
Mula-mula ugut, lepas tu marah, terlampau kerap amalkan cara ini anak jadi tak makan saman. Sebab apa? Kerana selepas itu tak buat pun seperti yang dicakapkan. Ini silap besar!
“Pergi mandi sekarang, nanti mak buang semua mainan!”
Ini antara silap paling besar ibu bapa di Malaysia. Nak mengugut anak dengan tujuan untuk mengajar tapi akhirnya anak jadi tak takut dan buat perangai. Kenapa keadaan ini berlaku sedemikian?
Cuba anda bayangkan jika terlalu kerap mengugut anak tapi tak buat pun apa kesannya?
Mak ayah selalu rasa anak ni terlalu kecil untuk faham. Ini silap besar kita. Anak-anak kecil kita sangat bijak sebenarnya. Bila kita kerap ugut macam tu tapi tak buat pun, dari hari ke hari, anak-anak akan anggap kita ni cakap tak serupa bikin.
Setiap kali mak ayah buat macam tu, sikit demi sikit anak akan hilang rasa hormat dan kurang takut pada apa kita cakap. Dalam fikiran mereka, buat apa takut, mak ayah bukan akan buat pun. Gertak je lebih!
Ugut anak kata, pergi kemas mainan, kalau tak, mama tak bawa pergi McD. Tup tup, anak tak kemas, tapi petang tu mama bawa juga pergi McD tu. Anak-anak akan fikir buat apa nak ikut cakap, sebab kalau tak ikut pun, dapat juga apa yang nak.
Penyelesaian dalam hal ini agar anak terus mendengar cakap dan tak perlu nak marah, anda boleh cuba praktikkan cara ini.
- Tak perlu jadi pemarah, cukup jadi tegas. Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai suka marah tapi tak tegas. Bab jerit nombor 1, tapi cakap selalu tak serupa bikin.
- Jangan suka ugut anak dengan perkara yang kita tahu kita takkan buat pun. Kalau nak ajar anak pasal consequences pun, pastikan cakap apa yang kita akan buat saja.
Contoh, ‘Pergi mandi sayang, kalau tak nanti mama tak bawa pergi taman petang ni’. Kalau dia tak buat, tak perlu marah, tak perlu jerit. Tapi bila sampai petang, jangan bawa pergi taman. Walaupun dia menangis jerit masa tu.
Biar anak kita tahu, kita bukan pemarah tapi kita tegas. Setiap apa kita cakap, kita buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakapkan. Walaupun tanpa menjerit.
- Katakan anak kita cuba merayu minta maaf kata dia tak buat lagi. Dia janji. Lepas tu dia minta bawa pergi taman hari yang sama dia buat salah tu juga, jangan bawa. Walaupun dia dah minta maaf.
Kata pada dia, “hari ni sayang dah buat salah, mama tak bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar kata, kita pergi esok.”
Esoknya bila kita suruh mandi, dia akan mula teringat, semalam mama papa dia betul-betul tak bawa pergi taman. Hari ni kena dengar cakap.
- Bila anak dengar kata, berikan reward. Jangan hanya tahu nak ugut bila dia tak dengar kata tapi tak berikan reward bila dia dengar kata.
- Jangan lupa berdoa pada Allah SWT. Usaha kita ni asbab saja, yang bagi rezeki anak dengar kata tu, Allah SWT. Bukan kita sendiri.
- Suami isteri kena saling bekerjasama usaha tegas begini. Tak boleh salah seorang saja. Katakan isteri tegas, suami tak tegas. Anak-anak akan pandang ibunya tu tak best, ayahnya best. Anak-anak akan lebih rapat dengan ayah sebagai jalan dia lepaskan diri dari ketegasan si ibu.
Kata kunci adalah bersama-sama. Ia takkan menjadi jika hanya salah seorang saja yang usaha begini.
Sumber: Muhammad Zukermi Bin Edi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kena Tonsil Sampai Cirit-Birit Hampir 2 Minggu. Ibu Cuba Petua Buah Tin Legakan Bengkak Tonsil

Isi Kandungan
ToggleSusah hati ibu bila anak kena tonsil sampai cirit-birit hampir 2 minggu, hilang selera makan dan terpaksa ditahan di wad hospital kerana bimbang mengalami dehidrasi atau ada jangkitan kuman dalam darah.
Puan Yatie Eimra yang anaknya mengalami sakit tonsil tersebut berkongsi petua menggunakan air rebusan buah tin untuk diminum dan pesnya disapu pada leher bagi mengurangkan bengkak tonsil yang dialami anaknya.
Tonsillitis ni biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria ataupun virus. Ramai yang tak tahu, jangkitan pada tonsil ni boleh merebak & menyebabkan jangkitan pada nodus limfa (dipanggil limfadenitis).
Nodus limfa atau kelenjar limfa ni banyak dalam badan kita. Contohnya kalau ada jangkitan tonsil & jangkitan nodus limfa kat leher, boleh sebabkan tonsil bengkak & ada bonjolan pada bahagian leher gak. Selalunya kanak-kanak yang lebih kerap kena limfadenitis ni..
Radang tonsil ni pulak biasanya berlaku dikalangan kanak-kanak 3 tahun ke atas. Paling kerap adalah berumur di dalam lingkungan 5-15 tahun. Takde ubat untuk tonsillitis & antibiotik diberikan untuk jangkitan disebabkan bakteria je.
Lagi 2 bulan Fydh nak masuk 3 tahun.. Dan ni kali pertama kena radang tonsil ni..
HARI PERTAMA (RABU, 9/5/18) :
Dari pagi Fydh asyik meragam & tak selera makan. Makan nasi sikit sangat lepas tu minum susu jer. Mulanya tak syak Fydh tak sihat sebab dia ni memang picky eater & susah sangat nak makan. Setakat reject 2-3 menu & susah nak makan tu memang perkara biasa..
Bila petang, badan dah start panas sikit. Saya jarang terus bawa anak ke klinik masa demam melainkan demam panas/anak tak aktif. Dak Fydh ni lak walaupun demam tapi dia masih lincah main. Saya cuma lapkan badan dengan air & bagi ubat demam.

HARI KE-2 (KHAMIS, 10/5/18) :
Hari ni Fydh masih tak nak makan. Lebih 5 menu saya sediakan, dia hanya rasa sikit & terus tak nak. Dia asyik mengadu sakit perut. Ingatkan Fydh ni sakit perut sebab makan sikit sangat & perut masuk angin. Puas jugaklah paksa dia makan masa tu.. Huhuu..
Sampai petang, sesekali Fydh akan cakap sakit perut. Saya sapukan minyak & urut perut tiap kali dia mengadu sakit perut. Bila semua cara nak suruh anak makan tak berhasil, saya terpaksa masukkan nestum dalam susu. Susu pun dia minum sikit sangat, 3 oz pun tak habis.
Malam tu dah mula tak sedap hati sebab dah makin kerap dia sakit perut & tiap kali dia sakit perut demam akan naik semula.
Lepas makan ubat demam, Fydh dah tertidur. Terpaksa postpone plan gi klinik esok paginya.
Tengah malam suhu anak asyik naik dalam 38.6°C — 40°C. Bila lapkan badan dengan air dengan campuran lemon & gel dari daun aloe vera, suhu badan Fydh turun balik ke paras terkawal. Tapi dalam sejam-2, naik tinggi balik. Malam tu saya terpaksa berjaga sebab nak pastikan suhu badan Fydh tak naik tinggi. Setiap sejam-2 sapukan air & kalih kedudukan anak tidur sebab nak pastikan semua part badan kena air.

HARI KE-3 (JUMAAT, 11/5/18) :
Pagi Jumaat terus bawa anak gi klinik, rupanya tonsil Fydh bengkak/radang. Memang tak sangka boleh kena tonsillitis sebab Fydh langsung tak batuk & sebelum tu takde pulak mengadu sakit tekak. Tak teringat nak check tekak dia sebab Fydh ni memang susah nak bukak mulut. Nak gosokkan gigi pun payah, nak suruh bukak mulut besar-besar untuk check tekak lagi la haru..
Doc check juga kat bahagian perut. Ada part yang bila doc tekan, Fydh terus menjerit & menangis. Doc bagitahu, bila tonsil dah kena jangkitan, kuman boleh gak menyerang nodus limfa dalam badan kita.
Ada yang bengkak nodus limfa kat bahagian leher, belakang telinga, dan lain-lain. Tapi dalam kes Fydh ni, radang tonsil dah menyebabkan pembengkakan nodus limfa kat abdomen.

Sebab tu dia sakit sangat perut. Orang yang ada masalah lemah sistem penghadaman/pencernaan lebih mudah kena jangkitan nodus limfa kat perut. Dapat ubat antibiotik, demam & angin je masa tu.
Masa tidur petang, tiba-tiba Fydh menangis & menjerit cakap sakit perut. Dia terus bangun & termuntah-muntah. Sejak petang tu, hampir setiap masa dia akan menangis mengadu sakit perut.
Sebenarnya saya sendiri pernah alami pengalaman radang tonsil & jangkitan nodus limfa kat perut ni. Pengalaman 15 tahun lepas pun bila teringat balik, memang azab sangat muntah tanpa berhenti, otot perut jadi kejang & langsung tak boleh makan.
Bila makan je, akan muntah balik & perut masuk angin. Nak gi klinik pun saya perlu dipapah untuk berdiri. Tu belum lagi sakit nak telan makanan. Orang dewasa pun terasa azabnya, inikan pulak anak kecil. Allahu.. Sian sangat Fydh.. Dak ni nak minum susu pun sakit dah nangis-nangis, perut sakit & cramp pulak tu
Malamnya, Fydh masih lagi muntah dalam 2-3 jam sekali. Tapi disertai cirit-birit lak kali ni.. Malam je dah 2-3 kali cirit & muntah.. Suhu badan memang akan naik secara mendadak bila Fydh mengadu sakit sangat tu.. Saya tak berhenti-henti lapkan badan dengan air, urut & tungku perut. Bila tungku perut, legalah sekejap sebelum serangan seterusnya..
HARI KE-4 (SABTU, 12/5/18) :
Walaupun dah kurang muntah, Fydh masih mengadu sakit perut tanpa henti. Dalam 5-10 minit sekali dia akan mengadu sakit perut..
Tapi yang kesiannya, tiap kali Fydh jamah sesuatu/minum walau seteguk-2 air, dia akan tercirit-cirit. Dahlah dak Fydh ni sakit tekak nak telan makanan, bila tercirit pulak.. langsung tak nak makan & minum..
Dari bubur, sup, segala jenis makanan semuanya dia tak nak. Satu-satunya makanan yang dia teringin & mintak nak makan – nugget. Tu pun seketul je & dekat sejam nak habiskan. Paksa jugak dia minum air manis 2-3 teguk untuk bagi tenaga sikit.. Makan seketul nugget tu je pun 3-4 kali cirit. Bila kerap menangis, konfirm akan muntah balik.
Kami bawa balik Fydh ke klinik. Terpaksa ke klinik lain sebab klinik semalamnya tutup. Saya inform apa yang Doc sebelumnya beritahu. Saya inform juga Fydh muntah & cirit lepas start ubat.
Risau juga muntah & cirit sebabkan alahan antibiotik jenis penicillin. Kali ni Doc terangkan, bagi kes limfadenitis ni.. bila radang tonsil dah efek nodus limfa, kesannya pada individu berbeza bergantung pada bahagian mana yang dijangkiti & bergantung gak pada tindakbalas badan.
Ada juga yang jadi muntah, sakit perut & sembelit bagi kes jangkitan nodus limfa kat abdomen.. Biasanya simptom-simptom ni memang akan nampak dalam masa 3-4 hari. Kalau sebabkan alahan ubat, biasanya muntah & disertai ruam sekali..
Masa check perut, Doc bagitau pergerakan/aktiviti otot perut Fydh lebih cepat dari biasa. Walaupun takde makanan, pergerakan tetap laju & boleh sebabkan otot perut cramp. Bila makanan masuk lak, makanan terus dibuang jadi cirit. Tu yang buatkan dia sakit sangat perut. Masa doc sentuh je perut, Fydh dah menggelupur sakit & meraung-raung.. Allahu..
Kali ni dapat ubat untuk tahan muntah, kurangkan cramp perut, ubat cirit & air garam. Ubat muntah kena bagi 30 min lebih awal dari ubat lain untuk elak anak muntah. Doc gak pesan kalau anak nampak lemah, kena cepat² bawa balik ke klinik/hospital takut dehidrasi..
Doc ada sarankan bagi anak makan aiskrim untuk surutkan bengkak tonsil, makan yogurt atau minum susu berkultur untuk kurangkan masalah berkaitan pencernaan.
Tapi Fydh memang tak nak langsung makan sebab tercirit teruk.
Lepas makan ubat malam, Fydh muntah sekali je walaupun masih mengadu sakit perut & cirit. Dia masih tak nak makan & tiap kali minum susu pun akan menangis. Dari pagi sampai pukul 10 malam, 7-8 kali Fydh tercirit. Saya urut & tungku perut sampai Fydh tertidur.
Petua Rawat Tonsil Guna Rebusan Buah Tin
Dalam sibuk anak sakit bagai, saya terlupa nak buat tip gunakan pes buah tin untuk legakan tonsil yang bengkak.
Masa saya sendiri kena tonsillitis dulu, cepat juga kurang bengkaknya bila makan buah/minum air rebusan buah tin & sapukan pes buah tin.
Saya rebus buah tin dengan air sikit. Bila air tinggal separuh, tos air (boleh masuk dalam air/susu/sup/dll).
Buah tin diasingkan & dilenyek/diblend halus. Masa Fydh tidur, saya sapukan pes buah tin bawah leher. Biarkan selama 30 minit (sekurang-kurangnya) sebelum bersihkan.

Buah tin ni manis, jadi kena cepat bersihkan & lap. Malam tu, buat pertama kalinya (dari hari Rabu) Fydh boleh habiskan susu dia & tidur lena.. Syukur..alhamdulillah..
HARI KE-5 (AHAD, 13/5/18) :
Bangun pagi, Fydh ceria sikit. Dia dah berselera sikit & mula mintak makanan. Muntah dah berhenti, tapi masalahnya bila makan, lebih banyak lak tercirit.. Tengah hari je dah 7 kali tercirit.. Fydh langsung tak nak makan & minum balik.. Badan dah mula lemah..
Lepas zohor, kami bawa Fydh ke hospital. Fydh dimasukkan kat wad zon kuning sebelum ditukarkan ke wad pemerhatian sementara tunggu result.
Doc buat ujian darah takut ada jangkitan darah & suruh pastikan Fydh makan/minum air supaya tak dehidrasi. Kalau tak terpaksa tahan wad.
Doc ada juga cakap, sebenarnya kalau dah stop muntah, tu petanda positif sebab kalau muntah tanpa henti lepas ambil ubat tanda badan tak boleh terima ubat/ubat tak berkesan (bagi sesetengah kes jangkitan bakteria).
Fydh dah agak lemah masa tu & terbaring jer. Ada masa Fydh akan merengek sakit perut. Nak-nak suhu sejuk aircond, lagi la sakit perut menjadik-jadi. Saya non stop urut perut & letak balm panas untuk kurangkan sakit perut disamping pastikan Fydh makan & minum.
Saya pesan kat dia kena makan & banyak minum kalau tak nak kena tahan wad. Yang bagusnya, sebabkan takut kena tahan wad punye pasal, Fydh boleh makan roti, minum susu & air dengan banyak. Kalau kat rumah, jangan haraplah nak makan walaupun pujuk macam²..
Rasa takut boleh mengatasi rasa sakit perut dia tu..
Pukul 8 lebih, Fydh dah boleh discharge. Alhamdulillah, darah pun ok.. Balik hospital, Fydh hanya nak makan roti jer.. Macam biasa jugaklah, lepas makan memang akan tercirit. Hari ni jer dah lebih 10 kali Fydh cirit. Sampaikan masa tidur pun tercirit..
Ubat klinik memang tak tinggal. Dos kena cukup & masa kena jaga. Tapi dalam masa sama, saya tetap bagi Fydh air rebusan buah tin & sapukan pes pada leher. Urut & tungku tiap malam memang dah wajib..
HARI KE-6 (ISNIN 14/5/18) :
Hari ni, pertama kali Fydh bangun-bangun terus mintak makanan.. Dia dah boleh makan separuh dari sukatan biasa. Mula aktif & boleh bermain.
Baru nak tarik nafas lega, rupa-rupanya ada masalah lain pulak.. Kali ni kulit celah kelangkang & kawasan punggung pulak jadi melecet sebab kerap sangat cirit.. Bila makan akan tercirit lagi. Lagi banyak tercirit, kawasan kulit yang melecet jadi melepuh & mula berdarah-darah lak..
Selama Fydh tercirit ni, najis dia warna kuning kehijauan & berlendir. Sebelum ni doc ada cakap warna najis macam tu sebab enzim penghadaman dalam perut tak sempat nak berubah warna & dah terus keluar. Najis dia pun agak berasid sebabkan jus gastrik dari perut tak sempat diproses sepenuhnya. Lama-lama kulit boleh jadi melecet bila asyik terkena najis je..
Sampai malam, hanya 6 kali Fydh tercirit. Tapi tiap kali jugaklah meraung sebab pedih lak..
Malam tu badan Fydh start panas balik mungkin sebab sakit sangat kulit melecet teruk. Saya sapukan krim untuk kurangkan pedih..
HARI KE-7 (SELASA, 15/5/18) :
Fydh demam tapi dengan suhu terkawal. Sakit perut pun dah makin kurang & sesekali jer serangan dia datang. Cirit masih 5-6 kali sehari tapi Fydh dah mula nak makan.. Kali ni Fydh menangis & meragam sebab kulit gatal & pedih plak..
Dari Fydh bayi dulu, saya gunakan minyak bawang putih untuk ruam lampin, melecet & gatal-gatal selain untuk batuk/selesema. Kat rumah memang sentiasa ada stok minyak bawang putih, tapi semenjak Fydh tak sihat ni, langsung tak sempat buat yang baru. Stok minyak dah habis sebab hari-hari guna untuk urut perut.

Tengah hari dapat curi masa untuk buat minyak bawang putih. Saya gak rebus daun sirih & bidara untuk buat air mandian untuk kurangkan gatal & pedih.. Alhamdulillah, lepas beberapa kali guna minyak & mandikan dengan air rebusan daun,nampak dah kurang sikit gatal & pedih.
HARI KE-8 (RABU, 16/5/18) :
Cirit 5 kali sehari & hanya 3 kali jer serangan sakit perut. Gatal & melecet dah berkurang. Demam dah kebah.
HARI KE-9 (KHAMIS, 17/5/18) :

Cirit 4 kali sehari dan takde serangan sakit perut. Sepanjang Fydh demam ni, bibir serta lidah Fydh merah sangat & tunas rasa (taste bud) pada lidah dia lebih besar dari biasa (macam buah strawberi). Hari ni warna lidah Fydh dah normal & dah tinggal sikit je taste bud yang besar².. Sebelum ni doc cakap sesetengah bakteria penyebab radang tonsil boleh juga sebabkan lidah jadi camtu..

HARI KE-10 (JUMAAT, 18/5/18) :
Hari ni Fydh tercirit 2 kali & sekali jer sakit perut. Tunas rasa pada lidah dia pun dah makin mengecil.
HARI INI..
Hari ke-13 sejak Fydh demam. Masih tercirit sekali-2. Sakit perut dah takde & selera makan pun dah mula bertambah.. Lidah pun dah kembali normal..
Syukur alhamdulillah.. Tapi saya tetap bagi Fydh makan buah tin (jenis lembut) untuk kudap-kudapan. Since Fydh masih tak boleh makan yogurt sebab makin tercirit, saya berikan Fydh al manna (mengandungi prebiotik) untuk galakkan pembiakan bakteria baik dalam perut. Prebiotik ni sebagai ‘makanan’ atau sumber nutrien untuk bakteria baik.
Hampir 2 minggu ni, saya diuji dengan anak tak sihat.. Apa yang buat saya terharu sangat — masa dia sakit perut teruk hari tu, kebetulan ada video klip kat tv. Dalam video klip tu, ada baby menangis & doc tengah rawat baby. Fydh berhenti menangis & tanya saya,
“Ummi, baby nangis sakit perut ke? Ummi urutlah baby tu dengan minyak garlic.. ” Allahu.. dalam dia sendiri tengah sakit, dia masih lagi ada rasa simpati pada orang lain.. Semoga Fydh jadik anak soleh & cepat-cepat sihat..
Mungkin perkongsian pengalaman anak kena tonsillitis ni boleh dimanfaatkan & dijadikan panduan untuk mak-mak kat luar sana.
Tonsillitis ni bukan sekadar sakit tekak & susah nak telan makanan, tapi boleh berlaku komplikasi lain gak macam tonsillitis kronik (serangan yang berulang-ulang), jangkitan dalam darah, dll.
Bukan semua kes tonsillitis jadi macam Fydh ni, tapi sekurang-kurangnya kalau anak kena jangkitan tonsil nanti, mak² dah tau ape nak buat..
Nota kaki:
*Saya gunakan minyak bawang putih dengan cara bawang digoreng. JANGAN GUNAKAN minyak bawang putih dengan cara bawang dibakar untuk kulit luka sebab bahagian dalam bawang tak betul-betul kering bila bakar. Pedas bawang putih tu boleh sebabkan pijar & luka bertambah pedih.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tarik Perhatian Anak Lambat Cakap Untuk Bercakap Dengan Bunyi Yang Selalu Anak Buat

Berinteraksi adalah kemahiran yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak. Tambahan lagi bagi anak-anak istimewa, ianya bukanlah satu perkara yang mudah bagi mereka. Banyak kemahiran-kemahiran lain yang perlu mereka pelajari untuk membolehkan mereka dapat berinteraksi dengan baik.
Interaksi juga haruslah menarik supaya anak-anak ingin terus melakukan interaksi dengan anda. Semakin banyak interaksi, semakin banyak kemahiran yang anak-anak boleh pelajari. Jika inginkan anak-anak berminat dan tertarik untuk berinteraksi dengan anda, anda boleh ikuti 8 trik ini:
Tip 1: Bersemuka
Apabila bermain dan berinteraksi dengan anak anda, rendahkan badan, supaya dapat bersemuka dan bertentang mata. Anda boleh duduk di lantai dan anak duduk di kerusi, atau baring di lantai bila anak bermain di lantai. Dengan cara ini, anak anda dapat melihat dan mendengar apa yang anda sebut dengan lebih baik. Kanak-kanak akan teruja apabila anda turun ke level mereka dan hubungan anda dan anak akan menjadi lebih rapat. Tambahan pula, dengan bersemuka anda juga boleh dan mudah untuk melihat sekecil-kecil respon dari anak dengan lebih baik dan memudahkan anda untuk respon semula.
Tip 2: Guna Intonasi Yang Menarik
Kanak-kanak mudah tertarik dengan melodi. Tak hairanlah mereka memberi respon yang sangat baik pada lagu. Jadi apa salahnya kita bercakap dan berinteraksi dengan anak menggunakan intonasi berlagu yangmenarik. Ia secara langsung boleh menarik minat anda untuk mendengar dan memahami apa yang kita cakapkan. Intonasi sangat baik untuk menarik perhatian anak terutamanya kanak-kanak yang mempunyai masalah denga daya tumpuan yang pendek atau sukar untuk memberi respon pada orang dewasa.
Tip 3: Pilih Mainan Yang Memberi Rangsangan Deria
Dah nama pun kanak-kanak kan, mestilah mereka sukakan mainan. Bermain adalah waktu belajar bagi mereka. Tapi, kita sukar untuk mendapatkan perhatian anak sekiranya mainan tersebut membosankan atau terlalu sukar untuk kanak-kanak fahami cara untuk bermain. Jadi, untuk kanak-kanak 1-3 tahun, mainan yang paling mudah untuk menarik perhatian mereka adalah mainan yang memberikan rangsangan deria. Contohnya mainan yang berbunyi, bercahaya, mempunyai warna yang terang, bergerak dan mempunyai perlbagai tekstur.
Apabila anak tertarik dengan mainan yang anda tunjukkan, maka lebih mudahlah untuk anda berinteraksi dengan anak anda. Dengan adanya mainan, anda juga akan lebih mudah untuk berinteraksi dengan anak kerana dari mainan tersebut anda boleh mendapatkan idea apa yang perlu anda cakapkan.
Tip 4: Guna Ayat Yang Ringkas
Keseronokan berinteraksi adalah bergantung kepada sejauh mana kita memahami sesuatu bahasa. Semakin faham dan tahu menggunakan bahasa, semakin mudah dan seronpk untuk kanak-kanak berinteraksi. Kanak-kanak 1-3 tahun masih lagi belajar untuk mempelajari cara menggunakan bahasa dengan betul samaada verbal ataupun tidak verbal. Jadi penggunaan ayat yang ringkas membolehkan mereka faham dengan lebih mudah dan lebih mudah untuk mereka respon juga.
Untuk anak 1&2 tahun anda boleh gunakan ayat 1-3 patah perkataan. Bagi 3 tahun pula anda boleh tingkatkan kepada ayat 4 atau 5 perkataan mengikut situasi yang sesuai.
Tip 5: Banyak Gunakan ‘Sound Effect’
Apabila bermain dan berinteraksi bersama anak anda, gunakan banyak sound effect yang menarik seperti “weee, woww, boom-boom, pop-pop-pop, miau” dan banyak lagi. Bunyi atau perkataan ini akan menarik perhatian anak, kerana ianya disebut dengan sangat berintonasi. Tambah pula, perkataan-perkataan ini boleh disebut dengan berulang-ulang semasa aktiviti dan ini memberikan peluang kepada anak untuk mendengarnya. Perkataan seperti “weee’ dan “jatuh” boleh digabungkan semasa bermain dengan kereta. “Pop”, “oo-oo” dan “pecah” boleh digunakan semasa bermain bubble. “Mmmm”, “sedapnya” boleh digunakan semasa makan, “boom-boom” atau “dum-dum” semasa bermain drum.
Ada bermacam-macam bunyi yang boleh anda sebut mengikut kreativiti sendiri asalkan ianya menarik. Perkataan-perkataan menarik ini biasanya akan menjadi perkataan pertama yang kanak-kanak akan tiru dan lama-kelamaan mereka akan menyebutnya sendiri.
Tip 6: Berikan Bantuan
Anak istimewa kebiasaannya mempunyai kemampuan bahasa yang terhad untuk memahami dan memberi respon pada anda. Jadi adalah sangat penting untuk kita bantu anak-anak sekiranya mereka tidak tahu bagaimana untuk memberi respon pada anda. Anda boleh pegang tangan anak dan buatkan aksi yang anda minta, pegangkan tangan dan tunjukkan cara mmeberi objek yang anda minta, modelkan perkataan atau ayat yang anak perlu sebut, modelkan cara memjawab soalan yang anda tanya, tunjukkan, gunakan ekspresi muka dan gerak badan anda untuk memberi bantuan pada anak memahami cara untuk memberi respon.
Dengan bantuan yang diberikan membuatkan anak untuk lebih faham dan tahu apa yang mereka perlu lakukan. Ia juga boleh membuatkan anak merasa enjoy untuk terus berinteraksi dengan anda.
Tip 7: Jadikan Minat Sebagai Peluang Untuk Berinteraksi
Setiap kanak-kanak mempunyai minat mereka sendiri terhadap sesuatu dan minat itu akan berubah-ubah mengikut situasi. Perkara yang mereka minat itu sebenarnya kita boleh gunakan sebagai subjek perbualan anda dengan anak. Kerana apa yang mereka minat, tumpuan mereka akan lebih baik, dan bahasa yang diberikan akan lebih mudah untuk anak kaitkan dan fahami.
Duduk dekat dengan anak, lihat anak dengan penuh minat dan tunggu anak untuk memberikan mesej. Sebagai contoh, anak anda sedang melihat bayi yang sedang menangis dengan penuh minat, anda hanya diam, TUNGGU untuk anak berkomunikasi dengan anda. Apabila anak melihat ke arah anda, tunjuk bayi tersebut dan sebutkan perkataan atau bunyi. Dengan cara ini anda boleh memberikan respon kepada apa yang anda fikir anak anda ingin ‘cakapkan’. Contoh “baby nangis”. Beri peluang pada anak untuk memulakan perbualan kerana memulakan perbualan adalah kemahiran yang penting untuk berbual dengan baik. Dengan menunjukkan minat pada apa yang anak minat sekaligus akan menarik minat anak untuk berinteraksi dengan anda.
Tip 8: Tiru Aksi & Bunyi Anak
Meniru adalah cara yang berkesan untuk menggalakkan interaksi secara berterusan. Tiru apa yang dilakukan oleh anak anda. Anak anda mengetuk drum, anda pun mengetuk drum dan tunggu respon dari anak. Sekiranya anak menghasilkan bunyi seperti ‘oo-oo’, ‘woww’, anda pun meniru menyebutnya juga dan tunggu dan lihat samaada anak menyedari atau tidak kehadiran anda. Jika anak menolak kereta, anda juga menolak kereta dan lihat reaksi anak. Kemahiran meniru merupakan kemahiran yang sangat penting untuk membolehkan anak bercakap. Dengan meniru anak terlebih dahulu akan menggalakkan anak untuk menyedari kehadiran anda dan akan meniru anda pula apabila mereka sudah bersedia. Interaksi akan menjadi lebih menarik jika anak sedar yang anda memberi perhatian pada apa yang meraka sebut dan lakukan.
Peringkat interaksi bagi setiap usia juga berbeza. Bagi anak 1 tahun, mereka banyak berinteraksi menggunakan gesture, aksi dan perkataan tunggal. Apabila mencapai 2 tahun, mereka mula menggunakan ayat 2 patah perkataan pula beserta gesture. Semakin usia meningkat, anak-anak akan kurang menggunakan gesture dan banyak menggunakan ayat 3 perkataan dan lebih. Jadi interaksi kita dengan anak perlulah di upgrade mengikut keperluan dan tahap perkembangan semasa anak.
Sumber: Aishah Kassim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Anak Buat Sesuatu Sehingga Mak Ayah Bertukar ‘Hijau’ Bermakna Anak Mahukan Perhatian Kita

Pada usia dua hingga lima tahun, merupakan masa yang paling mencabar ibu bapa. Jika ibu bapa bijak kendalikan perangai anak-anak kecil pada waktu ini, Insya-Allah, akan lebih mudah menguruskan mereka bila sudah remaja nanti.
Tantrum yang sering ditunjukkan anak-anak kecil pada waktu ini adalah cetusan-cetusan perasaan, rasa tidak selesa atau tak puas hati. Kadang-kadang tu, hanya sebab tak pandai makan dengan sudu pun dah boleh menyebabkan mereka mengamuk.
Kenapa? Sebab pada usia ini dia nak buat macam orang dewasa tapi motor skil belum mahir. Itulah yang menyebabkan dia kecewa. Malah dia ingat dia dah dewasa pun.
Relaks, jangan cepat nak melenting bila dia jatuhkan sudu ke, apa ke. Pada usia ini anak-anak hanya ada Attention dia belum ada Intention (niat).
Pada usia ini anak-anak tidak ada niat buat sesuatu kerana sesuatu. Contohnya, dia tidak menangis sebab nak beri ayah-ibu pening! Dia tiada niat begitu pun!
Bila kita faham akan perkara ini, maka untuk menghalang anak-anak dari terus mengamuk kerana hendakkan barang atau nak menghalang anak dari pergi ke tempat yang bahaya…wujudkan sesuatu yang akan menarik perhatiannya dengan LEBIH lagi.
Mengapa tak elok kita marah terlebih pada mereka bila mereka show tantrum?
Sebab anak-anak kecil ni memang tak faham lagi dan bila kita marah terlebih, yang akan jadi adalah mereka menjadi lebih degil atau takut macam kura-kura masukkan kepalanya. Oleh itu bila dia dah usia besar sikit, maka kedegilan yang ketara akan menjadi-jadi atau penakut.
Jangan risau bila kita layan dengan baik anak itu tetap tantrum…bila dia nak menangis dan tantrum, kita beri dia peluang asal jangan membahayakan diri. Kita boleh duduk dekat dengannya, atau bawa dia ke tempat lain dan basahkan mukanya sambil sebut ” Ayah faham sayang letih…ni ayah dukung dan peluk!”
Wahai ayah-ayah semua…gentlemen dan amazingnya anda jika anda bersabar begini…you show a higher level of leadership dan anak itu akan belajar akhlak mu.
Orang akan kata…kita manjakan anak…itu orang yang tak faham mengenai perkembangan kanak-kanak! Kita tak perlu ikut kata-kata mereka. Bayangkan anak tu baru 2 tahun, kecil tu…dah nak ditengking dan dipukul kerana dia menangis letih atau kecewa mainan kena rampas ke…sepatutnya, kita bimbing dia macamana nak kendalikan frustration dia dan bukan kita pulak yang frustrated dengan anak kita yang comel tu.
Sumber: iburose
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI