
Isi Kandungan
TogglePetua tradisional patut dijadikan amalan oleh ibu berpantang memandangkan manfaatnya memang diyakini baik untuk meningkatkan tahap kesihatan. Sama juga halnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan kecantikan wajah.
Petua yang boleh menaikkan seri wajah sewaktu berpantang sangat penting diamalkan, kerana ia akan membantu anda lebih bersemangat mengharungi tempoh berpantang yang dianggap panjang.
Paling menyeronokkan, bahan-bahan yang digunakan untuk menaikkan seri wajah ketika berpantang ini mudah sahaja untuk didapatkan.
Berikut adalah petua yang boleh anda praktikkan. Selamat mencuba!
1. Sapukan air kelapa tua ke seluruh wajah. Air kelapa mengandungi mineral yang dapat menaikkan keserian wajah. Jika tiada air kelapa tua, boleh juga menggunakan air kelapa muda.
2. Selepas mandi, basuh muka dengan menggunakan air basuhan beras yang ketiga.
3. Sapukan yogurt asli ke seluruh bahagian wajah untuk mengekalkan kelembapannya.
4. Sapukan ke wajah masker daripada tomato ranum dan biarkannya kering sebelum dibilas menggunakan air suam.
5. Bagi ibu berpantang yang berkulit kering, sediakan campuran bedak sejuk yang dicampur dengan madu untuk menambahkan kelembapan wajah.
6. Di setiap pagi dan petang, sapu bedak sejuk yang telah dicampurkan dengan kisaran kunyit hidup untuk menaikkan seri wajah.
7. Boleh juga menggunakan bedak sejuk yang dicampurkan dengan perahan air asam jawa.
8. Letakkan teh uncang yang telah digunakan pada lingkaran gelap bawah mata untuk menghilangkan kesan lebam akibat berjaga sepanjang malam.
9. Rebus beberapa tangkai daun inai dan minum setiap pagi dan malam. Selain menaikkan seri wajah, ia turut melancarkan peredaran darah dalam badan.
10. Rebus air akar kayu dan campurkan bersama ibu kunyit hidup untuk diminum pagi dan petang. Ia turut bagus untuk membuang angin dan melancarkan peredaran darah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Dilarang Membuat Sabun Dari Susu Badan, Susu Ibu Adalah Suci” Pesan Untuk Ibu Menyusu- Mufti

Membuat sabun dari lebihan susu badan sangat popular dalam kalangan ibu menyusu. Namun apakah hukumnya membuat sabun dari lebihan susu badan untuk kegunaan sendiri? Ikuti perkongsian daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Assalamualaikum w.b.t
Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan susu badan tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan Dato’ Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah : 233)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)
Susu ibu adalah suci
Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
لَبَنُ الْآدَمِيِّ وَهُوَ طَاهِرٌ عَلَى الْمَذْهَبِ … وَبِهِ قَطَعَ الْأَصْحَابُ إلَّا صَاحِبَ الْحَاوِي فَإِنَّهُ حَكَى عَنْ الْأَنْمَاطِيِّ مِنْ أَصْحَابِنَا أَنَّهُ نَجِسٌ وَإِنَّمَا يَحِلُّ شُرْبُهُ لِلطِّفْلِ لِلضَّرُورَةِ … وَهَذَا ليس بشئ بَلْ هُوَ خَطَأٌ ظَاهِرٌ وَإِنَّمَا حَكَى مِثْلَهُ لِلتَّحْذِيرِ مِنْ الِاغْتِرَارِ بِهِ وَقَدْ نَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ إجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى طَهَارَتِهِ قَالَ الرُّويَانِيُّ … إذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ إنَّ الْآدَمِيَّةَ لَا تَنْجُسُ بِالْمَوْتِ فَمَاتَتْ وَفِي ثَدْيِهَا لَبَنٌ فَهُوَ طَاهِرٌ يَجُوزُ شُرْبُهُ وَبَيْعُهُ
Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.”
(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :
أَمَّا لَبَنُ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ كَلَبَنِ الْفَرَسِ وَإِنْ وَلَدَتْ بَغْلًا فَطَاهِرٌ. قَالَ تَعَالَى : {لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ} [النحل : 66] وَكَذَا لَبَنُ الْآدَمِيِّ، إذْ لَا يَلِيقُ بِكَرَامَتِهِ أَنْ يَكُونَ مَنْشَؤُهُ نَجِسًا.
Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.”
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)
Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)
Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis. Perkara ini kami telah jelaskan di dalam artikel kami al-Kafi li al-Fatawi (1542) : Adakah Susu Ibu Suci serta Sah Solat Dengannya?
Membuat sabun dengan susu manusia
Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.
Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Perkara ini adalah sebagaimana firman Allah SWT :
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿١٣﴾
Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah : 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)
Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10) Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :
Kami cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Hal ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT. Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
Kemuliaan seorang manusia adalah berdasarkan firman Allah SWT :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”
(Surah Al-Isra’ : 70)
Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikkan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kredit: Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Tak Nak Mata Anak Cepat Rosak, Ibu Ayah Sila Ikut Tips Penjagaan Mata Ini!

Ibu bapa sekalian pernah dengar tips penjagaan mata untuk kanak-kanak? Ini panduan paling utama- pemeriksaan mata anak! Mengapa?
Jangan fikir anak masih kecil, jadi mereka tidak perlu mendapatkan pemeriksaan mata. Ini kerana, ia sangat penting kerana kebanyakan masalah penglihatan yang muncul pada usia muda akan kekal sepanjang hidup kelak.
Persoalannya, bila waktu untuk pemeriksaan ini dilakukan dan bagaimana untuk ibu bapa bersedia? Jom teruskan membaca artikel dengan lebih lanjut!
Tips penjagaan mata anak yang paling utama
Terdapat 2 jenis pemeriksaan mata anak yang utama iaitu pemeriksaan penglihatan serta pemeriksaan mata komprehensif. Apa pula beza di antara kedua-duanya?
Pemeriksaan penglihatan adalah di mana kanak-kanak itu akan diperiksa oleh doktor jika terdapat sebarang masalah berkaitan dengan sistem penglihatan mereka.
Sekiranya anak anda ‘gagal’ ujian tersebut, ini bermakna mungkin ada masalah pada organ mata yang perlu untuk didiagnosis di dalam pemeriksaan seterusnya.
Pemeriksaan mata komprehensif adalah di mana mata kanak-kanak akan dibubuh cecair titis bagi doktor mendapatkan diagnosis yang lebih jelas.
Dalam erti kata lebih mudah, anak anda mungkin hanya perlu buat pemeriksaan penglihatan dan bukan pemeriksaan mata komprehensif selain dengan saranan pakar.
Pemeriksaan mata anak seperti yang disarankan
The American Association for Pediatric Ophthalmology dan The American Academy of Ophthalmology menyarankan pemeriksaan mata mengikut usia:
Bayi baru lahir: Selepas bayi lahir, doktor akan memeriksa mata bayi untuk mengenal pasti indikator berkaitan dengan organ ini
Sebelum hari lahir pertama: Pemeriksaan kedua perlu dibuat di antara 6 ke 12 bulan untuk memeriksa kedudukan dan pergerakan mata
Di antara 12 ke 36 bulan: Pemeriksaan ketiga perlu dibuat dengan cara menggunakan foto atau video bagi memeriksa sebarang masalah penglihatan
Di antara 3 ke 5 tahun: Pemeriksaan keempat perlu dibuat dengan cara menggunakan huruf atau angka pada carta untuk melihat kemampuan penglihatan mereka
5 tahun dan ke atas: Doktor akan melihat sebarang tanda ketidaksejajaran pada mata serta kerabunan, masalah mata paling biasa ketika di usia muda
Sekiranya pakar mata tidak menemui sebarang masalah, ibu bapa hanya perlu ikut panduan di atas namun ia perlu diubah dengan saranan doktor jika ada isu timbul.
Bersediakah ibu bapa mengikuti tips penjagaan mata anak?
Sudahkah anda sebagai ibu bapa bersedia untuk pemeriksaan mata si kecil? Berikut adalah beberapa tip yang mungkin boleh membantu jika ada sebarang kesulitan:
Tips penjagaan mata
1.Jangan lengahkan pemeriksaan mata anak
Tip pertama dan utama adalah jangan lengahkan pemeriksaan ini. Ingat, semakin cepat anda dapat mengesan masalah, semakin cepat isu itu dapat diselesaikan.
Jika anda tidak kenal dengan pakar mata di sekitar anda, jangan risau kerana doktor umum atau doktor kanak-kanak juga boleh mendiagnosis mata anak anda.
2. Bersiap sedia dengan butir peribadi anak
Sebelum membawa anak berjumpa doktor, pastikan anda telah menyediakan butir-butir peribadi yang penting. Berikut adalah senarai butir tersebut:
- Masalah kesihatan umum anak anda
- Kewujudan sebarang alahan, jika ada
- Prosedur pembedahan yang pernah dibuat
- Senarai perubatan yang sedang diambil
- Rekod pemeriksaan mata anak terdahulu
- Sejarah keluarga, terutamanya yang berkaitan dengan organ mata
3. Bersiap sedia dengan soalan untuk ditanya
Pemeriksaan ini adalah waktu yang paling sesuai untuk bertanya kepada doktor berkenaan kesihatan mata mereka. Contohnya, tanya simptom yang dihadapi.
Jika ada sebarang pertanyaan aneh lagi ganjil berkenaan kesihatan mata si kecil, anda boleh bertanya kepada doktor untuk tahu sama ada ia normal atau tidak.
Pun begitu, soalan tersebut perlu lebih menjurus kepada selepas pemeriksaan, termasuklah:
- Apa diagnosisnya?
- Bila kondisi akan bertambah baik?
- Bagaimana ia menjejaskan penglihatan anak?
- Bagaimana hendak tahu jika perubatan itu berkesan?
- Bila anak saya perlu berjumpa dengan doktor kembali?
Kesimpulan
Akhir sekali, anda perlu tahu bahawa setiap metode untuk pemeriksaan ini adalah berbeza bergantung kepada beberapa faktor dalaman dan luaran.
Sebagai contoh, metodenya adalah bergantung kepada usia, kemahuan dan kemampuan mereka.
Kanak-kanak yang masih belum boleh membaca, mungkin hanya akan diberi gambar atau video.
Semasa pemeriksaan mata anak, doktor juga mungkin akan menggunakan sebuah alatan bernama ophthalmoscope yang akan menyebabkan ketidakselesaan.
Ia akan memancar cahaya yang boleh buat anak menjadi takut, sakit atau tidak selesa, jadi sila sentiasa berada di samping mereka semasa pemeriksaan ya.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Jom daftar sekarang, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Suka Makan ‘Carrot’? Bukan Hanya Bagus Untuk Mata, Tapi Ini Kelebihanya

Lobak merah dan mata, adalah 2 perkara yang selalu dikaitkan bersama. Malahan ia menjadi kepercayaan kebanyakan mommies di luar sana. Tetapi betul ke makan lobak baik untuk penglihatan?
Propaganda lobak merah
Lobak lazimnya dikatakan sebagai 1 ubat ajaib yang dapat menjaga kesihatan mata dan memperbaiki penglihatan pada waktu malam. Mungkin ada di antara kita yang mempersoalkan mengenai perkara ini, adakah ia benar atau sekadar auta semata-mata, bukan?
Lobak dan manfaatnya kepada mata telah menjadi kepercayaan kebanyakan individu di dunia ini dalam meningkatkan kesihatan mata. Walaupun ada kebenaran mengenainya, namun asal usul tersebarnya berita ini bermula daripada mitos.
Semasa Perang Dunia II, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja British berjaya menggunakan radar, satu teknologi baru ketika itu untuk menyasar dan menembak jatuh pesawat musuh.
Mitos mengenai kehebatan lobak ini disebarkan bagi menutup rahsia teknologi baru tersebut yang mempunyai keupayaan memberikan ketepatan visual kepada juruterbang daripada pengetahuan musuh, iaitu pihak Nazi Jerman.
Bermula daripada itulah, propaganda mengenai kehebatan lobak merah atau carrot yang kononnya dapat meningkatkan penglihatan pada waktu malam tersebar dan dipercayai sehingga ke hari ini.
Hubungan lobak merah dan penglihatan
Carrot merupakan antara sayuran yang popular dan menjadi kegemaran kebanyakan individu. Sayuran rangup dengan nama saintifik Daucus carota ini kaya dengan pelbagai khasiat seperti:
- Karbohidrat
- Protein
- Serat
- Vitamin A, C, K
- Kalsium
- Zat besi
- Magnesium
- Fosforus
- Kalium
- Zink
- Folat
Selain itu lobak juga kaya dengan lutein, iaitu antioksidan penting dalam membantu memperbaiki tahap kesihatan individu. Makanan tinggi kandungan lutein akan meningkatkan ketumpatan pigmen dalam makula.
Apabila ketumpatan pigmen meningkat, ia akan dapat membantu melindungi retina. Keadaan ini sekali gus akan mengurangkan risiko kemerosotan penglihatan.
Beta-karotena yang terdapat dalam lobak merah juga bermanfaat dalam membantu fungsi penglihatan. Selepas dimakan, mineral ini akan bertukar bentuk kepada vitamin A yang dikenali sebagai retinol dan boleh dicerna badan.
Kekurangan beta-karotena atau turut dikenali sebagai karotenoid yang penting untuk penghasilan vitamin A dalam badan akan meningkatkan risiko berlakunya masalah penglihatan apabila dalam keadaan kurang pencahayaan.
Mitos lain berkaitan mata
Selain daripada carrot, terdapat juga 3 mitos lain berkaitan mata yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Jom kita bongkar!
Tengok televisyen pada jarak dekat
Selalunya kita akan melarang anak-anak daripada menonton televisyen (TV) pada jarak yang terlalu dekat kerana mempercayai ia akan merosakkan penglihatan, betul?
Tetapi hakikatnya, duduk pada jarak yang dekat ketika menonton TV hanya akan menyebabkan anda berasa sakit kepala tetapi TIDAK akan menjejaskan penglihatan anda.
Sinaran biru yang ada pada televisyen membahayakan mata jika terdedah secara berlebihan. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kerosakan pada retina, sekali gus menyebabkan kerosakan serius pada mata.
Membaca dalam keadaan gelap
Sebenarnya, situasi ini sama seperti menonton TV pada jarak dekat. Ia boleh mengakibatkan anda mendapat sakit kepala atau mata menjadi penat. Namun ia TIDAK sampai menyebabkan tahap penglihatan anda merosot.
Kebergantungan kepada cermin mata atau kanta lekap
Jika anda adalah individu yang memakai cermin mata, mesti pernah mendengar bahawa pemakaian cermin mata hanya akan membuatkan penglihatan anda menjadi lebih teruk. Tetapi betul ke?
Ia TIDAK BENAR sama sekali. Keupayaan penglihatan mata anda tidak akan merosot kerana penggunaan cermin mata atau pemakaian kanta lekap. Preskripsi tahap mata anda mungkin akan berubah tetapi ia bukan disebabkan cermin mata atau kanta lekap.
Sebaliknya peningkatan itu berlaku seiring dengan peningkatan usia atau didasari oleh sebarang masalah berkaitan kesihatan.
Sayangilah mata
Jadi mitos mengenai lobak merah adalah SAHIH. Ia sememangnya baik untuk memperbaiki tahap penglihatan, cuma kerap makan lobak tidaklah sampai membuatkan anda memiliki mata yang berkuasa pada waktu malam.
Apapun, mata merupakan satu deria yang penting bagi setiap individu. Amat penting untuk anda memberikan penjagaan yang terbaik pada mata. Jika menyedari sebarang masalah berkaitan mata, lakukan pemeriksaan dengan segera, jangan melengah-lengahkan masa, okay?
Nak beri didikan agama pada anak-anak biarlah sejak mereka kecil. Ajarkan anak solat dengan cara simple dan anak mudah ‘tangkap’, baru dia teruja. Ketahui macam mana nak latih anak solat secara fun, jom daftar ke Kem Solat Anak: Mudah, Seronok & Berkesan sekarang! Klik https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat-anak/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI