Mama perlu tahu yang pernafasan yang betul berupaya memaksimumkan kandungan oksigen di dalam tubuh. Ini secara tidak langsung berupaya membantu mengatasi rasa sakit semasa bersalin.
Sekiranya mama dan papa pernah mengikuti kelas antenatal, salah satu topik yang dipelajari ialah teknik pernafasan. Ia sangat mudah untuk dipelajari. Teknik ini bukan setakat bermanfaat semasa proses kelahiran, malah seharusnya diamalkan sepanjang tempoh kehamilan.
TEKNIK PERNAFASAN SALAH GANGGU PROSES BERSALIN
Cara pernafasan yang salah boleh mengganggu proses bersalin! Malah, ia juga menggangu daya tumpuan dan menyebabkan anda tidak mampu bertenang. Faktanya, dalam keadaan tidak relaks atau ketakutan, secara tidak langsung, ia menyebabkan pernafasan anda menjadi cepat dan pendek.
Dalam masa yang sama, otot-otot tubuh terutamanya yang berkait rapat dengan proses kelahiran menjadi tegang. Cara anda bernafas cepat – pendek (panic breathing) hanya akan mengurangkan bekalan oksigen ke dalam darah anda dan bayi.
Ads
PERNAFASAN KETIKA MENERAN
Seharusnya anda mengikut gesaan yang datang melalui kontraksi untuk meneran apabila telah cukup 10sm. Anda boleh meneran beberapa kali selagi masih berasa gesaan untuk meneran. Pada ketika ini, anda tidak perlu menahan nafas lebih daripada lima saat semasa proses melahirkan. Ikuti langkah demi langkah teknik pernafasan dalam fasa ini.
Fasa 1: Air ketuban pecah.
Fasa 2: Kontraksi bermula dan menyebabkan anda tidak selesa. Bermula dari sini anda dan suami sudah boleh melakukan teknik bernafas yang pernah dipelajari di kelas antenatal.
Fasa awal kontraksi: Mulakan pernafasan dalam.
Ads
Fasa tiada kontraksi: Lakukan pernafasan normal.
Fasa kontraksi: Lakukan pernafasan dalam.
Fasa cukup 10sm dan bayi sudah bersedia untuk keluar: Kontraksi – curi nafas – tunggu arahan meneran – pernafasan dalam – teran sambil hembus kuat.
Pernafasan normal.
Ads
Tunggu kontraksi kedua dan lakukan pernafasan dalam dan teran lagi sehingga bayi dilahirkan.
SALAH TEKNIK CURI NAFAS LAMBATKAN PROSES BERSALIN
Ada di kalangan ibu yang tidak bernafas dengan betul kerana “mencuri” nafas lalu menyebabkan bayi masuk semula ke saluran peranakan. Kesalahan ini akan menyebabkan proses kelahiran menjadi lambat dan panjang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika anak anda tidak berminat untuk makan ikan berlemak seperti salmon atau sardin, beberapa kali seminggu, apa kata jika anda berikan pada mereka suplemen minyak ikan setiap hari.
Mengapa anak saya perlu ambil suplemen minyak ikan?
Minyak ikan mengandungi asid lemak omega-3 (khususnya DHA dan EPA) yang dipercayai memainkan peranan penting dalam perkembangan otak dan mata kanak-kanak. Ikan perairan laut sejuk – juga dipanggil sebagai ikan berlemak – mengandungi jumlah omega-3 yang paling tinggi. Secara amnya, inilah pilihan yang terbaik untuk kanak-kanak mendapatkan nutrien daripada makanan.
Akan tetapi, ikan yang mereka makan mungkin tidak menyediakan amaun omega-3 yang secukupnya, apatah lagi kanak-kanak tidak boleh makan ikan yang tinggi merkuri. Pakar menyarankan supaya kanak-kanak berusia 2 tahun hingga 8 tahun perlu makan 93,31g hingga 186,62g ikan dan jenis makanan laut lain dalam seminggu.
Sementara itu, kanak-kanak dari usia 9 tahun ke atas pula perlu mengambil 248,83g hingga 311,03g ikan dan makanan laut setiap minggu. Bagaimanapun, jika anda ingin cuba memberikan anak makanan tambahan atau suplemen, anda perlu ingat bahawa pemberian suplemen tidak akan memberikan manfaat yang sama seperti jika mereka makan ikan.
Anda boleh menawarkan anak suplemen omega-3 dalam bentuk cecair, kunyahan lembut, dan gel lembut. Suplemen omega-3 adalah bebas merkuri. Kebanyakan suplemen omega-3 adalah berasaskan minyak ikan. Bagaimanapun, merkuri tidak wujud dalam tisu lemak. Oleh itu, anda hampir tidak menjumpai merkuri dalam suplemen omega-3. Suplemen omega-3 yang lain diperbuat daripada alga berbanding ikan. Jadi, suplemen ini tidak mengandungi merkuri dan juga tidak hanyir- amat sesuai untuk golongan vegetarian. Cuma, anda perlu pastikan sebarang jenama suplemen omega-3 yang anda pilih menapis minyak untuk membuang toksin-toksin seperti PCB.
Apa yang anda perlu tahu jika ingin beri anak suplemen omega-3
– Cari suplemen yang diperbuat daripada isi ikan berbanding hati. Minyak hati ikan mungkin mengandungi toksin atau amaun vitamin A yang terlalu banyak, yang mana ianya tidak elok untuk kanak-kanak. Suplemen mengandungi minyak mikroalga adalah lebih sesuai untuk golongan vegetarian.
– Periksa arahan dos pada label dan pastikan anda tidak beri anak melebihi dos yang disarankan. Pengambilan minyak ikan yang berlebihan boleh menyebabkan sakit perut atau cirit-birit.
– Suplemen cecair adalah yang terbaik untuk diberikan kepada anak kecil. Suplemen berbentuk kapsul boleh menyebabkan anak anda tercekik, jadi jangan berikan suplemen jenis ini kepada kanak-kanak di bawah usia tiga tahun. Suplemen jenis cecair ada dijual dalam botol dan pek kecil.
– Berikan suplemen pada waktu makan dan mulakan dengan dos yang rendah. Anda boleh menambah dos secara berperingkat sehingga ke dos yang disarankan. Jika anak anda tidak gemar mengambil suplemen, anda boleh campurkannya di dalam susu atau jus mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyakit Pneumokokal adalah disebabkan oleh sejenis kuman bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga. Ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius seperti jangkitan paru-paru dan radang selaput otak.
Apakah yang menyebabkan jangkitan Pneumokokal?
Kuman penyebab penyakit ini ialah Streptococcal pneumoniae atau Pneumokokus yang terdapat dalam lapisan hidung dan tekak orang yang sihat (pembawa kuman). Kuman ini boleh merebak melalui batuk dan orang yang berada di persekitaran secara langsung.
Apakah vaksin yang ada dan bagaimana ia diberikan?
Vaksin terdahulu ialah pneumococcal polysaccharide vaccine (PPV) yang mengandungi 23 antigen pada lapisan yang telah ditulenkan. Vaksin yang terbaru ialah pneumococcal conjugate vaccine (PCV) yang telah diubahsuai dengan menggabungkan 7 lapisan kapsul polisakarida yang telah ditulenkan dan setiap satunya digabungkan dengan toksin difteria yang telah di nyah aktifkan, untuk mempertingkatkan keberkesanan vaksin ini. Polisakarida adalah kandungan gula kompleks yang merupakan sebahagian daripada kuman bakteria itu sendiri. Vaksin ini harus diberikan melalui suntikan ke dalam otot.
Vaksin diberi mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pengeluar vaksin tersebut.
Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk.
Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.
Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.
Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.
Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.
Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia. Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.
Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia.
Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit.
Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.
Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.
Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.
Simptom
1. Demam panas
2. Batuk dengan atau tanpa kahak
3. Sakit dada
4. Tiada selera makan, tidak mahu makan
5. Rasa tidak sihat, sering merengek
6. Pernafasan laju atau susah bernafas
7. Muntah atau cirit-birit
Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.
Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda.
Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.
♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.
♦ Batuk pneumonia
Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.
5 Tip Mudah
1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!