Bukan kerana tidak sayang, tetapi mungkin kerana penat, tertekan atau sekadar mengulangi cara didikan yang pernah diterima ketika kecil.
Namun, pendekatan yang dianggap biasa sebenarnya boleh memberi kesan terhadap keyakinan, emosi dan hubungan anak dengan ibu ayah jika berlaku berulang kali.
UNICEF menekankan bahawa pendekatan keibubapaan positif bukan bermaksud membiarkan anak melakukan apa sahaja. Sebaliknya, anak masih memerlukan batasan dan bimbingan, tetapi ia dilakukan dengan cara yang jelas, tenang dan menghormati mereka.
Berikut enam kesilapan yang mungkin berlaku tanpa ibu ayah sedari ketika mendidik anak.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
“Cuba tengok kakak, semua subjek dapat A.”
“Anak kawan mama umur lima tahun dah pandai membaca.”
Mungkin ibu ayah menggunakan perbandingan dengan niat mahu menaikkan semangat anak. Namun bagi anak, kata-kata seperti ini boleh kedengaran seolah-olah dirinya tidak cukup baik.
Setiap anak mempunyai perkembangan, kebolehan dan kelebihan yang berbeza. UNICEF turut menasihatkan ibu bapa supaya mengelakkan perbandingan dan sebaliknya meraikan kekuatan unik setiap anak.
Daripada membandingkan pencapaian anak dengan orang lain, bandingkan perkembangannya dengan dirinya sendiri.
Contohnya, “Dulu susah nak habiskan satu buku, sekarang adik dah boleh baca sampai habis. Bagus usaha adik.”
Apabila anak melakukan kesalahan berulang kali, memang mudah untuk ibu ayah hilang sabar.
Namun elakkan perkataan seperti “pemalas”, “nakal”, “bodoh” atau “memang tak boleh harap”.
American Academy of Pediatrics (AAP) menerusi HealthyChildren.org menyatakan bahawa pukulan, jeritan dan kata-kata yang bertujuan memalukan anak bukan kaedah disiplin yang berkesan dan boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan mereka.
WHO juga menyatakan hukuman fizikal dikaitkan dengan pelbagai kesan negatif termasuk peningkatan masalah tingkah laku dan agresif.
Tegurlah perbuatannya, bukan menyerang peribadi anak. Ini antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika mendidik anak, terutama apabila ibu ayah sedang berdepan dengan tingkah laku yang mencabar.
Daripada berkata, “Abang memang pemalas,” cuba, “Mainan masih belum dikemas. Abang perlu simpan sebelum ambil permainan lain.”
Hari ini anak melompat atas sofa dibiarkan. Esok perkara sama dilakukan, anak pula dimarahi.
Kadang-kadang ibu kata tidak boleh tetapi ayah membenarkan. Akhirnya anak sendiri keliru dengan batasan yang ditetapkan.
CDC menjelaskan bahawa peraturan keluarga lebih berkesan apabila dilaksanakan secara konsisten, boleh dijangka dan disusuli dengan tindakan. Anak perlu mengetahui apakah tingkah laku yang dibenarkan dan apa akibatnya jika peraturan tidak dipatuhi.
Sebab itu ibu, ayah dan penjaga lain sebaiknya mempunyai peraturan asas yang sama.
Tidak perlu terlalu banyak. Mulakan dengan beberapa peraturan mudah yang sesuai dengan umur anak dan pastikan ibu ayah sendiri konsisten melaksanakannya. Konsistensi membantu ibu ayah mendidik anak
supaya mereka lebih mudah memahami batasan dan perkara yang diharapkan daripada mereka.Kadang-kadang apabila anak datang mengadu, ibu ayah terus memberikan nasihat.
“Jangan menangis.”
“Ala, benda kecil saja.”
“Dah, pergi main.”
Bagi orang dewasa perkara itu mungkin kelihatan remeh, tetapi bagi anak ia mungkin sesuatu yang besar.
Mendengar tidak bermaksud kita perlu bersetuju dengan semua perkara yang anak katakan. Ia bermaksud memberikan ruang kepada mereka untuk menceritakan perasaan tanpa terus dihukum atau dipersalahkan.
HealthyChildren.org menggalakkan ibu bapa mendengar anak dengan teliti dan menggunakan perbualan sebagai peluang untuk mengajar komunikasi yang sihat.
Hubungan dua hala yang responsif antara anak dan penjaga juga memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa, sosial serta emosi kanak-kanak. Sebab itu, mendengar juga merupakan sebahagian daripada proses mendidik anak
, bukan sekadar bercakap atau memberi arahan.Anak mahu menuang air sendiri, ibu cepat mengambil gelas.
Anak terlupa membawa buku ke sekolah, ibu terus menghantarkannya.
Anak bergaduh dengan kawan, ibu ayah terus mahu menyelesaikan semuanya.
Melindungi anak memang naluri ibu bapa. Tetapi jika setiap masalah diselesaikan untuk mereka, anak kurang mendapat peluang belajar membuat keputusan dan menghadapi akibat daripada tindakannya sendiri.
UNICEF mengingatkan bahawa membuat kesilapan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran kanak-kanak. Apabila sesuatu tidak menjadi seperti dirancang, ibu ayah boleh membantu anak memikirkan apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik pada masa akan datang.
Berikan ruang mengikut usia dan kemampuan mereka. Anak tidak perlu sempurna untuk belajar menjadi berdikari. Dalam mendidik anak, kesilapan yang selamat dan bersesuaian dengan usia juga boleh menjadi peluang pembelajaran.
“Jangan jerit!”
Tetapi arahan itu sendiri disampaikan dengan jeritan.
“Jangan pukul adik!”
Namun apabila marah, anak pula dipukul.
Kanak-kanak bukan sahaja belajar daripada apa yang ibu ayah katakan, tetapi mereka juga memerhatikan bagaimana orang dewasa bertindak.
UNICEF menekankan bahawa ibu bapa merupakan contoh penting kepada anak. Cara ibu ayah menangani tekanan, bercakap dengan pasangan, meminta maaf dan menyelesaikan konflik turut menjadi pembelajaran kepada mereka.
Jika ibu ayah terlanjur meninggikan suara, tidak salah meminta maaf.
“Mama marah tadi, tapi mama tak sepatutnya jerit. Mama minta maaf.”
Perbuatan itu bukan menjatuhkan autoriti sebagai ibu bapa. Sebaliknya, anak belajar bahawa manusia boleh melakukan kesilapan, bertanggungjawab dan memperbaikinya.
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Tiada ibu ayah yang mampu melakukan semuanya dengan sempurna sepanjang masa. Ada hari kita sabar, ada hari emosi mudah tercabar.
Yang penting, apabila menyedari ada cara didikan yang kurang sesuai, kita boleh cuba memperbaikinya sedikit demi sedikit.
Anak sebenarnya tidak memerlukan ibu ayah yang sempurna. Mereka memerlukan orang dewasa yang hadir, mendengar, membimbing dan memberikan batasan dengan kasih sayang.
Mendidik anak bukan sekadar memastikan mereka patuh ketika kecil, tetapi membantu mereka memahami emosi, membuat pilihan yang baik dan belajar bertanggungjawab apabila semakin dewasa.
Sumber: unicef healthychildren WHO