
Ramai ibu ayah terlalu fokus nak anak pandai, sampai terlupa satu perkara paling asas — anak kena minat belajar dulu.
Belajar yang lahir daripada paksaan hanya melahirkan anak yang patuh sementara, tetapi belajar yang lahir daripada minat akan membentuk insan yang terus mencari ilmu sepanjang hayat.
Minat tidak boleh dipaksa. Ia tumbuh bila anak rasa selamat, difahami dan dihargai dalam proses belajar. Inilah asas sebenar minat belajar anak yang sering terabai.
Kesedaran ini penting, kerana cara kita mendidik hari ini akan menentukan sama ada anak membesar sebagai pencinta ilmu atau insan yang lari setiap kali perkataan “belajar” disebut.
Bila Belajar Jadi Tekanan, Bukan Keperluan
Perkongsian Coach Parenting, Mohd Fhais Salim, mengingatkan ibu ayah tentang bahaya memaksa anak belajar. Niat kita mungkin baik, namun cara yang salah boleh membina kepercayaan negatif terhadap proses belajar.
Hakikatnya, tidak salah anak 7 tahun belum pandai membaca. Tidak gagal anak 6 tahun belum mampu menulis dengan cantik.
Membaca awal tidak menjamin anak suka belajar, dan tulisan cantik juga tidak menjamin anak cintakan ilmu. Apa yang lebih penting ialah emosi anak terhadap proses belajar itu sendiri.
Jika pengalaman awal belajar dipenuhi tekanan, suara tinggi dan perbandingan, minat belajar anak akan terhakis sedikit demi sedikit tanpa kita sedari.
Punca Anak Hilang Minat Untuk Belajar

1. Terlalu Menekan (Pressure)
Apabila ibu ayah terlalu obses dengan pencapaian, anak mula mengaitkan belajar dengan tekanan dan ketakutan. Akhirnya, sebut sahaja “belajar”, emosi anak terus terganggu kerana pengalaman pahit yang tersimpan sejak kecil.
Dalam jangka panjang, tekanan ini mematikan minat belajar anak walaupun anak sebenarnya berpotensi.
2. Expectation Tidak Realistik
Expectation perlu ada, tetapi mesti selari dengan kemampuan anak. Meletakkan harapan berdasarkan pencapaian anak orang lain hanya akan membuat anak rasa dirinya tidak cukup baik walaupun telah berusaha.
Anak belajar membandingkan diri, bukan menikmati proses belajar.
3. Terlalu Perfectionist
Silap sedikit dimarahi. Tulisan tak cantik ditegur berlebihan. Anak akhirnya takut untuk mencuba kerana bimbang melakukan kesalahan.
Sedangkan belajar itu sendiri wujud kerana manusia belajar melalui kesilapan. Di sinilah ramai ibu ayah tanpa sedar mematahkan minat belajar anak.
4. Proses Belajar Tidak Menyeronokkan
Belajar sepatutnya membina rasa ingin tahu, bukan ketakutan. Jika setiap sesi belajar disertai paksaan, ugutan dan emosi negatif, minat anak akan mati perlahan-lahan.
Anak bukan malas, tetapi emosinya sudah menolak proses belajar.
5. Fahaman “Belajar Kena Pandai”
Apabila belajar diukur hanya melalui markah, anak yang lemah mula rasa tersisih. Mereka membesar dengan kepercayaan bahawa belajar bukan untuk mereka.
Sedangkan setiap anak ada potensi dan cara belajar yang berbeza. Mengabaikan realiti ini hanya akan merosakkan minat belajar anak.
Cara Membina Minat Belajar Yang Sihat

Minat belajar tidak muncul secara tiba-tiba. Ia lahir apabila anak:
- rasa selamat untuk bertanya
- dibenarkan buat silap tanpa dihukum
- diraikan usahanya, bukan hanya hasil
- belajar mengikut tempo sendiri
Peranan ibu ayah bukan menekan, tetapi membimbing. Bukan memaksa, tetapi menyokong.
Apabila suasana belajar lebih tenang dan selamat, minat belajar anak akan tumbuh secara semula jadi.
Didik Anak Belajar Dengan Hati
Sudah sampai masanya kita ubah fokus daripada “anak mesti pandai” kepada “anak mesti suka belajar.”
Kerana anak yang cintakan proses belajar tidak mudah putus asa, berani mencuba perkara baru, dan terus belajar walaupun tanpa disuruh.
Belajar bukan tentang otak semata-mata, tetapi tentang hati yang tenang dan jiwa yang dihargai.
Dan di situlah bermulanya kejayaan sebenar dalam mendidik anak serta membina minat belajar anak yang berkekalan.
Sumber: Mohd Fhais Salim
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





