
Selalu ibu hamil rasa kurang selesa bila tiba waktunya minum air gula. Apa dan kenapa perlu minum air gula ketika hamil? Tujuan utama proses ini adalah untuk mengesan sama ada bakal ibu menghidap diabetes gestasi atau tidak.
Apa Itu Ujian Minum Air Gula Ketika Hamil?
Diabetes gestasi atau diabetes kehamilan sering dikesan pada akhir tempoh mengandung. Ia adalah keadaan di mana tubuh wanita hamil tidak dapat mengatur kadar glukosa (gula) dalam darah dengan betul sehingga ia berada pada tahap yang tinggi.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon dan kenaikan berat badan semasa kehamilan. Oleh itu, minum air gula ketika hamil penting bagi membantu doktor memantau tahap kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Kenapa Perlu Minum Air Gula Semasa Hamil?
Proses minum air gula ketika hamil dikenali sebagai Glucose Tolerance Test (GTT). Ujian ini membantu mengukur tahap glukosa dalam badan untuk menentukan sama ada tubuh dapat memproses gula dengan baik atau tidak.
Dalam tempoh dua jam selepas minum air gula, doktor akan menilai bagaimana tubuh memproses glukosa. Jika tahap gula kembali normal selepas dua jam, ia menunjukkan badan berfungsi dengan baik. Sebaliknya, jika tahap gula kekal tinggi, ia mungkin tanda diabetes gestasi.
Prosedur Minum Air Gula Untuk Ibu Hamil
- Mula-mula, ibu hamil akan diambil sampel darah sebelum minum air gula. Proses ini dikenali sebagai fasting blood sugar.
- Seterusnya, anda akan diminta meminum larutan gula yang mengandungi 75 gram serbuk glukosa dicampur dengan air.
- Minuman ini perlu dihabiskan dalam masa 20 minit.
- Sampel darah kedua akan diambil selepas dua jam untuk mengukur tindak balas badan terhadap gula (2-hour postprandial).
7 Tips Minum Air Gula Agar Tidak Mual atau Muntah
Ada sesetengah ibu mengandung yang berasa mual selepas minum air gula ketika hamil. Jika termuntah, ujian perlu diulang kerana glukosa tidak lagi berada dalam perut, menjadikan keputusan ujian tidak sah. Berikut 7 tips untuk membantu anda menghadapi proses ini:
- Tarik nafas sedalam yang boleh sebelum mula minum air gula.
- Minum sekali teguk dengan laju, tetapi jangan gopoh.
- Selepas minum, berkumurlah supaya rasa manis tidak melekat pada mulut.
- Duduk di tempat yang selesa untuk berehat dan bertenang.
- Jika terasa mual, boleh meneguk sedikit air kosong sekadar membasahkan tekak.
- Sapu minyak angin lembut pada leher atau pergelangan tangan untuk melegakan rasa mual.
- Gunakan titik tekanan di pergelangan tangan untuk mengurangkan rasa loya.
Kesimpulan
Minum air gula ketika hamil mungkin tidak menyenangkan, tetapi ia sangat penting untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi berada pada tahap terbaik. Dengan persediaan dan tips yang betul, proses ini boleh dilalui dengan lebih mudah tanpa rasa mual yang teruk.
Ingat, bertahanlah demi kesihatan tubuh badan sendiri dan bayi dalam kandungan. Ujian minum air gula ketika hamil bukan sekadar rutin, tetapi langkah penting dalam memastikan kehamilan sihat dan selamat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




















